April 3, 2015

Pembuka Hati (Jodoh itu Milik Kita 2) - Bab 4 & 5


BAB 4

TANPA menghiraukan Nuha yang sedang elok menonton televisyen, Adra melangkah laju ke arah bilik tidurnya. Sesudah menarik beg sandang di bahu dan membalingnya ke arah dinding, dia menyerbu bilik air. Berdentum pintu bilik air yang ditutup kuat. Usai terpacak di hadapan sinki, dia menarik keluar tudung yang dipakai, melemparnya ke lantai dan menyimbah muka dengan air. Berkali-kali sehingga menyebabkan sebahagian rambut paras bahunya menjadi basah.
      “Adra! Adra, kau okey tak?”
Pertanyaan Nuha dari luar menyapa gegendang telinga, disertai dengan bunyi ketukan. Langsung dia tidak membalas. Dibiarkan sahaja Nuha terpekik-pekik sendiri. Sebaliknya Adra memandang tepat pada wajah gadis yang terpantul pada cermin. Gadis yang terpalit dengan kesan tangisan di kedua-dua belah pipinya.
‘Kau ni kenapa, Ara? Tak reti-reti ke berhenti menangis? Berapa lama lagi kau nak jadi lembik macam ni?!’ tempik Adra dalam hati. Telapak tangannya dihentak ke atas sisi sinki. Kuat dan kasar. Kesakitan mula menyirap dalam pembuluh darah di tangannya. Akan tetapi Adra mengendahkan sahaja, seolah-olah tidak terkesan langsung rasa perit itu dalam dirinya.
Kemudian lambat-lambat dia menyapu wajahnya yang basah dan menegakkan tubuh. Riak muka tanpa perasan kembali ditayangkan, mencipta topeng yang sekian lamamenjadi watak utama dalam pementasaan ciptaannya sendiri. Langkah kakinya diangkat setapak demi setapak sebelum dia memulas tombol pintu.
“Adra…”
Adra mengangkat bebola mata pada Nuha yang masih lagi tercegat di luar pintu bilik air. Air muka kerunsingan terserlah pada wajah teman serumahnya.
“Berapa kali aku nak kena cakap? Jangan panggil aku Adra.” Sinis sekali suara Adra. Renungannya tajam memanah.
Nuha menggigit bibir. Dia terlupa lagi. Adra, sahabatnya ini memang pantang jika orang memanggilnya dengan nama Adra. Entahlah, dia sendiri pelik. Kalau sudah namanya Nur Adra, mahu dipanggil apa lagi?
“Sorry. So…kenapa ni? Kau okey tak ni?”
“Aku nampak tak okey, ke?” Adra bermain soalan, masih lagi dengan suara yang dingin membeku. Kemudian dia berjalan melepasi Nuha dan menghempaskan tubuh ke atas katil.
“Tak adalah. Tapi…”
“Kalau pun aku tak okey, itu urusan aku. Kau tak payah masuk campur,” cantas Adra agak keras.
Terlepas keluhan dari mulut Nuha. Sejak mengenali Adra tiga tahun yang lepas, gadis itu tidak sudah-sudah dengan ‘urusan aku’. Urusan apa, sehingga kala ini tidak pernah dikhabarkan. Yang pasti, Adra sentiasa berkeluh kesah. Satu-satunya saat sahabatnya itu akan tenang adalah tika menconteng dan melukis di atas kanvas kosong sebelum menukarkan kekosongan itu kepada hasil seni yang unik dan…gelap.
Ya, di dalam dunia lukisan, siapa yang tidak kenal A.R.A, pelukis yang mendapat jolokan nama‘Painter of the dark’? Sesiapa yang tidak pernah melihat hasil tangan Adra, pasti akan mengerutkan dahi, berasa hairan dengan gelaran sedemikian. Namun tika pandangan mata mereka melekap pada setiap lukisan Adra, pasti mereka akan memahaminya.
“Aku tengah bad mood. Kau keluar, boleh tak?”
Permintaan Adra yang lebih menyerupai sebuah arahan segera mematikan lamunan Nuha. Wajah kelat Adra dipandang sekilas. Bad mood? Huh, bila masanya Adra tidak bad mood? Kalau tiba-tiba dia dalam keadaan mood yang baik, itu sudah umpama keajaiban dunia yang kelapan!
“Kau tunggu apa lagi?” Kasar sungguh suara Adra sebelum dia melekatkan lengan di atas dahi. Matanya ditutup rapat bersama rasa lelah dalam hati. Beberapa saat kemudian, bunyi pintu bilik yang ditutup singgah di hujung telinga.
Adra melepaskan nafas dan membuka matanya kembali. Seakan-akan terbayang lagi wajah Nizam dalam kotak memorinya. Ya, Nizam yang sedang bercakap di telefon bimbit sambil ketawa dan menonong berjalan tanpa memandang sesiapa pun. Sungguh! Langsung tidak terjangkau dek akal fikiran Adra bahawa pemergiannya ke KLIA tadi untuk menghantar Soraya akan menemukan dia dengan manusia yang paling dibencinya itu.
Saat dia melihat senyuman Nizam tadi, hati Adra umpama dirobek kejam dan dicincang lumat tanpa secebis pun belas kasihan. Huh, berani kau tersenyum lebar, ketawa riang setelah apa yang kau dah buat pada aku? Setelah kau jahanamkan hidup aku?!
“Aku akan tetap cari kau, Nizam. Walau sampai ke lubang cacing sekali pun. Aku akan pastikan kau musnah dengan kedua-dua tanganku sendiri.” Dengan wajah tanpa emosi dan tangan yang dikepal kuat, Adra berdesis.
“Walaupun itu bermakna aku sendiri yang akan hancur lebur,” sambung Adra setelah suatu sudut hatinya dicucuk dengan rasa seriau dan seram yang bukan sedikit.
Seketika kemudian, wajah lelaki penyibuk yang memandangnya tanpa perasaan tadi pula menjelma. Yang enak-enak sahaja menyindir dan memarahinya. Serta-merta berganda perasaan berang dalam hati. Ah, kalau bukan kerana lelaki itu, pasti Nizam sudah jatuh ke dalam genggamannya.
“It’s you. It’s really you.”
Sekonyong-konyong bait bicara itu berdengung di peluput telinga. Tergaris kerutan tebal di dahi Adra. Apa maksud lelaki itu? Siapa dia? Apakah mereka saling mengenali? Dan yang paling penting…
Bingkas Adra bangun dan menyeluk saku seluar jeansnya. Sekeping not RM20 yang terpampang di hadapan mata, diteliti dengan rasa aneh.
“Apa yang kau bagi, aku akan balas. So, kosong…kosong.”
      Sedikit demi sedikit anak mata Adra mula membuntang. Dia!
*****
TERATAK yang suatu ketika dulu menjadi sebahagian daripada hidupnya dipandang lama. Dari luar, rumah ini kelihatan sama. Dengan pintu pagar besi dari warna hitam yang tinggi dan berukir indah, struktur dua tingkat yang gagah berdiri dan pokok-pokok menghijau yang menjadi penemannya. Ya, semuanya sama. Seolah-olah dia hanya meninggalkan rumah ini selama semalaman sahaja. Walhal, sudah empat tahun berlalu sejak dia memacakkan diri di ruang tamu dalam sebuah ketegangan, dengan segala macam emosi yang bertaburan keluar. Juga, dengan hukuman yang dijatuhkan padanya.
      Lambat-lambat Syafiq menarik nafas dan memejamkan mata. Sekonyong-konyong segala memori silamnya menerjah masuk. Inilah rumah yang terlalu banyak menyimpan siapa dirinya. Menyimpan kedukaannya, lukanya, kejahatannya dan semestinya kekejaman seorang manusia yang tidak layak bergelar manusia.
Dan itulah dia. Tuan Syafiq Tuan Haikal.

********

BAB 5

“SAYANG, dah siap ke?”
      Dahlia mengerling sekilas pada suami yang sudah pun melangkah masuk ke dalam bilik kelamin mereka. Aariz memandangnya dengan mata yang menyoal. Darina yang berada dalam dukungan pula kelihatan seronok bermain-main dengan kumis tipis bapanya. Tanpa dipinta-pinta, bibir Dahlia meleretkan senyum. Inilah dia kebahagiannya. Lelaki yang telah ditakdirkan sebagai jodohnya, pemilik tulang rusuknya dan juga bapa kepada anak-anaknya.
      “Sayang…”
      Lagi senyuman Dahlia melebar. Suara gemersik suaminya benar-benar membuatkan jiwa wanitanya terasa terbuai-buai.
      “Ni kenapa senyum seorang-seorang pula ni?”
      Suara Aariz kini kedengaran betul-betul di belakang telinga. Dahlia mengangkat anak mata, memandang tepat pada pantulan Aariz di cermin. Pertanyaan suaminya dibiarkan berlalu pergi. Malas mahu menjawab. Kalau dijawab nanti, bermacam-macam pula usikan yang bakal dipantulkan Aariz. Bukan dia tidak kenal dengan perangai nakal suaminya.
      “Alahai, dah cantik dah tu. Nak bersiap apa lagi?” omel Aariz. Matanya tidak lepas pada Dahlia yang sekejap-kejap membetulkan tudung, kemudian menempel bedak asas dan sesekali membelek-belek pakaian pula.
      Dahlia tertawa halus. Kemudian dia memusingkan tubuh. Tangan kanannya mencuit pipi Darina.
      “Dee sayang, tengok papa ni. Macam tak puas hati dengan mama aje.”
      “Hah, memang pun tak puas hati. Dah dia beriya sangat bersiap untuk jumpa lelaki lain, suami mana yang tak terasa hati?” Aariz membentak. Suaranya kedengaran jauh sekali.
      “Takkan cemburu kut, cik abang sayang?” usik Dahlia cukup bersahaja. Tidak terkesan langsung dengan tempelak suaminya.
            Aariz senyum sesaat sebelum mendekatkan wajah pada muka isterinya.
            “Cemburu kan tandanya sayang.” Suaranya mengalun bisikan lembut. Mukanya pula semakin dekat dan dekat. Cepat-cepat Dahlia menonyoh pipi Aariz dengan jari-jemarinya, mengelak dan kemudian mencicit keluar dari bilik.
      “Depan Darina pun nak menggatal. Tak malu!” Berkumandang komen Dahlia yang semakin menghampiri pintu.
      Meledak tawa Aariz sebelum dia melajukan derap kaki. Setelah berjaya menyaingi langkah isterinya, dia memeluk bahu Dahlia dengan sebelah tangan. Dahlia segera menghentikan langkah dan menjeling bagaikan memberi amaran.
      “What? Takkan peluk sikit pun tak boleh kut?” gerutu Aariz dengan muka tak bersalah.
      Dahlia menguntum senyum. Ada-ada sahaja suaminya ini. Nakalnya tidak pernah surut. Darina yang sudah mula merengek mahu beralih ke dalam dukungannya, diambil lembut.
      “Dia dah sampai ke, bang?” soal Dahlia sesudah mereka sama-sama menyambung langkah.          
      “Belum, tapi dah nak sampai rasanya. Tadi masa dia call, katanya lagi sepuluh minit.”
      Terangguk kepala Dahlia mendengar penjelasan Aariz. “Akhirnya balik juga dia, kan bang?”
      Aariz melirik ke sebelah, pada si isteri yang leka memandang ke hadapan. Tanpa sedar, tangan gagahnya mula menarik bahu Dahlia agar lebih rapat. Kepala isterinya hampir-hampir sahaja berlabuh pada dada bidangnya.
Dahlia segera menengadah dengan kerutan tebal di dahi. Keanehan dengan tingkah suaminya.
      “Are you okay? Dah ready nak jumpa dia?” Agak berbisik Aariz bertanya. .
      Kelu lidah Dahlia buat seketika. Mengingati sejarah antara dia dan Syafiq, hatinya tidak dapat menghalang sedikit rasa kurang enak yang menyerbu masuk. Namun cepat-cepat dia menghambatnya pergi. Ya, untuk apa memikirkan semua itu lagi? Untuk apa mengingati perkara yang sudah lepas? Biarlah sejarah itu tetap kekal sebagai sejarah semata-mata.
      “Sayang, kenapa senyap ni? Are you okay? Please, jangan buat abang bimbang.” Suara Aariz mula bergetar dengan rasa risau.
      Terselit rasa hangat di suatu sudut kalbu Dahlia. Aariz masih tetap seperti awal perkahwinan mereka, suka sangat menyoal sama ada dia okey atau pun tidak. Suka sangat membuatkan dia terasa sangat dihargai dan dijaga.
      “Haruslah okey, bang. Lagipun empat tahun dah berlalu. Tak ada gunanya kita simpan rasa tentang apa yang dah lepas, kan? Nanti tak pasal-pasal pula sakit jiwa. Abang mesti tak nak isteri abang sakit jiwa a.k.a gila, kan?” Dahlia akhirnya menjawab, memberikan balasan yang dikira dapat menyenangkan suaminya.
      Aariz tergelak kecil mendengarkan ayat terakhir isterinya.
      “Lagipun, Syafiq sekarang macam dah berubah, kan?”
      Soalan Dahlia membuatkan Aariz menyengap sejenak. Fikirannya menerawang pada Syafiq. Ya, dia juga sedar bahawa Syafiq sekarang sudah semakin berubah. Perbualan mereka di telefon yang kadang-kala itu sudah cukup untuk menggambarkan hakikat tersebut. Apa tidaknya, nada suara adiknya selalu sahaja tenang dan lembut. Jauh bezanya dengan Syafiq yang dahulu, yang sering kali menghadiahkan orang lain dengan kata-kata membunuh.
      “Abang…”
Seruan yang sayup-sayup kedengaran menyentak Aariz dan Dahlia. Serentak mereka memusatkan mata pada pintu masuk rumah. Di sebalik cahaya mentari yang memancar garang dari luar, terpacak sekujur tubuh yang sekian lama tidak ditatapi.
“Syafiq…” getus bibir Aariz dan Dahlia. Serentak.
Tanpa berlengah, Aariz melepaskan tangannya dari bahu Dahlia dan melajukan langkah menuruni tangga. Sebaik sahaja tiba di hadapan Syafiq, pantas Aariz meraih tubuh adiknya ke dalam pelukan.
“Akhirnya Fiq balik.”
Setiap inci tubuh Syafiq jadi keras. Sungguh dia tidak tahu apa yang patut dibuat. Reaksi apa yang patut diberikan. Pelik sekali rasanya menerima rangkulan daripada lelaki yang paling dibencinya dahulu. Dahlia yang berdiri tidak jauh di belakang Aariz dipandang sepi. Wanita itu hanya memerhati mereka sambil mendukung seorang anak kecil. Darina, mungkin.
“Fiq apa khabar? Sihat?” tanya Aariz setelah meleraikan pelukan.
Syafiq membungkam. Hanya sepasang matanya merenung Aariz yang menayangkan senyuman lebar. Abangnya kelihatan seperti gembira dengan kepulangannya. Langsung tidak terpalit rasa menyampah melihat wajahnya, wajah lelaki yang telah banyak mengucar-kacirkan kehidupan Aariz dan Dahlia.
Zup!Buat kesekian kalinya, Syafiq ditujah dengan rasa bersalah. Kenapa dulu dia buta dalam menilai betapa tulusnya hati seorang Aariz Danial? Kenapa dulu dia tegar menghancurkan dan cuba memusnahkan kebahagian lelaki ini? Dan yang paling penting….kenapa dulu hatinya terlampau dingin dan kaku sehingga sanggup mempergunakan Dahlia demi melampiaskan rasa benci dan dendamnya? Sedangkan Dahlia tidak ada kena-mengena langsung dalam persengketaan mereka?
“Fiq…”
Panggilan Aariz segera mengembalikan Syafiq ke realiti. Cepat-cepat dia tersenyum, walau terasa kelatnya senyuman itu. Terasa sangat palsu!
“Alhamdulillah, Fiq sihat. Abang pula? Semua orang macam mana?”
“Kami semua sihat, Fiq.”
Syafiq menoleh dan secepat itu juga dia menerpa ke arah tuan empunya suara.
“Umi!” Sekelip mata sahaja tubuh Puan Marina teguh berada di dalam rangkulan Syafiq. “Umi, Fiq dah balik. Fiq dah balik…”
Menitis air mata Puan Marina. Tubuh anak bongsunya dipeluk kemas, seakan tidak mahu tubuh itu pergi jauh daripada dirinya lagi.
“Umi...umi rindukan Fiq. Kenapa lama sangat Fiq pergi?”
Syafiq mendiamkan diri. Tanpa dapat ditahan-tahan, air mata lelakinya mula gugur, membasahi pipi. Namun kali ini, dia membiarkan sahaja. Biarlah dia dikatakan lemah atau pun dayus, dia sudah tidak peduli.
“Fiq minta maaf, umi…” tutur Syafiq di hujung telinga Puan Marina.
Perlahan Puan Marina melepaskan pelukannya. Wajah basah anaknya diusap-usap dengan penuh kelembutan.
Syafiq hanya terkebil-kebil sambil menggigit bibir, cuba menenangkan hatinya yang semakin sebu dengan rasa sebak. Umi, kenapa umi masih baik dengan Fiq? Dengan Fiq yang jahat ni?
“Tak ada apa, sayang. Tak ada apa untuk umi maafkan. Yang penting sekarang, Fiq dah balik. Fiq dah ada depan mata umi.”
Pantas Syafiq meraih jari jemari ibunya dan mengenggamnya erat.
“Fiq janji takkan pergi jauh lagi. Fiq akan jaga umi sampai bila-bila.”
“Hei, takkan dengan umi aje Fiq nak peluk?” Sedang mereka bermain emosi, ada suara lain yang menyampuk.
Syafiq menoleh ke arah pemilik suara dan melepaskan genggaman tangannya. “Abah.”
Lekas-lekas, Syafiq menghampiri ayahnya dan menyalami lelaki itu. Lama dia tunduk, mengucup belakang tangan Tuan Haikal yang bertindak mengusap rambutnya.
“Fiq minta maaf atas semuanya, abah. Fiq banyak sakitkan hati abah.” Masih lagi dalam keadaan menunduk, Syafiq bersuara lirih.
“Dahlah. Jangan diingatkan lagi perkara yang dah lama lepas,” balas Tuan Haikal sambil memegang bahu Syafiq, menyuruhnya anaknya itu mengangkat kepala. Syafiq hanya mengikut tanpa kata.
“Atuk, atuk…ni siapa?”
Tuan Haikal menundukkan kepala pada si kecil yang sedang menarik-narik hujung bajunya. Bibirnya mengulum senyuman paling manis.
Syafiq turut menjantuhkan pandangan. Jelas di matanya seorang anak kecil yang sedang terkulat-kulat memandangnya dengan penuh minat, seolah-olah dia adalah satu makhluk asing yang baru sahaja menjejakkan kaki ke Bumi.
“Yalah, atuk…uncle ni siapa?” Kali ini muncul satu lagi suara. Spontan Syafiq berpaling. Wajah yang sama tadi muncul. Berulang kali Syafiq memandang kedua-dua anak kecil itu. Dengan sepasang mata coklat yang membulat, kulit putih gebu, rambut hitam pekat dan bibir mungil yang merah, mereka jelas menampakkan iras wajah ibu bapa mereka.
“Adam, Azfar sayang…jangan kacau atuk dengan uncle.” Suara Dahlia menjengah telinga Syafiq. Suara yang kali terakhir didengar pada empat tahun yang lalu tetap seperti dahulu. Tegas tetapi masih dibaluti dengan kelembutan. Cuma kali ini kelembutan itu seakan semakin terserlah. Mungkin itulah kelembutan seorang ibu.
Lambat-lambat Syafiq melutut dan menatap anak saudara yang tidak pernah ditemuinya. Bibirnya tersenyum manis.
“Mana satu Adam, mana satu Azfar ni?”
Timbul riak nakal pada wajah Adam dan Azfar yang saling berpandangan. Kemudian serentak mereka bersuara. “Tekalah!”
“Ya Allah, budak berdua ni. Main-main pula dia orang,” tegur Dahlia sambil menggelengkan kepala. Adam dan Azfar memang begitu. Suka benar menyuruh orang lain meneka identiti mereka. Isy, suka sangat menyakat orang! Ini mesti ikut perangai papanya.
“Sayang, biarlah. Budak-budak ni nak main-main dengan uncle dia orang.” Aariz menyampuk seraya menghampiri isterinya.
“Nampak sangat perangai dia orang tu ikut perangai abang,” sindir Dahlia pada Aariz yang hanya tergelak kecil.
Dari ekor mata Syafiq dapat melihat dengan jelas abang dan kakak iparnya yang sedang ketawa galak. Terserlah kebahagian pada wajah kedua-duanya. Timbul sedikit rasa cemburu dalam hatinya. Tetapi dia sedar bahawa dia tidak layak pun untuk punya rasa cemburu begitu. Bahkan, dia sebenarnya tidak layak pun untuk punya keinginan untuk bahagia. Tidak layak!
“Uncle…uncle…uncle belum teka lagi.”
Syafiq kembali menghadap dua anak kecil di hadapannya. Kemudian dia memegang bawah dagu bersama kening yang terangkat tinggi. “Kalau uncle dapat teka, uncle akan dapat apa?”
Adam dan Azfar berpandangan. Salah seorang daripada mereka menyoal. “Uncle nak apa?”
      “Hmm…nak apa ya?” tanya Syafiq, sekadar melayan karenah anak saudaranya. “Nak kiss daripada….”
      “Adam.” Syafiq mencuit pipi kanak-kanak di sebelah kanannya. “Dan Azfar.” Kali ini pipi si kecil di sebelah kiri pula yang dicuit.
      “Macam mana uncle tahu…Adam ni Adam?” soal Adam dengan terpinga-pinga.
      “Azfar ni…Azfar?” tanya Azfar pula.
      “Sebab…” Syafiq menggerakkan keningnya atas bawah. “Uncle kan memang hebat. Uncle tahu semua benda. Macam Doraemon!”
      Tertawa kecil Syafiq dengan pengakuannya sendiri.
      “Ha’ah, uncle hebatlah! Adam suka!”
      “Uncle macam Doraemon! Azfar pun suka!”
      Tanpa disangka-sangka Adam dan Azfar meluru ke arah Syafiq. Tubuhnya dipeluk erat sebelum pipinya dicium bertalu-talu. Tergamam Syafiq dengan tindakan anak saudaranya. Pegun dia dalam rangkulan mesra sebelum lambat-lambat dia akhirnya membalas. Menerima pelukan sedemikian, timbul rasa dihargai dalam dirinya. Ya, terasa dirinya punya nilai di hati orang lain.
“Isy, budak-budak ni. Naik lunyai Syafiq dibuatnya.” Dahlia yang melihat mengomel sendiri. “Bukannya nak disalam pak ciknya, dah dibuat macam nak wrestling aje Lia tengok.”
Aariz tergelak besar sebelum mendekati anak-anaknya. “Adam, Azfar…dahlah tu. Uncle letih tu. Jangan kacau lagi.”
Usai mendengar kata-kata bapa mereka, Adam dan Azfar sama-sama melepaskan pelukan. Syafiq kemudiannya bangun dan berdiri.
“Kalau Adam dengan Azfar nak tahu, uncle ni adik papa,” jelas Aariz pada anak kembarnya.
Adam mengerunyutkan dahi. “Macam Adam dengan Azfarlah?”
“Ya, sayang.”
“Tapi muka papa tak sama dengan muka uncle,” balas Azfar pula.
Meledak tawa semua orang. Geli hati mereka dengan soalan naïf si cilik Azfar yang hanya termangu-mangu tidak mengerti.
“Papa dengan uncle bukan kembarlah, sayang,” sampuk Dahlia pula. “Sama macam Azfar dengan Adam…abang pada baby Dee, tapi bukan kembar.”
Terangguk-angguk kepala Adam dan Azfar. “Oooo, macam dengan baby Dee.”
Syafiq menalakan pandang pada Dahlia. Kejanggalan mula menyelubungi dirinya. Tidak tahu bagaimana harus mempamerkan reaksi di hadapan kakak iparnya, merangkap bekas tunangannya. Juga, gadis yang sudah banyak dilukainya.
“Syafiq, welcome back.”Tenang Dahlia bersuara. Sedaya upaya dia cuba berlagak biasa. Tidak mahu menampakkan rasa kekok. Lagipun dia juga boleh melihat dengan jelas ketidak selesaan yang dipamerkan Syafiq. Dan sungguh, dia tidak mahu adik iparnya terus-terusan berasa begitu. Apa yang lepas, biarlah berlalu pergi. Tidak ada gunanya diungkit-ungkit kembali.
“Err…ya, ya…thanks.” Sedikit tergugup-gagap Syafiq menjawab.
“Fiq pergilah rehat. Mak Jah dah siapkan bilik Fiq. Lepas ni kita makan sama-sama. Banyak yang umi dengan abah nak catch updengan Fiq,” sambung Dahlia lagi. Sempat matanya mengerling pada umi yang terangguk-angguk. Jelas riak gembira pada wajah itu. Dahlia sedar umilah orang yang paling bahagia dengan kepulangan anak kedua yang dinanti-nanti selama ini.
         Syafiq mengangguk kecil. Bibirnya masih seperti tadi. Kelu untuk menitipkan bicara. Ya Tuhan! Dia benar-benar buntu dalam berhadapan dengan Dahlia. Jika di awal kepulangannya tadi, dirinya penuh dengan keazaman untuk berdiri tegak di hadapan gadis itu dan mengucapkan kata maaf, tetapi kini dia jadi bungkam sendiri.

~Bersambung...~

Komen sangat dialu-alukan. TQ. =)

8 comments:

  1. SIS SARA, SUPERB! SUKA SANGAT - SANGAT. TERUTAMA PADA AARIZ D DAHLIA. SAMA SEPERTI JODOH ITU MILIK KITA, TAK BERUBAH.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tq sooo much, dear. Yup, depa dua org mmg x berubah...haha!

      Delete
  2. Yeayyy ade Aariz ngan Dahlia dah... Tq Sis..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ur welcome, kak. Eh, Aariz n Dahlia wajib ada...hehe

      Delete
  3. Hihi... Best2.. Tiba2 rasa nak senyum bila ada Aariz dan Dahlia..

    ReplyDelete
  4. kak sara, novel chan rak ter ada lagi tak kat kak?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ada lg, dik. Blh order dgn kak sara klu nak. Cara order ad kt bah 'tempahan novel' kt atas. 😊

      Delete