May 15, 2015

Pembuka Hati (Jodoh itu Milik Kita 2) - Bab 15


BAB 15

BERHEMPAS-PULAS Adra cuba menggerakkan tubuh. Dia cuba menarik tangan kanannya, kemudian tangan kiri. Kemudian bahu. Gagal! Semuanya gagal sama sekali. Seluruh tubuhnya tetap kejung, bagaikan terpasung pada suatu entiti ghaib yang mencengkamnya kuat. Matanya pula menjojol pada wajah sinis yang semakin merapati dan merapati, sebelum berbisik dengan cukup sinis.
      “Kau ni memang nak kena, kan? Nampaknya dua belas tahun yang lepas tak cukup untuk kau.”
      “Arghhh!!!”
      Terbelahak mata Syafiq menyaksikan Adra yang tiba-tiba sahaja menempik dan terbangkit daripada lena. Hampir-hampir sahaja dia terlompat bangun daripada duduk. Terasa gugur jantungnya sesaat. Apa tidaknya, tadi elok-elok sahaja dia sedang membelek-belek majalah, boleh pula dikejutkan dengan teriakan yang sebegitu rupa. Bagai disergah hantu. Tambahan pula, jam sudah pun menunjukkan pukul 12.45 pagi. Dengan lampu hospital yang malap dan suasana yang sunyi sekali, semua itu memang mencukupkan syarat untuk dia berasa terkejut benar.
      “A…awak…” Takut-takut Syafiq cuba menegur Adra yang kelihatan menekur di atas katil. Kepalanya tunduk ke bawah bersama rambut yang menutupi kedua-dua belah sisi muka. Belakangnya pula turun naik dengan laju menandakan desah nafas yang sedang ditarik dan dihembus dengan ganas. Syafiq menelan air liur yang terasa kelat.
      ‘Bismillahirahmanirrahim…’ Ragu-ragu Syafiq meletakkan telapak tangan ke atas bahu Adra, dan sepantas itu juga Adra menjerit.
      “Arghhh!!”
      Tanpa berfikir apa-apa, laju sahaja Syafiq menekup mulut Adra. Tidak mahu sesiapa pun terjaga dan tidak mahu juga dia disalahertikan. Dia…lelaki. Adra…perempuan. Bila seorang perempuan menjerit begitu dalam kehadiran seorang lelaki, kemungkinan untuk orang lain berfikir yang bukan-bukan sangatlah tinggi.
      Terkelip-kelip mata Syafiq merenung sepasang mata Adra yang membulat memandangnya, dari sebalik separuh muka yang tertutup. Keadaan mereka yang rapat sekali mula membuatkan jantung Syafiq tersimpang dari degupan biasa. Berdegup-degap bagaikan melodi yang mencipta suatu muzik yang sangat indah. Suasana terasa hening dan senyap sekali, seakan-akan membawa mereka ke suatu dunia di mana penginapnya hanyalah mereka berdua. Ya, hanya Syafiq dan Adra.
      ‘Eh, sekejap! Apa yang aku melalut ni?!’ tempelak Syafiq setelah menyedari fikirannya yang semakin terpesong jauh. Jantung yang semacam sahaja tadi cuba ditenangkan. Kau  ni dah kenapa, Syafiq?
      Cepat-cepat Syafiq melepaskan tangan, lantas membiarkan Adra menghelas nafas sedalam-dalamnya. Melihat wajah Adra yang merah padam, timbul rasa kasihan dalam dirinya. Aduh, dia pun satu…buat sesuatu itu, tidak pernah mahu difikirkan akibatnya. Mujur sahaja Adra tidak mati kesesakan nafas.
      “Kau nak bunuh aku ke apa?!” Dan-dan, Syafiq ditengking.
      Terkulat-kulat Syafiq menerima tengkingan itu. Amboi, dia ini! Tidak ada angin…tidak ada ribut, mahu menyerangnya pula.
      “Excuse me, kalau saya nak bunuh awak…tak adanya saya menyusahkan diri sendiri angkut awak ke sini. Lebih baik saya tinggalkan awak mereput saja kat atas lantai tu.” Kasar juga Syafiq menjawab.
      Adra tersentap. Perlahan-lahan dia mengalihkan kepala ke kiri dan kanannya. Matanya membuntang sedikit demi sedikit. Hospital! Apa yang dia buat di sini?
      “Dah? Dah puas tengok sekeliling? In case awak tak kenal, ini adalah hospital. Tempat orang sakit dan awak sekarang kat hospital.”
      Jelingan tajam dihadiahkan pada Syafiq yang selamba sahaja menyindir. Kemudian Adra mengerutkan dahi, cuba mengingati apa yang sebenarnya telah terjadi.
      “Awak pengsan dalam bilik tu.”
      Bagaikan dapat membaca fikirannya, Syafiq berbicara. Sekali lagi, Adra mengerling ke sisi. Mahu menunjukkan reaksi tidak suka dengan sikap penyibuk Syafiq yang sesuka hati sahaja mahu menjelaskan keadaan.
      Tanpa mempedulikan riak Adra, Syafiq menyambung lagi dengan cukup bersahaja. “Ada seorang lelaki ganggu awak, and then saya datang…which lepas tu awak marahkan saya. Apa yang tak kena dengan awak, saya tak tahulah, kan? Awak masuk ke dalam satu bilik ni, lepas tu…”
      “Eh, ada aku suruh kau explain pada aku? Kau ingat aku dah hilang ingatan?” cantas Adra, disusuli dengan perlian tajam.
      Syafiq menjongket bahu. “Well, who knows. Mungkin awak hilang ingatan, atau mungkin juga awak dah jadi tak betul. Sebab itu awak boleh menjerit-jerit malam-malam buta macam ni.”
      Terlopong mulut Adra. Geram sungguh dia pada manusia yang seorang ini. Rasanya inilah kali pertama dia menemui lelaki yang memiliki lidah sepedas Syafiq. Sesenang rasa saja menitipkan bicara, menyindir tak habis-habis. Eh, tak faham aku! Apa masalah dia ni sebenarnya? Dan tadi…apa dia bilang?
      ‘Aku menjerit-jerit?’ Serta-merta mimpi yang menghimpitnya tadi kembali berlegar dalam akal fikiran. Dia yang terikat seluruh tubuh oleh suatu kuasa yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar, dia yang terdesak untuk membebaskan diri dan…wajah itu. Wajah dan suara Nizam yang bagaikan menyedut jiwanya. Tanpa dapat dihalang, seluruh tubuh Adra mula menggeletar. Cepat-cepat Adra mengepal kedua-dua tangan, cuba mengekang kegentaran itu daripada jelas kelihatan di hadapan Syafiq.
      Syafiq mengetap bibir. Terasa diri agak melampau dalam berkata-kata. Entahlah, saat berdepan dengan Adra, dia bagaikan tidak dapat mengawal diri. Hatinya selalu sahaja panas. Tetapi yang anehnya, pada masa yang sama dia tidak mampu membiarkan Adra sendiri.
      “Saya…”
      “Aku menjerit apa tadi?”
      Baru sahaja Syafiq mahu meminta maaf, Adra terlebih dahulu menyampuk. Kali ini suaranya tidak lagi membentak-bentak, sebaliknya perlahan sahaja. Syafiq menetapkan pandang pada gadis itu yang tiba-tiba sahaja kelihatan berlainan. Di mata Syafiq, Adra kelihatan ketakutan. Ya, perilaku Adra kini betul-betul sama dengan waktu di sidang media petang tadi.
      “Tak ada apa-apa. Cuma menjerit saja.” Syafiq menjawab dengan rasa pelik di dalam hati.
      Adra melepaskan nafas lega. Sekurang-kurangnya, tak adalah dia terlepas bicara apa-apa. Sungguh, dia tidak mahu Syafiq mengetahui apa-apa tentangnya.
      “Nightmare?” Entah kenapa, laju sahaja Syafiq menyoal. Jika tadi, dia merasakan bahawa Adra tenang dalam lena, nampaknya dia terpaksa menarik kembali kata-kata itu. Walau dalam tidur sekali pun, Adra tidak bebas daripada keluh kesah. Ya Tuhan, apa yang sebenarnya pernah terjadi kepadanya? Sedetik, Syafiq tertanya-tanya.
      “Kalau ya pun, kau peduli apa?”
      Syafiq mencemik. Huh, buang masa aku sahaja mahu berkata baik dengan dia ini! Mulut tu tak reti langsung nak cakap elok-elok.
      “Oh, Cik dah sedar?” Suatu suara tiba-tiba berkumandang. Serentak Syafiq dan Adra menoleh pada seorang jururawat yang tiba-tiba muncul. “Encik boleh ke tepi sekejap tak? Saya nak check patient.”
      Tanpa berlengah, Syafiq akur dan mengikut sahaja permintaan jururawat tersebut. Dari sebalik tirai katil yang ditarik, sedikit demi sedikit wajah keras Adra menghilang dan terus lenyap, lalu meninggalkan Syafiq tercegat di situ.    
*****
“AWAK JANGAN DEGIL, boleh tak?!”
      Berombak nafas Syafiq menahan rasa geram pada perempuan yang terpacak keras di hadapannya. Aduh, kalau begini gayanya…memang mencanak naik tekanan darahnya. Daripada awal pertemuan mereka sehinggalah ke saat ini, itulah yang dirasakannya. Geram!
      “Kau tu yang jangan paksa aku, boleh tak? Berapa kali aku nak kena ulang yang aku tak nak balik dengan kau?”
      “Habis tu, awak nak balik dengan apa? Teksi? Pukul dua pagi macam ni?”
      Adra terkemap sejenak. Teksi pada waktu sebegini? Dia tidak berani. Tidak! Dia bukan penakut. Tetapi dia tidak percayakan pemandu-pemandu teksi yang ada. Dia tidak mahu apa yang pernah berlaku padanya berulang lagi. Mahu meminta tolong pada Nuha? Tidak tegar dia membiarkan Nuha keluar pada waktu begini demi mengambilnya. Soraya? Huh, lagilah tidak mungkin! Minah yang seorang itu sudah pun selamat bercuti di Cordoba.
      “Suka hati akulah nak balik dengan apa pun. Kau jangan menyibuk!” Akhirnya tercetus jua bangkangan dari mulut Adra. Masih mempertahankan ego.
      “Eh, kalau ikutkan hati saya ni, memang saya tak ingin pun untuk menyibuk, tapi awak tu…” Syafiq terdiam buat seketika demi mengambil nafas. “Saya yang hantar ke hospital. Dan saya kena pastikan awak selamat balik ke rumah.”
      “Ada aku suruh kau buat macam tu? Pastikan aku selamat ke rumah?” Lagi Adra membentak. Kecil besar, kecil besar sahaja Syafiq di hadapan matanya saat ini. Kalau sudah dibilang tidak mahu mengikut, apa yang susah sangat mahu faham? Nak suruh dia bercakap dalam bahasa Uganda baru nak mengerti?
      “Oh, memang tak ada. Tapi saya ni manusia yang ada kesedaran sivik, bukan macam sesetengah orang tu…” Sesaat Syafiq menyindir dengan jelingan mata yang tajam buat Adra.“So, dah jadi tanggungjawab saya untuk pastikan orang yang saya hantar ke hospital tu selamat. Saya tak nak dipersalahkan kalau jadi apa-apa pada orang tu dalam perjalanan dia pulang.”
      Adra menyengap buat seketika, sebelum sedikit demi sedikit bibirnya menyenget sinis. Perlahan-lahan dia mendekati Syafiq dan mendongakkan kepala, mahu merenung ke dalam mata Syafiq yang lebih tinggi.
      “Kau…memang suka berlagak baik, kan?”
      Berderau darah panas ke muka Syafiq. Sindiran Adra yang siap dengan air muka menjengkelkan membuatkan hatinya tambah membuak-buak marah. Kesabaran yang sememangnya tidak tebal mana pun dalam diri semakin melenyap. 
“Seolah-olah kau nilah manusia yang paling mulia dalam dunia ni. Tapi aku yakin kau bukan macam ni.”
Terketap-ketap rahang Syafiq, cuba menenangkan diri. Ingat, Syafiq…kau bukan macam dulu. Kau bukan lagi Syafiq yang mudah terkesan dengan provokasi begitu. Kau tak boleh hilang arah!
Adra tersenyum puas dalam hati. Gembira kerana dapat membuatkan ketenangan Syafiq goyah. Ya, dia memang betul-betul benci akan ketenangan yang dimilikioleh lelaki ini. Sebuah ketenangan yang bagaikan memerli hatinya sendiri yang tidak pernah tenteram.
“Kau nak tahu kenapa? Sebab memang manusia baik dah tak wujud. Dalam hati kau tu…” Kali ini Adra menujah dada Syafiq dengan kasar. “Mesti ada sikit rasa jahat, kan?”
Syafiq diam tidak berkutik. Hanya matanya yang berdesis garang melawan renungan Adra yang jelas mencabar. Wajahnya tegang dan serius tanpa emosi. Kemudian tanpa sepatah bicara, dia menapak ke hadapan. Mendekatkan diri pada Adra. Tidak sekalipun matanya lepas daripada meratah wajah Adra.
“Apa kau…” Dengan setiap langkah Syafiq, selangkah itu juga Adra mengundur ke belakang hingga akhirnya dia tersandar pada sisi kereta milik lelaki itu.
Masih lagi dengan lagak bersahaja tanpa perasaan, Syafiq menundukkan kepalanya hingga terletak betul-betul di sebelah telinga Adra.
“Bukan sikit,” bisik Syafiq dengan suara yang cukup mendatar.
“Huh?” Hanya sepatah itu sahaja yang termampu keluar dari mulut Adra. Ketakutan mulai menular ke dalam dirinya. Tambahan pula dengan keadaan sekeliling yang gelap dan tiada orang di sini. Kejadian petang jahanam itu mula terbayang-bayang dalam ingatan, lantas membawa jantungnya berdegup kencang. Seriau!
“For your information, istilah baik tak pernah ada dalam kamus hidup aku. So, yeah…bukan sikit rasa jahat yang ada dalam hati ni.” Syafiq berdesis antara dengar tidak dengar, masih dengan suara senadanya. Penggunaan ‘saya’ selama ini juga bertukar menjadi ‘aku’.
Mata Adra mula membuntang. Lagi kejadian petang itu bermain-main di hadapan matanya. Dia cuba berlagak selamba, namun setiap inci tubuhnya memberikan reaksi yang bertentangan. Semuanya menggeletar. Dapat dia rasakan betapa pucatnya dia saat ini. Terasa darahnya bagaikan disedut keluar tanpa meninggalkan setitik pun.
‘Stop it, Adra! Kau jangan takut lagi!!!’ teriak Adra dalam diam.
“Jadi, jangan sesekali cuba cabar kesabaran aku.” Usai Syafiq menyudahkan kata, dia kembali menjarakkan diri. Anak matanya dialihkan pula pada wajah Adra. Saat itu juga, dia tergamam.
Jelas di hadapannya, riak muka pucat lesi Adra. Sepasang matanya bertakung dengan air mata. Titik-titik peluh membasahi dahi. Kedua-dua belah tangannya dikepal kuat, bersama desah nafas yang berombak laju. Bibir birunya pula jelas terketar-ketar. Ya Tuhan, Adra ketakutan!
Semerta rasa bersalah menusuk masuk ke dalam hati Syafiq. Tidak! Dia langsung tidak bermaksud untuk menakutkan Adra sedemikian rupa. Dia cuma tidak mampu membendung perasaan amarahnya. Bila digasak begitu, dia jadi geram. Dia jadi baran. Apatah lagi, Adra selamba sahaja menyindir dan menyentuh isu kejahatan yang ada bermastautin dalam dirinya. Ya, dia sedar bahawa dia tidak baik, dia jahat tetapi tahukah Adra bahawa dia cuba memperbaiki dirinya? Dia mahu melenyapkan Syafiq yang dahulu. Yang hidup bertunjangkan kebencian dan dendam. Yang hidup demi memastikan kehancuran orang lain.
“Ara…” Syafiq cuba menyeru. Naik risau pula melihatkan keadaan Adra. Sudahlah gadis itu baru sahaja keluar hospital, ditakutkan pula oleh dirinya.
Suara Syafiq menyentak Adra lantas mengheretnya kembali dari ingatan hitamnya. Nafasnya dihela panjang, cuba menghalau rasa gentar itu pergi. Adra, boleh tak kau jangan tunjuk lembik sangat depan dia ini?! Lambat-lambat Adra mengangkat anak matanya ke arah Syafiq yang jelas serba salah.
“Kau…ugut aku ke tadi?”
“Huh?” Berkerut dahi Syafiq dengan rasa tidak mengerti. Keadaan Adra tadi melenyapkan terus ingatannya tentang kata-kata kasarnya tadi.
“Kau ingat aku akan takut dengan ugutan kau tu?”
Mendengarkan bait bicara Adra yang keras di sebalik wajah pucatnya, Syafiq jadi geli hati tiba-tiba. Tidak padan dengan muka ketakutan, masih mahu berkasar. Serius, permainan apa yang sedang dimainkan oleh perempuan pelik ini?
“Well…” Syafiq memeluk tubuh dan melirikkan mata pada Adra dari atas ke bawah. Sebelah kening diangkat tinggi. “Obviously, awak nampak takut.”
      Tersentap kuat Adra dengan jawapan Syafiq yang jelas mahu menyindir.
      “Jadi, apa kata awak jangan main tarik tali lagi? Ikut saja saya dan saya akan hantar awak balik,” sambung Syafiq lagi. Bukan niatnya untuk mengambil kesempatan atas rasa takut Adra bagi memaksa gadis itu mengikutnya tetapi sudah jelas lagi bersuluh adegan pujuk memujuk tidak sesuai untuk seorang wanita bernama Nur Adra. Tahap degil dan egonya terlampau tinggi dan sukar ditembusi.
      “Kau…” getus bibir Adra.
      Syafiq berjalan melepasi Adra dan membuka pintu penumpang. “Masuk. Now.”
      Jelingan tajam dihadiahkan Adra buat Syafiq. Huh, kau ingat aku akan ikut arahan kau tu? Jangan harap! Entah mana kau akan bawa aku pergi. Aku lebih rela tidur di hospital daripada perjudikan nasib aku di tangan kau. Huh, lelaki…semuanya sama. Pasti akan mengambil kesempatan.
      “Oh, don’t worry. Saya takkan apa-apakan awak. You’re not even my taste.” Bagaikan dapat menebak fikiran Adra, Syafiq bersuara.
      Adra merengus kasar, penuh kegeraman. Tanpa kata, dia memalingkan tubuh. Malas mahu melayan karenah Syafiq. Kakinya diangkat menuju ke dalam hospital. Ya, malam ini biar sahaja dia bermalam di ruang menunggu hospital. Dia lebih rela begitu. Dia tidak mahu pulang bersama Syafiq dan tidak mahu juga pulang dengan teksi.
      “Aish, degil!” gerutu Syafiq sebelum berlari anak ke arah Adra dan menghadang laluannya.
      “Apa yang kau nak, hah?!” tengking Adra.
      Syafiq mengangkat kedua-dua belah tangan ke atas. “Okey, okey. Awak tak payah tengking bagai. Macam nilah…” Rambutnya diraup ke belakang, mahu memikirkan solusi bagi permasalahan mereka sekarang.
      “Apa?”
      “Awak tak nak balik dengan saya. I get it.” Syafiq akhirnya mengalah. Letih mahu berlawan ego dengan Adra. Lagipun dia sudah cukup mengantuk untuk berlama-lamaan di sini. “Tapi saya tetap tak boleh biarkan awak balik sendiri.”
      Adra mencemik kecil. Tak habis-habis mahu menunjukkan sikap malaikat dia itu!
      “Aku…”
      “Dan jangan harap saya akan biarkan awak tidur kat hospital, kat kawasan waiting area macam tu.” Baru sahaja Adra mahu mengatakan bahawa dia akan bermalam di hospital, Syafiq terlebih dahulu menyampuk. “In case awak hilang ingatan lagi sekali, biar saya bagitahu yang awak tu…tak sihat, belum baik lagi. Awak patut rehat di rumah. Bukannnya di waiting area yang sejuk membeku macam tu sekali.”
      Terkelip-kelip mata Adra cuba mencerna bait bicara Syafiq. “Kau nak cakap apa sebenarnya ni?”
*****
MELALUI cermin sisi, Adra menjeling ke belakang. Dari kejauhan dia dapat melihat kereta Syafiq yang setia mengekori teksi yang dinaikinya.
      “Awak balik dengan teksi. Saya akan ikut dari belakang. Awak suka atau pun tidak, saya akan tetap pastikan orang yang saya hantar ke hospital tu benar-benar selamat pulang.”
      Kerana tidak mahu terus-terusan memanjangkan cerita, Adra akhirnya bersetuju. Sekurang-kurangnya dia lepas daripada Syafiq tetapi pada masa yang sama, dia berasa selamat kerana tidak sendirian dihantar pulang oleh pemandu teksi.
      ‘Selamat?’ Tanpa semena-mena, suatu suara di kepalanya menyoal.
      Adra menarik senyum sinis. Itulah perkataan yang sangat asing dalam hidupnya. Satu-satunya manusia yang mampu memberikan rasa selamat padanya adalah tidak lain dan tidak bukan, Daiyan. Tetapi kini Daiyan berada di Paris atas urusan kerja. Ya, menjadi seorang pâtissier menuntut lelaki tersebut untuk selalu ke sana. Namun kini, lelaki asing yang ditemui dua tahun lalu itu bagaikan memberi rasa yang sama.
Syafiq. Tuan Syafiq Tuan Haikal.
      ‘Ah, apa yang kau mengarut ni, Adra? Dia ugut kau tadi. Kau ingat tak?!’ jerkah Adra pada diri sendiri. Berkali-kali dia mengingatkan dirinya tentang perbuatan Syafiq. Namun dia sedar bahawa di suatu sudut, hatinya berkata yang lain. Dia…lelaki yang buat kau hilang kawalan. Dia…lelaki yang telah melihat air mata kau. Dia…lelaki yang sudah menyaksikan kelemahan kau.
        “Dia…lelaki yang mampu membaca kau, Nur Adra Adnan.”


~Bersambung...~

3 comments: