August 18, 2015

SALJU KYOTO - BAB 2


BAB 2

SUNYI. SEPI. Tiada langsung bunyi yang bergema di dalam kereta mewah ini. Aku hanya membatu keras sambil memandang ke luar tingkap. Pada salji yang masih ralit jatuh dan meliputi bumi. Sesekali aku mengetap bibir. Jari-jemari dikepal kuat. Hati pula, mengalunkan doa yang pelbagai. Sedaya-upaya aku cuba bertenang, sedangkan jantung seperti mahu tergolek keluar.
            “Here.”
            Suaranya menyentak kuat. Spontan aku menegakkan tubuh dan menoleh. Sehelai sapu tangan terlebih dahulu menjamah anak mata.
            “Wipe your tears.”
            Jariku ternaik sendiri dan menyentuh pipi. Entah bagaimana aku boleh tidak perasan. Rupa-rupanya pipiku masih basah.
“What’s wrong with women? Cry for almost everything.” Dia menyambung. Ada kutukan dan kekerasan dalam kata-katanya. 
Telingaku berdesing. What’s wrong with women? Eh, kalau dah nyawa aku hampir-hampir melayang, ditambah pula dengan fiil menakutkan dia, tak pelik rasanya kalau aku menangis. Walaupun aku bukan stok perempuan lembik yang suka menangis bawah tangga, tetapi aku tetap perempuan. Dan sesungguhnya perempuan haruslah takut dengan keadaan tadi. Ingat normal ke tengok orang saling berbunuhan? Tak normal, okey? Tak normal!
Itu adalah apa yang aku fikirkan dalam otak. Teringinnya aku untuk menjawab macam tu. Namun hakikatnya, aku sedang menikus sambil teragak-agak mengambil sapu tangan yang terhulur dan mengelap pipi. Hidungku serta-merta ditusuk bau yang terbit dari celah-celah fabrik. Maskulin tetapi pada masa yang sama, bau tersebut memberikan perasaan yang sukar untuk aku teka. Ada misterinya, ada manisnya.
            “So…”
            Dia bertutur lagi.
            “Where do you stay?”
            “Hitsuji-an.” Aku menjawab pendek.
            Dia menyoal pemandunya tentang Hitsuji-an. Kemudian, dia kembali melihat padaku.
            “There’s no hotel named…”
            “It’s a guest house,” pintasku laju. Agak-agaklah, ini Jepun kut. Salah sebuah negara paling mahal di dunia. Memang tidaklah aku mampu untuk tinggal di hotel.
            “Okay.”
            Hanya itu balasannya. Hujung bibirku menyinis. Pasti lelaki ini tidak pernah menjejak kaki di tempat-tempat untuk golongan marhaen. Daripada cara dan gayanya sahaja, sudah aku tahu bahawa dia cuma mengenali kemewahan semata-mata. Hidup dalam timbunan wang. Jauh bezanya daripada aku.
            Dia kembali bercakap dengan pemandunya. Atau lebih tepat lagi, memberikan arahan. Aku membiarkan sahaja, malas masuk campur. Selebihnya, aku memang tidak berani buka mulut, melainkan dia bertanya dan mahukan jawapan daripadaku.
            Keadaan antara kami kembali senyap. Dia dengan wajah seriusnya, dan aku dengan…entahlah, aku sendiri tidak tahu perasaanku sekarang. Risau? Semestinya. Takut? Lebih dua kali ganda berbanding risau. Kerana itu, aku tidak berani untuk menyoal ke mana arah tujuan kami? Adakah dia mahu menghantarku pulang? Atau pertanyaan tadi sekadar berbasi-basi tanpa tujuan?
            “I’m sorry.”
            Sekonyong-konyong, anak telingaku menangkap kata-kata maaf. Kepalaku tertoleh ke sebelah. Mata terkelip-kelip memohon penjelasan.
            “For yelling at you,” ujarnya tanpa sekali melihatku. Dia tetap tegak memandang ke hadapan.
            “You said sorry. I didn’t see that coming from you,” luahku jujur.
            Dia melirik ke arahku.
            “Why? A real man should know how to apologize.”
            Aku mendiam. Apa yang pernah aku baca sebelum ini terus sahaja menerjah ke dalam ingatan.

            ‘A truly confident man will readily admit his mistakes, because he knows one misstep doesn’t define his entire character.’

            Di luar sedar, aku mengulum senyum. Kena! Kata-kata tersebut sangat kena dengan lelaki di sisiku. Keyakinan yang dimilikinya terlampau terserlah hinggakan bicara maaf yang diluahkan langsung tidak menjejaskan maruahnya sebagai lelaki. Bahkan, bicara maaf itu meningkatkan lagi auranya.
            “We’re here.”
            “Huh?” Aku tersentak dan cepat-cepat mengalihkan pandangan saat tersedar bahawa aku masih merenungnya.
            “Hitsuji-an.”
            Aku memandang ke luar tingkap kereta. Pintu kecil rumah tamu Hitsuji-an menggamit pandangan. Lampu kecil yang tergantung, samar-samar menunjuk tanda nama.
            “So, you want to send me back,” getusku perlahan. Menyedari bahawa lelaki aneh ini benar-benar mahu menghantarku pulang.
            “Of course. What do you expect?”
            Aku senyum kelat dan menggelengkan kepala.
            “Nothing,” bohongku. Gila! Tidak mungkin aku berterus-terang dan mengatakan bahawa aku mengesyaki dia mahu melakukan sesuatu padaku.
“Hmm. Before you go, let me remind you this.”
            Dia menghentikan kata sebelum memusing tubuh dan memandangku tepat. Buat kesekian kali, aku bagaikan disedut masuk ke dalam mata tajam itu.
            “You were not there. Nothing happened to you. And definitely, you’ve never met me.”
            Riak mukaku berubah. Kening bertaut membentuk kerutan.
            “Understand?”
            Ingin aku menyoal kenapa, tetapi lidahku kelu. Yang aku buat cuma menganggukkan kepala.
            “Good.” Dia menyandarkan kembali badannya dan memberikan isyarat kepada pemandunya agar membuka pintu. Tanpa secalit bicara, lelaki tersebut mengikut arahan.
            Usai pintu kereta dibuka luas, aku menjatuhkan kaki ke tanah. Namun sebelum sempat aku bangkit, suaranya terlebih dahulu mematikan gerak laku.
            “Where are you from?”
            Aku memusing kepala kepadanya dan menjawab, “Malaysia.”
            Pandangan matanya tampak berubah. Ada biasan terkejut.
            “Malaysia?” Dia mengulang bicara.
            “Yup.”
            Tanpa langsung kuduga, dia tiba-tiba mengulum senyum. Tetapi kali ini, senyuman yang menghiasi bibir itu bukan lagi senyuman sinis lagi mengejek. Ianya terlampau berbeza, bagai langit dan bumi.
            Oh, Tuhan! Indah sekali senyuman dia.
*****
SEPERLAHAN mungkin, aku membuka pintu dorm. Cahaya lampu yang malap menyambut kedatangan. Aku menapak ke arah loker dengan kaki yang dijongket. Tidak mahu mengejutkan penginap-penginap lain yang sedang lena diulit mimpi. Kot tebal ditanggalkan dan disangkut. Namun sebelum aku mengatup pintu loker, anak mataku tertancap pada sesuatu yang terlunjur keluar dari poket.
            Sapu tangan.
            Alamak! Dahi kuketuk perlahan. Macam mana aku boleh terlupa untuk menyerahkannya kembali?
            “You’ve never met me.”
            Tutur kata yang satu itu berdengung di celah telinga. Aku mengeluh kuat. Kalau sudah tuan empunya badan berkata begitu, bagaimana mungkin aku mengembalikannya? Tambahan pula, di mana harus aku mencari dia? Nama pun tidak tahu. Inikan pula, tempat tinggalnya. Yang aku tahu, cuma wajahnya. Juga, suara garaunya.
            Sapu tangan tersebut ditarik keluar dan dibelek-belek. Ada dua huruf yang terukir di satu penjuru.
            A.K.
            Spontan aku mengerutkan dahi. A.K? Apa maksudnya? Biasanya orang akan meletakkan huruf awal nama mereka. Jadi, mungkinkah dua huruf itu adalah nama lelaki asing tersebut? Ah, apa-apalah! Bak kata dia, kami tidak akan bertemu lagi. Sapu tangan ini? Anggap sahaja sebagai kenangan aneh di Kyoto.
            Langsung, aku menyumbat kembali sapu tangan tersebut ke dalam loker. Tuala kecil diambil. Aku mahu ke bilik air untuk mencuci muka dan bersiap-siap sebelum tidur. Mandi? Dalam keadaan sejuk membeku, dengan salji di luar sana? Memang tidaklah!
            Usai bersiap dan melabuhkan tubuh ke atas katil, aku mengatup mata. Sepantas kilat, segala adegan yang ditonton tadi menerjah masuk. Ganas. Ganas sekali semuanya! Tubuh-tubuh yang longlai layu. Bau darah yang kuat dan hanyir. Semuanya saling bersilih ganti lantas membuatkan aku mual. Mata kubuka kembali. Mulut ditekup, menahan rasa mahu muntah. Peluh merecik di atas dahi. Dada berombak laju. Fikirku, aku sudah melepaskannya pergi. Aku boleh berlagak selamba.
‘Ingat, Nailah. Ignorance is the best policy. So abaikan semua tu. Lepaskannya pergi.’ Beberapa kali aku menempelak diri sendiri.
Tetapi, hanya orang gila yang boleh berlagak bagai tiada apa-apa selepas melihat apa yang aku lihat. Dan aku, tidak gila.
            Sekonyong-konyong, wajah serius itu terpampang di hadapan mata. Dia tidak ubah seperti seorang samurai. Dengan kimono hitam, selipar dan pedang. Ketangkasannya berlawan pula seperti angin. Tampak lembut, tetapi hakikatnya keras, laju dan tepat. Sekali dia menujukan serangan, pasti tersungkur lawannya.
            Itulah dia, lelaki yang sudah muncul umpama taufan. Menyelamat dan membawa aku pergi. Aku yakin, dia bukanlah salah seorang manusia yang berlawan antara satu sama lain sebelum itu. Dia ialah pihak ketiga.
             Jadi, persoalannya sekarang, siapa dia sebenarnya? Kenapa auranya lain macam sekali? Apa yang dia buat di situ? Macam mana pula dia tidak membunuh mereka, sedangkan aku pasti dia menggunakan pedangnya? Mungkinkah pedang itu pedang palsu? Tetapi, apa pula tujuannya membawa pedang palsu?
            Persoalan demi persoalan bermain dalam akal fikiran. Namun aku pasti, semuanya akan terkubur tanpa jawapan. Kerana aku dan dia, kami tidak akan bertemu lagi. Pendek kata, pertemuan aneh tadi adalah pertemuan pertama dan terakhir.
*****
“OHAYO-GOZAIMASU (Selamat pagi).”
            Aku mengangkat muka saat mendengar teguran daripada Norihito, pemilik rumah tamu Hitsuji-an. Onigiri tuna yang baru meluncur masuk ke dalam tekak, ditelan sekali. Kemudian aku menarik senyum.
            “Ohayo, Nori-san.”
            Norihito mengambil tempat duduk di hadapanku. Kakinya dimasukkan ke ruang bawah kotatsu, meja kayu rendah yang diselaputi oleh futon dan dilengkapi pemanas. Kemudian, dengan bahasa Inggeris berpelat Jepun, dia menyoal, “You were late last night, right?”
            Aku menyengih segan dan mengangguk. Agak-agak apalah yang dia fikirkan. Pulang hampir-hampir pukul dua pagi. Tidak padan dengan status perempuan Melayu Muslim.
            “I got lost, actually,” balasku juga dalam Bahasa Inggeris. Sengaja aku berbuat demikian kerana Norihito pernah mengkhabarkan bahawa dia mahu memperbaiki Bahasa Inggerisnya, sedangkan aku sebenarnya boleh bertutur dalam Bahasa Jepun. Terima kasih kepada subjek ketiga yang wajib diambil sewaktu belajar di UiTM.
            Anak mata Norihito membulat sejenak.“Really? But you’ve got the map.”
            “Yeah, I know. But…” Bahu kujongket sekali. “I read it wrong.”
            “You didn’t ask people?”
            “I did. But most of them cannot speak English.”
            “Oh, yes. That’s right,” akui Norihito seraya meneguk minuman panasnya.
            Aku kembali pada sarapan pagiku dan membiarkan Norihito menikmati minumannya. Sesekali aku mengerling pada lelaki tersebut. Umur sudah menjangkau empat puluh, tapi rupanya tampak seperti awal tiga puluhan. Cemburu aku jadinya.
            “So, what’s your plan today?” Tiba-tiba dia menyoal.
            “Just looking around. Maybe I’ll go to the temples, or perhaps Arashiyama.” Agak panjang aku menjawab. Padahal, rancanganku cuma satu. Aku mahu mencari Badri. Mengikut alamat terakhir dia yang aku perolehi daripada Mak Cik Kasmah, dia berada di sekitar kawasan Nijojomae ini.
            Badri.
            Mengingati nama itu membuatkan aku mengeluh kuat. Apa yang ada dalam otak dia? Apa yang dia fikirkan? Datang ke sini untuk menyambung pelajaran. Alih-alih, dia berhenti begitu sahaja dari universiti. Langsung tiada khabar berita. Apa yang ada cuma, duit bulanan yang dimasukkan ke dalam akaun ibunya. Dia itu bodoh atau apa? Mak Cik Kasmah tidak peduli tentang duit. Apa yang orang tua itu fikir cuma kemaslahatan anak lelaki kesayangannya.
            Sudah hampir dua tahun keadaan ini berlanjutan. Sudah hampir kering air mata Mak Cik Kasmah. Sudah habis cara aku mencarinya. Aku sudah pergi ke Kementerian Pengajian Tinggi, sudah pergi ke kedutaan, sudah pergi ke banyak tempat. Apa yang aku dapat cuma jawapan yang berupa ‘tidak ada maklumat’. Itu sahaja.
            Dan sekarang, berada di sini adalah caraku yang terakhir. Aku mahu mencari dia sampai dapat. Kalau aku perlu heret dia pulang, itulah yang akan aku buat!
            Bunyi pintu tarik yang dibuka dari luar menyentak aku dari lamunan. Lantas, aku menoleh pada seorang gadis dan dua orang jejaka yang baru melangkah masuk ke dapur.
            “Hai.” Hampir serentak mereka menegur.
            “Oh, hai.” Hampir serentak juga aku dan Norihito membalas.
            Mereka turut mengambil tempat, mengelilingi kotatsu. Masing-masing duduk di atas zabuton (bantal leper) yang disediakan dan memasukkan kaki di bawah meja. Mahu merasai kehangatan yang keluar dari pemanas. Gadis itu namanya Putri Chinta dari Jakarta. Jejaka satu pula bernama Surya, juga dari Jakarta. Jejaka dua, kalau tidak silap aku, bernama Jun dari Yokohama.
            Melihat mereka mengingatkan aku sekali lagi kepada lelaki aneh semalam. Biar aku gelar sebagai A.K. sahaja. Hotel? Memang aku tidak mampu. Tetapi tinggal di rumah tetamu seperti ini ada indahnya. Manusia dari pelbagai latar belakang akan bertembung di sini, berkenalan dan bertukar-tukar cerita.
            “Kamu ke mana semalam? Pulangnya lewat sekali kok,” tegur Chinta.
            Aku senyum. Nampaknya selain bertukar-tukar cerita, orang-orang di sini agak mengambil berat antara satu sama lain.
            “Aku sesat.”
            “Benaran? Aduh, kasihan kamu. Kan udah aku bilang semalam. Kita keluar bertiga,” bebel Chinta. Surya di sebelah mengangguk-angguk.
            “Enggak mau, deh. Aku cuma akan mengganggu kalian berdua,” bantahku dengan slanga Indonesia yang entah betul entah tidak.
            “Ganggu apaan sih?” Surya menyampuk.
            “Iyalah. Kamu kan…” Aku mengerut dahi sekejap. “Apa itu orang panggil, pacaran?”
            Sekonyong-konyong Chinta dan Surya menghambur tawa. Sekejap-sekejap mereka menjeling ke arah satu sama lain.
            “Aku? Sama Surya? Kamu bercanda ya, Nailah? Enggak mau aku!” ucap Chinta sambil mencemik mulut.
            “Lu pikir gue mau? Cewek kayak lu, enggak pantas buat gue.” Surya menempelak Chinta. Seperti Chinta, mulutnya turut terherot-herot.
            Aku gelak. Dua sahabat baik ini gemar sekali bertekak. Sudah serupa anjing dan kucing. Tetapi aku tahu, mereka menyayangi satu sama lain. Kalau apa-apa jadi pada Chinta, pasti Surya adalah manusia pertama yang menerpa untuk membantu. Buat kesekian kali, aku teringatkan Badri. Dahulu, aku dan dia juga seperti Chinta dan Surya. Bertekak dan berkelahi sudah jadi darah daging kami. Tetapi, saat aku kehilangan segala-galanya, dialah yang menghulurkan tangan.
            “Cewek kayak gue? Lu pikir lu itu ganteng?”
            “Udah-udah,” tegasku saat melihat Chinta dan Surya yang masih berbalah. “Aku cuma bercanda tadi. Enggak perlu bergaduh, berantem. Malu pada Nori-san sama Jun.”
            Hampir serentak Chinta dan Surya menoleh pada Norihito dan Jun yang sedari tadi memandang dengan muka tidak faham apa.
            “Sorry, we were just…” Chinta bersuara dengan sengih segannya.
            “Joking,” sampuk Surya.
            “Apa-apa pun, aku udah selamat pulang, kan?” ucapku, kembali menyambung perbualan.
            “Hmm. So, kamu mau join aku sama Surya enggak? Hari ni?” Sekali lagi Chinta mempelawa.
            “Aku udah ada plan. Makasih, ya.” Lembut aku menolak sambil menggelengkan kepala.
            “Okay, then.”
            Aku bangkit dari duduk.
            “Aku naik dulu, ya. Mau bersiap. Nori-san, Jun, I’ll get going. Ja-ne (Jumpa lagi).”
*****
ALAMAT yang tertera di skrin telefon bimbit kutatap dengan perasaan yang sukar digambarkan. Tidak wujud! Sudah puas aku tanya pada orang-orang di sini, malahan pada polis, mereka semua mengatakan bahawa tiada rumah dengan alamat ini. Buat kesekian kali, aku dihempap rasa bingung. Juga, tidak sedap hati. Kalau alamat ini tidak pernah wujud, jadi kenapa ini yang diberikan oleh Badri?
            Aku menghela nafas dan mengeluh panjang. Cuaca sejuk membolehkan aku melihat wap yang keluar dari mulut. Kemudian, aku meliarkan pandangan ke sekeliling. Aku sekarang berada di kawasan perumahan dengan jalan yang agak sempit dan bersimpang-siur. Kebanyakan rumah di sini dikelilingi tembok pagar berwarna kelabu. Di halaman pula, terpacak pokok bonzai yang pelbagai bentuk. Kawasan perumahan ini sangat bersih. Sukar sekali mahu menemui secebis sampah. Maka benarlah reputasi orang-orang Jepun yang sangat pembersih.
            Di beberapa sudut jalan, kelihatan kelibat orang sedang mengayuh basikal. Satu yang aku perasan sejak berada di Kyoto, orang-orangnya gemar sekali berbasikal. Mereka akan membunyikan loceng saat memohon laluan, sambil mengucapkan ‘Sumimasen’ dan ‘Arigatou’. Tertib sekali orang-orang ini.
            Setelah beberapa saat berdiri umpama manikin di tepi jalan, aku mengangkat langkah. Hajatku mahu membeli makanan di Nishiki Market. Soal Badri, kuletak ke tepi. Perut yang berkeroncong harus diisi terlebih dahulu. Kedua-dua belah tangan dimasukkan ke celah saku jaket. Sejuk!
            Usai berjalan selama sepuluh minit, aku akhirnya selamat keluar ke jalan besar. Di seberang jalan raya, tersergam bangunan-bangunan tinggi yang kukira sebagai pejabat tempat orang bekerja. Berbeza sekali dengan kawasan perumahan tadi. Aku berjalan menuju ke arah lampu isyarat dan menanti simbol pejalan kaki bertukar hijau. Pada masa yang sama, aku menalakan pandangan ke arah bertentangan.
Tidak semena-mena...
            “Badri,” getus bibirku. Di kalangan mereka yang sedang berjalan, kelibat seorang lelaki menarik perhatian. Berambut hitam, kulit sawo matang, tinggi, sasa dan berkot coklat. Badri. Itu memang Badri!
            Di luar sedar, aku mengangkat kaki.
            Ponnnn!!!
            Bunyi hon bergema. Lenganku tiba-tiba ditarik dari belakang. Aku terpusing pada skala tiga ratus enam puluh darjah. Semuanya berlaku dengan pantas sekali. Sedar-sedar sahaja aku sudah pun tersembam dalam pelukan seseorang. Dalam keadaan terkejut, aku menengadah muka.
            Oh. My. God.
            Dia ini…lelaki semalam! Bukan A.K, tetapi pembantunya yang menjemputku masuk ke dalam kereta. Kami saling berpandangan. Mulut masing-masing terkatup rapat.
            “Ryohei…”
            Satu suara menyentak kami. Cepat-cepat, tubuhku dilepaskan. Kemudian dia mengundurkan diri setapak ke belakang. Bagaikan memberi ruang.
            Dan sekarang ruang itu terisi dengan sekujur tubuh tegap yang terpacak betul-betul di hadapan mukaku. Bukan lagi dibaluti kimono, tetapi sudah digantikan dengan single-breasted suit beserta kot musim sejuk yang labuh hingga ke lutut. Kedua-duanya berwarna hitam. Wajah seriusnya pula tampak segak dengan rambut stail pomade. Kemas sekali.
            “Young lady…”
            Air liurku tertelan sendiri. Seperti semalam, suaranya masih dengan intonasi keras dan memerintah.
            “Ye…yes?” Lambat-lambat aku menjawab. Cuak.

            “Apa yang patut aku buat dengan kau?”

~Bersambung...~

p/s: sudi-sudilah tinggalkan komen, ya. tq! =)

27 comments:

  1. AK cakap malay ke??? Nak next bab... Pelissssssssssssssssssssssssssssss :p

    ReplyDelete
  2. aik AK cakap melayu. Please writer sambung cepat......................

    ReplyDelete
    Replies
    1. Haha! Jeng3...insyaAllah, sy up next chapter nanti. =)

      Delete
  3. Wahhhhh....boleh cakap melayu....best nih

    ReplyDelete
  4. Wahhhhh....boleh cakap melayu....best nih

    ReplyDelete
  5. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
  6. Nak lagi nak lagi nak lagi 😙😘😚😍😍😍

    ReplyDelete
    Replies
    1. insyaAllah sy masukkan next chapter nanti, ya. tq! =)

      Delete
  7. we want more! we want more !

    ReplyDelete
  8. Ryohei.. nama pelakon jepun di korea kn.. sy bygkn dia.. sooo handsome... hihi

    ReplyDelete