May 25, 2015

Pembuka Hati (Jodoh itu Milik Kita 2) - Bab 19


BAB 19

“ARGHH!!!”
      Adra menggenggam stereng kereta sambil menahan tangisannya yang hampir-hampir terlerai. Merasakan tidak cukup, dia kemudiannya menghentak-hentak dadanya dengan tangan yang dikepal kemas. Bibirnya diketap kuat-kuat. Seluruh wajahnya tegang dalam usaha mengekang air mata sendiri. Tidak! Dia tidak akan menangis atas apa yang sudah berlaku tadi. Tidak!
Masih terbayang-bayang lagi adegan pertemuannya dengan Datuk Adnan. Setelah berbelas tahun, ayahnya datang menemuinya hanya demi satu tujuan. Untuk dia menerima rasa tanggungjawab Nizam. Atau dalam erti kata lain…berkahwin dengan lelaki itu! Kerana pertemuan petang tadi, barulah dia benar-benar mengerti akan maksud Nizam tempoh hari. Huh, berani lelaki itu mahu memaksanya berkahwin? Berani lelaki itu mempergunakan ayahnya dalam melunaskan apa yang dia mahu? Dan berani Datuk Adnan menerima semua rancangan gila itu?!
Walaupun dia tidak menunjukkan secara berdepan, tetapi hanya Allah sahaja yang tahu betapa dia terkejut dan kecewa dengan tindakan bapanya. Ya, dia sedar Datuk Adnan sanggup berbuat apa sahaja demi memperoleh apa yang dihajati. Malah, Adra telah pun menjadi saksi kepada semua itu. Tetapi, tidak cukupkah sekali Datuk Adnan membunuhnya? Berapa kali lagi dia harus dibunuh, baru lelaki itu mahu berpuas hati?Apa dosanya pada ayah kandungnya sendiri? Apa dosanya?!
Kerana dia bukan lagi Adra yang diagung-agungkan dahulu? Dia bukan lagi Adra yang cantik, yang manis, yang bijak, yang mendengar kata? Dia bukan lagi anak perempuan kesayangan yang sempurna segala serbi? Sebab itukah?!
“Daddy…” cetus bibir Adra dengan cukup pilu. Dia akhirnya kalah dengan emosi perit yang berkeladak tebal dalam dirinya. Setitis demi setitis air matanya turun menodai pipi.
“Tak cukup lagi ke apa yang daddy dah buat pada Ara dulu? Daddy nak seksa Ara macam mana lagi? Daddy tahu, kan dia tu siapa? Jadi, kenapa…kenapa daddy…”
Kejam! Semuanya kejam sekali. Dipaksa bernikah dengan perogol sendiri tidak ubah seperti dijatuhkan hukuman penjara sampai mati. Ya, apa lagi yang lebih kejam daripada terpaksa menghadap wajah manusia yang bertanggungjawab menjahanamkan hidupnya? Terpaksa mengingati kejadian hitam itu setiap kali memandang lelaki tersebut? Dan yang lagi penting, terpaksa mengabdikan diri pada jantan keparat itu atas dasar tanggungjawab seorang isteri?
Tidak tahukah Datuk Adnan bahawa itu adalah sangat kejam buat seorang mangsa seperti dirinya? Itu tidak ubah seperti dia yang dihukum sedangkan dia adalah mangsa. Ya Allah, sungguh dia tidak menduga bahawa hingga ke tahap itu rasa pentingkan diri yang ada dalam diri Datuk Adnan, ayahnya sendiri. Ayah yang sepatutnya melindungi dirinya, bukan melempar dia ke dalam tangan manusia seperti Nizam.
“Kenapa, daddy? Kenapa daddy kejam sangat pada Ara? Kenapa…” rintih Adra tanpa henti. Air matanya bercucuran turun tanpa langsung dipedulikan. Ya, dia terlalu letih hatta untuk menyekanya sekali pun. Dia sudah tidak larat! Segala kudratnya bagaikan disedut keluar dek keputusan kejam ayah sendiri.
      ‘Ah, sudahlah Adra! Untuk apa kau menangis demi ayah yang macam tu?! Dia tak peduli pasal kau dan takkan peduli! Dia dah buang kau jauh-jauh!’ Satu suara mengherdik kuat dalam diri Adra lantas menyebabkan dia tersentak, bagaikan tersedar daripada lena yang panjang.
      “Ya, aku…aku tak boleh menangis demi orang macam tu. Tak boleh!” Cepat-cepat Adra mengesat air mata pada wajahnya yang lencun. Nafasnya dihela dan dilepas beberapa kali, mahu menenangkan jantung yang sedari tadi tercungap-cungap dengan rasa hiba.
Kemudian perlahan-lahan, Adra mengatup mata, mahu mengutip kekuatan yang mungkin terselit di mana-mana. Sekonyong-konyong muncul pula adegan dia bersama Syafiq. Dia yang selamba sahaja membuka cerita tentang dirinya sendiri. Lambat-lambat, Adra membuka kembali matanya. Pandangan kosong ditebarkan ke hadapan dan dengan wajah tanpa emosi, Adra bersuara.
“Puas hati kau sekarang? Mesti puas, kan?”
Bibir Adra menyenget sinis. Sungguh, dia sudah tidak peduli lagi. Biarkan sahaja dia membaling kisahnya ke muka Syafiq. Itu yang Syafiq nak sangat, kan? Jadi, ya. Itu yang dia dah dapat!
      Malu? Benar, dia malu atas kisah ini. Tetapi kalau ini yang perlu dia buat untuk tutup terus mulut celupar manusia bernama Syafiq, dia rela. Dia tegar. Lagipun, maruah apa lagi yang tinggal untuk dia jaga? Rasa malu apa lagi yang tersisa untuk dia lindungi? Tidak ada, bukan? Semuanya sudah hancur musnah dua belas tahun yang lalu.
*****
SYAFIQ membanting tubuh ke atas katil dan meraup wajah berkali-kali. Telinganya tidak henti-henti berdengung dengan bicara Adra. Rasa terkejut, menyesal dan bersalah bercampur baur dalam diri. Dia terkejut dengan pengakuan Adra. Dia menyesal dan rasa bersalah dengan tindakan melulunya yang mendesak Adra. Kenapa kau begitu penyibuk, Syafiq? Sudahlah cara menyoal kau tu seolah-olah Adra adalah perempuan jalang, perempuan tidak elok.
      “Awak ni…perempuan jenis apa sebenarnya? Hari tu, lelaki lain. Hari ni…lelaki lain pula.”
      Ya Allah! Cabul sungguh mulut dia. Sanggup dia mengatakan demikian pada seorang perempuan yang sebenarnya dia langsung tidak kenal? Sanggup dia melukai seorang wanita dengan kata-kata membunuh dia? Lebih-lebih lagi, wanita yang telah direnggut maruahnya. Kenapa dia begitu kejam? Inikah dia Syafiq yang cuba berubah ke arah kebaikan? Tidak! Ini Syafiq yang jauh lebih dahsyat daripada Syafiq yang dahulu.
      “Argh!!” Syafiq mengambil bantal, menekup muka dan menjerit sekuat hati. Dia ingin sekali kalau dengan setiap jeritan itu, hatinya akan kembali tenang dan dia bisa membuang rasa bersalah ini jauh-jauh. Tetapi…berangan sahaja dia! Mana mungkin dia dapat membuang itu semua begitu sahaja? Kau fikir apa yang kau dah buat pada Adra boleh dibiarkan sahaja, Syafiq? Tidak! Tidak sama sekali!
      Syafiq melarikan bantal dari wajah dan merenung siling.
      ‘She was…raped.’ Sedetik hati kecilnya bersuara. Wajah selamba Adra waktu menuturkannya kembali bermain-main di hadapan mata. Syafiq yakin Adra tidak lebih sekadar berlakon di atas pentas sendiri. Wajah bersahaja itu hanyalah topeng semata-mata. Kalau tidak, masakan matanya menggambarkan kedukaan yang terlampau. Dan sesungguhnya, sepasang mata tidak akan pernah mampu berbohong.
      Di suatu sudut hatinya, Syafiq berharap bahawa setiap patah kata Adra itu hanyalah pembohongan semata-mata. Adra sengaja menipu demi menyakitkan hatinya. Adra berbohong untuk membuat dia rasa bersalah. Ya, Adra cuma berbohong! Namun Syafiq sedar, tiada secalit pun pembohongan dalam kata-kata Adra. Mana mungkin seorang gadis yang punya mata sesedih itu berbohong padanya.
“Dia dah rogol aku waktu aku cuma…Hmm, let’s see…yeah, tujuh belas tahun.”
      “Yup, ayah kandung aku. Ayah yang sekarang nak aku kahwin dengan perogol aku sendiri.”
      Tersirap darah panas ke muka Syafiq. Entah kenapa, hatinya menggelegak kuat dengan rasa marah. Membayangkan Adra menjadi mangsa kepada jantan jahanam itu, dan kemudian dipaksa pula mengahwininya membuatkan Syafiq benar-benar menyinga. Melampau! Mereka benar-benar melampau. Berani mereka memperlakukan Adra sebegitu rupa? Syaitan jenis apa mereka ini?!
      “Berani kau sentuh dia? Dan kemudian berani kau paksa dia kahwin dengan kau? Ah, kau memang bangsat!” Syafiq berdesis penuh kegarangan. Matanya mencerun tajam, seolah-olah sedang membayangkan wajah lelaki yang sudah menjahanamkan Adra. Kalau diikutkan hatinya saat ini, mahu sahaja dia menyiat-nyiat lelaki itu. Biarkan jantan tak guna itu rasa dan jilat kembali setiap kesakitan yang sudah pun dia palitkan pada Adra.
      “Jangan, Syafiq! Lepaskan saya!!!”
“Jahanam kau, Syafiq!!!”
      Tanpa semena-mena, suatu jeritan lain menyinggah telinga. Syafiq tersentap kuat. Jantungnya terasa berhenti berdegup. Peristiwa petang itu bagaikan terbentang luas di hadapannya. Tidak ubah seperti menonton wayang di pawagam, di mana dia adalah pemegang watak antagonis paling jahat dan kejam.
      Perlahan-lahan bibir Syafiq tergerak sendiri, membentuk suatu senyuman yang cukup sinis. “Huh, yang kau nak marah sangat ni kenapa? Apa bezanya kau dengan dia orang, Syafiq? Tak ada beza. Kau sama saja…”
Syafiq mengangkat lengan ke muka, menutupi sebahagiannya. Kedua-dua belah matanya dikatup rapat. Dalam kegelapan malam, jelas mutiara jernih yang menuruni birai mata milik Tuan Syafiq Tuan Haikal. Air mata penyesalan, kemarahan dan kebencian buat diri sendiri.
*****
“DAIYAN!”
      Terkejut besar Adra melihatkan lelaki yang tercegat di hadapan pagar rumahnya. Tanpa menunggu lama, dia meloloskan diri dari kereta dan bergegas mendapatkan lelaki tersebut. Dalam sekelip mata sahaja, dia merangkul kemas tubuh tegap Daiyan, bagaikan tidak akan dilepaskan pergi.
      “Eh, rindu sangat kat Yan ke apa ni?” Suara Daiyan berbaur gurauan seraya melonggarkan pelukannya. Namun saat pandangan matanya melekat tepat pada wajah Adra, dia jadi tergamam. Ada sesuatu yang lain tentang Adra. Wajahnya seakan-akan sembab, kesan menangis. Sepasang mata gadis kesayangannya ini suram dan kelam…tidak ubah seperti dua belas tahun yang lalu. Oh, Tuhan! Apa yang sudah berlaku?
      “Hei, kenapa ni? Apa yang dah jadi pada Ara?”
      Cepat-cepat Adra menggelengkan kepala dan cuba tersenyum, walhal dia sedar pasti pincang sekali senyuman itu. Dia tidak ingin Daiyan kerisauan. Pasti Daiyan kepenatan setelah melalui perjalanan pulang yang jauh.
      “Bila…bila Yan balik? How’s Paris? Ada apa-apa buah tangan untuk Ara, tak?” Sambil cuba mengelak daripada melihat wajah lelaki itu, Adra menyoal tanpa henti.
      Daiyan tidak mempedulikan soalan bertubi-tubi Adra, sebaliknya dengan penuh ketegasan dia mendesak. “Ara, Yan tanya ni. Apa dah jadi?”
      “Mana ada jadi apa-apa.” Lagi Adra berdalih. Riak ambil berat yang terpampang jelas di wajah Daiyan mula meruntun jiwa. Inilah dia, satu-satunya manusia yang sentiasa menyayangi dan berada di sisinya.
      “Bohong!” Sedikit kuat suara Daiyan, menggambarkan ketidaksabaran hati. “Ara takkan jadi macam ni kalau tak ada apa-apa yang jadi. Muka tu. Sembab semacam. Ara ingat Yan buta?!”
      Mendengarkan suara Daiyan yang amat risaukannya, tembok kekerasan Adra semakin retak. Sedaya upaya dia cuba bertahan. Sungguh, dia tidak mahu Daiyan bimbangkannya. Lelaki ini sudah terlalu banyak berkorban demi dirinya. Lagipun, Adra yakin jika Daiyan tahu akan hal yang sebenar, pasti dia tidak akan berdiam diri. Entah-entah, meletus perang dunia keempat di antara Daiyan dan Datuk Adnan.
      Mengingatkan lelaki bernama Datuk Adnan itu, hati Adra kembali meluap-luap. Jika ada anak yang terlalu bencikan ayahnya di dunia ini, maka dialah orang itu.
      “Nur Adra Adnan!”
      “Jangan sebut nama tu!!!” Di luar kesedaran, Adra menjerkah.
      Daiyan tersentak. Bulat matanya memandang Adra yang kini menengadah padanya.
      “Jangan sebut nama lelaki tu depan Ara.”
      Terkelip-kelip Daiyan bersabung mata dengan sepasang mata Adra yang berdesis marah. Akan tetapi, jelas kedukaan yang cuba ditahan-tahan oleh gadis tersebut. Perlahan-lahan Daiyan mengepal kedua-dua tangannya. Wajahnya mula berubah tegang. Rahangnya terketap-ketap penuh amarah dan kebencian.
      “It’s him, right? It’s him.”
~Bersambung...~

No comments:

Post a Comment