August 17, 2015

SALJU KYOTO - BAB 1


BAB 1

JAM di pergelangan tangan dilirik sekali. Sudah 12.30 pagi. Aku mengeluh dan meliarkan pandangan ke kiri kanan. Semerta bulu romaku meremang. Keadaan sungguh gelap dan sunyi. Bagai berada di sebuah pekan hantu. Angin sejuk menusuk-nusuk segenap tubuh, membuatkan aku menggeletar kuat.
            Ingin sekali aku mengetuk kepala sendiri. Entah bagaimana aku boleh terleka dengan pemandangan di Gion sebentar tadi. Sepatutnya aku lebih berhati-hati kerana Nijojomae, kawasan tempat aku tinggal agak jauh dari Gion. Aku perlu berjalan selama setengah jam. Nijojomae pula bukanlah tempat yang meriah seperti Gion. Sudah pasti pada waktu begini, semuanya sudah senyap sepi, gelap gelita. Apatah lagi, aku tidak biasa dengan jalan-jalan di sini yang bersimpang-siur. Walaupun dengan peta di tangan, aku tetap keliru. Sudahnya, aku sesat.
            “Karera o korosu!!!
            Tanpa semena-mena, telingaku menangkap tengkingan kuat. Spontan aku mengerutkan dahi. Bunuh mereka? Aku tidak salah mendengar, bukan?
            Ragu-ragu, aku mengambil langkah hingga menghampiri hujung lorong. Separuh mukaku ditala keluar, mahu melihat apa yang sedang berlaku. Tidak jauh dari kedudukanku, kelihatan kira-kira dua puluh orang lelaki berpakaian hitam sedang menghadap satu sama lain di tengah-tengah jalan besar. Dari bawah samar-samar cahaya lampu jalan, aku dapat melihat dengan jelas pedang dan parang yang tergenggam di tangan masing-masing.
            Sepantas kilat aku mengalihkan kepala dan menyembunyikan tubuh di sebalik dinding bangunan. Mataku membulat luas. Jantung berdegup kencang. Ya Allah! Masalah apa yang sudah aku jumpa ini?
            Seketika kemudian, telingaku mula mendengar pekikan demi pekikan dalam Bahasa Jepun. Semuanya bercampur baur, hinggakan aku sukar memahami. Yang pasti, semua pekikan tersebut bukan untuk bertanya khabar.
            Aku menekup mulut kuat-kuat, tidak mahu walau bunyi nafas menarik perhatian mereka. Peluh merecik-recik membasahi dahi. Jantung sudah tidak ubah seperti bom jangka yang menanti masa untuk meletup. Tik…tok…tik…tok..
            Setelah beberapa minit berlalu, aku memberanikan diri untuk mengintai keluar. Sekelipan aku terbeliak besar. Anak mataku tepat pada manusia-manusia yang ralit berlawan sesama sendiri. Ada yang dilibas, ada yang dirodok kejam, ada yang dikelar. Darah pekat tidak habis-habis membasahi bumi. Baunya yang hanyir menusuk-nusuk hidung. Tekakku terasa mual. Isi perut mula menggelupur minta dimuntahkan.
            Krang!
            Satu bunyi kuat tiba-tiba menyentakku. Sedikit-sedikit aku melirikkan mata ke sebelah, pada sebatang penyapu yang kini jatuh mengenai tong sampah besi. Oh, Tuhan! Bila masa pula ada penyapu di sebelahku? Dengan bibir yang diketap kuat, aku mengalihkan kembali perhatian kepada kumpulan manusia yang menjadi tontonan tadi. Beberapa orang daripada mereka kini sedang…
            Merenung dan berjalan ke arahku!
            Tanpa menunggu lagi, aku bingkas bangun dan berlari selaju mungkin. Bukan ke arah jalan besar yang dikuasai lelaki-lelaki berbaju hitam, sebaliknya ke arah lorong yang dilalui sebentar tadi. Entah ke mana aku membawa langkah, tetapi setiap jalan yang aku tujui hanyalah lorong-lorong gelap. Habis segala benda yang tersadai di tepi jalan, aku langgar. Sesekali aku melirik ke belakang, ke arah lelaki-lelaki yang mengejar dari belakang. Tangan mereka tergapai-gapai cuba mencapai aku. Tidak ubah seperti zombi yang aku tonton di televisyen. Mulutku pula lantang menjerit meminta tolong. Tetapi semuanya sia-sia sahaja. Hanya kesunyian yang menyambut.
Beberapa minit berlalu, dadaku mula termengah-mengah. Nafas putus-putus. Langkah semakin perlahan. Namun aku tetap cuba bertahan. Ini soal nyawa. Aku tidak boleh berhenti! Sama sekali tidak boleh!
Akan tetapi....
Aku kini terpacak elok di hadapan tembok hitam. Tinggi dan tidak memungkinkan aku untuk memanjat.
Jalan sudah mati.
Perlahan-lahan, aku memusingkan badan. Terpampang di hadapan mata, kira-kira lima orang manusia. Berkot hitam besar. Berbadan sasa. Seperti aku, mereka juga agak tercungap-cungap. Kemudian, setapak demi setapak mereka mendekat. Aku berundur ke belakang. Gentar!
            “Da...dame…(Ja…jangan..)” Suaraku tergugap-gagap merayu agar tidak diapa-apakan. Kepala digeleng-geleng. Mata berbalam-balam di sebalik air mata ketakutan yang mula bertakung.
            “Da-re?! (Siapa?!)”
            Satu jerkahan kuat menghentak jantung. Aku tahu dia menyoal siapa aku, namun lidahku kelu untuk mengeluarkan bicara.
            “Omae da-re?!! (Siapa kau?!!)”
            Sekali lagi dia menengking, siap dengan parang yang diangkat tinggi.
            “Argh!!!!” Aku menempik kuat sambil memejam mata ketat-ketat.
            Prang!
            Suatu bunyi aneh menerjah gegendang telinga. Libasan yang sepatutnya hinggap di tubuh tidak sampai-sampai. Takut-takut, aku membuka mata.
            Aku. Masih. Bernyawa. 
            Tetapi apa yang terhampar di ekor mataku sekarang, cukup mengejutkan. Tepat di tepi leher kiriku adalah sebilah pedang samurai yang sedang menghadang parang. Mata pedang itu cuma beberapa inci jauh daripada mengenaiku. Lututku spontan lemah. Tubuh mula longlai ke bawah, namun satu tangan kekar terlebih dahulu menarik pinggangku. Langsung, aku terdorong ke arah tuan empunya badan dan terhampar dalam satu pelukan erat. Sesaat, aku terkesima.
            Dengan sebelah tangan yang kemas di pinggangku, dia memusing tubuh. Automatik aku terpusing sama, tidak ubah seperti pasangan yang sedang berdansa. Sebelah tangannya yang lain pula ligat melibas pedang, menghadang serangan yang bertubi-tubi datang. Pedang tersebut sekejap ke kiri, sekejap ke kanan. Menahan dan menyerang. Beberapa batang tubuh mulai jatuh bergelimpangan di sekeliling, sudah selamat menjadi mangsa lelaki di sisiku.
            Satu saat, dia menolakku ke tepi sebelum melemparkan tendangan buat seorang lelaki yang hampir-hampir menyerangku dari belakang. Kemudian, aku kembali ditarik ke dalam rangkulan gagahnya. Dalam keadaan bingung, aku menengadah muka. Dari sebalik bayang-bayang cahaya bulan, aku melihat sisi wajah seorang lelaki yang jelas serius. Sepasang matanya merah garang. Hidung mancungnya mendengus-dengus. Bibirnya pula diketap kuat bersama rahang yang turun naik.
            Dia. Sedang. Marah.
            Setelah menjatuhkan lawan yang terakhir, dia melepaskan tubuhku. Kasar sekali caranya. Mujur sahaja aku cepat-cepat mengimbangkan badan. Kalau tidak, pasti sudah tersungkur jatuh. Lambat-lambat aku mendongak. Saat itu juga, air liurku terasa melekat di celah kerongkong. Bulu roma tegak meremang. Dan sekarang, aku sudah tidak pasti sama ada aku telah diselamatkan atau mungkin juga bakal menjadi mangsa.
*****
“TOLONG mak cik, Nailah. Mak cik merayu sangat-sangat. Mak cik dah tak ada sesiapa untuk minta tolong. Kecuali Nailah seorang saja.”
            Wajah terdesak Mak Cik Kasmah kutatap lembut. Kedua-dua matanya sembab. Ada kesan tangisan di pipi. Sesaat, aku mengetap hujung bibir. Nafas berat mulai membelenggu dada. Sungguh aku rasa terpasung. Langsung tidak tahu apa yang perlu dibuat. Bukan aku tidak ingin menghulur bantuan, tetapi apa yang dipohon agak tidak realistik.
            Dia mahu aku ke Jepun! Ke sebuah negara yang tidak pernah aku jejakkan kaki. Bagaimana mungkin aku ke sana seorang diri? Tanpa ada sesiapa, tanpa tahu tempatnya. Ya, aku tahu. Jepun bukanlah negara yang menakutkan, malahan ianya sebuah negara yang sangat menarik. Aku juga sangat meminati negara matahari terbit itu, tetapi pergi ke sana sendirian? Tanpa tahu sama ada aku akan memperoleh apa yang dicari? Aku tidak yakin untuk meletakkan diri dalam risiko begitu.
            Tanpa semena-mena, Mak Cik Kasmah mengambil jari-jermariku dan menggenggamnya erat.
            “Kalau duit yang jadi masalah, Nailah jangan bimbang. Berapa pun kos yang diperlukan, mak cik akan tanggung semuanya.”
            Aku melepaskan keluhan berat. “Bukan soal duit, mak cik. Bukan juga saya tak mahu ke sana. Tapi, saya tak berani pergi seorang diri.”
            “Kenapa pula tak berani? Selama ni memang kamu seorang diri saja, kan?!” Sekonyong-konyong Mak Cik Kasmah meninggikan suara.
            Aku tercengang. Air mukaku berubah. Celah hati ditusuk sembilu. Pedih. Mungkin menyedari reaksiku, Mak Cik Kasmah meraup muka dan memandangku dengan muka bersalah.
            “Maaf. Maafkan mak cik. Mak cik tak berniat nak sakitkan hati Nailah. Tapi…”
            “Tak apalah, mak cik. Saya faham,” sampukku perlahan. Sekuntum senyum kelat aku ukirkan. Namun terasa sangat senget senyum ini. Tidak ikhlas.
            “Tak…tak, Nailah. Mak cik betul-betul minta maaf. Mak cik tak patut cakap macam tu. In fact, mak cik tak patut pun minta Nailah pergi sana. Apa yang mak cik fikirkan? Sesuka hati saja suruh anak dara pergi negara orang. Seorang-seorang. Tak ada siapa pun temankan…”
            Aku merenung tepat kepada Mak Cik Kasmah yang bercakap tidak henti-henti. Laju dan panjang lebar. Siap dengan kedua-dua belah tangan yang tergawang-gawang ke udara. Dengan setiap patah kata yang terluncur keluar, air matanya mengalir di pipi. Kolam mataku turut bergenang. Oh, Tuhan! Kasihan sungguh wanita ini. Kasihan sekali ibu ini.
            “Mak cik…” tegurku lembut.
            “Ya, ya. Mak cik memang tak logik. Dah tak betul gamaknya. Mak cik fikir hanya sebab Badri tu kawan baik Nailah, mak cik ada hak untuk paksa Nailah pergi sana cari dia.”
            Badri. Amirul Badri bin Amran.
            Nama itu bergema di seluruh pelosok telinga. Kalau tidak kerana pemilik nama itu, aku tidak akan berada dalam persimpangan seperti ini, Mak Cik Kasmah tidak akan menangis bagaikan anak kecil dan kami tidak akan terseksa begini.
            ‘Bad, apa yang kau dah buat? Mana kau pergi? Kau tak kasihan ke pada mak kau?!’
            “Mak cik…mak cik minta maaf, ya. Mak cik akan cuba cari jalan lain…” Mak Cik Kasmah menyeka air jernih di pipi dan menarik senyum pahit. Kemudian dia bangkit dari kerusi. Di luar sedar, tangan kananku terangkat sendiri. Lalu, melekat pada lengannya.
            Mak Cik Kasmah menghentikan langkah dan menoleh. Perlahan-lahan, aku memanggung muka. Wajah sayu itu kupandang lirih.
            “Saya…akan pergi, mak cik.”
*****
‘IGNORANCE IS THE BEST POLICY.’
Itulah prinsip hidup aku selama ini. Aku tidak gemar menyerabutkan kepala otak aku dengan manusia-manusia yang tidak penting dalam hidup aku. Contohnya, pada mata-mata yang memandang kasihan...kononnya, mulut yang sibuk mengumpat atau pada orang yang iri hati. Ah, lantak mereka mahu cakap apa-apa pun. Aku tidak peduli kerana mereka tidak layak untuk mendapat perhatianku. Dan aku tidak rela membuang masa memikirkan soal orang yang cuma akan menyakitkan hati. Haters will always hate. Itu fakta. Tiada apa-apa boleh mengubahnya.
Tetapi, bila Badri dan Mak Cik Kasmah yang menjadi persoalannya, aku tidak boleh membutakan mata dan memekakkan telinga. Istilah ‘tidak peduli’ tidak wujud buat mereka. Kerana mereka adalah insan yang terlalu istimewa dan terlalu penting buatku. Mereka berdiri di sisiku, bersama aku saat aku terlempar ke dalam jurang yang paling dalam. Saat aku mula berputus asa kepada sebuah kehidupan.  Mereka ada denganku. Demi aku.
Justeru, di sinilah aku terpacak. Di sebuah bumi asing yang menjatuhkan salji musim sejuk. Di atas tanah yang indah dengan unsur-unsur tradisionalnya. Demi mencari seorang teman yang hilang. Tetapi kini, tanah yang sama ini mungkin menjadi tempat aku menghembuskan nafas terakhir.
            Lelaki di hadapanku tetap seperti tadi. Senyap dan sepi. Namun di sebalik persalinan kimono hitamnya, aura gagah lelaki itu meluap-luap keluar. Mata separuh sepetnya tajam umpama helang. Menembusi kulit dan menusuk terus ke dalam jiwa, lantas membuatkan aku rasa seperti ditelanjangkan bulat-bulat. Segala rahsia diri dihamparkan seluas-luasnya buat tatapan lelaki ini.


            Tidak semena-mena, dia mengangkat kaki satu tapak ke hadapan. Rasa gerun dalam hati naik satu tangga. Aku ingin mengundur ke belakang, tetapi setiap inci tubuhku kaku. Tidak mampu digerakkan langsung.
            Dengan lagak yang tampak sengaja diperlahankan, dia mendekatkan wajah ke mukaku. Sedikit-sedikit, aku menelan air liur. Walaupun kedinginan malam mencucuk hingga ke tulang hitam, renik-renik peluh tetap jua membasahi dahi. Cuak. Takut. Pelbagai rasa berkeladak dalam diri.
            “Shinitai? (Nak mati?)”
            Oh, Tuhan! Bukan matanya sahaja yang mampu menusuk jiwa. Suaranya juga begitu. Sangat dalam, garau dan maskulin. Lantas, soalan yang ditanya berlalu umpama angin. Aku cuma terpaku pada suaranya.
            Hujung bibirnya menyenget tiba-tiba. Rengusan nafas kasar dihembuskan. Dan kemudian…
            “Shinitai?!!!”
            Bahuku terangkat. Tengkingannya umpama halilintar yang membelah bumi. Lutut kembali menggeletar. Sungguh! Lelaki ini lebih menakutkan berbanding manusia-manusia yang sibuk berlawan sesama sendiri tadi.
            Aku masih pegun. Rasa gentar membuatkan aku tidak boleh berbuat apa-apa langsung. Bergerak pun tidak boleh, inikan pula menjawab soalannya.
            “Do you want to die?” Sekonyong-konyong, dia menyoal dalam Bahasa Inggeris. Mungkin dia beranggapan bahawa aku tidak faham soalannya tadi.
            Dalam-dalam, aku menggali nafas. Cuba menenangkan diri yang sememangnya tidak mampu bertenang. Kemudian, dengan suara yang bergetar kuat, aku menyoal, “Are you…going to kill me?”
            Ah, apa jenis soalan yang baru aku tanya? Dalam keadaan begini, bukan itu yang sepatutnya jadi reaksi aku. Nailah Farafisha, kau sepatutnya menjerit minta tolong. Larikan diri  cepat-cepat. Bukannya tercegat macam orang tolol, kemudian tanya sama ada dia mahu bunuh kau ataupun tidak.
            Tanpa diduga, lelaki asing di hadapanku mengulum senyum sinis. Sebelah kening terangkat tinggi.
            “Why? Do you want me to kill you?” Dia menyoal tanpa perasaan, seolah-olah isu bunuh-membunuh ini bukan hal besar.
            “No…no. I don’t mean that.” Laju aku menafikan.
            “Then, what. Do. You. Mean.” Sepatah-sepatah, dia berbicara. Dan dengan setiap patah itu, dia melangkah setapak demi setapak mendekatiku. Setapak demi setapak juga aku berundur ke belakang. Rasa gerun membuak-buak. Di suatu sudut otak, pelbagai kemungkinan sadis mula terbayang-bayang. Dirogol. Dibunuh. Dikerat-kerat. Dibuang.
            Argh!!! Tidak! Aku tidak sanggup!
            Sedang aku berfikir macam-macam, belakangku tiba-tiba terhentak pada sesuatu yang keras. Aku kini elok tersandar pada dinding tembok. Tiada lagi ruang untuk aku berundur. Bahkan, bebola mukaku kini dekat sekali dengan lehernya. Aku menjatuhkan pandangan. Pertama, kerana takutkannya. Kedua, kerana tidak selesa dengan kedudukan kami yang sangat rapat.
            “Young lady…”
            “Ye…yes?” Tersekat-sekat suaraku keluar dari bibir yang bergetar.
            “You’re not answering my question.”
            “Hah?” Aku tersentak. Soalan yang ditanya tadi menjengah ingatan, lantas kelam-kabut aku menjawab. “I...I mean…please don’t kill me.”
            Jeda. Dia menyengap dengan muka yang masih tidak beremosi. Langsung aku tidak mampu untuk menebak apa-apa. Adakah dia akan membunuhku? Atau pun tidak? Dua kemungkinan itu bersilih ganti menujah akal fikiran. Namun yang pasti, jantungku berdegup kencang. Kolam mataku sudah selamat meluahkan isi. Entah sejak bila aku menangis, aku sendiri tidak pasti.
            “Do you really think I would kill you?” Dia bertanya tiba-tiba.
            Sekali aku mengangguk.
            “Why?”
            Aku tercengang sebentar. Soalan jenis apa yang dia tanya? Sudah terang lagi bersuluh sebabnya.
            “Because you…just now…you…you…” Suaraku tersekat-sekat. Menjawab pertanyaan tersebut memerlukan aku mengingati apa yang baru ditonton sebentar tadi. Dan sungguh, aku tidak ingin mengingatinya. Aku tidak mahu!
            Tanpa aku duga, bibirnya menyenget lagi. Sinis sekali senyumannya. Jelas mengejek. Kemudian dia menjarakkan tubuh sedikit dan mengunjukkan tangan ke kiri.
            “You mean…them?”
            Aku mengikut gerak jari telunjuknya. Anak mata membulat sejenak. Tidak jauh dari tempat kami berdiri, kelihatan mangsa-mangsanya yang sedang mengerang di lantai jalan. Beberapa orang yang lain terbaring layu, tetapi dada masing-masing turunnaik perlahan, menandakan mereka masih hidup.
            “I’m not a killer, you know,” ujarnya tegas, lantas membuatkan aku kembali mengalihkan pandangan kepadanya.
            “But you...” Jari telunjuknya melekat ke mukaku. Hampir menyentuh hidung. “You’re such a stupid girl!”
            Aku tersentak. Dibilang bodoh tiba-tiba, siapa yang tidak terkejut?
            “Do you even know where you at? Do you even know who they are?” tanyanya berulang-kali. Nada suara naik satu oktaf dengan setiap satu soalan.
            “No.”
            “Then, why are you here?!”
            Sekali lagi, aku diherdik.
            “At this hour. At this place. If I’m not here, you would’ve died already,” marahnya lagi. Aku jadi kegeraman.
            “I don’t want to be here! I got lost, okay!” Aku mula membidas lantang. Entah apa sudah jadi, berani sahaja aku menengadah dan melawan renungannya.
            Dia tampak tergamam. Suasana hening. Kami saling bersabung tenung. Aku tidak pasti berapa lama kami berkeadaan begini, tetapi masa terasa lambat berputar. Dia masih di hadapanku, dan aku masih di hadapannya. Tanpa semena-mena, setitis salji melekat di rambut hitamnya. Kami sama-sama tersentak dan mendongak ke langit. Di sebalik hitamnya langit, titis-titis salju semakin lebat turun. Aku mengerling sekilas ke arahnya sambil melawan kesejukan yang semakin terasa. Dia turut melirikkan mata kepadaku.
            “Follow me.”
Bicara yang berbaur arahan menjamah hujung telinga.
            “Hah?” Hanya sepatah kata itu yang terbit dari bibir. Ikut dia? Untuk apa? Dia nak buat apa? Dia mahu bawa aku ke mana?”
            Dia tidak memberikan apa-apa reaksi. Sebaliknya dia menggerakkan tangan, seolah-olah memberikan suatu isyarat. Sesaat kemudian, muncul satu susuk tubuh di sebelah kananku.
            “What…what is this? What do you want to do?” soalku, menggelabah.
Pertanyaanku sepi tanpa balasan. Dia menyisipkan pedang ke sisi kirinya dan kemudian berjalan melepasi lawan-lawannya yang sudah tumbang. Kepala tegak dengan muka yang setenang air di tasik.
“Dozo. (Silakan.)”
Jejaka di sisiku bersuara. Lewat ekor mata, aku melihat dia sedang mengunjuk tangan ke hadapan, jelas mahu aku membuntuti. Dengan lafaz bismillah, aku mengangkat kaki. Turut berjalan meninggalkan lorong gelap. Sesekali aku mengelak daripada terpijak tubuh-tubuh yang terdampar.
 Sesaat aku terfikir sesuatu. Lorong ini terlindung kiri kanannya. Jadi bagaimana lelaki ini boleh muncul? Bukankah dia perlu melepasi mereka semua sebelum sampai padaku di hujung lorong? Adakah dia melompat-lompat atas bumbung ala-ala samurai? Atau terbang macam vampire? Dia ni manusia ke tidak?
Ah, aku mula merapu.
            Usai keluar dari lorong, dia menapak ke arah sebuah kereta hitam yang tersadai di tepi jalan. Seorang lelaki yang kukira pemandu menundukkan kepala dan membukakan pintu belakang. Lalu, dia mengambil tempat duduk dengan lagak seorang ketua.
Aku menghentikan langkah. Teragak-agak mahu mengikut atau pun tidak.
“Get in the car.”
Suara garaunya berkumandang lagi. Masih dengan nada memerintah. Bagaikan robot, lelaki di sebelahku sekali lagi mengunjuk tangan ke arah kereta, menjemputku masuk.
            Bibir kugigit sejenak, kemudian aku kembali melabuhkan pandangan ke arah lelaki berkimono hitam yang sedia menanti di dalam kereta. Dia sedang elok bersandar dengan muka yang tegak ke hadapan. Kedua-dua belah tangan pula erat bersilang di dada.
            Gagah dan berkuasa.
            Hanya dua patah kata itu yang cukup sempurna untuk menggambarkan lelaki tersebut. Kerana itu, aku berasa bahawa lebih elok aku mengikut sahaja. Melawan mungkin akan membawa kepada akibat buruk.
             Dalam-dalam, aku menghela nafas dan mengambil satu langkah ke hadapan.
            “I’m not a killer.”
            Bicara itu terngiang-ngiang dalam ingatan.

            ‘Tolong…tolong jangan berbohong,’ doaku dalam hati seraya melangkah setapak demi setapak, menuju ke arah seorang lelaki asing yang muncul entah dari mana. Langsung aku tidak menduga bahawa aku sebenarnya sedang berjalan masuk ke dalam sebuah dunia kucar-kacir yang menjadikan nyawa sebagai pertaruhan. 

~Bersambung...~

14 comments:

  1. Replies
    1. Besssttttt.... l suka cerita yg begini...
      Nk read next Bab la...

      Delete
    2. Besssttttt.... l suka cerita yg begini...
      Nk read next Bab la...

      Delete
  2. best....teringat kembali citer CRT

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kannn? hehe. InsyaAllah, Karn dan Dian akan buat cameo dalam novel ni. =)

      Delete
  3. best dan mendebarkan....nak lagi

    ReplyDelete
  4. Best! Bab pertama je dah mendebarkan. Lain dri yg lain. Akak jemput jenguk blog saya http://sayaafeenashah.blogspot.com/

    ReplyDelete
  5. Wow, starting so best and awesome! Best, suka2!

    ReplyDelete