May 26, 2015

Pembuka Hati (Jodoh itu Milik Kita 2) - Bab 20


BAB 20

“DATUK ADNAN HAJI RAZAK!”
      Terasa bergegar seluruh banglo mewah milik Datuk Adnan di pagi minggu dengan tengkingan lantang milik Daiyan. Matanya meliar pada keadaan ruang tamu yang tampak lebih mewah berbanding kali terakhir dia menjejakkan kaki dahulu. Sekelipan, bibirnya mencebir. Huh, kemewahan atas dasar penderitaan orang lain!
      “Yan…Daiyan…”
      Tergamam Daiyan mendengarkan suara itu. Sesaat, hatinya terasa sebak. Namun ditahan-tahan rasa itu, lalu dengan cukup perlahan dia berpaling. Jelas di matanya wajah separuh umur wanita yang sentiasa bermukim kemas dalam jiwa dan raganya. Masih tetap cantik seperti dahulu, walaupun dengan kedutan di muka.
      “Mummy…”
      “Apa yang kamu buat di sini?!” Tanpa semena-mena, mereka dihentak dengan suatu suara yang cukup keras.
      Daiyan merengus kuat dan menetapkan pandang pada si pemilik suara yang sedang menuruni tangga. Sepantas kilat, hatinya membuak-buak dengan rasa marah. Darah panas menyirap hingga ke otak. Huh, inilah dia…Datuk Adnan, manusia yang berbelas tahun tidak ditemui. Manusia yang masih tetap sama seperti dahulu. Angkuh, bongkak dan mementingkan diri!
Dari belakang Datuk Adnan, menyusul pula seorang jejaka lain. Jejaka yang jelas menampakkan riak wajah serba-salah. Sekali lagi, bibir Daiyan menjuih. Kau tak perlu tayang muka bersalah, sedangkan kau sama saja dengan dia, Fareeq!
      “Pagi-pagi sudah buat kecoh kat sini. Apa yang kamu nak?”
      Tanpa menanti sesaat pun, Daiyan menghampiri Datuk Adnan dan merenung ke dalam kedua-dua matanya. Fareeq di sebelah langsung tidak dipandang, seolah-olah lelaki itu tidak wujud di situ.
      “Apa yang saya nak? Saya nak Datuk jangan ganggu Ara lagi. Jangan cuba libatkan dia dalam apa-apa pun rancangan gila Datuk.”
      “Ara? Kenapa dengan Ara?” Telinga Daiyan menangkap suara Datin Melisa yang jelas tertanya-tanya. Dibiarkan sahaja soalan itu terbang pergi. Jelingan tajam dihadiahkan buat Datuk Adnan sebelum dia memalingkan tubuh, mahu cepat-cepat pergi. Menyakitkan jiwa sahaja terpaksa menghadap wajah itu.
      “Rancangan gila? Apa yang gilanya rancangan tu? Aku nak anak perempuan aku sendiri berkahwin. Apa yang salahnya?!”
      Daiyan memakukan kaki ke lantai. Anak aku? Terasa geli anak tekaknya, terasa mahu muntah dia mendengarkan pengakuan seumpama itu.
      “Anak? Anak perempuan Datuk?” Daiyan menoleh kembalidengan wajah yang cukup sinis. “Agak-agaknya Datuk dah hilang ingatan kut. Bertahun-tahun dahulu, Datuk dah buang satu-satunya anak perempuan Datuk. Jadi Datuk dah tak ada apa-apa pun hak ke atas dia.”
      Di luar jangkaan Daiyan, Datuk Adnan melepaskan tawa. Kedengaran sangat jelik di telinganya. Rasa menyampah, benci dan meluat jadi berlipat ganda dalam diri.
      “Hei, kamu dengar sini. Darah yang ada dalam diri dia tu, adalah darah aku. Selagi aku hidup, selagi itulah aku ada hak ke atas dia. Sama ada dia suka atau pun tidak.” Datuk Adnan merenung tepat ke dalam mata Daiyan, seakan-akan mencabar. Kemudian dia menyambung kata dengan cukup mengjengkelkan. “Dan sekarang, aku akan pastikan dia ikut cakap aku. Dia akan tetap berkahwin.”
      “Datuk ingat saya akan biarkan saja?” Daiyan turut mengangkat bebola mata, mencerlung garang pada muka Datuk Adnan. “Langkah mayat saya dulu sebelum Datuk sentuh adik saya tu!!!”
      “Kahwin? Ara? Apa ni, bang? Kenapa saya tak tahu apa-apa?” Sedang kedua-dua lelaki saling mencabar, suara Datin Melisa bergema di antara mereka.
      Daiyan mendengus kecil dan mengerling sekilas pada ibunya yang nampak kebingungan. Huh, nampaknya Datuk Adnan tidak mengkhabarkan apa-apa pada isteri sendiri.
      “Mummy tanya pada suami kesayangan mummy ni. Apa yang dia cuba buat pada Ara.”
      Usai mengungkapkan kata, Daiyan menarik tangan Datin Melisa, bersalaman dan mengucup lembut. Baginya, mummy tetap perlu dihormati. Sesudah itu, dia mengangkat langkah keluar. Sebal jiwanya berlama-lamaan di rumah ini. Namun,dalam hati…
      ‘Aku bersumpah, Datuk Adnan. Aku takkan biarkan itu terjadi pada Adra. Aku takkan biarkan kau hancurkan dia sekali lagi. Aku takkan biarkan!’
      Ya, itulah azamnya. Itulah sumpahnya!
“Yan! Yan!”
Spontan hujung bibir Daiyan terjuih. Suara yang memanggil-manggil dari belakang tidak diendahkan. Bahkan setiap langkahnya makin dilajukan.
“Daiyan! Tunggu dulu!”
Sekonyong-konyong lengannya direngkuh dan secepat itu juga, dia merentapnya kembali. “Apa kau nak?!”
“Abang…”
“Abang?” Daiyan senyum senget. Geli hati mendengarkan panggilan itu. “Kau dah lupa kut? Abang aku dah lama mati.”
Terserlah raut wajah yang berubah di hadapan matanya. Namun Daiyan tidak mempedulikan, malahan hatinya terasa puas. Ya, biarkan! Biarkan sahaja manusia ini tersinggung, terasa hati atau pun sakit hati. Kerana sesungguhnya kesakitan itu tidak akan menyamai kesakitan yang telah dia lemparkan pada Adra, adik kandungnya sendiri.
“Abang tahu Yan marahkan abang. Tapi…”
“Marah? Untuk apa aku marahkan kau? Ada kau buat salah apa-apa pada aku?” Pedas Daiyan menyindir. Langsung dia tidak memberikan peluang untuk Fareeq membuka bicara.
Tercetus keluhan berat dari mulut Fareeq. Kemudian dia meraup wajah yang penuh kekusutan.
“Berapa lama lagi Yan nak jadi macam ni dengan abang? Yan tahu, kan abang tak ada buat apa-apa…”
“Ya, memang! Memang kau tak ada buat apa-apa. Dan sebab kau tak buat apa-apalah, Ara yang menderita. Sebab kau tak buat apa-apa, Ara tu…” Sekejap, Daiyan menghenti kata. Hatinya sebak tiba-tiba. “Ara hidup macam mayat.”
Wajah kusut Fareeq bertukar keruh. Kolam matanya mulai bertakung. Jelas seribu satu macam perasaan yang berserabut dalam diri.
“Abang…abang tak tahu. Abang tak sangka…”
“Memang kau tak tahu. Kau takkan sangka. Sebab kau tu pengecut!”
Pandangan mata Fareeq jatuh ke bawah. Kepalanya turut menekur, bagaikan mengakui bicara kasar yang baru sahaja menujah masuk ke dalam telinga.
“Kau cuma tahu ikut telunjuk dia bulat-bulat. Kau akan buat apa sahaja yang dia nak kau buat. Walaupun itu bermakna hancurkan Adra sekali lagi.”
Automatik Fareeq mengangkat kembali kepalanya. Jelas dahinya yang berkerut tebal.
“Apa…apa maksud Yan? Apa yang sekali lagi?”
Tanpa semena-mena, Daiyan menghambur tawa. Sinis sekali. “Kau tak tahu? Atau kau buat-buat tak tahu?”
“Apa…apa Yan cakapkan ni? Abang tak faham.” Lagi Fareeq memaparkan wajah kebingungan.
Daiyan menghentikan tawa. Setapak dia menghampiri Fareeq. Sebelah tangannya menepuk bahu abangnya itu. Kemudian dia berbisik halus, “Tanya bapa kesayangan kau tu. Apa yang dia cuba buat pada anak yang sudah pun dia bunuh dua belas tahun lepas.”
Lalu dengan bicara sinis itu, Daiyan kembali membawa langkahnya pergi dan menjauh. Tidak sekali pun dia menoleh lagi pada abang kandungnya yang hanya mampu tercegat lemah.
*****
FOTO-FOTO yang terpampang di skrin komputer ribanya diperhati satu per satu tanpa perasaan. Semuanya tampak sama sahaja. Tidak menarik. Tidak cantik, malahan hodoh segalanya. Padahal itu semua adalah hasil kerjanya sendiri. Wajah-wajah anak kecil yang dititipkan dalam lensa kamera waktu dia ke Acheh dulu kelihatan tidak bernyawa sahaja. Tidak menggambarkan apa yang dia ingin tonjolkan. Senyuman, harapan dan sebuah kehidupan.
      ‘Ah, apa yang kau merepek ni, Syafiq? Bukan gambar ni yang bermasalah, tapi kau!’ kutuk Syafiq pada diri sendiri. Nafas berat dihela dan dilepaskan, kemudian dia meraup wajah. Sesak sungguh jiwanya dengan perasaan yang berkecamuk. Habis semua kerjanya jadi tergendala, sedangkan beberapa hari sahaja lagi tiba masa untuk dia menghantar gambar yang diambil untuk majalah LIFE, sebuah majalah antarabangsa yang beribu pejabat di Bangkok.
      Apa yang telah berlaku antara dia dan Adra semalam benar-benar meninggalkan impak yang sangat besar ke dalam dirinya. Dia jadi bercelaru, jadi bingung. Kalau tidak, masakan sebaik sahaja dia membuka mata pagi tadi, perkara pertama yang terlintas dalam akal fikirannya adalah peristiwa semalam. Dia ingin sekali untuk memohon maaf kepada Adra, tetapi mahukah gadis itu menemuinya setelah apa yang telah dia lakukan? Setelah dipaksa membuat pengakuan yang sebegitu peribadi? Mahukah Adra memaafkannya? Memikirkan sikap keras Adra, Syafiq yakin semuanya tidak akan jadi semudah ABC.
       “Eh, kau tak payah banyak fikirlah. Kalau nak pergi minta maaf tu, pergi ajelah!” Setelah menimbang tara dan berbolak-balik buat seketika, Syafiq akhirnya membuat keputusan. Andai kata dia dimarahi oleh Adra, dia sudah tidak peduli lagi. Yang penting, dia wajib mengungkapkan kata maaf. Kalau tidak, sampai bila-bila pun, dia akan jadi tidak ketahuan begini.
      Syafiq bangkit dari kerusi dan mengambil kunci kereta. Dalam hati dia berharap agar Adra berada di rumah, kerana itu adalah satu-satunya tempat untuk dia mencari Adra. Dia tidak mempunyai nombor telefon gadis itu. Dia juga tidak tahu di mana letaknya studio Adra. Galeri Core Design yang terletak di Subang Jaya tempoh hari cuma digunakan untuk pameran sahaja. Itupun sudah tamat beberapa hari yang lepas.
      “Eh, Fiq nak ke mana tu?” Usai meloloskan diri dari pintu bilik, suara Puan Marina menyinggah telinga.
      “Fiq keluar jumpa kawan, jap.”
      Terkebil-kebil Puan Marina memerhatikan anak teruna yang semakin menghilang. Wajahnya berkerut penuh keanehan.
      ‘Kawan lagi. Orang yang sama ke? Apa yang dah jadi sebenarnya ni?’
*****
BUNTANG mata Adra menyaksikan wajah yang kini tertera di hadapannya. Serta-merta hatinya terasa mendidih.
      “Apa kau buat kat sini? Apa yang kau tak puas hati lagi?” Tanpa menunggu lama, Adra menyerang.
“Saya…saya…” Tersekat-sekat suara Syafiq. Serba-salah dalam menitip kata. Wajah menyinga Adra membuatkan dia jadi makin tidak tentu arah. Terasa sangat bersalah, tetapi pada masa yang sama dia berasa agak bingung untuk bertindak apa. Kata-kata maaf yang ingin diluah pula bagaikan tersekat di celah kerongkong.
      “Saya apa?!” herdik Adra. Geram sungguh dia dengan tingkah Syafiq yang tergugup-gagap. Kalau nak cakap apa-apa tu, cakap ajelah! Tak payah bazirkan masa aku.
      Sedikit tersirap darah Syafiq. Terasa tercabar bila diherdik begitu. Mujur sekali tiada sesiapa di sekeliling mereka sekarang. Tiada juga rakan serumah Adra yang melihat. Kalau tidak, menjatuhkan air muka dia sahaja.
      ‘Sabar, Syafiq…sabar. Kau ke sini untuk minta maaf. Jangan melenting.’ Berkali-kali Syafiq memujuk diri sendiri. Takut juga dia kalau-kalau dia turut sama meletup. Barannya jangan cuba dicucuk, teruk jadinya nanti.
      “Saya datang untuk minta maaf.” Akhirnya berjaya juga Syafiq melunaskan niatnya.
      Adra terdiam buat seketika. Agak terkejut dengan pengakuan Syafiq. Sangkanya, lelaki seego dan selantang Syafiq tidak mungkin akan menurunkan harga diri dan memohon maaf begitu.
      “Awak dengar tak ni?”
      “Maaf?” Bibir Adra menyenget penuh sinis. “Untuk apa? Ada kau buat apa-apa untuk aku maafkan kau?”
      Syafiq mendengus kecil. Sindiran Adra sedikit sebanyak membuatkan dia jadi kegeraman. Nampaknya memang benar tekaannya tadi. Takkan mudah untuk mendapatkan kemaafan daripada Adra.
      “Tak ada, kan? Kau cuma…let’s see ,apa yan gkau dah buat?” Adra menggaru bawah dagu, menayangkan riak berfikir. “Oh, kau cuma hina aku. Yeah, kau hina aku. Apa kau cakap? Aku ni perempuan jenis macam mana?”
      Terketap bibir Syafiq. Dalam hati, berkali-kali dia beristighfar dan memohon agar diberikan kesabaran dalam melayan karenah Adra yang tidak habis-habis memerli.
      “Sebab tulah, saya datang sini untuk minta maaf.” Syafiq bersuara dengan lembut, cuba untuk berkompromi.
      “Dan kau ingat, dengan minta maaf kau tu…semuanya akan jadi okey? Kau tak pernah hina aku. Kau tak pernah tanya soalan bodoh tu pada aku. Kau tak pernah mengata hubungan aku dengan dua lelaki tu. Semuanya akan jadi macam tu? Hah?”
      “Ya, saya tahu. Saya tak boleh ubah hakikat yang saya dah buat semua tu pada awak. Tapi sekurang-kurangnya, saya cuba untuk minta maaf, kan? Saya tak berniat langsung untuk hina awak. Dan saya tak tahu yang….” Kata-kata Syafiq termati tiba-tiba. Tidak patut rasanya dia menyentuh hal itu lagi.
      “Kenapa berhenti? Cakap sajalah! Yang lelaki tu adalah perogol aku,” sambung Adra dengan kasar. Wajahnya dipanggung tinggi pada Syafiq, mencabar lelaki itu.
      Syafiq melarikan pandangan matanya dan kemudian meraup wajah. Kesabaran yang semakin menipis cuba dipertahankan. Dia tidak boleh meletup!
      “Tak nak cakap dah? Atau kau nak aku yang ulang lagi? Okey, boleh! Dia tu…”
      “Sudah, Adra! Stop it! Awak tak perlu sindir-sindir saya lagi. Tak payah ulang balik semua tu!” Syafiq akhirnya gagal dalam mempertahankan kesabaran dalam diri. Meletus tengkingan buat Adra. Mendengar gadis itu mengulang-ngulang tentang hal tersebut, membuatkan dia jadi cukup berang. Tambahan pula, dengan setiap patah kata Adra, wajah mengjengkelkan lelaki jahanam itu turut terbayang di hadapan mata. Tersenyum dengan riak pongah dan angkuh.
      “Kenapa tak boleh? Memang itu hakikatnya, kan?!” balas Adra, juga lantang. Langsung dia tidak terjejas dengan kemarahan Syafiq. Malahan, dia jadi lebih mahu memprovokasi. Biar Syafiq sakit hati, sepertimana dia sakit hati.
      “Hakikat yang awak tak patut dengan sesenang itu saja bagitahu pada orang lain!”
      “Kenapa tak patut? Sebab aku sepatutnya rasa malu? Macam tu? Aku sepatutnya rasa diri aku ni hina sangat, kotor sangat, jijik sangat! Itu maksud kau, kan?!”
      Syafiq terkemap. Tidak! Bukan itu maksudnya, teriak Syafiq dalam diam.
      “Yeah, memang! Kau betul. Aku ni…” Adra menepuk dada dengan cukup kasar. “Memang hina. Memang jijik. Memang kotor. Sebab tulah, aku dah tak peduli lagi. Aku dah tak ada perasaan malu untuk aku jaga. Aku dah tak ada maruah untuk aku simpan. Aku dah tak ada apa-apa!”
      Pegun Syafiq di tempatnya berdiri. Hanya matanya yang tetap setia menatap Adra yang semakin beremosi. Tercungap-cungap gadis itu meluahkan kata-kata. Wajahnya merah padam. Menahan marah, mungkin. Menahan rasa sedih, juga mungkin. Entahlah, Syafiq juga tidak mampu untuk menebak apa yang kini bermain-main dalam diri seorang Nur Adra.
“Ara…” Sepatah kata tercetus keluar dari mulut Syafiq, berbaur rasa serba-salah dan buntu yang bertimpa-timpa. Bukan ini yang dia mahu daripada pertemuan ini. Bukan ketegangan sebegini. Dia cuma mahu memohon maaf. Itu sahaja. Jadi, kenapa sampai begini jadinya?
“Adra, saya tak bermaksud…”
      “Adra?” Sekonyong-konyong Adra ketawa besar.
Syafiq mengerutkan dahi.
      “Right, Adra. Nur Adra. Itulah nama aku.” Adra merenung Syafiq dengan mata yang tajam memanah. “Nama yang sangat aku benci!”
      “Kenapa?” Laju Syafiq menyoal.
      “Kenapa, kau tanya? Because it’s just too irony.”
      “Saya tak faham.”
      “Tak faham? Atau buat-buat tak faham?” sinis Adra.
      “Apa…”
      “Oh, aku tahu!” Adra menyampuk. “Kau tak tahu maksud dia, kan? Untuk pengetahuan kau, Tuan Syafiq Tuan Haikal, Adra bermakna…” Nafas dihela panjang. “Perawan. Virgin.”
      Sepasang mata Syafiq semakin membulat. Mindanya mula dapat meneka apa yang cuba disampaikan oleh Adra.
      “So, yeah! Nur Adra.” Jari jemarinya dituding pada diri sendiri, dari atas ke bawah. “Cahaya perawan. Cantik kan maksud nama tu?”
Syafiq terkemap. Patutlah selama ini, Adra cukup pantang bila dipanggil ‘Adra’. Namanya sendiri bagaikan memerli dan menghina apa yang telah terjadi padanya. Ironi. Cukup ironi.
Bibir Adra terherot cukup sinikal sebelum dia menyambung lagi. “Tak sesuai langsung untuk manusia sekotor aku, kan?”
      Syafiq diam mendengarkan sindiran pedas Adra. Kali ini hatinya tidak lagi dihentak rasa geram, sebaliknya dia jadi sayu sekali. Adra pasti sangat sakit, setiap kali dipanggil dengan namanya sendiri. Nama yang selalu mengingatkan dia tentangapa yang telah berlaku.
      ‘Ara, awak betul-betul menderita, kan?’ Sedetik suara hati Syafiq menyoal cukup luluh. Entahlah, melihat Adra begitu, dia juga terasa pedihnya. Dia jadi ingin sekali untuk menghilangkan keperitan dalam jiwa Adra. Sungguh! Buat pertama kali dalam hidupnya, dia terasa ingin menjadi seorang pelindung. Oh, Tuhan! Kenapa aku berperasaan begini?
      “Kenapa kau senyap? Dah tak ada apa-apa nak cakap dah? Kalau macam tu, bolehlah kau berambus sekarang.” Kasar Adra berkata-kata sebelum berpaling. Seperti selalu, dia memaparkan wajah tidak berperasaan. Namun langkahnya terhenti kala pergelangan tangannya terasa ditaut kemas. Serta-merta Adra merengus kasar dan menoleh kembali.
“Kau….” Bibir Adra terkatup sebelum sempat bersuara lanjut. Sepasang mata Syafiq kelihatan berlainan. Bagaikan menyimpan suatu rasa yang dia sendiri tidak mampu untuk meneka. Dan seketika kemudian, telinga Adra mula disapa butir bicara yang membuatkan jantungnya seperti jatuh ke tanah.
            “Saya rasa…saya sukakan awak.”

~Bersambung di versi cetak...~

1 comment: