May 4, 2015

Pembuka Hati (Jodoh itu Milik Kita 2) - Bab 11 & 12


BAB 11

“ADUH, selesai juga kerja aku.”
      Syafiq menoleh sesaat pada Zakri yang baru melabuhkan punggung di tempat duduk penumpang di sebelah. Enjin Preve milik Zakri pantas dihidupkan, kemudian dia memakai tali pinggang keledar.
      “Buckle up.” Pendek Syafiq menegur sahabatnya yang tidak membuat perkara yang sama. Tanpa banyak bicara, Zakri menurut.
      “So, okey tak interview tadi?” Syafiq memulakan perbualan.
      “Okey. Macam biasa. Cuma lepas ni, aku kena balik untuk tulis storylah. Kau tadi buat apa aje? Hilang terus. Berminat sangat nampaknya dengan lukisan-lukisan dia.”
      ‘Aku lebih berminat pada orang yang melukisnya,’ detik hati kecil Syafiq. Ya, benaknya tidak lepas daripada memikirkan gadis itu. Tidak! Bukan dari sudut perasaan seorang lelaki terhadap seorang perempuan kerana yang jelas, dia memang tidak suka dan tidak berkenan langsung dengan perempuan yang seorang ini. Tetapi, ada sesuatu tentangnya yang menarik-narik Syafiq untuk memberikan perhatian, untuk terkesan dengan segala apa perilakunya. Sukar sekali untuk dia menjelaskan dengan kata, namun itulah yang dirasainya saat ini.
      “Kau…tahu banyak tak pasal dia?” soal Syafiq tanpa menjawab pertanyaan sabahatnya tadi.
      “Dia, siapa?”
      “A.R.A tulah. That painter of the dark.”
      Zakri mengalih kepala. Muka teruja ditayangkan, dengan sengih lebar yang menampakkan gigi taringnya.
      “Woah, woah…this is interesting. Kau dah tangkap cintan dengan dia ke?”
      Hampir-hampir sahaja Syafiq menekan brek. Terkujat sungguh dengan sergahan Zakri. “Kau gila! Mana ada!”
      “Kalau ada pun, apa salahnya? Kau ni dahlah dah tua…”
      Syafiq membulatkan mata. Amboi, gembiranya kutuk aku tua.
      “Tapi aku tengok tak ada girlfriend. Sejak aku kenal kau, kau seorang aje. Kau memang tak berminat nak bercinta ke apa?”
      Segala bebelan Zakri automatik membawa ingatan Syafiq kepada Alya, bekas teman wanitanya. Seorang lagi perempuan yang menjadi mangsanya. Berita terakhir yang didengari tentang Alya adalah berita perkahwinannya dengan seorang lelaki bernama Andy. Agak-agak apalah yang kini berlaku pada Alya? Bahagiakah dia? Gembirakah dia?
‘Huh, apa kau peduli, Syafiq? Bukankah kau yang banyak menyakiti dia dulu? Hingga sanggup mengejarnya ke Wellington semata-mata mahu memaksanya bersama kau kembali!’
      Tanpa sedar, terlepas keluhan berat dari mulut Syafiq. Mengingati itu semua cukup membuatkan rasa bersalah kembali menyelinap ke dalam setiap pembuluh darahnya.
      “Kau kenapa tak henti-henti mengeluh pula? Soalan aku tu bombastik sangat ke?”
      Tersentak Syafiq mendengarkan tempelak Zakri. Bibirnya menyenget senyum kelat. “Tak adalah. Aku cuma teringatkan sesuatu aje tadi.”
      “Isy, kau ni…dari tadi asyik ingatkan sesuatu. Datang jumpa aku, tapi asyik fikir benda lain. Baik tak payah datang.” Jauh bunyi suara Zakri.
      “Kau tak payah berdrama kat sini. Kau pun sama. Masa aku datang jumpa kau…boleh pula kau pergi kerja, heret aku sekali pula tu.” Syamil membidas kembali.
      “Tapi sebab aku heret kau, kau dapat jumpa dia, kan?”
      “Dia siapa?” Syafiq bermain soalan, ekor mata ditala ke sebelah dengan wajah yang berkerut.
      “A.R.A tulah. Your painter of the dark,” Zakri memulangkan baru keras, sambil menekankan perkataan ‘your’.
      Syafiq menayangkan muka plastik, malas mahu mengambil kira dengan usikan Zakri. Sahabatnya ini tidak mengenali dirinya yang dahulu. Jikalau tahu, pasti sekali usikan seperti takkan pernah terluah.
      “So, back to soalan aku tadi. Kau tahu banyak tak pasal dia?” Tanpa mempedulikan gurauan Zakri, Syafiq kembali ke topik asal.
      “Hmm, let’s see.”Zakri menggaru bawah dagu. “Aku rasa tak ada manusia dalam dunia ni yang tahu banyak pasal dia.”
      “Maksud kau?”
      “She’s a mysterious woman. Dia memang popular sebagai seorang pelukis. Tapi…kalau kau search, kau google pasal dia, you’ll get nothing.”
      Penuh minat Syafiq mendengar segala maklumat tentang Adra. Ini semakin menarik. Seorang gadis dengan gelaran ‘Painter of the Dark’, wanita misteri tanpa diketahui mana datangnya dan siapa dia yang sebenarnya.
      “Apa yang ada dalam pamphlet itulah, info yang paling komprehensif pasal dia.”
      “Nur Adra, dua puluh sembilan tahun, single.” Tanpa sedar, tercetus informasi tersebut dari bibir Syafiq. Cepat-cepat dia mengetap bibir. Aduh, laju pula mulut ni bercakap!
      “Yup, betul tu. Kadang-kadang aku ada juga terfikir…”
      “Terfikir apa?”
      “Maybe…just maybe ini semua cuma gimik untuk buat orang tertarik pada dia.”
      “Aku…aku tak faham.” Berkerunyut dahi Syafiq. Tidak mengerti akan spekulasi yang diputarkan oleh Zakri.
      “Yalah, cuba kau fikir. Painter of the dark, dengan konsep misteri. Isn’t that interesting? Manusia ni kan…selalu saja tertarik dengan benda yang kita tak tahu. Lagi tak tahu apa-apa pasal sesuatu perkara, lagi kita nak menyibuk.”
      Bungkam Syafiq mendengar komen Zakri. Tertarik dengan apa yang tidak diketahui? Mungkinkah ini juga sedang berlaku padanya? Kerana dia tidak mengenali Adra, maka dia seperti tertarik padanya? Kerana aura misteri itu, dia bagaikan tidak dapat lari daripada wanita itu? Tetapi, betulkah begitu? Atau…ada sesuatu yang lebih daripada itu?
      “Hello. Zakri speaking…”
      Syafiq menjeling pada Zakri yang tiba-tiba menjawab panggilan telefon. Bila masanya berdering, dia juga tidak sedar.
      “Yes, that’s Syafiq. Syafiq Haikal.”
      Automatik kepala Syafiq terkalih ke sisi, sebelum dia cepat-cepat kembali memandang ke hadapan, ke arah jalan raya. Aik, kenapa pula namanya yang tiba-tiba menjadi bahan pertuturan Zakri?
      “Oh, really? You mean that…Jason Kwon?”
      Jason Kwon? Lagi Syafiq tersentak. Nama yang dikenali benar itu berdengung di telinganya. Okey, ini sudah pelik. Apa yang sedang berlaku ini?
      “Yeah, yeah. No problem. I’ll inform him.”
      Melalui ekor mata, Syafiq memerhati Zakri yang baru sahaja mematikan telefonnya.
      “Apa…”
      “Patah balik sekarang!” cantas Zakri dengan nyaring. “Eh, tak. Maksud aku…lepas kau hantar aku dan ambil kereta kau, patah balik ke sana.”
      “What? Apa…” Terkebil-kebil Syafiq cuba memahami segala arahan Zakri.
      “He wants to see you!”
      “Siapa?”
      “Jason Kwon!”
      Syafiq menayangkan muka pelik. Jason Kwon, seorang jurugambar terkenal yang bekerja dengan National Geographic mahu menemuinya? Untuk apa?
      “Isy, kau ni! Tunjuk muka blur pulak dah. Macam ni.” Zakri memaling muka ke arah sahabatnya. “Tadi, someone kat galeri tu call aku. Dia cakap Jason Kwon ada kat event hari ni dan dia nampak kau.”
      “So?”
      “So apanya? Sekarang dia nak jumpa kaulah. Dia cakap something like…Hmm, sukakan hasil kerja kau yang dalam…Times? Atau…entahlah magazine apa. But whatever it is, he loves it and now he wants to see you.” 
      “Sekarang ke?”
      “Taklah. Malam esok,” perli Zakri. Isy, geram juga dia dengan Syafiq yang menyoal macam-macam. Kalau orang terkenal seperti Jason Kwon mahu berjumpa itu, pergi ajelah! Ini tidak, masih mahu bermain tarik tali.
      “Isy, kau ni menyindir pula.”
      “Tak adalah. Dah kau ni banyak cekadak sangat. Sekarang niJason Kwon nak jumpa kau. Kau sepatutnya tunjuk muka excited, bukannya muka tak berperasaan macam ni.”
      Syafiq tersenyum kecil. Geli hati pula dia dengan riak Zakri yang lebih teruja daripadanya.
      “Yalah, yalah. Lepas aku ambil kereta kejap lagi, aku patah balik ke sana. Puas hati?”       
      “Yes! Ingat, pergi betul-betul, tau. Manalah tahu dia ada job untuk kau ke apa. Hah, who knows…maybe dia nak kau kerja dengan National Geographic?” Pelbagai andaian mula meluncur keluar dari mulut Zakri.
      “Hmm, pandailah kau. Aku tak cukup hebatlah.” Cepat-cepat Syafiq mengusir andaian tersebut. Bekerja dengan National Geographic? Mustahil!

******

BAB 12

“CIK ARA tak apa-apa ke?”
      Adra mengangkat tangan tanda tiada apa-apa pada Siti, pekerja separuh masa yang diupah sempena pamerannya. Tubuh yang terasa lemah cuba dibawa hingga ke bilik kerja, merangkap bilik persiapan yang memang tersedia ada di galeri yang ditempah ini. Sepanjang hari ini, hampir putus nafasnya cuba berlakon dan berlagak baik-baik sahaja sedangkan hatinya menempik-nempik tidak okey. Ya, masakan dia boleh baik-baik sahaja setelah lelaki keparat itu selamba sahaja menayangkan muka di hadapannya.
      “Cik…”
      Adra melepas rengusan halus. “Saya tak apa-apa, Siti. Kamu boleh pulang.”
      “Tapi…”
      “Siti, saya cuma letih sikit. Itu saja. Lepas dah rehat sikit, saya okeylah. Dan saya akan tutup galeri ni nanti.” Tegas Adra memintas. Geram juga dia dengan sikap Siti yang tak reti-reti bahasa. Kalau orang sudah cakap okey, bahagian mana yang dia tak faham sangat?
      “O…okey. Saya balik dulu.” Bagaikan mengerti pandangan Adra yang semakin tajam, Siti cepat-cepat mengalah.
      “Hmm…” Hanya sepatah yang dipantulkan oleh Adra sambil matanya menghantar pemergian Siti. Kemudian dia kembali membawa langkahnya. Longlai dan lemah.
      “I heard you were looking for me.”
      Baru sahaja Adra mahu membuka tombol pintu, suatu suara lain terlebih dahulu mematikan gerak tangannya. Matanya hampir tersembul keluar. Jantungnya pula bagaikan berhenti berdegup.
      “Now, I’m here.”
      Adra mengetap bibirnya yang terketap-ketap dengan cukup kuat. Tangannya yang memegang tombol pintu dikepal kemas hingga menampakkan urat darah. Dadanya terasa berkepul-kepul dengan gumpalan nafas ganas. Tubuh yang terasa longlai tadi tidak semena-mena terasa dipam-pam dengan rasa benci dan dendam yang menguatkan setiap inci diri dan jiwanya.
      “Adra…”
      “Jangan panggil aku Adra.” Mendatar Adra bersuara. Tanpa secalit emosi.
      “Itu kan nama you?”
      Sekelipan, bibir Adra membentuk senyuman sinis dan berbisik. “Nama yang dah pun kau hancurkan.”
      “Huh?”
      “Apa yang kau nak daripada aku, Nizam?” tanya Adra dengan cukup keras. Tubuhnya masih lagi membelakangi sang lelaki. Tidak ingin langsung dia mengotorkan pandangan matanya dengan melihat wajah itu.
      “I yang patut tanya soalan tu, kan? It’s you who were looking for me.”
      Mendengarkan bait bicara Nizam yang ternyata sangat bersahaja dan tidak berperasaan, Adra jadi makin menyinga. Ingin sekali dia membelasah…tidak! Dia ingin melahap-lahap lelaki ini hidup-hidup dan biarkan dia mampus macam tu sahaja. Dia mahu jantan ini menderita hingga ke tahap kematian itu lebih menyenangkan dan lebih menyelesakan.
      Ya, itulah yang dia inginkan selama ini. Kerana itulah dia mencari Nizam. Dia mahu lelaki itu menerima balasan atas segala penderitannya, setiap kesakitannya. Tetapi, saat ini, kala Nizam akhirnya terpacak di hadapannya, Adra jadi buntu sendiri. Sungguh, dia tidak tahu apa yang patut dibuat. Memukulnya? Menampar? Membelasah? Tidak! Kudratnya sebagai seorang wanita tidak akan dapat menandingi Nizam. Lagipun, dia tidak rela mencemarkan tangan sendiri dengan menyentuh jantan yang seorang ini.
      “Kenapa senyap? You nak I ingatkan ke? I tahu you cari I pasal….”
      “Jangan kau berani sebut pasal tu!!!” Terpusing tubuh Adra sambil menjerkah kuat. Dan kini, berdiri kira-kira tiga kaki daripadanya adalah wajah lelaki yang kali terakhir ditemui dua belas tahun yang lalu. Namun, dia dapat mengingati setiap inci raut wajah ini dengan cukup jelas. Inilah dia wajah manusia jahanam yang paling dibencinya!
      “Okey…okey!” Kedua-dua tangan Nizam terangkat ke atas. Riak wajah kosong masih lagi ditayangkan pada Adra. “Disebabkan you tak nak cakap kenapa you cari I, then biar I yang bagitahu you kenapa I cari you.
      Adra mendiam, namun riak mukanya bagaikan menyoal makna bicara Nizam.
      “I nak bertanggungjawab atas apa yang dah berlaku.”
      Pejam celik, pejam celik mata Adra cuba mencerna apa yang telah didengarinya. Melihat betapa senang dan tenangnya Nizam bertutur, jantung Adra semakin membuak-buak dengan kebencian yang bukan sedikit.
      “Ber…bertanggungjawab?” Tersekat-sekat suara Adra di sebalik tubuh yang bergetar menahan rasa marah.
      “Ya, bertanggungjawab. Now I’m here. And I will make things right.”
      Terlopong mulut Adra. ‘Make things right? Huh, senang sungguh kau bercakap, kan? Kau ingat apa yang dah berlaku boleh dibetulkan begitu sahaja?’
      “Kau memang gila, kan? Lepas apa yang dah jadi, kau nak bertanggungjawab? Huh, kau sedang buat lawak ke?” sinis Adra cukup pedas.
      “Habis tu, you nak I buat apa lagi? For years, Adra…”
      Adra memasang tenungan maut, memberikan isyarat benci terhadap nama yang disebut.
      “Okey, fine. You’re not Adra. You dah jadi Ara,” sindir Nizam membetulkan kembali kenyataannya tadi. “For years, I teringatkan you. Walau ke mana pun I pergi, I tetap ingatkan you. So, I tahu I kena balik untuk you.”
      Adra mencebik. Teringatkan dia? Teringatkan apa sebenarnya?Jantan bernama Nizam ini sedang berlakon Broadway ke?
      “Untuk betulkan apa yang dah jadi. Untuk bertanggungjawab.”
      “Kau tak payah bersusah-payah untuk buat apa-apa, Nizam,” cantas Adra. “Aku tak nak kau bertanggungjawab.”
      “Habis tu, you nak I buat apa? You cari I, I cari you…bukankah dah obvious apa yang patut kita buat?” soal Nizam. Namun bagi Adra, soalan itu kedengaran seperti suatu kenyataan yang sangat menyebalkan.
      “Kau nak tahu apa yang aku nak kau buat?” Adra memanggung muka pada Nizam. Ditahan-tahan rasa ingin muntah saat matanya tertancap pada wajah yang amat mengjengkelkan itu. “Kau betul-betul nak tahu?”
      Berkerunyut dahi Nizam.
      “Apa yang aku nak, ya? Hmm…” Adra mengjongket kening. “Aku nak kau…pergi mampus.”
      Terbelahak mata Nizam. Jelas menunjukkan rasa terkejut. Akan tetapi hanya untuk sesaat sahaja, kerana selepas itu air muka tenang tanpa perasaan kembali dipaparkan.
      “So, macam mana? Boleh tak kau bagi itu pada aku?” tekan Adra lagi.
      “Ara…Ara…” seru Nizam sambil menggelengkan kepala. Sepasang matanya bersinar cukup sinis. Dia mengangkat langkah ke hadapan, semakin merapatkan jarak antara dia dan Adra.
      Cepat-cepat Adra mengundur diri ke belakang. Nizam yang semakin mendekati membuatkan tubuhnya tanpa rela jadi menggeletar. Stop it, Adra! Jangan takutkan dia lagi!
      “Jangan kau berani dekat dengan aku.”
      “I’ll stop here then.” Nizam menghentikan langkah dan menyoal, “Memang itu ke yang akan buat you gembira?”
      Adra merengus. Huh, senang sungguh Nizam mengucapkan perkataan ‘gembira’ setelah dia menjahanamkan hidup aku?
      “Tak. Aku takkan gembira dengan kematian kau.” Adra menafikan dengan cukup bersahaja. “Kau nak tahu kenapa?”
      “Kenapa?”
      “Sebab…itu adalah hukuman yang terlampau ringan untuk kau. Aku nak kau menderita seumur hidup kau.”
      Tanpa semena-mena, Nizam menghamburkan tawa. Sangat jelik menampar-nampar telinga Adra.
“Menderita? You ingat you buat mampu I menderita ke, Nur Adra?”
      Tersirap darah panas ke muka Adra. Dia tahu dan dia sedar bahawa Nizam sengaja menekankan namanya demi menyakitkan hatinya.
      “You…” Setapak Nizam berjalan ke hadapan. “Takkan…” Setapak lagi diambil.
      Adra mula menggelabah. Sedaya upaya dia menayangkan riak tenang, walhal tubuhnya semakin terketar-ketar. Dengan setiap tapak yang diambil oleh Nizam, setapak juga dia mengundur ke belakang hingga akhirnya melekat pada pintu bilik kerjanya. Cepat-cepat dia memusing tubuh dan membuka tombol. Namun…
      Pap! Di sebalik sisi kepala Adra, terserlah tangan kekar Nizam yang sudah pun menutup pintu itu dengan telapak tangan. Dan dia…dia dapat merasakan desah nafas lelaki itu di belakang lehernya. Dekat. Dekat sekali…
*****
“I HOPE you can think about this thoroughly. I’ve seen your work, and I’m very sure that people will love what you can offer to us. It’s not that easy to find a photographer who can actually grasp what’s inside of a subject. You’re one of a kind.”
      “Oh, thank you so much. I really appreciate it. But I do need some time to think this over. You see, I just came back to Malaysia. So I don’t really like the idea of going away again.” Dengan penuh tertib, Syafiq menjawab. Sedangkan benaknya masih lagi cuba menangkap apa yang sedang berlaku padanya. Tadi setelah kembali ke galeri ini, dia diperkenalkan dengaan Jason Kwon. Mereka berbual-bual buat seketika dan kini alih-alih, dia baru sahaja mendapat tawaran untuk menjadi salah seorang pasukan jurugambar National Geographic.
      Masin betul! Ya, memang betul-betul masin mulut Zakri. Apa yang dia fikirkan mustahil tadi, tiba-tiba sahaja terpampang di hadapan mata.
      “It’s a big opportunity.
      “Yes, I’m sure it is. But really…I need time to think and sort things out.”
      Jason Kwon menarik nafas dalam-dalam sebelum tersenyum. “Okay, then. Take your time and if you need anything, do call me.”
      Usai menitipkan kata, Jason menghulurkan sekeping kad nama kepada Syafiq.
      “I…err…don’t have a name card.” Syafiq mengambil sambil tersengih segan. Selama ini dia memang tidak mempunyai kad nama. Dia bekerja sendiri dan rasanya tidak memerlukan kad nama. Lagipun, biasanya dia yang menghubungi orang lain bukan sebaliknya. Entahlah, dia lebih selesa begitu. Rasa tidak terkongkong.
      “It’s okay. But…can I have your number instead?”
      “Okay, no problem.” Syafiq memberitahu nombor telefonnya.
Tangkas Jason Kwon menekan-nekan telefon bimbitnya, menyimpan nombor tersebut.
“Thanks. So…let’s keep in touch, yeah.”
      “Yup, sure.” Tangan dihulur dan bertaut dalam salam. Syafiq memerhatikan sahaja Jason Kwon yang kemudiannya berlalu pergi.
      “Hmm, tak sangka pula benda macam ni boleh jadi. Senang betul aku dapat job. Rezeki betul…” omel Syafiq dengar tak dengar. Tetapi, patutkah dia terima sahaja tawaran tersebut? Mengingatkan wajah umi yang baru sahaja ditemui kembali, hati Syafiq jadi berbolak bahagi.
      “Ah, apa-apalah. Nanti aku fikirlah elok-elok. Sekarang tiba masanya untuk aku balik. Lagipun, macam dah tak ada orang kat sini. Takkan aku nak jadi jaga kat galeri ni kut? Dahlah lukisan-lukisan kat sini menakutkan aje. Painter of the dark, katanya…” Sempat Syafiq membebel sendiri. Matanya melirik pada jam dinding yang menginjak 9.30 malam. Patutlah, lagi setengah jam galeri ini akan ditutup sepenuhnya dan dibuka kembali esok pagi
******
“YOU. Takkan. Dapat. Buat. I. Menderita.” Seketul-ketul ayat dititipkan betul-betul di telinga Adra. “Never!”
      Dalam-dalam Adra menghela nafas. Mendengar suara Nizam yang rapat benar bagaikan menolaknya ke dalam jurang memori yang membawanya kepada petang durjana itu. Suatu petang yang telah menjahanamkan hidupnya dan menukar kehidupannya menjadi sebuah neraka. Matanya dipejam kuat-kuat agar dapat melenyapkan segala bayangan yang satu persatu menerpa ingatan. Hatinya meneriak dan berdoa pada Allah agar dia tidak rebah di sini. Ya, dia harus kuat. Atau sekurang-kurangnya tunjuk kuat.
      “Nak tahu kenapa? Sebab I akan pastikan yang I dapat apa yang I nak.” Lagi Nizam berbisik di telinga Adra. Penuh sinikal. “Dan sekarang, you dah dengar apa yang I nak, kan? I nak bertanggungjawab atas apa yang dah berlaku.”
      Perlahan-lahan Adra membuka matanya kembali. Bibirnya menyenget dengan cukup menyampah. Bertanggungjawab? Huh, tak ada manusia dalam dunia ini yang memaksa orang lain untuk menerima rasa tanggungjawabnya, melainkan manusia itu ada agendanya tersendiri. Dan mengenali siapa Chairul Nizam Tan Sri Naufal, Adra yakin pasti ada sesuatu yang tersirat di sebalik semua ini.
      Ya, dua belas tahun lamanya dia menghilang. Kini tiba-tiba sahaja muncul dengan alasan tanggungjawab? Dia ingat aku ini begitu tolol?!
      “Kau ingat aku akan biarkan saja?” Perlahan Adra berdesis sebelum tiba-tiba memusing tubuh dan menolak tubuh Nizam hingga tersorong ke belakang. “Kau dengar sini, Nizam! Aku bukan macam perempuan yang kau kenal dua belas tahun lepas. Aku tak tahu apa tujuan kau muncul kat sini dan aku tak peduli. Cuma satu yang aku nak kau ingat.” Adra menuding jari telunjuknya tepat ke muka Nizam. “Aku bersumpah yang kau takkan dapat apa yang kau nak, whatever it is. Sampai bila-bila pun kau takkan dapat!”
      “You cabar I ke, Adra?” Terketap-ketap bibir Nizam, jelas menunjukkan dirinya yang juga sudah menyirap.
      “Aku tak perlu cabar kau. Sebab itu apa yang akan aku pastikan benar-benar berlaku. Aku akan pastikan kau cukup menderita sebelum kau mampus.”
      “Kau ni memang…” Raut muka Nizam semakin tampak tegangnya. Sepasang matanya merah dan garang memanah.
      “Aku akan tengok kau terseksa hinggakan kau rasa nak mati. Aku…argh!!” Di luar jangkaan Adra, Nizam tiba-tiba meluru padanya dan mencengkam kedua-dua bahunya. Dalam sekelip mata sahaja, tubuhnya sudah pun terhempap pada dinding. Ditolak cukup kasar oleh kudrat lelaki setegap Nizam. Sepasang mata Adra terbeliak besar. Terkejut!
      “What’s going on?” Dalam keadaan runcing antara mereka, sayup-sayup ada suara lain yang berkumandang.
      Nizam mendengus kasar. Hujung matanya menjeling tajam ke arah susuk tubuh seseorang yang semakin merapati.
      “Apa kau buat? Lepaskan dia!”
      Lambat-lambat Nizam melepaskan cengkamannya. Tetapi sempat dia berdesis tanpa nada. “Kau  memang nak kena, kan? Nampaknya dua belas tahun yang lepas tak cukup untuk kau.”
      Kemudian dengan langkah yang cukup angkuh, dia melangkah pergi. Sempat dia menjeling angkuh pada lelaki yang semakin mendekati Adra.


~Bersambung...~

No comments:

Post a Comment