May 13, 2015

Pembuka Hati (Jodoh itu Milik Kita 2) - Bab 13 & 14


BAB 13

“AWAK tak apa-apa ke?”
      Syafiq mencangkung di sisi gadis yang terjelepuk di hadapannya. Baru sahaja dia mahu menyentuh bahu, tangannya terlebih dahulu ditepis.
      “Kau tak payah sibuk-sibuk dengan hal aku.”
      Tersungging senyum sinis di bibir Syafiq. Kalau diikutkan hati, memang dia tidak ingin sibuk-sibuk di sini, dan menyusahkan diri sendiri menengok-nengok perempuan yang memang jelas tidak mahu dijaga. Tetapi, dia bukanlah berhati batu mahu membiarkan sahaja seorang perempuan yang tampak pucat dan lemah. Ya, dia sendiri bukanlah baik sangat orangnya tetapi…argh! Dia memang tak boleh biarkan perempuan yang bernama Nur Adra ini.
      “Untuk pengetahuan awak, saya memang tak mahu sibuk-sibuk dengan hal awak. Tak hingin pun! Tapi what do you expect from me? Dah terpampang depan mata saya, lelaki tu cuba buat sesuatu tadi dan awak pun…” Syafiq mengangkat anak matanya ke atas bawah Adra. “Nampak teruk sangat ni. Jadi apa yang patut saya buat? Tell me!”
“Kau nak tahu apa yang kau boleh buat? Kau tak nampak pintu kat sana tu? Kau boleh keluar.”
      Syafiq menjeling ke arah pintu galeri yang sebenarnya tidak kelihatan pun dari sebalik dinding. Huh, nampak sangat dirinya dihalau.
“Okay, fine! As you wish.” Bingkas Syafiq bangkit dan menapak pergi. Namun baru sahaja beberapa langkah, dia memakukan kembali kakinya ke lantai. Kedua-dua belah tangan dikepal dan kemudian dia mengeluh kuat. Aish!
Tanpa menunggu lama, Syafiq memusing kembali tubuhnya. Pandangannya melekat pada Adra yang terkial-kial bangun dari duduknya. Wajah pucat tidak berdarah terserlah di sebalik ketenangan yang cuba dibuat-buat. Dia ini memang tak reti-reti ke untuk berhenti berlakon? Apalah yang dia dapat dengan berbuat begitu? Budget kuat sangat!
Dengan gaya membentak-bentak, Syafiq mendekati Adra dan memegang lengannya.
“Awak tak payah banyak songeh. Just let me help you,” tekan Syafiq saat perasan tingkah gadis itu yang baru mahu membuka mulut. “Oh, don’t worry. Saya tak kira kita terhutang budi ke apa ke. Kita tetap kosong-kosong.” Sempat Syafiq menyindir di hujung bicara.
“Aku boleh jalan sendirilah. Tak payah pegang-pegang!” bentak Adra sambil merentap lengannya.
Semerta Syafiq melepaskan tangannya dan membiarkan sahaja Adra terhuyung-hayang cuba mencapai tombol pintu yang berdekatan. Eh, dia ni memanglah! Degil sungguh!
Tanpa berlengah, Syafiq membukakan pintu tersebut. Sempat dia menangkap jelingan tajam gadis itu saat meloloskan diri ke dalam, menghempap daun pintu betul-betul di hadapan mukanya dan lantas meninggalkan dia terpaku di situ. Seketika Syafiq terkebil-kebil sahaja, tidak tahu apa yang harus dilakukan. Patutkah dia berlalu pergi atau kembali pada Adra yang belum tentu lagi keadaannya? Aduh, yang aku risau sangat pasal dia ini, kenapa?
Setelah beberapa minit berbolak-balik begitu, akhirnya Syafiq mengangkat tangan dan memegang tombol pintu tersebut.
‘Kau memang dah gila, Syafiq!’ kutuk Syafiq pada diri sendiri. Tetapi entahlah, dia tidak mampu untuk membawa dirinya pergi dan membiarkan sahaja Adra sendirian setelah apa yag berlaku.
Sedikit demi sedikit dia menolak daun pintu. Sebelah kaki diangkat masuk sebelum dia akhirnya berdiri elok di dalam sebuah bilik sederhana kecil. Bilik untuk Adra menyiapkan apa-apa sebelum pameran mungkin. Atau mungkin sahaja sekadar stor untuk menempatkan lukisan sebelum digantung dan selepas diturunkan. Sepasang mata Syafiq mula meliar pada sekeliling bilik sebelum tiba-tiba…
“Ya Allah! Adra!!!”
*****
“SO, macam mana tadi? Apa dia cakap?”
      Pertanyaan yang menerpa telinga hanya dibalas dengan rengusan kasar. Hatinya berkempul-kempul dengan amarah. Masih terasa betapa berdesingnya telinga dia saat bait bicara perempuan itu terpantul keluar.
      “Aku akan pastikan kau menderita sebelum kau mampus.”
      ‘Huh! Apa yang kau boleh buat, Adra? Kau tu bukan sesiapa pun. Hanya seorang perempuan lembik yang keluarga sendiri pun tak hingin. Ada hati mahu mencabar Chairul Nizam Tan Sri Naufal!’
      “Young man, do you hear me? I’m talking to you.”
      Nizam mengerling ke arah lelaki separuh umur yang sedang memeluk tubuh sambil merenungnya. Tegak berdiri di hadapan muka pintu bilik. Seperti selalu, ayahnya menayangkan wajah serius, berkarisma dan mungkin juga…tidak berperasaan.
      “Papa…”
      “So, macam mana dengan hal itu?” Tanpa menyapa anaknya, Tan Sri Naufal terus sahaja menebak dengan persoalan yang tidak henti-henti bermain dalam akal fikirannya. Kakinya diangkat masuk ke dalam bilik tidur anaknya.
      Terlepas keluhan dari mulut Nizam. “Dia tak mahu terima.”
      “What?!” Buntang mata Tan Sri Naufal. “Is she crazy? Perempuan jenis apa dia tu? Atau…” Matanya dicerlung penuh syak wasangka. “Zam tersilap cara? Apa yang kamu dah cakap pada dia?”
      “Macam yang kita planlah, pa. Zam bagitahu dia yang Zam akan bertanggungjawab atas apa yang dah terjadi.”
      ‘Walaupun aku tak hingin langsung! Untuk apa bertanggungjawab atas benda kecil macam tu? Eh, kat luar sana tu…berlambak perempuan yang nakkan aku! Adra tu…sepatutnya gembira sebab aku pernah pandang dia…’ sambung Nizam dalam hati dengan cukup sebal. Iya, kalau tidak kerana rancangan gila ayahnya, tidak kemaruk untuk dia pulang dari Los Angeles dan pergi menghadap perempuan itu. Yang lagi teruk, dia dipaksa untuk bertanggungjawab? Eh, kalau dia mahu…dia sudah pun berbuat begitu dua belas tahun yang lalu!
      “Kamu explain pada dia, tak? About the whole marriage thing?” desak Tan Sri Naufal. Kali ini dia sudah pun melabuhkan punggung dia ats sofa, menghadap anak lelaki tunggalnya.
      “Tak sempat pun,” jawab Nizam endah tak endah.
      “Apa?”
      “Baru aje Zam buka mulut, dia dah mengamuk. So manalah Zam sempat explain lebih lanjut. Dia tu, untuk pengetahuan papa…” Nizam menengadah pada ayahnya. “Tengok muka Zam pun tak ingin, takkanlah dia nak dengar lebih-lebih daripada mulut Zam.”
      Tan Sri Naufal mengunjukkan telapak tangan pada muka Nizam, memberikan isyarat ‘aku tak peduli’.
      “Itu papa tak mahu ambil tahu. Pasal hal antara kau orang berdua tu, kamu selesaikan sendiri. Apa yang papa nak adalah…deal lima ratus juta ringgit tu jadi hak milik kita. Itu saja.”
      Nizam merengus dalam diam. Senang sungguh papa bercakap. Yang kena buat semua kerja, aku juga!
      “Fine, pa. You don’t have to worry about anything. Zam akan pastikan dia ikut cakap Zam dan kita akan dapat deal tu.” Akhirnya Nizam memutuskan, mengutarakan bicara yang dirasakan dapat memuaskan hati ayahnya.
      “Make sure you do.” Tan Sri Naufal bangkit dan menepuk bahu anaknya. Kemudian dia lenyap di sebalik daun pintu.
      “Hmm.” Nizam mengatup matanya perlahan-lahan. Nafasnya ditarik dalam-dalam sambil otaknya berputar ligat memikirkan apa yang patut dilakukan, langkah apa yang perlu diambil bagi memastikan perempuan itu menerima sahaja rancangan mereka. Iya, dia mahu melihat Adra tersungkur di kakinya. Huh, berani sangat melawan aku, kan?!
*****
DENGAN rasa teragak-agak Syafiq membuka zip beg sandang milik Adra yang sempat dirembat tadi dan menarik keluar telefon bimbit milik gadis itu. Bukan dia berniat jahat, tetapi dia mahu mencari siapa-siapa yang patut dihubungi. Jarinya ligat menekan-nekan skrin sesentuh.
      “Oh, great! Password pula dah,” keluh Syafiq saat kotak kecil yang meminta kata kunci terpapar di depan mata.
“Habis tu aku nak buat apa ni? Nak contact siapa? Takkanlah nak biarkan dia sendiri saja kat sini? Mesti family dia bimbang, kan?” omel Syafiq lagi. Berkerut dahinya memikirkan kemungkinan-kemungkinan itu. Terbayang-bayang di matanya seorang ibu yang risaukan anak gadisnya. Pasti sahaja ibu Adra akan berkeadaan begitu, kerana kalau dia berada di tempat Adra, dia yakin umi pasti akan bertindak sama. Mengingati ibunya, hati Syafiq terasa sangat hangat. Bibirnya mengulum senyum tanpa sedar.
      “Encik…”
      Suara yang menyeru pantas menyentak Syafiq lalu melenyapkan lamunannya tentang umi. Syafiq bangkit dan bergegas mendapatkan doktor yang telah merawat Adra.
“So, macam mana keadaan dia, doc?”
      “She’s fine. Cuma exhausted and dehydrated. Dia perlukan IV drip. Selepas tiga jam rehat, kamu boleh bawa dia pulang.”
      Tercetus nafas lega dari kerongkong Syafiq.
      “Tapi…”
      “Tapi apa?” Laju sahaja Syafiq menyoal kala melihat wajah doktor tersebut yang berkerut semacam.
      “I see that her emotion is not that stable. Boleh saya tahu, apa yang dah terjadi?”
      Tanpa semena-mena kejadian sebentar tadi menjengah kotak memori Syafiq. Adra yang dikasari oleh seorang lelaki, Adra yang berlagak tiada apa-apa jadi dan Adra…yang terbaring lemah di lantai dalam keadaan tidak sedarkan diri. Masih terasa jantungnya yang bagaikan tergolek keluar kala melihat tubuh kaku Adra. Terkejut. Sangat terkejut.
      Dan selepas itu apa yang terjadi adalah dia yang bergegas mencempung dan kelam-kabut menghantar gadis itu ke hospital. Sedar-sedar sahaja, dia sudah pun terpacak di sini, berhadapan dengan doktor begini. Semuanya seolah-olah berlaku di luar kesedaran. Tubuhnya spontan sahaja bertindak tanpa sempat akalnya memikirkan apa-apa.
      “I…I’m not very sure. Saya cuma terjumpa dia pengsan. Itu sahaja.” Tenang Syafiq menuturkan jawapan yang dirasakan paling selamat. Lagipun, memang dia tidak tahu apa-apa tentang apa yang sebenarnya telah berlaku. Juga, dia tiada hak untuk membuat apa-apa spekulasi.
      “Okay, then. Jangan tinggalkan dia sendiri. Itu saja pesan saya,” tutur doktor tersebut sebelum berlalu pergi, membiarkan Syafiq terkulat-kulat sendiri.
‘Jangan tinggalkan dia? Maksudnya aku yang kena tunggu dia?’ Syafiq tertanya-tanya. Telefon bimbit Adra yang masih terpegang dalam tangan dikerling sekilas. Isy, password ni menyusahkan betul!
Setelah beberapa minit menimbang tara, Syafiq akhirnya melepaskan nafas perlahan.
“Sah, kau memang dah tak betul.” Sempat Syafiq mengata diri sendiri sebelum melangkah masuk ke dalam wad.
*****
“FIQ balik lambat sikit. Fiq okey, umi. Tak ada apa-apa jadi. It’s just that, ada kawan Fiq masuk hospital. Oh, dia…” Ekor mata Syafiq melirik ke arah Adra yang terbaring di atas katil. “Tak apa-apa rasanya. Kena rest sikit. Ya, Fiq akan jaga diri. Assalamualaikum.”
      Syafiq menutup telefon bimbitnya dan menapak ke arah katil yang kini menempatkan Adra.
      “Hmm, sejak bila pula kita ni berkawan? Dan…apalah yang aku buat kat sini?” Dalam tertanya-tanya, tangan Syafiq selamba sahaja menarik kerusi di sisi katil dan melabuhkan punggung. Tepat matanya menatapi wajah lena Adra. Kemudian pandangannya dilarikan pada rambut separa bahu gadis itu. Jika difikirkan, inilah kali pertama dia melihat mahkota kepala Adra, aurat yang selama ini terlindung rapi di bawah tudungnya.
      Setelah beberapa minit menelek-nelek begitu, Syafiq kembali menetapkan mata pada wajah Adra. Gadis itu kelihatan enak tidur. Dadanya turun naik dengan teratur. Nafasnya beralun lembut. Sekelipan, Syafiq mula terfikir. Mungkinkah satu-satunya saat Adra kelihatan tenang adalah ketika dia sedang tidur? Ya, benar. Mereka cuma baru beberapa kali bertemu tetapi pertemuan yang sedikit itu sudah cukup untuk memberikan gambaran kepada Syafiq tentang betapa perengusnya Adra. Gadis yang seorang ini tidak serupa gadis-gadis atau mana-mana wanita yang pernah ditemuinya. Air mukanya sentiasa kelat dan dia selalu sahaja berkeluh-kesah seakan-akan seluruh masalah yang ada di dunia ini terbeban ke atas bahunya.
      “Can you see me?”
      Sekonyong-konyong tajuk lukisan yang ditelitinya tadi berdengung di suatu sudut telinga. Masih jelas dalam ingatannya setiap inci rupa lukisan tersebut. Dan mata itu…ya, mata itu!
Lunak Syafiq merenung Adra. “It’s you, right? Pemilik mata tu.”
      Sungguh, dia yakin benar bahawa sepasang mata yang berdarah itu adalah mata milik Nur Adra. Mata yang seolah-olah memanggilnya dan Syafiq sedar bahawa kini, dia sudah tidak boleh lari lagi. Dia sudah terpasung kemas. Walaupun dia ingin dan dia mahu melepaskan diri daripada gadis tersebut, namun di suatu sudut hatinya dia tahu…takdir mereka sudah pun berselirat sejak dua tahun yang lalu.

*****
BAB 14

“KENAPA dengan Syafiq?”
      Puan Marina menoleh ke arah suaminya yang baru sahaja menapak masuk ke dalam bilik. “Entahlah, bang. Katanya ada kawan masuk hospital. Ina risaulah. Entah dah makan ke belum tu.”
      “Ina ni…nak risau apanya? Tahulah Syafiq jaga diri dia sendiri. Budak tu kan dah besar panjang. Dah tiga puluh dua tahun dah pun. Dah boleh jadi bapa budak,” gumam Tuan Haikal sambil menanggalkan songkok di kepala dan meletakkannya di atas almari.
      Terlepas gelak kecil dari mulut Puan Marina. “Yalah, kan bang? Kalau diikutkan umur tu, memang dah layak jadi bapa orang. Tapi…” Tiba-tiba wajahnya bertukar keruh.
      “Tapi, apa?” tanya Tuan Haikal seraya menjatuhkan duduk di sebelah isterinya, di beranda mahu sama-sama menikmati angin malam.
      “Lepas apa yang dah terjadi, dia macam…dah tak peduli pasal hal kahwin ni.”
      Tuan Haikal membulatkan mata. “Hah, jangan pula Ina nak jodohkan dia dengan sesiapa lagi.”
      “Isy, abang ni.” Puan Marina memuncungkan mulut. Geram pula bila ditegur begitu. “Bukan itu maksud Ina. Ina cuma harap sangat yang Syafiq akan jumpa jodohnya sendiri. Ina nak juga tengok dia bahagia macam abang dia, macam Aariz dan Dahlia tu.”
      Hangat hati Puan Marina tika membicarakan soal Aariz dan Dahlia. Anak dan menantu yang sangat disayangi. Perkahwinan yang terjalin atas sebab dirinya yang sakit, lebih kurang lima tahun yang lepas membuahkan hasil percintaan yang sangat utuh. Benarlah kata orang, pernikahan yang disulami restu orang tua dan keredhaan Allah Taala, pasti akan membawa kepada kebahagiaan. Tambahan pula, Dahlia telah bermati-matian cuba mempertahankan ikatan suci tersebut hinggalah dapat membuka dan merawat hati Aariz yang penuh dengan luka dan parut yang dalam.
      Namun, kala teringatkan Syafiq pula, hati Puan Marina dipagut rasa sayu. Apa yang telah berlaku pada Syafiq, sedikit sebanyak berpunca daripada dia dan suaminya. Dalam menjaga dan melindungi Aariz Danial, mereka tanpa sedar telah melukakan hati seorang lagi anak mereka, Syafiq. Natijahnya, hati yang terluka itu telah menukar Syafiq menjadi seorang lelaki yang penuh dengan kebencian dan dendam. Benci pada abang sendiri yang dianggap tidak ubah seperti perampas semata-mata.
Mujur sekali, kini dia telah berubah. Akan tetapi, Syafiq tetap bersendiri, tanpa mahu punya seorang wanita dalam hidupnya. Seorang wanita yang bergelar isteri. Seorang wanita yang bakal melengkapkan hidupnya sebagai seorang lelaki.
      “Hmm, tipulah kalau abang cakap yang abang tak nak Syafiq bahagia macam Aariz. Tapi, Ina…kita kena sedar. Semua itu adalah ketentuan Allah. Mungkin saja belum tiba masanya, atau mungkin juga Syafiq sendiri yang belum cukup bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang suami. Kita tak tahu, kan?” Tenang sekali bicara Tuan Haikal. Dalam berhadapan emosi isterinya, dia yang perlu bertindak sebagai penenang dan mengawal keadaan.
      “Mungkin betul cakap abang tu. Apa yang boleh kita buat cuma mendoakan dia, kan?” Puan Marina menyetujui tutur kata suaminya. Dia sedar untuk apa tertanya-tanya akan sebuah takdir yang telah tertulis buat Syafiq. Itu semua bukan kerja manusia seperti mereka. Sesungguhnya Qada’ dan Qadar itu adalah kerja Yang Maha Kuasa dan Dia yang mengetahui segala sesuatu. Lagipun, cukuplah sekali dia cuba bermain dengan ketentuan jodoh. Saat dia beriya-iya menjodohkan Syafiq dengan Dahlia, ternyata Allah telah menitipkan di Loh Mahfuz bahawa jodoh Dahlia adalah Aariz Danial. Dan Aariz Danial adalah pemilik tulang rusuk Dahlia Darius.
      “Betul tu. Kita doakan Allah buka pintu hati Syafiq dan temukan dia dengan sebaik-baik wanita yang sememangnya jodoh dia. Lebih-lebih lagi Ina.”
      Puan Marina berpaling ke arah suaminya. Jelas kerutan yang terbentang di atas dahi. “Kenapa dengan Ina?”
      Tersimpul senyum kecil di bibir Tuan Haikal. “Ina kan ibu dia. Doa seorang ibu ini lebih makbul, lebih dekat dengan Allah.”
      “Tapi itu tak bermakna abang tak boleh doakan dia juga, kan?” balas Puan Marina, separuh mengusik.
      Tuan Haikal tergelak halus. “Mestilah abang doakan juga. Abang sentiasa doakan untuk semua orang dalam keluarga ni. Untuk Ina, untuk Aariz, Dahlia, Syafiq…semuanya.”
      Lebar senyuman Puan Marina. “Terima kasih, bang.”
      “Terima kasih apanya, Puan Marina oi? Itu kan memang tanggungjawab abang sebagai ketua keluarga.”
      Puan Marina hanya mendiamkan diri. Dalam hati, dia memanjatkan kesyukuran kerana dikurniakan seorang suami yang cukup menyayanginya. Tuan Haikal, suaminya tidak pernah berhenti menyokong dan menjadi tulang belakang dalam perjuangannya melawan kanser perut sehinggalah dia sembuh. Suaminya juga senantiasa tenang dalam melayan karenahnya yang bermacam-macam. Jika ada kata-kata yang berupa ‘Di belakang setiap lelaki yang berjaya, pasti ada seorang wanita’, bagi Puan Marina pula…di belakang seorang wanita, ada juga seorang lelaki. Bukankah lelaki dan wanita itu saling melengkapi antara satu sama lain?
*****
DARINA yang sudah lena di dalam katil bayi diselimuti penuh hati-hati. Tidak sesaat pun Dahlia melarikan pandang daripada wajah comel anak bongsunya. Sungguh dia menyayangi anak-anaknya, melebihi nyawanya sendiri. Namun, entahlah…mengingati apa yang telah berlaku sejak tahun-tahun kebelakangan ini, Dahlia jadi runsing. Dia jadi sebak. Lebih-lebih lagi, kala menatap wajah Darina. Hatinya akan jadi berserabut dengan bermacam-macam perasaan. Dan sungguh, dia sudah tidak mampu bertahan lagi. Dia harus menamatkan semua ini!
            “Assalamualaikum…”
Cepat-cepat Dahlia menukar air mukanya. Tidak mahu Aariz yang tiba-tiba tersembul dari sebalik muka pintu, perasan akan rasa sayu yang bermukim di hati.
“Waalaikumussalam. Dah balik?” Sekilas Dahlia mengerling pada suaminya sebelum kembali meletakkan perhatian pada Darina. Dibiarkan sahaja Aariz yang semakin merapati.
      “Abang takkan ada kat sini kalau belum balik, sayang.” Suara gemersik Aariz kedengaran dekat benar. Sesaat cuping telinga dikucup. Pantas Dahlia memegang telinganya.
“Abang! Gelilah!” Tertahan-tahan suara Dahlia, tidak mahu Darina tersedar dari lena.
      Aariz tergelak halus. Kemudian dia menghulurkan tangan dan mengusap kepala Darina dengan penuh kasih. Ciuman hangat melekat di atas ubun-ubun anak kecilnya. “Sweet dream, my princess.”
      Mengulum senyum Dahlia. Aariz suka benar memanggil anak perempuan mereka dengan panggilan ‘my princess’. Pernah juga disoal mengapa, jawapan Aariz sangat ringkas.
      “Bagi seorang ayah, anak perempuannya adalah his princess. And will always be his princess.”
      “Abang dah makan?” tanya Dahlia seraya mengambil tempat di meja solek. Sebotol losyen diambil dan dipicit ke telapak tangan. Dengan gerak perlahan dan lembut Dahlia menyapukannya pada tangan, lengan dan kemudian pada leher.
      Tertancap pandangan mata Aariz pada leher isterinya yang putih gebu. Inilah dia keindahan isteri yang istimewa hanya untuk tatapan dirinya, sang suami. Sedikit demi sedikit terselit rasa bangga di celah hati kerana hanya dia…ya, hanya dia yang berhak dan menjadi pemilik kepada keindahan tubuh isterinya. Kerana itulah seorang wanita perlu menutup auratnya daripada lelaki bukan mahram. Sesungguhnya, sekujur tubuh wanita itu terlalu bernilai untuk menjadi santapan mata ramai lelaki yang tidak berhak.
      “Abang, Lia tanya ni…” gesa Dahlia saat perasan soalannya yang tidak berbalas. Ikatan rambut dileraikan, membiarkan rambut panjang miliknya lepas bebas. Jari jemari digunakan untuk menyikat rambutnya sebelum dia mengambil berus rambut dan merapikannya.
Lunak renunganmata Aariz pada isterinya. Dia gemar melihat Dahlia dengan rambut yang terurai begitu. Tampak sangat manis dan seksi di matanya. Selama ini tidak pernah langsung dia merasakan begitu terhadap rambut mana-mana perempuan, tetapi Dahlia sangat berlainan. Dahlia adalah wanita yang tidak perlu langsung untuk berbuat apa-apa yang menggoda, tetapi cukup untuk membuatkan hati Aariz Danial bergetar hebat.
“Abang…”
“Dah. Lepas tahlil tadi ada makan-makan sikit.” Aariz akhirnya menjawab. Langkahnya diangkat ke arah almari. Pintu almari dibuka sebelum dia mengeluarkan baju tidurnya. Baju melayu yang tersarung di tubuh ditarik keluar dan digantikan dengan t-shirt berwarna biru gelap. Elok sahaja t-shirt tersebut melekap pada tubuh tegapnya. Kain pelikat pula digantikan dengan seluar track panjang.
“Oh, baguslah. Kalau tak, Lia boleh pergi turun sediakan untuk abang.”
Aariz menoleh dan menjongket kening pada isteri yang kini sudah beralih tempat ke birai katil. “Takut benar cik abang kesayangan Lia ni kebuluran, ya?”
Tercetus tawa dari bibir Dahlia. “Yup. Takut sangat-sangat! Tak naklah suami tercinta Dahlia Darius ni tak cukup makan. Perut abang tu…”
“Tanggungjawab Lia,” sambung Aariz dengan lembut seraya menjatuhkan punggung di sebelah isterinya. Itulah yang sering kali dituturkan oleh Dahlia sejak awal perkahwinan mereka.
“Tahu tak apa!”
Aariz melebarkan senyum. Tercuit sungguh hatinya dengan keletah isterinya yang bermacam-macam. Keletah yang selalu sahaja menyenangkan jiwa raganya, membuatkan dia berasa sangat bahagia.
Dahlia menatap wajah manis suaminya. Inilah senyuman yang menjadi dambaan hatinya. Aariz yang sedang tersenyum benar-benar punya kuasa untuk membuatkan hatinya berdetak dengan bunga-bunga cinta. Maka kerana itu, dia sanggup melakukan apa sahaja demi lelaki yang seorang ini, demi rumahtangga mereka dan semestinya demi anak-anak mereka.
Perlahan-lahan Dahlia menghela nafas. Hatinya berdoa agar Aariz akan menerima apa yang bakal dituturkan.
“Abang…”
“Hmm…”
“Pasal apa yang kita cakap hari tu…”
Berubah riak wajah Aariz. Senyuman yang tadi terbentang di muka semerta hilang lenyap, digantikan pula dengan air muka serius.
“Abang tak nak dengar pasal tu.”
“Tapi…”
“Dahlah tu, Lia. Kan abang dah cakap sebelum ni yang abang tak setuju,” pintas Aariz dengan cukup tegas.
“Abang…” rengek Dahlia.
“Sayang.” Pendek balasan suara Aariz. Kepalanya digelengkan sekali, memberikan isyarat bahawa dia tidak mahu meneruskan perbincangan. Lagipun, sudah acap kali mereka bercakap hal yang sama. Sejak sebulan yang lepas. Dan dia tetap dengan keputusannya.
Dahlia merengus dan menarik muka masam. Sungguh dia tidak berkenan dengan cara Aariz yang tidak mahu mendengar kata, atau sekurang-kurangnya berbincang betul-betul. Ini tidak, semuanya harus dicantas sebelum pun sempat dia mengatakan apa-apa. Huh, degil!
Melalui ekor mata Aariz mengerling pada wajah cemberut isterinya. Dia tahu Dahlia marahkannya, terasa hati dengannya. Tetapi, keputusan yang telah dia ambil adalah demi isterinya itu. Ya, semuanya demi kebaikan Dahlia sendiri. Dan dia yakin lambat laun Dahlia pasti akan mengerti.
“Lia sayang…” seru Aariz, cuba memujuk.
Panggilan Aariz tidak dipedulikan. Dibiarkan sahaja berlalu tanpa balasan. Sengaja Dahlia mahu menunjukkan rupa protesnya. Wajahnya dimasamkan. Bibirnya dimuncungkan. Malahan, langsung dia tidak memandang muka suaminya.
Aariz tersenyum kecil. Tidak terkesan dengan protes isterinya. Bahkan wajah marah Dahlia membuatkan dia rasa lain macam. Terasa mahu mengusik pula. Dahlia Darius yang marah memang tersangatlah comel! Lalu…
Chup!
Buntang mata Dahlia menerima kucupan di pipi kirinya. Spontan dia menoleh ke sebelah. “Abang!”
Meledak tawa Aariz. “Itulah, siapa suruh tunjuk muka marah-marah macam tu lagi? Lia tak tahu ke….”
“Tahu apa?”
“Dahlia Darius yang sedang marah macam ni, sangatlah comel. Cute!” Dengan gaya perlahan dan menggoda, Aariz kemudiannya merapatkan wajah ke muka Dahlia dan berbisik lembut di hujung telinga isterinya.“Dan bila dia cute, dia akan jadi sangat menggoda.”
Membahang kedua-dua belah pipi Dahlia. Jantungnya berdegup laju. Aduh, walau selepas bertahun-tahun lamanya, Aariz tetap mampu menggetarkan hati dan jiwa raganya.
“Aik, senyap? Malulah tu.”
Laju Dahlia menampar dada Aariz. Manja sekali.
“Abang ni kan! Orang serius…orang marah, dia main-main pula. Dah tak betul gamaknya.”
Lagi Aariz menghamburkan tawa galak.
“Abang!”
“Dahlah. Jangan duk panggil abang-abang lagi. Nanti tak pasal-pasal pula abang tarik sayang masuk bawah selimut. Macam-macam jadinya nanti,” usik Aariz di sebalik sisa tawanya.
“Dia ni kan, sempat aje nak menggatal…” bebel Dahlia perlahan. Geram pula bila asyik disakat begitu. Sudahlah dia pada asalnya mahu berbincang soal yang serius. Soal yang bakal menentukan arah tuju masa depannya. Tetapi, Aariz…huh, banyak pula songehnya! Bukan mahu dibawa berbincang.
Aariz membiarkan sahaja isteri yang sedang terkumat-kamit mengomel tentangnya dirinya. Alah, Dahlia…bukan boleh berlama-lamaan marah atau punya rasa tidak puas hati padanya. Lambat-lambat Aariz mengangkat punggung dari birai katil.
“Eh, abang nak ke mana?” Segera Dahlia menyoal.
Aariz menoleh pada isteri yang sedang menengadah padanya.
“Abang nak pergi tengok si kembar tu kejap. Kenapa? Lia nak abang tarik Lia masuk bawah selimut ke?” Aariz menyakat lagi di hujung bicara.
“Abang!”
“Yalah…yalah, abang tak kacau Lia dah…” ucap Aariz. Namun sebelum menghilang dari sebalik pintu, sempat juga dia mengenyit mata pada isterinya.
Dahlia tersenyum kecil sambil menggelengkan kepala.
‘Aariz…Aariz, awak memang tak pernah berubah, kan? Nakalnya, ya ampun! Tapi…’
Senyuman Dahlia kembali hambar, lantas mengembalikan dia pada air muka yang keruh dan kelat. Aariz yang sama itu juga membuatkan dia jadi kegeraman. Kerana sikap yang tak pernah berubah itulah, Dahlia jadi cukup sukar untuk memujuk suaminya agar menukar keputusan.
“Abang buat ni kerana Lia. Abang tak boleh izinkan apa yang Lia nak tu demi kebaikan Lia. I’m doing this for your sake, okay?”
Itulah patah-patah kata yang sering digunakan oleh Aariz. Semuanya kerana dia. Kerana Dahlia Darius. Tetapi, tidakkah lelaki itu mengerti bahawa keputusannya juga adalah demi suaminya? Ah, Aariz terlalu baik hingga ke satu tahap Dahlia merasakan bahawa kebaikan itu kadang kala tidak bertempat.
“Okey, tak apa. Abang belum kenal Lia agaknya. Lia takkan berhenti hingga Lia dapat apa yang Lia nak,” tutur Dahlia perlahan. Ya, Aariz Danial mungkin punya kebaikan tidak bertempat, tetapi Dahlia Darius punya kedegilan dan keazaman untuk membetulkan apa yang tidak bertempat itu.
             ‘Let’s just wait and see.’

~Bersambung...~

2 comments:

  1. SUKA2!!!! ESPECIALLY AARIZ DANIAL N DAHLIA DARIUS. HIHIHI... ERMMM, BILALAH DPT PELUK, BACA VERSI TUAN SYAFIQ TUAN HAIKAL N NUR ADRA NI!!! X BERKESAMPTAN LG NK ORDER DNG CIK SA

    ReplyDelete
    Replies
    1. Thank you2!!! Tak pe2. Take ur time. InsyaAllah, bila ada masa dan kesempatan boleh order...hehe

      Delete