April 6, 2015

Pembuka Hati (Jodoh itu Milik Kita 2) - Bab 6


BAB 6

KEADAAN biliknya diperhati penuh teliti. Sama! Setiap ceruk bilik ini sama seperti sepeninggalannya dahulu. Susun atur perabot yang tidak berganjak walau seinci pun. Cadar dan langsir hitam yang sama, dengan bau wangian yang sama. Poster Mancester United kegemarannya masih lagi terpampang di tempat yang sama. Malah, model rumah kayu yang pernah dibinanya sewaktu dia bekerja sebagai arkitek dulu masih kukuh di atas meja kerjanya.
      Melihat semua itu, hati Syafiq semakin berbolak-balik dengan rasa bersalah. Longlai dia menjatuhkan punggung ke atas birai katil. Kepalanya kemudian diapit ke dalam kedua-dua belah tangan. Bibirnya digigit kuat.
      ‘Kenapa? Kenapa semua orang perlu buat macam ni? Kenapa harus ditunggu-tunggu orang macam Fiq ni? Fiq tak layak untuk semua ini…’
      “Fiq…”
      Terpanggung kepala Syafiq mendengarkan suara yang menyerunya tadi. Abang yang mula mendekati diperhati bersama senyuman yang diada-adakan.
      “Ya, bang. Kenapa?”
      Aariz tidak pantas membalas. Sebaliknya dia melabuhkan duduk di sebelah adiknya.
“Terima kasih.”
      “Untuk apa?” soal Syafiq, lengkap dengan dahi yang berlapis.
      “Sebab tunaikan janji Fiq.”
      “Janji?” Lagi tebal kerutan yang terpalit pada wajah Syafiq.
      Aariz menarik senyum tenang. Mukanya dipalingkan ke tepi agar lebih menghadap Syafiq.
      “Bila tiba masanya, Fiq akan kembali. Fiq akan pulang. Itu yang Fiq janji pada abang waktu kat airport dulu, kan? So, yeah. Thanks for keeping your promise.”
      Fikiran Syafiq mula melayang pada hari terakhir dia di Malaysia, empat tahun lepas. Masih lagi dia ingat akan kemunculan tiba-tiba Aariz di KLIA. Lelaki itu mengejarnya hingga ke lapangan terbang demi memohon maaf padanya. Juga, kerana mahu memujuknya agar jangan pergi.
      “Abang tahu mungkin dah terlalu terlambat untuk abang cakap ini. Tapi, abang betul-betul minta maaf. Abang tak tahu, Fiq. Abang tak pernah sedar yang selama ini kewujudan abang membuatkan Fiq menderita. Jadi, maafkan abang. Tolong jangan pergi. Jangan tinggalkan umi.”
      “Fiq tak perlu maafkan sesiapa, sebab tiada siapa yang buat salah pada Fiq. Dan jangan ingat Fiq tinggalkan Malaysia kerana abang. Fiq buat semua ini demi diri Fiq sendiri. Bila Fiq dah dapat apa yang Fiq nak, Fiq akan pulang.”
      Itulah pertuturan antara mereka saat itu. Dan kini, dia sudah pun berada di sini, menunaikan janjinya. Tetapi…benarkah dia sudah mendapat apa yang dicarinya selama ini? Benarkah dia sudah menemui dirinya sendiri? Jika benar, kenapa dia masih lagi canggung dan gentar dalam berhadapan dengan Dahlia?
      “Fiq…”
      Syafiq tersentak. Segala lamunannya berterbangan pergi. Cepat-cepat dia menayangkan sengihan palsunya.
      “Sorry, bang. Tersampai ke Pluto pula,” gurau Syafiq dalam lawak tidak kelakarnya.
      Aariz tersenyum kelat. Bukan dia tidak nampak betapa anehnya Syafiq, betapa tidak selesanya lelaki itu dan betapa Syafiq berpura-pura gembira.
      “Fiq…”
      “Hmm...”
      “Don’t.”
      “Don’t apa, bang?” tanya Syafiq. Pelik dengan pandangan mata Aariz yang mula kelihatan sayu.
      “Don’t pretend.”
      Syafiq terkemap.
      “Abang tak buta, Fiq. Abang boleh nampak. You’re just…too awakward. It’s obvious!”
       Tutur kata Aariz yang sangat berterus-terang menambahkan lagi rasa kelu Syafiq. Huh, nampaknya kemahirannya berlakon sudah semakin terhakis. Jika dahulu boleh sahaja dia berlakon selama dua puluh lapan tahun tanpa sesiapa pun menyedari apa-apa, tetapi kini hanya dalam masa satu jam sahaja, segala-galanya terhampar luas di hadapan mata Aariz.
      “Is this about her? Dahlia?” Aariz menyambung lagi. Kali ini nama isterinya pula disabitkan.
“Ke…kenapa dengan Dah…dengan Kak Lia?” Tersekat-sekat balasan Syafiq. Mendengarkan nama itu dari mulut Aariz sendiri membuatkan dia jadi tambah kelam-kabut. Cepat-cepat dia bangkit. Tidak betah rasanya terus-terusan berada di sebelah Aariz, diterjah pula dengan bermacam-macam soalan.
“Syafiq.”
Seruan Aariz yang berbaur serius terus sahaja mematikan kaki Syafiq ke lantai. Tubuhnya elok membelakangi Aariz yang masih lagi duduk di birai katil.
“Dahlia…dia dah lepaskan semuanya pergi. Percayalah. Dia tak ada langsung simpan apa-apa dendam pada Fiq. Dia maafkan Fiq dari dulu lagi. Jadi, jangan…”
“Maaf?” cantas Syafiq. Bibirnya mula terherot dengan senyuman sinis, menyindir diri sendiri. “Kerana maaf itulah, Fiq jadi macam ni, abang. Kerana maaf itulah, Fiq tak boleh nak tenang. Jadi tolong jangan expect yang Fiq takkan rasa apa-apa.”
“Fiq…” Aariz mula bangun, mahu menghampiri adiknya.
Pantas Syafiq mengangkat tangan, memberikan isyarat agar Aariz menghentikan langkah. Dia tidak mahu abangnya melihat wajah dan emosinya kala ini. Sedangkan selama ini Tuan Syafiq Tuan Haikal terkenal dengan wajah tanpa perasaannya. Poker face!
“Mungkin bagi abang, itu adalah sebuah kemaafan. Tapi, hakikatnya tak, bang. Ini adalah hukuman untuk Fiq. Kemaafan Dahlia adalah hukuman buat diri Fiq, yang selalu ingatkan diri Fiq tentang betapa jahatnya Tuan Syafiq Tuan Haikal, betapa kejamnya Fiq, betapa kotornya hati Fiq! Fiq lukakan orang yang dengan rela hatinya memaafkan segala perbuatan Fiq. Jadi, macam mana mungkin Fiq tak rasa apa-apa bila nampak dia tadi?”
Aariz bungkam. Nampaknya Syafiq benar-benar terkesan dengan keputusan isterinya. Oh, Tuhan! Mungkinkah selama empat tahun ini, Syafiq menyimpan rasa berat seumpama ini?
“Fiq ingat Fiq benar-benar dah bersedia untuk berdepan dengan dia. Fiq nak betul-betul minta maaf. Sebab Fiq tak pernah buat macam tu. Fiq tak pernah minta maaf pada Dahlia, abang. Tapi, bila nampak dia tadi…Fiq jadi tak mampu. Semuanya yang pernah Fiq buat, Fiq nampak balik. Jadi, layak ke untuk Fiq memohon maaf? Layak ke untuk Fiq bebaskan diri daripada rasa bersalah ni?”
Nafas panjang dilepaskan Aariz. Melihat sisi Syafiq yang tidak pernah dilihatnya, dia jadi sedar bahawa Syafiq yang kini berada di hadapannya benar-benar telah berubah. Bukan lagi Syafiq yang keras dan dingin seperti dahulu. Tetapi sayang, Syafiq yang baru ini terlalu penyedih orangnya. Terlalu menyalahkan diri sendiri.
“Fiq benar-benar tak boleh nampak ke, kenapa dia buat macam tu? Kenapa Dahlia tak mahu hadapkan Fiq pada polis, sebaliknya dia jatuhkan kemaafan sebagai hukuman?” Setelah lama mendengar luahan hati adiknya, Aariz akhirnya membuka mulut.
Syafiq merengus. Soalan apa yang dipantulkan abangnya ini? Bukankah sudah jelas lagi bersuluh segala jawapan bagi soalan itu?
“Abang dah lupa ke, apa yang Dahlia cakap empat tahun lepas? Dia cakap dia cukup kenal Fiq. Fiq takkan terpacak depan semua orang kalau tak kerana rasa bersalah. That’s it, abang. Dia cuma nak Fiq terus-terusan rasa bersalah!”
“Itu yang Fiq silap! Semuanya salah belaka!”
Perlahan-lahan Syafiq memalingkan tubuh. Berkerunyut tebal dahinya menanti penjelasan lebih lanjut daripada abangnya.
“Can’t you see? It’s a second chance, Fiq.”
“Huh?”
“Dahlia pernah bagitahu abang, dia cuma nak bagi peluang kedua untuk Fiq. Kalau Fiq disabitkan dan dihadapkan ke mahkamah. Then it’ll be over for you! Dia tak nak itu berlaku pada Fiq. Lagipun…” Termati kata Aariz buat seketika. Emosinya tiba-tiba terasa berat saat mengingati segala sebab-musabab atas semua perkara yang pernah dilakukan oleh Syafiq.
      “Lagipun apa, bang?”
      “Semuanya salah abang. Jadi kalau ada sesiapa di sini yang perlu rasa bersalah, orang itu adalah abang!”
      “Tak…tak, bang…” Tergeleng-geleng kepala Syafiq.
      “Kalau Fiq merasakan bahawa Fiq adalah pesalah abang, jadi abang adalah pesalah Fiq.” Aariz menyambung lagi seraya menghampiri adik yang sedang menunduk. Semakin hanyut dalam emosi sedihnya. Bahu Syafiq dipegang lembut. “Tapi, kalau kita asyik fikir macam tu, semua ini takkan pernah berakhir, kan? Akan asyik berpusing di tempat yang sama saja.”
      Perlahan-lahan Syafiq mengangkat bebola mata, menikam pandangan Aariz yang padu padanya.
      “Jadi, kita patut hentikan semua itu. Buka buku baru. Lepaskan apa yang patut dilepaskan pergi. Selama-lamanya! Sekarang, Fiq kena hargai peluang kedua yang diberikan oleh semua orang pada Fiq. Sebab sudah tiba masanya untuk Fiq bahagia.”
      Peluang kedua? Bahagia? Asing! Terasa asing sekali perkataan-perkataan itu dari halwa telinganya. Seperti tidak pernah wujud dalam kamus hidupnya. Tidak pernah tertulis!
      “Fiq…”
      Sedikit demi sedikit, Syafiq mengukir senyum. Namun sangat terasa janggalnya.
      “I guess you’re right. Mungkin sudah tiba masanya untuk Fiq cuba gapai kebahagiaan Fiq sendiri, kan?”
      “Betul tu. Dan abang akan sentiasa doakan Fiq. Always…”
*****
“MACAM mana dengan dia, bang?” tegur Dahlia saat terpandangkan Aariz yang melangkah masuk dan melabuhkan duduk di sofa.
Aariz tidak segera menjawab sebaliknya dia melepaskan keluhan berat. Entahlah, terasa sesak sekali jiwanya saat ini. Sedangkan kepulangan Syafiq sepatutnya diraikan dengan cukup meriah.
Dahlia mengerutkan dahi. Baju Melayu Aariz yang sedang dilipat segera diletakkan ke tepi.
      “Abang, kenapa ni? Ada yang tak kena ke?” tanya Dahlia seraya menghampiri suaminya.
      “Tak adalah. Cuma….”
      “Cuma apa?”
      Aariz menengadah pada isterinya. “Syafiq terlalu berbeza.”
      Tidak semena-mena terpacul tawa kecil daripada bibir mungil Dahlia.
      “Abang ni…kan memang kita dah tahu yang Syafiq dah berbeza. Kalau tak, tak adanya dia nak minta maaf bagai dengan umi dan abah tadi. Tak adanya dia nak main-main dengan Adam dan Azfar,” balas Dahlia dengan cukup bersahaja. Tidak terfikir langsung apa-apa yang aneh dengan sikap Syafiq atau apa-apa maksud tersirat dalam bait bicara suaminya.
      “Tak, bukan itu maksud abang.”
“Habis tu?” soal Dahlia kembali. Benaknya mula berlegar dengan rasa tidak senang.
“Dia…hmm, macam mana abang nak cakap, ya? Dia nampak macam terlalu penyedih. Dia masih terlampau salahkan diri sendiri.”
Dahlia terdiam. Patutlah Syafiq tampak terlalu kekok tadi. Seakan-akan tidak mampu langsung untuk bertentang mata dengannya.
“Dia tak pernah lihat keputusan Lia sebagai peluang kedua. Dia benar-benar bebankan bahu dia dengan rasa bersalah pada Lia, juga pada umi, pada semua orang,” jelas Aariz lagi seraya memerhati riak wajah isterinya. Dia mahu melihat reaksi Dahlia.
Dalam-dalam Dahlia menggali nafas dan menghembusnya. Belakang tubuhnya disandarkan pada sofa sambil akal fikirannya dibiarkan lepas pada Syafiq dan apa yang patut dilakukannya. Sungguh, bukan niatnya untuk memerangkap Syafiq sedemikian rupa. Dan bukan juga keinginannya untuk menyeksa lelaki itu. Dia cuma mahu Syafiq berubah menjadi seorang manusia yang lebih baik, yang boleh melepaskan rasa benci itu pergi, yang boleh menggapai kebahagiaan sendiri tanpa terus terperangkap di sebalik bayang-bayang abangnya.
“Walaupun tadi dia cuba tunjukkan yang dia kononnya okey, baik-baik saja, tapi abang boleh nampak, Lia. Abang boleh nampak yang dia cuma berpura-pura.” Aariz tersenyum kelat di hujungbicara. Kemudian dia menyambung lagi. “I guess dia memang dah tak pandai berlakon.”
Berlakon? Sekonyong-konyong Dahlia terbayangkan segala gerak laku, perbuatan dan titip kata yang pernah dipamerkan oleh Syafiq dulu. Ya, itulah pentas drama ciptaan lelaki itu. Sebuah drama yang berakhir dengan cukup tragis. Yang melukakan semua orang. Yang menempatkan dia sebagai seorang pesalah yang kejam.
‘Sudahlah! Jangan fikirkan itu lagi, Dahlia Darius. Dia bukan lagi orang yang sama,’ tempelak suara hati Dahlia.
“Lia rasa….” tutur Dahlia akhirnya.
Aariz terus menoleh pandang pada isterinya yang kelihatan serius.
“Lia mahu cakap dengan dia.”
Terdiam Aariz mendengarkan permintaan isterinya. Sesaat hatinya dirodok rasa tidak senang. Membayangkan Dahlia bercakap-cakap dengan Syafiq membuatkan dia jadi tidak selesa, walhal lelaki itu adalah adiknya sendiri.
“Untuk apa?” Suara Aariz kedengaran semacam sahaja menyapa telinga Dahlia. Berkerut dahinya dengan reaksi suaminya itu.
“Laaa, tanya pula. Untuk pujuk dia so that dia boleh lepaskan benda yang dah lama lepas tu. Kalau dia anggap Lia ni adalah penghukum dia, orang yang dah jatuhkan hukuman pada dia, jadi Lia adalah orang yang sepatutnya hilangkan hukuman tu.” Dengan kening yang masih bertaut pelik, Dahlia menjawab.
“Oh.” Pendek balasan Aariz. Ada benarnya kata-kata Dahlia. Siapa lagi yang paling sesuai untuk melenyapkan hukuman itu melainkan penghukumnya sendiri? Tetapi hati kecilnya tetap gagal membuang rasa tidak senang, sedangkan dia tahu betapa Dahlia dan Syafiq tidak punya apa-apa. Malahan mereka berdua adalah seteru yang amat kuat suatu ketika dahulu. Musuh besar!
Tepat renungan Dahlia pada wajah ketat suaminya. Dia dapat meneka apa yang sedang bermain dalam fikiran Aariz. Sungguh dia faham dengan perangai Aariz. Suaminya bukanlah lelaki yang mudah cemburu, tetapi kalau dengan Syafiq, Aariz akan menjadi terlebih sensitif. Ya, dari dahulu hingga sekarang, Syafiq adalah satu-satunya lelaki yang mampu mencucuk rasa cemburu ke dalam hati suaminya. Mungkin kerana sejarah yang ada di antara mereka berdua. Suami mana yang tidak berasa apa-apa jika isteri sendiri mengatakan mahu bercakap dengan bekas tunang?
Perlahan-lahan Dahlia mengulum senyum. Langsung dia tidak terkesan dengan sikap suaminya. Malahan, dia merasakan rupa Aariz sekarang sangat kelakar. Kalau dahulu, Aariz pernah mengamuk padanya gara-gara rasa cemburu pada Syafiq, tetapi kini Aariz mengetatkan muka dan memuncung mulut. Mungkin suaminya cuba mengawal rasa cemburunya agar tidak jelas kelihatan. Tetapi di mata Dahlia, tindakan itu cuma membuatkan Aariz kelihatan comel dan keanak-anakan. Sekali tengok, sudah seperti Adam dan Azfar waktu merajuk.
“Kenapa Lia senyum macam tu? Abang ada buat lawak ke kat sini?” Pertanyaan Aariz berbaur rasa tidak puas hati.
Semerta tawa Dahlia meletus. Dari senyum lebar terus sahaja bertukar kepada tawa besar. Hatinya dicuit-cuit rasa geli.
“Lia ni dah kenapa?” Suara Aariz kedengaran makin kegeraman. Wajahnya cemberut.
“Alahai, comelnya suami Lia ni cemburu,” usik Dahlia sambil mencucuk-cucuk lengan Aariz dengan hujung jarinya. Pantas Aariz menangkap jari tersebut dan memerangkap jari-jemari isterinya dalam genggaman kemas. Anak matanya sengaja dikecilkan, mahu menunjukkan rasatidak puas hati dengan sikap bersahaja lagi nakal isterinya.
“Salah ke kalau abang cemburu?” tanya Aariz mendatar. Serius sekali.
Tenang Dahlia melawan renungan mata suaminya sebelum menggelengkan kepala. Tangannya yang masih bertaut dengan tangan Aariz dibiarkan sahaja.
“Langsung tak salah. Tapi abang kena ingat, dari dulu sampai sekarang antara Syafiq dan Lia takkan pernah ada apa-apa. Hanya abang dalam hati Lia, abang seorang.” Lembut dan berhemah suara Dahlia mengalunkan pujukan buat suami tercinta.
“Betul ni?” Sengaja Aariz bermain tarik tali. Renungannya lunak pada wajah manis isteri tersayang.
“Eh, tak percaya pula?”
“Well…”
Tanpa menunggu lama, Dahlia mengucup pipi kanan suaminya. “Sekarang dah percaya?”
Bibir Aariz melebar besar. Raut gembira dan bangga terpapar di segenap wajah. “Hmm, pandai pujuk abang, kan?”
“Kalau tak pandai, takkanlah jadi isteri abang, kan?” Selamba Dahlia menjawab. Lega hatinya dengan tingkah Aariz yang sudah terpujuk. Kalau lelaki itu mahu melayan cemburu, haru juga dia mahu memujuk.
“Perasan!” kutuk Aariz sambil melepaskan genggaman tangannya. Namun jari telunjuknya beralih pula ke hidung Dahlia. Mencuit mesra.
“Isy, apa pula perasannya? Itu bermakna Lia tengah puji abang pandai. Sebab tu abang dapat isteri pandai macam Lia.”
Tergeleng-geleng kepala Aariz melihatkan sikap bersahaja isterinya. Bibirnya mekar dengan senyuman.
“Okeylah, tak nak main-main lagi. So, bila?” Aariz bertanya tiba-tiba.
“Bila apa?” Dahlia menyoal kembali dengan muka tertanya-tanya.
“Bila nak cakap dengan Syafiqlah, sayang oi. Tadi beriya-iya sangat nak bercakap dengan dia, kan?”
Spontan Dahlia menepuk dahi dan menyengih. “Lupa pula. Malam ni, boleh?”
“Malam ni?”
“Yup, lepas dinner.”

~Bersambung...~

2 comments: