April 22, 2015

Pembuka Hati (Jodoh itu Milik Kita 2) - Bab 9 &10


BAB 9

“SO, FINALLY! Tuan Syafiq Tuan Haikal kita dah kembali. Where were you last time?”
      Syafiq mendongak dan memerhati sahabatnya, Zakri yang kini melabuhkan duduk di hadapannya. Seperti kali terakhir bertemu setahun yang lalu, Zakri tetap dengan imej serabainya. Pelik betul! Apakah kerja wartawan itu menuntutnya untuk menjadi sebegitu rupa? Dengan rambut panjang yang tidak disikat, kemeja yang berkedut tidak bergosok, lanyat di leher yang senget letaknya dan beg sandang yang menggeleber besar, Zakri memang memenuhi semua syarat sebagai lelaki paling serabai abad ini.
“Acheh.” Akhirnya Syafiq menjawab setelah menyudahkan sesi menganalisa manusia bernama Mohd Zakri.
      “Eh, dekat pula?” Kening Zakri hampir bertaut sambil tangannya selamba sahaja mengambil cawan yang terletak elok di atas meja.
      “Kau tak reti nak order minuman kau sendiri ke?” sergah Syafiq. Sesuka hati mak bapak dia aje minum kopi aku!
      “Alah, kau ni. Berkira sangat pula. Aku nak cepat ni, tak ada masa nak order-order bagai.” Tanpa riak bersalah, Zakri membalas kembali.
      Syafiq mencemik.
      “So, why Acheh?” Zakri kembali pada persoalannya tadi.
      Terdiam Syafiq buat seketika. Fikirannya menerawang pada semua negara yang telah dia jelajahi. Kebanyakannya dipilih secara rawak, mengikut rasa hatinya. Norway, Itali, Hong Kong, Zimbabwe, Afrika Selatan, Bhutan, Macau, Pakistan, Sri Lanka dan banyak lagi. Namun tidak satu pun negara berkenaan hampir dengan Malaysia. Entahlah, mungkin di luar kesedaran otaknya, dia sendiri yang tidak mahu dekat dengan negara yang banyak menyimpan siapa dia dan sejarah hidupnya. Dia mahu pergi sejauh mungkin. Dia mahu lari.
      Tetapi sejak dia mengambil keputusan untuk kembali, Syafiq mula berjinak untuk ke negara-negara di sekeliling. Mungkin juga itu caranya untuk dia menerima hakikat bahawa sudah tiba masanya untuk dia menjejakkan kaki ke atas tanah airnya. Lagipun, untuk apa pergi jauh jika dia tidak melihat dengan mata kepalanya sendiri keadaan mereka di negara-negara seperti Kemboja, Vietnam, Thailand dan Indonesia yang punya kisahnya sendiri? Bukankah jika mahu mencari keinsafan, dia perlu melihat mereka yang lebih memerlukan tetapi hidup dengan harapan yang menggunung?
Ya, itulah yang dia perolehi setelah ke Siem Reap, Narathiwat, Yala dan Acheh. Di kawasan yang masih terumbang-ambing dengan kemiskinan dan ketegangan politik, penduduknya tidak pernah berputus asa. Mereka masih punya harapan dan masih mampu tersenyum kala Syafiq menitipkan wajah mereka di dalam lensa kamera. Dan sungguh, itu semua membuatkan dia sedar akan betapa bertuahnya dia. Dilahirkan di sebuah negara yang aman dan harmoni, dibesarkan tanpa perlu risau akan wang dan perbelanjaan hidup dan mempunyai keluarga yang sentiasa menyayanginya, walaupun dia lambat menyedari hakikat itu. Bukankah itu bertuah namanya?
“Hei, aku tanya ni! Kau ni mengelamun pula.” Tempelak Zakri segera menyedarkan Syafiq yang hampir-hampir sahaja hanyut dalam kenangan.
      Syafiq menyeringai penuh segan. “Sorry. Aku teringat something else pula.”
      “Hmm, so Acheh…”
      “Sebab aku nak balik Malaysia. That’s why aku pergi negara yang dekat-dekat aje. Dari Siem Reap, aku ke Thailand, ke Narathiwat dan Yala. Tengok sendiri macam mana keadaan dia orang kat sana. Lepas tu aku gerak ke Acheh,” sambung Syafiq, memberikan penjelasan buat sahabatnya.
      “So, dapat apa yang kau cari?” tanyaZakri dengan suara yang berbaur ambil berat. Sepanjang perkenalannya dengan Syafiq tiga tahun lalu, dia tahu Syafiq mencari sesuatu. Kata lelaki itu, gambar-gambar yang diambilnya merupakan suatu cara untuk dia melihat dengan lebih jelas dan untuk dia mencari sesuatu. Entahlah, dia sendiri kurang pasti akan maksud Syafiq yang seolah-olah menyembunyikan agenda tersendiri.
      Terbentuk senyum kelat di hujung bibir Syafiq. Apakah dia sudah memperoleh apa yang dicari, iaitu dirinya sendiri? Mungkin ya, mungkin juga tidak. Dia juga tidak pasti. Cuma satu sahaja yang menjadi kepastiannya saat ini, dia gembira untuk kembali berada di sini, di negaranya sendiri, di kalangan keluarganya sendiri.
      “Mungkin.” Sepatah jawapan Syafiq.
      Zakri menjongket bahu. “Okey, apa-apa jelah. So apa plan kau sekarang ni?”
      “Tanam anggur.” Balasan Syafiq disusuli gelak halus, teringat pula akan perbualannya dengan umi pagi tadi, waktu menikmati sarapan.
      “Kau tanam anggur? Memang tak sesuai!” cemuh Zakri. Syafiq yang dikenali bukan calang-calang jurugambar. Foto yang diambilnya pernah dibeli dengan harga yang mahal oleh majalah-majalah terkenal dunia. Entahlah, dia juga pelik dengan manusia yang seorang ini. Kata Syafiq, dia masih baru dalam dunia fotografi. Akan tetapi, daripada pengamatan Zakri sendiri, lelaki yang seorang ini mempunyai kewibawaan dan kemampuan untuk menghidupkan foto-foto hasil bidikannya. Usai ditanya, jawapan Syafiq sangat ringkas.
“Aku ambil gambar dengan hati.”
    Zakri mengerti akan maksud kata-kata tersebut. Apa sahaja yang dilakukan dengan hati, keindahannya akan dapat dilihat oleh orang lain. Mungkin itulah yang terselit di sebalik jawapan penuh falsafah sahabatnya.
      “So, kau pula apa cerita?” Kali ini Syafiq pula yang menyoal, langsung tidak mengendahkan komen Zakri tadi.
      “Aku macam nilah. Masih lagi dengan NST. Tapi….” Zakri melebarkan senyum. “Now, I’ve got my own column.”
      Bulat mata Syafiq dengan rasa teruja.
“Seriously? Wah, makin dahsyat kau nampaknya? So kolumapa? How to date a girl?” Sempat Syafiq mengusik di hujung bicara.
      “Ceh, kau ingat aku ni jiwang sangat ke apa? It’s about life. Something like…how to see life better.” Jawapan Zakri terselit dengan rasa bangga.
      Terdiam Syafiq buat seketika. Aneh. Ruangan Zakri bagaikan ditujukan khas pada dirinya sendiri. How to see life better? Bukankah itu juga yang dia cari selama ni? Mungkinkah ini suatu kebetulan atau pun suratan? Entahlah, dia tidak pasti. Tetapi biarlah! Jika ianya kebetulan, mungkin itu sekadar kebetulan yang tidak punya erti. Jika ianya suratan, mungkin itu suatu suratan untuk dia tidak tergelincir lagi, untuk terus menjadi suatu peringatan kepadanya. Ya, walau apa pun yang berlaku dalam hidupnya selepas ini, dia perlu melihatnya dari suatu perspektif yang berbeza, yang lebih positif dan bukan lagi menyalahkan orang lain, seperti pegangannya selama ini.
      “Anyhow, congrats. Tambah busylah kau sekarang.”
      “Well, bolehlah tahan…” Tanpa semena-mena, Zakri membuntangkan mata bagaikan teringat sesuatu. Cepat-cepat dia melihat jam tangan. “Oh, great! Aku dah terlambat. Kaulah punya pasal ni!”
      “Eh, aku pula…” gerutu Syafiq sambil melihat sahabatnya yang kelam-kabut bangun dan mahu menapak pergi. Syafiq turut mengangkat punggung. “Kau nak pergi mana?”
      “Kerja akulah. Aku ada appointment, nak interview orang.” Sempat Zakri menjawab dalam gerak langkahnya yang makin laju.
      “Oh, okey.” Syafiq menayangkan muka bingung. Terpana pula dia bila ditinggalkan begitu sahaja.
      “Kau nak ikut tak?” Tanpa angin tanpa ribut, Zakri tiba-tiba mempelawa.
      “Huh?”
      “Kau tak payahlah tunjuk muka blur macam tu. Aku tahu kau tak ada nak buat apa sekarang, so jom ikut aku. Kau tinggal kereta kat sini. Kita pergi sekali. Lepas tu aku hantar kau ke sini balik.”
Perlahan-lahan kepala Syafiq terangguk sendiri, walhal dia sendiri pun tidak tahu arah tujuan sebenar Zakri. Ah, daripada bosan sendiri, ikut ajelah!
*****
“UMI, barisan tu macam panjang aje. So,apa kata umi duduk kat sini, biar Lia pergi bayar.” Lembut Dahlia menggamit ibu mertuanya agar duduk di kerusi yang memang tersedia di dalam Metrojaya. Inilah yang kini menjadi kebiasaan mereka. Setiap sebulan sekali, dia, Puan Marina dan Darina akan menghabiskan masa bersama-sama. Girls day out, katanya. Sekadar keluar membeli-belah atau hanya berjalan-jalan. Aariz pula akan membawa Adam dan Azfar pergi memancing bersama datuk mereka.
            “Tapi…”
            “Umi, please…jangan lawan cakap Lia.” Cepat-cepat Dahlia menyampuk. Riak garang olok-olok ditayangkan di muka.
            Spontan Puan Marina tertawa. Bukan dia tidak tahu apa yang cuba dibuat oleh menantunya yang seorang ini. Dahlia terlalu menjaga dan memanjakannya. Setiap kali mereka keluar bersama, itulah yang dibuat oleh Dahlia. Jika berjalan agak lama, pasti akan disoal sama ada patut rehat. Jika perlu membayar apa-apa, pasti Dahlia yang akan mengambil tempatnya untuk beratur.
            “Lia ni terlampau manjakan umi, tahu tak?”
            Dahlia memeluk lengan Puan Marina. “Ala, nak manjakan siapa lagi kalau bukan umi?”
            “Aariz kan ada untuk Lia manjakan, untuk Lia belai…”
            “Umi!” Terjerit Dahlia dengan usikan ibu mertuanya.
            “Eleh, buat-buat malu pula. Anak tu dah tiga, Puan Dahlia oi…” Lagi galak Puan Marina menyakat.
            Memerah kedua-dua belah pipi Dahlia yang sememangnya putih melepak.
            “Umi…”
            “Yalah, yalah. Umi tak kacau dah…” ucap Puan Marina seraya menjatuhkan duduk di atas kerusi. “Lia nak pergi bayar, kan? Pergilah. Umi tunggu sini, jaga Darina.”
            “Okey, kalau ada apa-apa, umi panggil Lia, tau?”
            “Ya, sayang. Umi tahu. Dah, pergi cepat. Nanti lagi panjang barisannya.”
            Dahlia mengangguk kecil lalu membawa barang-barang yang sudah dipilih ke kaunter. Sempat dia melirik pada Puan Marina yang sedang bermain-main dengan Darina. Sungguh hatinya hangat menyaksikan pemandangan sedemikian rupa. Seorang nenek bersama cucunya. Ibu mertua yang sudah dianggap umpama ibu kandung. Anak kecil hasil perkongsian cintanya dan Aariz. Sesaat mata Dahlia tertancap pada wajah comel Darina. Dan tanpa dapat ditahan-tahan, hatinya dihentak rasa sayu.
*****
“PAINTER OF THE DARK. Apa benda ni?” desis Syafiq perlahan. Pamphlet di tangannya dibelek beberapa kali. “Pameran lukisan daripada pelukis terkenal, A.R.A?”
      “A.R.A, kau tak kenal ke? Sekarang ni, dia memang famous giler di kalangan pelukis-pelukis,” sampuk Zakri di sebelah. “Aku nak interview dia lepas launching pameran dia kejap lagi.”
      “Ini…” Jari telunjuk ditalakan di tengah-tengah pamphlet. “Apa? Gelaran dia?”
      “Yup.”
      “Kenapa?”soal Syafiq, penuh minat. Painter of the dark. Menarik sekali gelaran yang ditujukan buat penulis yang dikenali sebagai A.R.A ini.
      “Eh, kau ni buta ke apa? Dah sah-sah sebab semua lukisan dia ni.” Sedikit kasar jawapan Zakri sambil mengawang-ngawangkan tangannya ke sekililing.
      Syafiq segera meliarkan pandang ke dinding galeri yang menempatkan pelbagai lukisan dari pelbagai saiz. Perhatiannya bagaikan ditarik-tarik oleh warna asas semua lukisan ini. Hitam pekat. Kelabu. Merah darah. Walaupun dia bukanlah jenis manusia yang meminati lukisan dan boleh memahami segala maksud-maksud tersirat yang terpendam di sebalik sesebuah lukisan itu, tetapi matanya tidak buta untuk melihat dengan jelas apa yang ingin disampaikan oleh gantungan lukisan ini. Ya, apa yang terpampang di hadapan matanya kini adalah tidak lain dan tidak bukan…
      “Kegelapan.” Tanpa sedar, sepatah kata itu tercetus dari bibir.
      “Bingo! Dan itulah sebabnya dia mendapat gelaran yang super cool macam ni.”
      Super cool? Huh, apa yang hebat sangat dengan gelaran seumpama itu? Bidas suara hati Syafiq. Apakah kegelapan itu menunjukkan kehebatan? Tidak. Tidak sama sekali! Dia pernah melaluinya, dan percayalah…tiada apa yang hebat tentang sebuah kegelapan.
      “Okeylah, aku nak bersiap-siap untuk PC. Kau tengoklah apa-apa yang kau nak tengok.” Bahu Syafiq ditepuk sekali sebelum Zakri meninggalkan sahabatnya sendiri.
      Syafiq membiarkan sahaja dan kembali mengalihkan perhatian kepada deretan lukisan-lukisan yang tergantung. Hampir setiap satu diperhati penuh asyik. Dia sendiri kurang pasti, kenapa dia seperti berminat untuk melihat dan memahami apa yang cuba disampaikan oleh lukisan bisu ini. Dia mahu mendengar apa yang cuba dilaungkan. Dia mahu menjadi…satu dengan mereka. Ah, apa yang dia fikirkan ini? Sudah gilakah? Menjadi satu dengan lukisan? Syafiq menggelengkan kepala dan tergelak kecil.
      Sedang dia bermonolog sendiri, kakinya akhirnya terpacak di hadapan suatu lukisan besar yang hampir menyamai ketinggiannya sendiri. Tubuhnya kaku. Matanya menjojol luas. Rahangnya terlurut ke bawah. Dan jantungnya mula berdetak aneh.
      Betul-betul di hadapannya kini adalah sepasang mata yang berlinangan dengan air mata darah. Warna hitam yang menjadi warna asas belakang menyerlahkan lagi sepasang mata coklat itu dan air mata darahnya yang merah pekat. Entah kenapa, mata itu kelihatan sedih sekali, bagaikan menyimpan seribu kedukaan yang tidak mampu diterjemahkan dengan ucapan, tidak bisa difahami oleh orang lain dan hanya mampu disimpan kemas di dalam jiwa yang penuh dengan penderitaan. Zup! Hati Syafiq tiba-tiba dihentak rasa pilu.
      “Awak menderita…” Di luar kesedaran, tangan Syafiq terangkat sendiri. Dekat dan semakin dekat, hampir menyentuh lukisan tersebut. Namun, tangannya terkaku sendiri kala suatu suara halus menyentuh cuping telinga.
         “Can you see me?”
                                                                 **************

BAB 10

“HUH?” Kepala Syafiq terpusing sendiri ke sebelah kanan. Wajah dari sisi seorang gadis menyapa pandangan mata.
      “Can you see me? Itulah nama lukisan ni. Mata yang menyoal sama ada mata lain mampu melihatnya. Melihat apa yang ada di sebaliknya.” Tanpa menoleh padanya, gadis itu menyambung kata.
      Syafiq kembali mengalih pandang ke hadapan, pada sepasang mata itu.
      “She…she’s in pain. Too much pain,” cetus bibir Syafiq.
      Gadis di sebelah mendengus sinis. Bagaikan mengejek tutur katanya.
“Well, that’s obvious. She’s crying, you know.”
      “Tapi dia menyembunyikan penderitaan dia.” Tanpa mempedulikan reaksi tadi, Syafiq menyambung. “In the dark. She cries only in the dark. Dia tak mahu biarkan sesiapa pun melihat setitik pun air matanya. Dan itu…” Syafiq menghentikan bicara buat seketika, membiarkan emosi berat menghasut kalbu. “Membuatkan dia tambah menderita. Dia cuba laungkan rasa perit dia, tapi pada masa yang sama dia cuba bisukan lidahnya. Dia cuba buat orang mengerti, tapi pada masa yang sama dia menyembunyikan dirinya.”
      Menuturkan semua itu bagaikan menghambat Syafiq kembali pada memori lampaunya. Itulah yang dirasainya dulu. Menderita dalam diam, cuba menunjukkannya tetapi dengan cara yang salah. Dan kini, lukisan ini…lukisan ini seperti menggambarkan semua itu.
      Lewat ekor mata, Syafiq perasan akan reaksi gadis tersebut yang kedu tanpa kata. Tubuhnya seolah-olah kaku, meninggalkan sekujur tubuh tanpa nyawa. Keanehan dengan reaksi sedemikian, Syafiq bertindak memusing badan, cuba memandang dengan lebih jelas. Saat itu, matanya terbeliak besar. Dia!
      “Macam mana? Macam mana awak…boleh nampak semua itu?” Antara dengar tak dengar dan dengan mata yang masih memandang ke hadapan, gadis tersebut menitip soalan. Air mukanya keruh dan tegang. Suaranya bergetar dengan emosi yang Syafiq sendiri tidak mampu meneka.
      Dek kerana rasa terkejut melihat wajah itu, lidah Syafiq kedu dalam berkata-kata. Tidak mampu untuk bersuara walau sepatah pun. Dibiarkan sahaja pertanyaan tadi terbang pergi, hilang lenyap dalam suasana hening antara mereka berdua. Dan mungkin kerana reaksi kosongnya, gadis di sebelah akhirnya menengadah padanya.
      “Kau!” Agak kuat jeritan yang terpancul keluar dari bibir mungil itu.
      Sungguh Adra terperanjat melihat wajah yang tidak ingin ditemuinya ini. Dalam banyak-banyak manusia yang muncul di pamerannya, kenapa wajah ini juga yang terpacak di hadapannya? Yang ditegurnya tadi?
      “Ya, saya.” Akhirnya tercetus juga suara dari mulut Syafiq. Wajah tenang ditayangkan pada wanita yang semakin tampak tidak selesa dengannya. Atau lebih tepat lagi…marah padanya. Motif mahu marah padanya? Ada dia bertindak apa-apa pada gadis ini? Tidak, bukan?!
      “Apa kau buat kat sini?” Kasar sekali bait bicara Adra. Kelembutan dan tertib suara yang dipaparkan tadi hilang sudah. Ingatan tentang kejadian di KLIA beberapa hari yang lepas, kembali bermain-main di kotak memori.
      Syafiq memasang senyum sinis. Apa jenis soalan perempuan ini tanya? Sudah jelas lagi bersuluh, dia datang untuk melihat-lihat pameran ini walaupun tidak pernah merancang begitu.
      “Eh, kau tak payah senyum menyindir macam tu. Aku tanya…apa kau buat kat sini? Kat pameran aku ni!”
      Sedikit tersentak Syafiq mendengarkan kata-kata akhir itu. Oh, jadi ini bermakna A.R.A, pelukis terkenal itu adalah perempuan pelik ni? Yang digelar ‘Painter of the dark’ itu? Huh, sekarang dia akui dan bersetuju. Gelaran segelap itu memang sesuai untuk perempuan yang seorang ini!
      “Setahu saya, pameran ni terbuka pada semua. Jadi, saya tidak termasuk dalam manusia yang disekat daripada menjejakkan kaki di sini. Oh, lagi satu, boleh tak awak kalau bercakap tu tak menjerit-jerit, memekik-mekik, melolong-lolong? Apa awak nak jadi pontianak kat sini pula?” sindir Syafiq dengan tenang. Hujung bicara sengaja ditujukan pada kejadian di KLIA.
      Berderau darah panas ke muka Adra. Rasa marah dan geram yang berkeladak jadi makin membuak-buak. Air mukanya tegang sekali, menahan rasa mahu mencarik-carik muka manusia ini. Kalau tidak difikirkan dia sekarang berada di pamerannnya, mahu sahaja dia menyumpah seranah lelaki tak sedar diri ini. Sudahlah berada di rumah orang, mahu berlagak pula!
      “You like it or not, my dear…saya ni…” Syafiq meletakkan telapak tangan ke atas dada dan tersenyum mengejek. “Tetamu kat sini. So, obviously…awak sebagai tuan rumah kenalah layan tetamu elok-elok, kan?”
      Adra menjeling tajam dan melepaskan rengusan kasar yang paling ganas. Kemudian dia menayangkan senyuman menyampah. Palsu! Plastik!
      “Selamat datang, encik. Feel free to watch around.” Di sebalik suara yang tersekat-sekat disulami amukan perasaan, Adra berbasi-basi. Geramnya saat ini, hanya Allah sahaja yang tahu.
      “Itulah yang sepatutnya. Thanks, anyway.” Syafiq membalas, masih lagi dengan wajah penuh sinikal. Entahlah, di hadapan gadis ini, jiwanya jadi panas. Kerasnya gadis ini, keras juga reaksinya. Dia juga tidak mengerti kenapa dia boleh mempunyai reaksi sebegitu rupa. Kerana gadis ini tidak ingat akan pertemuan mereka di Hong Kong? Kerana sikap melampaunya di KLIA? Atau kerana sikap tidak hormat pada dia?
      “Huh, tak payah susah-susah. Thanks…”
      “Tak ada gunanya,” sambung Syafiq di luar sedar. Anak matanya diangkat, memanah tepat pada wajah kosong si gadis. Apa yang istimewa sangat tentang dia? Kenapa aku masih boleh ingat akan dia selepas dua tahun? Dua tahun bukan masa yang sekejap! Tanpa semena-mena fikiran Syafiq mula bermain-main dengan pelbagai soalan.
      Adra mencemik. “Dah tak ada modal lain, ke? Ayat masa kat Hong Kong tu juga yang kau nak ulang-ulang, kan?”
      Tergamam Syafiq saat bait bicara tersebut menjamah peluput telinga. Jadi, ini bermakna…
      “So, you do remember me.”
      Bisikan lelaki di hadapannya membuatkan Adra tercengang. Ya Tuhan! Dia terlepas bicara. Nafas digali dalam-dalam, sambil tetap cuba mempamerkan reaksi kosong.
“Ya, aku ingat kau. So what? It’s not a big deal.”
      “Yes, it is. Bila masa kita berjumpa dua tahun yang lepas, bukan dua bulan, bukan juga dua hari. Di antara manusia-manusia yang ramai kat sana dan cuma dalam masa…” Syafiq mengerutkan dahi dan berfikir. “Hmm…let’s see, two…three, minutes only. And yet…you remember me.”
      Entah kenapa, terselit pula rasa bangga kerana gadis ini mengingatinya. Itu bermakna bukan dia seorang sahaja yang menyimpan ingatan pertemuan mereka di suatu sudut kotak memori. Mungkin gadis ini juga sepertinya. Tidak menduga dan tidak menyangka bahawa itu yang berlaku antara mereka. Dan kini, sekembalinya ke Malaysia, mereka sudah dua kali bertemu secara tidak sengaja. Pelik, tetapi itulah kebenarannya.
      Lagi tutur kata lelaki tersebut membuatkan Adra tersentak kuat. Ya, kenapa? Kenapa setelah dua tahun lamanya, hanya dengan pertemuan sesingkat itu…dia masih boleh mengingati lelaki ini? Apa maksud semua ini?
      Tidak! Tidak ada apa-apa makna! Nur Adra, kau jangan fikir apa-apa! Cepat-cepat Adra menempelak dirinya sendiri.
      “Kau tak payah rasa seronok sangat. It’s a coincidence that I still remember you. Kau fikir aku nak sangat ingat kau? Huh, jangan berangan!”
      “Berangan cuma dipanggil angan-angan, kalau benda tu tak jadi betul-betul. Awak ingat saya adalah fakta. It’s a fact.”
      Amarah Adra semakin menggelegak. Bersahaja sungguh lelaki ini memasang kata. “Kau…”
      “Syafiq. Tuan Syafiq Tuan Haikal,” cantas Syafiq dengan cukup tenang. “Now, that’s the name that you should remember. Tak cukup ingat Hong Kong tanpa tahu nama tuan empunya badan, kan?”
      Terlepas rengusan dari mulut Adra. Ya Tuhan! Lelaki ini memang betul-betul mencabar kesabaran dia. Lambat-lambat dan penuh hati-hati Adra mengatur langkah mendekati, tetapi dipastikan tidak terlalu rapat.
      “Kalau tak kerana aku sekarang di sini, di pameran ni, dah lama aku kerjakan kau,” bisik Adra di sebelah telinga lelaki yang bernama Syafiq ini.
      “Dan kerana awak di sini, di pameran ni, saya tahu awak tak boleh kerjakan saya, Cik Adra,” balas Syafiq pula, masih lagi dengan lagak cukup bersahaja, siap menyebut nama gadis tersebut. Di dalam pamphlet tadi, sempat juga dia membaca biodata pelukis terkenal ini. Nur Adra, berumur dua puluh sembilan tahun dan masih belum berkahwin.
      Adra menjeling tajam dan berdesis. “Jangan panggil aku Adra.”
      “Habis tu, nak panggil apa? Dah nama awak…”
      “Kau pekak ke?! Aku cakap, jangan panggil aku Adra.” Di sebalik suara yang tertahan-tahan, Adra menjerkah.
      Syafiq tidak menjawab, sebaliknya dia menetapkan renungan maha tajam ke dalam mata Adra yang kembali membalas. Jelas kemarahan yang menyinar di mata itu, namun entah kenapa Syafiq bagaikan melihat sesuatu yang lain. Sesuatu yang bergelar…kesedihan. Ah, apa yang dia mengarut ini? Perempuan pemarah dan perengus ini punya emosi sedih dalam jiwa? Huh, jauh panggang dari api!
      “Err…Cik Ara.” Sedang mereka bersabung mata, sekonyong-konyong muncul suara lain yang menyampuk, lantas membuatkan diri masing-masing tersentak.
      Sempat Adra menjeling tajam sebelum menoleh. “Ya, Siti?”
      “It’s time. Dah tiba masa untuk PC.”
      “Okay, I’m coming.” Tanpa menunggu sesaat pun, Adra mengangkat langkah. Lagi lama dia di sini, lagi menggunung perasaan menyinga dan berang dalam hatinya. Dia jadi sesak, dia jadi sebu dengan emosi negatif begitu, walaupun memang itulah caranya dia hidup sejak berbelas-belas tahun yang lalu.
      Syafiq membiarkan sahaja. Pandangannya tidak lari daripada belakang Adra yang semakin lama semakin mengecil, sebelum akhirnya lenyap di sebalik dinding galeri. Nafasnya dilepaskan, cuba menghalau emosi panas yang bermukim di dalam jiwa. Kemudian dia kembali menalakan mata pada lukisan yang sedari tadi menemani di sisi.
      Lama dia memerhati sebelum sedikit demi sedikit anak matanya membulat. Iya, dia tidak salah melihat. Sama. Benar-benar sama!
*****
“TEMA pameran saya pada kali ini adalah….”
      Tepat renungan mata Syafiq pada si pelukis cengeng yang tidak semena-mena mematikan suara. Dahinya berkerut. Nur Adra kelihatan sedang memandang tepat ke hadapan. Bagaikan ditarik-tarik untuk bertindak sama, Syafiq menoleh dan turut melihat ke arah tumpuan pandangan mata Adra.
      Dari celah-celah pengunjung yang terpacak, mata Syafiq melekat pada seorang lelaki yang juga sedang berbalas tenung dengan Adra. Kemudian, Syafiq mengalihkan perhatian kepada Adra. Beberapa kali dia mengulang pandang, antara lelaki itu dan Adra yang semakin menampakkan riak muka yang tidak kena.
      Adra yang masih berdiri di atas pentas kaku sendiri. Matanya menjojol pada wajah manusia yang tiba-tiba menerpa pandangannya. Jantungnya mula terasa sesak. Nafasnya tersekat di celah kerongkong. Dalam penghawa dingin yang sejuk, setitik demi setitik peluh merecik dan membasahi dahi.
      ‘Ya Allah! Apa yang berlaku ini? Apa yang dia buat di sini? Setelah bertahun-tahun aku mencari dia, Kau hadirkan dia begini di depan mataku? Apa maksud semua ini, Ya Tuhanku? Apa…apa yang patut aku buat sekarang?’
      Sedaya upaya Adra cuba menggali nafas, cuba melawan setiap inci tubuh yang terasa menggeletar dan air mata yang semakin bertakung di tubir mata. Dari bawah meja, kedua-dua tangannya digenggam kuat. Tidak! Dia tidak akan sekali-kali membiarkan jantan itu melihat dia dalam keadaan lemah. Langkah mayat dia dulu sebelum itu boleh terjadi!
      “Tema saya…” Adra menelan air liur dan cuba menayangkan senyum, walaupun dia tahu betapa pincangnya senyuman itu. “Adalah journey to yourself. Saya ingin tonjolkan apa yang boleh kita keluarkan dari dalam jiwa kita. Yup, itulah tema pameran ini.”
      “Macam mana Cik Ara dapat ilham untuk semua ini?” Seorang wartawan menyoal.
      “Oh, like I used to say sebelum ini…ilham saya boleh datang tiba-tiba sahaja. Jadi, agak sukar untuk saya specify macam mana saya dapat ilham ini.” Dengan lagak tenang yang diada-adakan, Adra menjawab. Ekor matanya cuba dilarikan daripada melekat pada susuk tubuh jejaka yang masih tetap merenungnya, terpacak di tempat yang sama.
      Syafiq melihat semua yang terjadi tanpa berkelip. Jelas di matanya, Adra yang sedang memainkan watak dalam drama lakonannya sendiri. Di suatu sudut ruang itu pula, terserlah seorang lelaki yang juga sepertinya. Menetapkan renungan pada seorang gadis bernama Nur Adra. Untuk apa dan kerana apa, Syafiq juga tidak mengerti. Namun satu yang dia pasti dan dia boleh lihat, Adra takutkan lelaki tersebut. Aneh, aneh sekali! Seorang wanita sekasar dan sekeras itu takutkan seorang lelaki? Apa yang sebenarnya sudah terjadi?
      Ah, apa yang kau fikir ini, Syafiq? Perlukah kau bersusah-payah fikirkan semua itu? Huh, membuang masa sahaja. Dia bukannya siapa-siapa pun bagi kau! Tetapi….
      ‘Aku tak boleh buang dia dari fikiranku…’

                                                                 

No comments:

Post a Comment