August 31, 2015

SALJU KYOTO - BAB 6


BAB 6

LAMBAT-LAMBAT, aku menengadah muka. Dari sebalik mata yang berbalam-balam, aku melihat susuk tubuh tinggi itu. Dia sedang tunduk memandangku. Ada tanda tanya yang terbias di segenap wajah itu. Dengan cukup lemah, aku bangkit dari cangkung. Kaki yang kebas kesejukan membuatkan aku hampir-hampir terjelepuk kembali. Namun Arjuna tangkas menangkap bahuku. Usai memastikan aku tegak dengan selamat, dia menjatuhkan tangan.
         “Sa…saya…” Bibirku terketar-ketar mahu bersuara. Sungguh, aku tidak tahu bahawa ini adalah rumahnya. Aku hanya mengikut langkah kaki dengan otak kosong semata-mata.
            “Kau nampak biru.”
            Belum sempat aku mengatakan apa-apa, Arjuna terlebih dahulu menyampuk. Kot tebal yang tersangkut di tubuhnya ditanggalkan dan disangkut ke bahuku, lantas memberikan satu lagi lapisan pakaian tebal kepadaku. Bahkan, dia mencabut keluar sarung tangan sendiri sebelum menarik jari-jemariku. Sarung tangan besarnya itu kemudian dilapiskan ke atas sarung tangan yang sedia kupakai.
            “Apa…apa awak buat ni?” soalku tenggelam timbul.
            “Pakai saja.”
            “Tapi, awak akan sejuk.”
        “Tak apa,” tekan Arjuna tanpa memandangku. Sebaliknya dia mengemaskan kotnya yang membaluti tubuh kecilku. “Aku dah biasa dengan cuaca sini. Kau tu yang tak biasa. Kau dah nampak pucat sangat, kau tahu tak?”
            “Tapi…”
            “Tak ada tapi-tapi,” pintas Arjuna. Mukanya sudah dipalingkan ke arah pembantu keduanya. “Sato, cepat buka pintu.”
            Tanpa banyak bicara, lelaki yang digelar Sato itu membukakan pintu besar dan tinggi yang terletak elok di tembok pagar.
            “Come, masuk cepat. Kau tak boleh lama di luar.”
            “Tapi, takkanlah saya…” Aku cuba menolak. Walau dalam lemah sekali pun, aku sedar halal dan haram. Tidak mungkin untuk aku masuk ke rumah seorang lelaki bukan mahram.
            “Don’t worry. Ada orang lain dalam rumah ni. Bukan kita berdua saja,” tegas Arjuna dengan nada suara yang tiada kompromi.
            Mahu tidak mahu, aku membuntuti langkah Arjuna. Usai melangkah masuk, anak mataku membulat. Rupa-rupanya, dari sebalik tembok luar yang tinggi, tersergam indah sebuah rumah tradisional Jepun dua tingkat yang berwarna hitam, putih dan coklat. Sebelum tiba ke bahagian rumah, satu taman yang luas terlebih dahulu menyambut kedatanganku. Kelihatan kolam dengan satu jambatan kecil, bonsai yang dibentuk indah serta pelbagai jenis pokok tinggi dan renek. Ada yang cuma beranting kesan musim sejuk, ada juga yang mekar dengan dedauan. Bunyi lembut air yang mengalir sayup-sayup menyentuh gegendang telinga.


            Setelah mendekat, barulah aku perasan bahawa ada dua buah rumah sebenarnya. Salah sebuah jauh lebih besar daripada yang satu lagi. Aku yakin yang besar itu merupakan rumah utama. Kedua-dua buah rumah ditutupi dengan bumbung jenis tradisional yang melengkung ke atas. Dindingnya berpetak-petak, dengan binaan kayu dan buluh. Di sekelilingnya pula, terdapat koridor yang memanjang dan luas. Sama seperti rumah tradisional Jepun yang aku selalu tonton dalam drama.
             Aku terus mengikut langkah Arjuna memasuki rumah utama, dengan mata yang tidak henti-henti meliar ke sekeliling. Kami akhirnya tiba di hadapan satu pintu gelangsar jenis shoji yang besar. Seorang wanita pertengahan umur yang berdiri tegak di hadapan pintu tersebut, menolaknya ke tepi. Lantas, menampakkan ruang luas di dalamnya.
            “Come,” pelawa Arjuna sambil menggamitku masuk.
            Penuh hati-hati, aku menapak masuk. Sekali lagi, aku terpesona. Berpadanan dengan binaan luar yang tradisional, suasana di bahagian dalam juga tidak kurangnya. Ruang besar yang kukira sebagai ruang tamu ini juga dari jenis bilik tradisional Jepun atau dikenali juga sebagai washitsu. Keluasannya kira-kira lapan tatami, dipisahkan daripada bilik lain dengan menggunakan pintu fusuma. Ukiran buluh dan dedaun maple berwana oren pada pintu fusuma tersebut membuatkan keseluruhan bilik ini tampak mewah. Di tengah-tengah bilik pula, kelihatan kotatsu dengan permukaan meja kaca berwarna hitam bercorak pohon sakura. Lain benar daripada kotatsu di Hitsuji-an yang cuma dilapisi permukaan kayu biasa.
            “Kenapa tercegat tu? Masuklah.”
            Teguran Arjuna mengejutkanku. Barulah aku sedar bahawa aku masih lagi terpacak kaku di hadapan pintu masuk. Lekas, aku mengambil langkah lebih ke dalam. Walaupun tubuhku masih menggeletar, tetapi kedinginan yang kurasa di luar semakin berkurangan. Mungkin kerana bilik ini yang agak hangat, atau mungkin juga kerana rasa takjubku sebentar tadi. 
            Ekor mataku dilirik pada Arjuna yang sedang bercakap sesuatu kepada wanita yang membuka pintu tadi. Beberapa saat berlalu, dia turut masuk ke dalam ruang sama. Tanpa mempedulikan aku, dia bergerak ke satu sudut bilik. Zabuton berwarna kelabu ditarik keluar dan diletakkan ke atas tatami, berhampiran kotatsu.
            “Arjuna-sama (Tuan Arjuna).”
            Satu suara bergema di hadapan muka pintu. Pantas Arjuna menoleh pada wanita yang sama tadi. Di tangannya, terhampar satu gebar yang terlipat elok.
            “Arigatou.” Arjuna berterima kasih dengan suara yang lembut dan penuh rasa hormat. Itulah kali pertamanya aku mendengar nada suaranya yang selembut itu. Gebar tersebut diambil dan dihulurkan kepadaku.
            “Use this. Tangggalkan kot tu. Tadi terkena salji, kan?”
            Aku mengangguk kecil sebelum menanggalkan kot miliknya dan juga kot kepunyaanku. Gebar yang terhulur diambil lalu dililit pada tubuh. Kehangatan segera menjalar masuk.
            “Come, duduk sini.” Arjuna mengarahkan. Sebelah tangannya menepuk zabuton yang disediakan tadi.
            Aku menjatuhkan punggung ke atas zabuton. Kemudian, aku menyelak futon yang melapisi kotatsu dan memasukkan kaki ke bawah meja. Pemanas yang tersedia pada kotatsu tersebut pantas menghangatkan badan.
            “Rasa okey sikit?” soal Arjuna.
            Kepalaku diangguk sedikit. Namun hatiku disuntik rasa aneh. Pelik rasanya bila dia yang selalunya dingin, mengambil berat begini.
            “Hmm, sampai pun.” Arjuna bersuara lagi serya melihat ke pintu. Terkebil-kebil mataku melihat wanita tadi yang melangkah masuk dan meletakkan satu dulang di atas meja kotatsu. Dia kemudiannya berlalu meninggalkan aku dan Arjuna.
            “You should have this. Boleh panaskan badan.”
            Masih dengan lagak bingung, aku menjatuhkan pandangan mata kepada cawan dari material tanah liat bercorak buluh yang sedang dihulur kepadaku. Wap-wap kecil yang berkepul-kepul dapat kulihat dengan jelas, menampakkan betapa isinya panas. Aku tidak terus mengambil, sebaliknya aku menatap muka Arjuna.
            “It’s green tea. Bukan racun.” Bagaikan dapat membaca rasa sangsiku, dia menjelaskan. Agak kasar bunyinya, lalu membuatkan aku menjuih bibir sedikit. Cawan di tangannya diambil dan dipegang kemas. Rasa hangat semerta menyusup ke telapak tangan.
            Arjuna senyum kecil. Dia mengambil cawan kedua yang tersedia di atas dulang lalu menghirup teh. Aku mengambil tindakan yang sama. Teh hijau yang suam dibiarkan menggelongsor masuk ke trakea. Pahit, tetapi ada kedamaian dan kehangatan yang tersirat bersamanya.
            Jeda.
            Dalam suasana senyap, dengan salji yang masih lebat turun di luar, aku dan Arjuna menikmati teh masing-masing. Sesekali, aku mengerling kepadanya. Aku perasan bahawa setiap kali dia menghirup teh di tangan, matanya akan terkatup sedikit, seolah-olah sangat menikmati setiap hirupan itu. Di mataku, jejaka yang seorang ini tampak sangat tenang. Seperti yang selalu aku lihat dalam perkenalan kami yang singkat. Sedetik, aku tertanya. Adakah dia tidak pernah punya masalah? Adakah dia selalu bahagia? Adakah dia tidak pernah terluka?
            Terluka seperti aku.
            “Kenapa awak tak tanya saya apa-apa?” Aku bertanya perlahan.
            Arjuna meletakkan cawan ke atas dulang sebelum menjawab, “Sebab tak perlu.”
            Aku menatap mukanya dengan pandangan memohon lebih penjelasan.
            “Hanya dengan tengok kau tadi, aku tahu apa yang dah jadi. Badri. Kau dah tahu pasal dia, kan?”
            Tanpa semena-mena, segala tegahan dan reaksi Arjuna yang tidak mahu membantu aku mencari Badri, menerawang dalam fikiran.
            “Sebab tu ke awak tak nak bagitahu saya pasal dia?”
            “You care for him too much. Setiap kali kau bercakap pasal dia, aku boleh nampak harapan yang ada dalam mata kau. Kau berharap untuk jumpa dia, kau berharap untuk bawa dia balik. Dalam ingatan kau, cuma ada Badri yang selalu kau kenal tu.”
            “Jadi awak fikir kalau saya dapat tahu pasal dia, saya akan rasa kecewa. Macam tu?”
            Soalanku tidak berbalas. Arjuna cuma membatu. Namun kesunyian itu sudah cukup untuk membuatkan aku yakin dengan tekaan sendiri.
            “Kenapa awak baik dengan saya?” soalku tanpa sedar.
            Arjuna tampak tergamam. Lama dia memandangku, seperti mahu memastikan pertanyaan yang baru menjamah telinga.
            “Baik?” Hujung bibir Arjuna menyenget sinis. “That’s something new. People don’t really say that about me.”
            “Maybe…they just don’t know you.”
            “And you think you know me?”
            Mulutku terkatup. Adakah aku kenal Arjuna? Tidak. Aku tidak mengenali dia. Siapa dia yang sebenarnya. Apa yang dia buat. Salah-silahnya. Tiada satu pun yang aku tahu.
            “Sebagai manusia, kita tidak mungkin betul-betul mengenali orang lain. You know why? Sebab setiap daripada kita ada rahsianya, ada topengnya.”
            “Seperti Badri,” sambungku, masih diulit kecewa.
            Arjuna diam. Tidak menafikan. Tidak mengiyakan.
            “Awak tahu tak macam mana saya kenal dia?” Aku menyoal sambil memandang jauh ke hadapan. Segala memori lama terbayang-bayang dalam kotak memori.
            “Macam mana?” Sipi-sipi suara Arjuna menyentuh telinga.
            “Melalui kematian.”
*****
SETIAP inci tubuh kecilku rasa longlai. Jiwa kosong, sekosong-kosongnya. Air mata yang sedari tadi mengalir sudah pun berhenti, lalu meninggalkan aku teresak-esak sahaja.
            “Kau masih menangis?”
            Sekonyong-konyong ada suara yang menegur. Aku menoleh pada seorang lelaki yang kini duduk tidak jauh dariku, sama-sama berkongsi bangku yang sama. Dari pengamatanku, dia seusia denganku.
            “Ayah kau…mesti ayah yang baik, kan?” soalnya tiba-tiba.
            “Kenapa awak tanya macam tu?”
            “Ayah aku bukan macam ayah kau. Jadi bagi aku, hari ni adalah hari paling menggembirakan aku.”
            Kedua-dua mataku membulat.
            “Kau gembira ayah kau mati?!” tanyaku, separuh kuat. Lenyap sudah ‘awak’ yang aku gunakan sebentar tadi. Jiwaku panas. Aku jadi emosional.
            “Kau bertuah.” Lain yang ditanya, lain pula yang dia jawab.
            “Apa maksud kau?”
            “Sekurang-kurangnya, kau boleh menangis untuk ayah yang dah tinggalkan kau. Dan dia akan selalu jadi kenangan indah untuk kau, kan?”
            Aku bungkam. Wajah lelaki di sebelahku jelas tidak berperasaan. Jauh sekali bezanya daripada aku, sedangkan kami sama-sama menghadapi kehilangan.
            “Jadi peganglah pada kenangan tu dan kuatkan semangat kau.”
*****
“AYAH saya dan ayah Badri meninggal pada hari yang sama, tempat yang sama dan masa yang sama. Ada lori terbabas, kemudian rempuh kedai makan yang selalu arwah ayah pergi. Dalam kejadian tu, dua orang terbunuh.”
            “Ayah kau dan ayah Badri.”
            Aku mengangguk dan menarik senyum sepahit hempedu. Kononnya menunjuk muka kuat, sedangkan jiwa dihimpit pilu.
            “Yup. Saya dan dia pertama kali bertemu di hospital. Atas bangku, lepas kami dapat tahu pasal ayah masing-masing. Dan dia bagitahu saya satu benda yang buat saya terkejut.”
            “Apa dia?”
            “Hari tu adalah hari yang paling membahagiakan buat dia.”
            Anak mata Arjuna tampak membesar. Dia terkejut.
            “Pelik, kan? Bagi saya, hari tu adalah hari paling hitam, paling menyedihkan saya. Tapi sebaliknya buat Badri.”
            “Ke…napa?” Teragak-agak, Arjuna menyoal.
            “Badri…he was not really a happy child.” Aku menjawab penuh rahsia. Pandangan mata ditala ke hadapan, masih diulit segala kenangan lama dan juga kejadian petang tadi.
            Arjuna membisu. Tetapi lewat ekor mata, aku tahu dia masih tidak tidak lepas daripada memandangku. Sekonyong-konyong…
            “Are you trying to give justification for what he did?”
            “Huh?” Aku tersentak.
            “You know, that cliche kind of thing. The guy had the worst childhood ever. Sebab tu dia buat perkara yang tak sepatutnya.”
            Aku tergemap. Akal fikiranku ligat berfikir. Adakah aku cuba mencipta alasan atas apa yang sudah terjadi kepada Badri? Atau aku sebenarnya tidak dapat menerima kenyataan?
            “Bukankah kita sebagai manusia ada akal untuk berfikir mana yang baik, mana yang buruk? Pilihan ada di tangan kita, kan?” sambung Arjuna lagi.
            “Mungkin dia tak ada pilihan pun. Who knows?”
            “Tak ada pilihan? Huh!” Arjuna senyum mengejek. “Life is about choices, Nailah. If you don’t have one, then create one.”
            “Senang untuk awak cakap, kan? Awak tak tahu apa yang dia rasa, apa yang dia dah lalui.”
            “Itu tak boleh dijadikan alasan untuk dia jadi apa yang dia dah jadi sekarang.”
            Telingaku  berdesing. Jadi apa yang dia dah jadi? Bicara itu kedengaran sangat menghina bagiku. Siapa Arjuna untuk menilai Badri? Siapa dia untuk menjatuhkan hukum?
            “Kalau awak tak tahu apa-apa, jangan memandai cakap pasal dia,” desisku keras. Mukaku terasa tegang.
            “At least I know more than you do.” Arjuna menjawab tegas. Langsung tidak terjejas dengan amaranku sebentar tadi.
            Aku merengus geram. Hujung mata dijeling tajam kepadanya. Ada sahaja bangkangan yang keluar dari mulutnya.
            “Dalam kau cuba mencipta alasan, mungkin ada orang lain dalam dunia ni yang struggle seumur hidup dia untuk cipta pilihan dia sendiri. And it was…” Tutur kata Arjuna termati seketika. Dia kelihatan diam melayan perasan. Kemudian dia menyambung perlahan, “A lonely battle for him.”
            Nada suara Arjuna tidak lagi setegas tadi. Bahkan tutur katanya kedengaran jauh sekali. Langsung, aku jadi bungkam. Aku ingin mengatakan sesuatu, aku ingin membangkang, tetapi melihat dia yang serius, membuatkan lidahku kelu terus.
            Seketika, suasana hening. Tiada satu bunyi pun. Dia dengan dunianya. Aku dengan duniaku.
            “Lepas kau habis minum, masuk rehat di bilik.” Arahan Arjuna tiba-tiba memecah kesunyian.
            Mataku hampir menjojol keluar. “Apa maksud awak, rehat di bilik?”
            “Malam ni, kau tidur sini.”
            Rahangku melurut ke bawah.
            “Dah kenapa pula kau nampak terkejut sangat?” Dengan muka tenang tanpa perasan, Arjuna bertanya.
            “Mestilah. Awak ingat saya gila nak tidur sini? Rumah lelaki macam ni?” tempelakku.
            “Bila masa pula aku fikir kau gila? Tapi tengoklah kat luar tu. Salji tengah lebat. Nampak gayanya sampai ke tengah malam macam tu. Bahaya untuk keluar. Lagipun, kau nampak masih pucat. You’ll get sick if you go out.”
            Usai mendengar penjelasan Arjuna, aku membuang pandang ke luar. Dari celah-celah tingkap, aku dapat melihat salji yang masih turun menyentuh bumi.
            “Aku dah minta Inoue-san sediakan bilik kau. Kalau nak solat, dia boleh tunjukkan kiblat. Basically, anything you need, just ask her.”
            Bait bicara Arjuna sayup-sayup sahaja kedengaran. Aku masih ralit memerhati ke luar jendela. Pada titisan salji halus yang kelihatan terbang turun dengan lembut. Menari-nari dan berputar. Cantik. Sekelipan, hatiku rasa tenang. Tidak lagi berkeluh-kesah seperti tadi.
            “Arjuna…” seruku perlahan.
            “Hmm…”
            “Awak perasan tak?”
            “Apa dia?”
            “Setiap kali saya dengan awak, salji akan turun.”
            “Mungkin sebab aku seperti salji.”
            Kepalaku terkalih pada Arjuna. Keanehan dengan jawapan yang baru menyapa peluput telinga.
            “Snow is silent. It falls as quietly as it can be. But then, it can also turns into a deadly storm.”
            Mataku tepat melekat pada Arjuna yang kini memandang jauh ke hadapan, seperti berada dalam dunianya sendiri. Kepalanya tegak penuh keyakinan. Aura gagahnya masih seperti selalu, meluap-luap garang.
            Silent and deadly.
            Tutur kata itu terngiang-ngiang di celah gegendang telinga. Ada amaran yang terselit. Dalam senyapnya salji, ianya bisa membunuh. Dia seolah-olah mengatakan bahawa dalam tenangnya Arjuna Kaede, dia bukanlah seorang lelaki yang boleh sesuka hati disentuh. Sejenak, aku teringatkan pertemuan pertama kami. Arjuna yang garang. Arjuna yang tangkas berlawan. Arjuna yang misteri.
            Namun, sesaat kemudian, Arjuna yang selalu menyelamatkan aku pula datang menerpa. Yang sering kali muncul saat aku kebingungan. Mungkin dia sendiri tidak menjangka akan pertemuan kami, tetapi Arjuna tidak pernah membiarkan aku sendiri. Sejak malam itu hinggalah ke hari ini.
            Lalu, antara dengar tak dengar, lidahku menitip bicara.
            “Snow is cold. It can freeze you to your bones. But then, it can be as beautiful as a magical world.”
            Arjuna tampak terkedu. Dia merenungku dengan pandangan yang tidak dapat ditebak. Aku hanya menayang senyum kecil, tanpa menjelaskan apa-apa. Biarlah lelaki itu mentafsir sendiri.
            Cold and beautiful.
            Bukankah salji seperti itu? Dingin. Sangat-sangat dingin. Tetapi pada masa yang sama, salji yang dingin ini mampu menghadiahkan ketenangan dan kehangatan. Sekurang-kurangnya, itulah yang aku rasa sekarang. Ya, salji lebat yang sedang aku lihat di luar, tampak sangat menenangkan dan…cantik.
            Indah. Terlalu indah.






************
TEASER BAB 7:
"Kau tahu tak apa perasaan aku bila nampak kau semalam? Kau bukan lagi Badri yang aku kenal. Kau dah berubah. Kau dah bertukar. It's like you've became a monster!"
Muka Badri berderau. Nafasnya mula berdengus-dengus. Dia marah.
"A monster? Huh, mungkin kau betul. Aku dah jadi monster yang cuma tahu belasah orang sampai mati. Aku suka bergelumang dengan darah. Aku puas bila orang merayu-rayu di kaki aku. Aku rasa hebat! Aku rasa berkuasa!"
Aku tercengang. Mata sudah pun bergenang.
"Kau tahu tak, Nailah? Inilah kali pertamanya aku rasa yang aku ni berguna. Aku jadi orang kepercayaan ketua aku. Hanya dalam masa dua tahun, dia dah serahkan dua kawasan untuk aku jaga. Aku ada berpuluh-puluh orang bawahan. Aku ada kuasa. Aku ada duit."
"Dan duit tu kau hantar kepada emak kau? Duit haram tu?!" tempelakku, semakin kalah dengan emosi yang membuak-buak.
"Kau jangan cuba menghina aku, Nailah."
"Aku bukan menghina. Aku cuma cakap benda betul. Sanggup kau, kan? Sanggup kau bagi emak kau makan duit haram."
"Kau!!!" Badri tiba-tiba menyerbu ke arahku. Namun satu tubuh lain terlebih dahulu muncul di antara kami berdua. Aku tergamam. Mataku tepat tertala kepada belakang tegap seorang lelaki.
***********************
NOTA CIK SA:
Yay! Seperti yang dijanjikan, Cik SA dah update Salju Kyoto pada hari Isnin. So, next chapter will be out this Thursday. Jom komen! Moga2 dengan komen itu, Cik SA akan jadi lebih bersemangat untuk siapkan manuskrip ni cepat-cepat...hehe.
Thank you and see you in next chapter. =)

22 comments:

  1. Waaaa .. Bestnye
    Xleh ke klu update esk ? Xsabar2 nk bce bab seterusnyee :D

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tq! =)

      oh, sorry. tak dapat update esok. Dah buat schedule untuk twice a week. Isnin dan Khamis...huhu.

      Delete
  2. Tak bisa tunggu lama....

    Next please...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ops, dah buat schedule untuk twice a week. Isnin dan Khamis...huhu.

      Delete
  3. Makin best dan tak sabar nk tggu apa yg akan jadi selepas ini....jeng..jeng...jeng

    ReplyDelete
  4. Apa sebenarnya yang terjadi kat Badri? Mesti ada sebab mengapa dia terlibat dalam kegiatan hitam. Sweet plak si Arjuna

    ReplyDelete
    Replies
    1. yup. ada sebabnya. apa dia...kita nantikan di bab akan datang...hihi

      kan? sweet2 macho gitu...haha!

      Delete
  5. alahai tak puas baca .. best.. tak sabar nak tau seterusnya.

    ReplyDelete
  6. AK mesti jadi hero lindungi nailah, sweet sgt salji ni hihihi. X sabo nak tunggu kamis huhuhu..

    ReplyDelete
    Replies
    1. yup!! dia tak nak pun, tapi tetiba jadi hero...haha

      Delete
  7. Moga Nailah selamat. Kenapalah Nailah tak nak bali je Msia :(

    ReplyDelete
    Replies
    1. jawapan tu ada dalam bab 8. dia tak sempat balik pun...huhuhu

      Delete
  8. oh mai... lambatnya hari khamis.... huhuhu

    ReplyDelete
  9. Thanks kak sara...dh lame tnggu..dh jd addict dgn citer ni..hehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. ur wc. wah, addict tuuuu...hehe. thx a lot, ya.

      Delete