March 25, 2015

Pembuka Hati (Jodoh itu Milik Kita 2) - Prolog & Bab 1


PROLOG

“JAHANAM KAU, SYAFIQ!!!”
      Tergamam dia dengan kemunculan tiba-tiba lelaki itu. Keras segala urat sendinya. Matanya bulat membayangkan rasa terkejut dalam hati.
      “Berani kau buat dia macam ni? Berani kau sentuh isteri aku?!!!”
      Berkali-kali mukanya menerima habuan. Ditumbuk rakus.P ipinya terasa ngilu. Bawah bibirnya pecah lantas merembeskan titisan-titisan darah yang hanyir. Namun tetap juga dia terpacak tanpa reaksi, tercegat tanpa suara. Hanya emosi kosong yang bertebaran dari setiap inci wajah.
“Kau memang jahanam!!!”
      Kali ini tangkas dia menangkap pergelangan tangan lelaki tersebut. Anak matanya diangkat sedikit demi sedikit, memanah ke dalam sepasang mata lain yang mencerlung tajam. Zup! Hatinya tidak semena-mena dihentak rasa takut. Inilah kali pertama dia melihat renungan mata setajam ini daripada seorang lelaki yang cukup terkenal baiknya. Renungan mata pembunuh yang bagaikan menanti saat sahaja untuk mencarik-carik setiap inci isinya daripada tulang-temulang.
“Abang…”
      Bebola matanya terkalih pada si pemilik suara. Secepat itu juga, pergelangan tangan lelaki yang masih berada di dalam genggamannya direntap kuat. Lelaki tersebut kemudiannya bergegas mendapatkan wanita yang menyerunya tadi.
      “Sayang…sayang…abang kat sini, sayang…”
      Tepat pandangannya pada segala adegan di hadapan mata. Lelaki itu yang sedang mengusap-ngusap rambut isterinya yang lemah, menyeka air mata wanita tersebut yang bercucuran turun dan berkali-kali juga memujuk lembut.
“Umi…”
Dia terhenyak saat mendengar seruan itu. Semerta perhatiannya ditalakan pula pada wanita separuh umur yang terkulai tidak jauh dari kedudukannya berdiri.
“Umi!!! Ya Allah, umi!!!”
Lambat-lambat kakinya terundur ke belakang. Bibirnya terketar-ketar bersama tubuh yang menggeletar kuat. Jantungnya turut berkocak hebat, penuh kekalutan dan kecelaruan.
“Aku…aku tak sengaja…aku…aku….”
Kepalanya digelengkan beberapa kali sebelum dia akhirnya memusingkan tubuh. Laju dan semakin laju kakinya berlari keluar. Pergi! Dia harus pergi dari sini. Dia harus pergi jauh daripada wajah-wajah yang bersilih ganti menghantuinya. Wajah penuh kebencian lelaki itu, wajah pilu gadis itu dan yang paling penting…wajah lembik wanita yang patut dicium kakinya, ibu kandungnya sendiri!
“Arghhh!!!”
Terbangkit tubuh Syafiq daripada pembaringan. Dadanya yang hanya dilapisi singlet putih berombak kuat. Wajah yang dibasahi peluh diraup perlahan. Kemudian dia kembali menyandarkan tubuh pada kepala katil. Keluhan demi keluhan tercetus lemah dari bibirnya yang pucat.
“Umi…Dahlia…”
*****
“ARGHHH!!!”
      Kasar dia membaling bantal empuk yang tadi terletak elok di sisi kiri kepalanya.
      “Kenapa? Kenapa aku mesti mimpikan benda tu lagi?!”
      Kali ini dia menumbuk tilam berkali-kali. Kasar dengusan nafasnya yang bersaling sabung dengan tumbukan yang tidak sudah-sudah. Usai melepaskan geram, dia kembali melabuhkan belakang di kepala katil. Turun naik dadanya dihenyak emosi perit. Sesekali dia mengetap bibir yang terketap-ketap di sebalik tangisan yang cuba dikekang. Setitik air matanya yang tetap degil menitis jua. Namun cepat-cepat diseka.
Cukuplah! Cukuplah sudah dia menangis selama berbelas tahun. Kenapa perlu ada lagi mimpi-mimpi hitam yang tidak sudah-sudah mengganggu tidurnya yang tidak pernah lena? Kenapa dia mesti terus ‘melihat’ semuanya saat dia mengatup mata? Apakah tidak cukup segala penderitaannya di kala matahari mencanak tinggi, maka dia harus diseksa sebegitu rupa saat bulan mengambang di malam yang kelam pula?
Perlahan, dia menyelak gebar yang tadi membaluti sebahagian tubuh dan menjatuhkan kaki ke atas lantai. Lemah longlai tubuhnya mendekati meja solek sebelum dia menarik laci. Sebotol pil dikeluarkan dan ditatap lama. Tanpa dipinta-pinta, sekali lagi setitik air matanya menitis. Dua biji pil kemudiannya disumbat ke dalam mulut dan seperti malam-malam sebelum ini, ditelan rakus bersama memori pahit yang tidak akan mungkin dapat dihapuskan dan dilenyapkan daripada sebuah kehidupan yang lebih kejam daripada sebuah kematian.
Dengan pandangan mata yang kosong dan tubuh yang terhuyung-hayang, dia kembali merebahkan diri ke atas katil. Sedikit demi sedikit lututnya diangkat merapati dada dan dia akhirnya mengerekot, seakan-akan cuba melindungi diri dalam sebuah kokun yang tidak bisa dilihat dengan mata kasar seorang manusia.
“You’re okay, Nur Adra. You’re okay. Tak…tak, kau bukan Adra. Kau cuma…Ara.”

******************

BAB 1

PERSEKITARAN KLIA yang dipenuhi manusia-manusia pelbagai ragam diperhati satu per satu. Sesekali nafasnya digali sedalam-dalamnya, menyedut udara Kuala Lumpur yang sudah lama ditinggalkan. Seperti dahulu, masih lagi bersulamkan anasir-anasir pencemaran alam sekitar yang cuba dibendung dengan penghawa dingin yang tidak terasa sejuknya.
      Empat tahun! Empat tahun lamanya dia meninggalkan tanah tempat tumpah darahnya, menjadi seorang manusia yang bergelar pelarian. Lari daripada hakikat kehidupan yang menyakitkan, lari daripada diri sendiri yang terlampau banyak cacat celanya dan yang paling penting…lari demi mencari siapa Tuan Syafiq Tuan Haikal yang sebenarnya.
Apakah masih tersisa sifat seorang manusia dalam sekujur jasadnya? Apakah masih ada sedikit ruang untuk dia mencari sebuah ketenangan yang tidak pernah langsung wujud dalam kehidupannya? Dan apakah akan tiba saatnya dia berhak untuk membebaskan diri daripada penjara itu? Penjara yang selama ini membelenggu, merantai setiap satu nadinya hingga ke jiwanya yang paling dalam. Penjara yang dihadiahkan oleh seorang wanita tulus yang bernama Dahlia Darius.
      “Saya maafkan awak, atas segala apa yang telah awak buat selama ini.”
      Itulah bait bicara yang sekian lama menghantui dirinya, tidak ubah seperti suatu sumpahan yang melaknat diri. Kemaafan? Huh, kadang kala kemaafan itulah hukuman yang paling kejam buat pesalahnya. Kemaafan yang tidak ubah seperti penjara yang akan sentiasa memerangkapnya dengan rasa bersalah. Ya, dia lebih rela dihukum secara terang-terangan daripada dibiarkan lepas bebas untuk menjalani rasa bersalah ini. Kerana ianya sangat menyakitkan!
      Kini tercegat dia di sini untuk membebaskan diri daripada rasa sakit itu. Sudah tiba masanya untuk dia berdiri tegak di hadapan Dahlia dan mengungkapkan kata-kata maaf yang tidak pernah langsung terpacul dari bibirnya. Sungguh, hanya itu sahaja caranya untuk dia memperoleh kebebasan daripada penjara kemaafan yang dihadiahkan oleh kakak ipar merangkap bekas tunangannya itu.
      “I’m back. Finally…” getus Syafiq perlahan. Jaket hitam kulitnya ditarik lebih rapat ke dada, menampilkan gaya ranggi yang kini menjadi sebahagian daripada dirinya. Kemudian dia mengheret bagasi dan memulakan langkah.
Baru sahaja beberapa tapak dia berjalan, telinganya menangkap bunyi hingar-bingar. Kepalanya tertoleh sendiri sebelum…
“Tepilah!!!”
Bum! Sekelip mata sahaja Syafiq merasakan tubuhnya melayang ke belakang sebelum terhempap ke atas lantai. Serentak itu juga dadanya terasa ditindih sesuatu.
‘Apa pula ni?’ Tergapai-gapai tangannya bergerak cuba memegang kepala yang mula berpinar-pinar.
“Aduh…”
Sekonyong-konyong suara seorang perempuan hinggap di peluput telinga. Dekat sekali! Syafiq menelan air liur. Akal fikirannya mula dapat menangkap apa yang telah berlaku. Apatah lagi bauan wangi yang sangat feminin mula menusuk-nusuk hidungnya.
Perlahan-lahan Syafiq menggerakkan bebola mata ke arah dada. Muka seorang gadis yang sedang terkelip-kelip padanya menjamah pandangan. Suasana jadi bening seketika. Hanya mata masing-masing yang saling bertatapan, saling memanah. Sorakan dan siulan nakal yang menjadi bunyi-bunyian latar belakang kedengaran sayup-sayup sahaja di telinga Syafiq. Jantungnya mula terasa sesak. Sebu. Tidak mungkin! Tidak mungkin dia!
“Lepaskan aku.”
Syafiq tersentak. Cepat-cepat dia meleraikan tangan kirinya yang sedang elok memeluk pinggang gadis tersebut. Entah bila masa tangannya melekat di situ, dia juga tidak pasti.
Tanpa menunggu lama, gadis tersebut bangkit, merengus padanya dan berlalu pergi. Sedar daripada rasa terkejut, Syafiq bingkas bangun dan mula mengejar. Langkahnya laju mendekati gadis itu yang sedang berlari-lari anak sambil meliarkan pandangan ke kiri dan kanan. Seakan mencari sesuatu. Atau mungkin juga…seseorang.
“Tunggu!” Sekejapan, pergelangan tangan si gadis ditaut. Dan sepantas itu juga direntap kuat.
“Apa ni?!” Syafiq diserang dengan tempelak yang cukup lantang.
“Saya…” Lidah Syafiq kelu sendiri. Tidak tahu apa yang patut dituturkan. Entahlah, dia juga tidak pasti sama ada benar apa yang dilihatnya atau mungkin sahaja mereka hanya sekadar pelanduk dua serupa.
“Kerana kau, aku tak boleh kejar dia. Kerana kau, jantan keparat tu lepas lari. Kau tahu tak?!” Lagi Syafiq disembur. Sepasang mata milik gadis itu berdesis penuh kegarangan.
Syafiq membiarkan sahaja. Pandangannya padu dan kejap pada wajah merah padam itu. Setiap inci diteliti penuh minat. Dari dahinya yang sederhana luas, kening yang elok terukir, mata yang sedikit coklat, hidung mancung dan bibir yang terketap-ketap menahan marah.
“Yang kau tengok aku macam tu kenapa?” Suara kasar gadis tersebut mula mengendur dan berbaur syak wasangka.
Tanpa secalit balasan, Syafiq menapak selangkah ke hadapan, merapatkan jurang antara mereka. Automatik tubuh di hadapannya mengundur setapak ke belakang.
“Apa…apa kau nak buat, hah?”
           “It’s you…” sela Syafiq akhirnya, antara dengar tak dengar. Anak matanya diangkat hingga tepat ke dalam sepasang mata yang mula membundar itu. “It’s really you…”

~Bersambung...~

Yup, prolog dan Bab 1 pendek sikit...hehe. Tapi, next chapter panjang. Kalau sudi komen, komenlah, ya. Cik SA sangat2 menghargai. TQ. =)

11 comments:

  1. Arghhhh sikitnya... Xpuas... Kali ni bace mmg terbayang la muka syazwan zulkifli as syafiq... Hehehe xsabonya nak peluk cium buku ni... :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. itulah, mmg pendek bab 1 ni. saje nk berhenti part suspen...hehe

      Delete
  2. alahai secoet je. xpuas pulak baca.

    hee tapi best la sis. ^-^

    ReplyDelete
  3. Arghhhhhh....stresss...hahahaah..x puass...x sabarr nak baca full..hehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. haha!! full kena tunggu lagi sebulan. okeylah, next chapters sy letak panjang sikit, ya. =)

      Delete
  4. best2...mmg terbayang muka syazwan utk watak syafiq...hehe..cpt smbung ya..

    ReplyDelete
    Replies
    1. kan? ms sy tulis manuskrip pun asyik terbayangkan Syazwan je..hehe

      Delete