Assalamualaikum, darlings
Seperti diwar-warkan, Cereka Cinta mengandungi tiga buah mininovel. Ryu, yang hot, ganas dan cold korang dah kenal, kan? So, kali ini Cik SA memperkenalkan sebuah lagi mininovel. Sebagai kelainan, DBC adalah novel POV1. Fefeeling 'aku' gitu....hehe
I'm Not A Monster, Cik SA takkan upload sambungan dah sbb nk perkenalkan mininovel yg lain pula. So, kalau nak sambung dating dgn Ryu, bolehlar order kompilasi mininovel Cereka Cinta, ya. TQ sooooo much!
So, without further ado, enjoy DBC!
******
BAB
1
“JODOH? Huh! Jodoh tu cuma alasan
aje!! Tak ada makna langsung!!”
Terbuntang luas mataku mendengar
setiap patah kata yang terbit daripada bibir suami yang baru sahaja aku nikahi.
Tadi sewaktu aku mengatakan bahawa akhirnya kami dapat bersama kerana jodoh,
Amsyar tiba-tiba sahaja ketawa. Bukan ketawa biasa yang aku gemar, tetapi
ketawa yang kedengaran terlalu jelik di gegendang telinga.
“Abang?” Hanya itu sahaja yang mampu
terluah daripada kerongkongku. Amsyar kulihat cuma tersenyum sinis sambil
melabuhkan punggung ke atas sofa. Kemudian dia merenungku dari atas ke bawah,
bagaikan menelanjangiku dengan renungan tajam membunuhnya itu. Perasaan tidak
selesa automatik menyerbu masuk.
“Kau tahu tak, kenapa aku kahwin
dengan kau?”
Dahiku mula berlapis. Aku, kau?
Sejak bila ada ‘aku’ dan ‘kau’ di antara kami berdua? Mana hilangnya ‘abang’
dan ‘sayang’ yang kami guna selama ini? Soalan jenis apa pula yang dia soal
tadi? Aku dan dia sudah bercinta selama dua tahun lamanya. Bukankah…bukankah
kami bernikah kerana saling mencintai?
“Kita…kita kan…aaahhh!!!” Belum pun
sempat aku menyudahkan kata, tidak semena-mena Amsyar menarik aku ke arahnya
lantas membuatkan aku mendarat ke atas ribaannya. Wajahnya cuma beberapa inci
jauhnya daripada wajahku sendiri. Dekat!
“Apa…apa...abang buat ni?” Tersekat-sekat
suara yang terpacul. Segenap muka terasa membahang. Seperti tadi, senyuman maha
sinis tersungging di bibir Amsyar. Seketika kemudian tangan kanannya mula
menjalar ke pipiku.
“Apa ni?!” Tanpa sedar laju sahaja
aku menempelak perbuatannya. Tangan itu ditepis kuat. Entah kenapa aku berasa tidak
selesa dengan perlakuannya, walhal dia sudah sah menjadi suamiku.
“Kau tanya apa tadi? Apa ni? Huh,
kau ingat apa aku buat? Kau tu….” Tiba-tiba Amsyar memegang belakang leherku
dan menarik wajahku mendekati mukanya.
Aku sedikit terpana sebelum akhirnya
bertindak merenung tajam ke muka Amsyar. Kami bersabung mata. Amsyar mencerlung
tajam umpama helang mencari mangsa. Saat itu, aku seperti dapat melihat suatu
perasaan yang kelihatan terlalu berlainan dalam sepasang mata itu. Tidak ada
lagi cinta dan sayang yang selalu dihadiahkan buat diriku. Yang tinggal
cuma….kebencian?
Oh, Tuhan! Hampir-hampir sahaja aku
menekup mulut. Amsyar, lelaki yang paling aku sayangi, suamiku
sendiri….membenciku? Tapi...tapi kenapa?
“Kau tu isteri aku. Dan aku boleh
buat apa sahaja yang aku nak pada kau.”
Berdesing telingaku mendengar tutur
katanya yang dingin dan mendatar. Amsyar yang selama ini romantis dan lembut
sudah hilang entah ke mana. Yang tinggal di hadapanku kini adalah lelaki yang langsung
aku tidak kenali. Lelaki yang dinginnya terlampau!
“Aku akan buat kau….menderita,”
bisik Amsyar ke telingaku.
Mataku terbeliak. Hatiku pula terasa
seperti ditusuk belati yang paling tajam, dirobek-robek dengan cukup kejam.
“Apa abang cakap ni?” Perlahan aku
menyoal kembali. Mataku sudah pun berkaca-kaca.
Buat kesekian kalinya Amsyar
mempamerkan senyuman sinis. Dan dengan setiap senyuman sinis itu, secebis
hatiku seperti dibawa pergi. Tidak! Bukan dibawa pergi tetapi dibunuh kejam!
“Aku kahwin dengan kau sebab aku nak
hancurkan kau.”
Duniaku terasa berdentum. Jantungku
terhentak kuat. Sekelipan aku terbangun daripada ribaan Amsyar. Segenap tubuhku
mula menggeletar. Tutur katanya sebentar tadi berdengung-dengung di hujung
telinga. Dia mahu hancurkan aku? Amsyar, lelaki yang bertahun-tahun menjadi
kekasihku sebenarnya mengahwiniku kerana mahu menghancurkan aku? Apa semua
ini?!
Amsyar menyandarkan tubuhnya ke sofa
dengan lagak penuh selesa. Sebelah tangannya diangkat ke belakang leher.
Matanya pula tidak lepas daripada meratahku.
“Kau ingat aku cintakan kau? Huh!
Pergi jahanamlah dengan perasaan cinta kau tu!!” jerkah Amsyar tiba-tiba.
Bahuku
terhinjut. Terkejut!
“Kau tahu tak berapa lama aku tunggu
saat ni? Berapa lama aku terpaksa berlakon cintakan kau sebab nak kau jatuh ke
genggaman aku? Dua tahun! Dua tahun aku terpaksa maniskan muka depan kau
sedangkan dalam hati ni, aku nak sangat cekik-cekik kau sampai mampus!!”
Aku mengetap bibir kuat-kuat. Air
mata yang sedari tadi hanya bergenang di tubir mata akhirnya bercucuran turun.
Ya Allah! Pedihnya hatiku saat ini. Hancur lumat sekeping hati ini mendengarkan
setiap patah kata yang keluar daripada mulut Amsyar.
“Ke…kenapa? Apa Ana dah buat? Apa
dosa Ana?”
Tidak semena-mena Amsyar bangun dari
duduknya. Dengan gaya yang cukup perlahan, dia menapak, dekat dan semakin dekat
bersama wajah yang sangat keras. Aku menelan air liur. Sedikit demi sedikit aku
berundur ke belakang. Namun belum pun sempat aku menjauh, Amsyar terlebih
dahulu merengkuh bahuku. Cengkamannya cukup kuat.
“Sa…sakit…” Aku bersuara dengan
wajah yang menyeringai kesakitan.
“Kau tanya aku kenapa? Baik kau
tanya papa kesayangan kau tu, apa dia dah buat pada keluarga Adam.” Tanpa
mempedulikan aku yang kesakitan, Amsyar menjawab. Dingin sekali! Seketika
kemudian dia melepaskan pegangan di bahuku dengan cukup kasar. Dek kerana tidak
dapat meneka tindakannya itu, aku terjelepuk jatuh.
“Aduh!” Aku mengaduh sambil
memandang Amsyar yang hanya membalas pandanganku dengan kosong.
“Bangun. Jangan nak buat muka sedih
kat situ,” sinis suamiku itu. Tiada langsung biasan rasa bersalah atas
kekasarannya tadi.
“Bangun…aku cakap,” selanya lagi. Kepalanya
sedikit ditundukkan padaku yang masih elok terduduk di atas lantai.
Perlahan aku menyeka air mata dan
bangkit. Punggungku yang terasa perit dibiarkan sahaja. Ah, apalah sangat rasa
sakit itu jika dibandingkan dengan betapa hancurnya hatiku saat ini!
“Pergi mandi,” arah Amsyar sambil memusing
tubuh.
Aku terkaku di belakang suamiku yang
kelihatan tegap. Bagaikan perasan akan tingkah bingung aku, dia menoleh dengan
kening yang terangkat.
“Malam ni kan malam perkahwinan
kita. Mestilah kau kena bersih, kena wangi untuk aku.”
Tersirap darah panas ke wajahku.
Setelah apa yang dia ucapkan tadi, berani sungguh dia berkata begitu? Kurang
ajar!
Perlahan aku menggenggam kedua-dua
tanganku. Perasaan sebak yang sedari tadi bertamu dalam diri sedikit demi
sedikit berubah menjadi amarah. Amsyar fikir kerana dia suami, dia ada hak
untuk memperlekehkan maruah aku? Apa dia fikir kerana aku ini seorang isteri,
aku akan biarkan dia perlakukan sewenangnya padaku? Tidak! Aku bukan perempuan
yang boleh diperkotak-katikkan begitu!
“Takkan ada malam perkahwinan antara
kita.”
Usai aku
menyudahkan kata, kedua tangan tegap Amsyar hinggap lagi di bahuku. Kasar dia
menolak tubuh kecilku hingga melekat ke dinding. Terpana aku dengan tindakan
drastik lelaki itu. Namun sesaat cuma! Kerana selepas itu aku dengan berani
mengangkat pandangan dan merenung tajam. Aku mahu dia tahu bahawa walau sedalam
mana pun perasaan cinta aku pada dia, aku takkan biarkan dia perlakukan aku
begini. Takkan!
“Kau tak
layak untuk cakap macam tu. Aku akan buat apa sahaja yang aku nak pada kau. Dan
aku nak kau balas balik atas segala perbuatan Dato’ Johari pada keluarga aku.
Aku nak kau musnah.”
Dengan
bisikan dingin itu, Amsyar mendukung dan membanting tubuh genitku ke atas
katil.
“Apa…apa
awak nak buat?” Takut-takut aku menyoal. Tubuh yang separuh baring diangkat
kembali.
“Kau
fikir?” Amsyar menyinis tajam. Baju melayu yang membaluti tubuh sudah pun
ditarik keluar.
“Jangan…”
rayuku sambil menolak tubuh ke hujung katil. Tetapi, Amsyar lebih cepat
bertindak. Hujung kakiku ditarik lantas membawa aku kepadanya kembali. Tubuhku
dipusing dengan cukup rakus, menempatkan diriku betul-betul di bawahnya. Muka
garangnya kini benar-benar dekat dengan mukaku. Berdengus-dengus!
“Please, Amsyar.
Don’t do this to me.” Lagi aku
merayu. Air mataku meleleh laju, menahan rasa takut dan perit. Namun tiada
guna. Bahkan Amsyar semakin menguatkan cengkaman di kedua-dua belah pergelangan
tanganku. Sesaat kemudian, suami yang baru aku nikahi, suami yang sepatutnya
melindungiku bertukar menjadi syaitan. Ya, syaitan yang bertopengkan manusia!
Dan
aku….apalah sangat kudratku untuk melawan tenaga seorang lelaki? Yang termampu
aku lakukan hanyalah menangis dan menjerit dengan suara yang tersekat di celah
kerongkong.
‘Ya
Allah!!! Selamatkan aku….’
*****
RAUT wajah yang terpantul di
hadapan cermin itu aku tatap dengan pandangan mata yang mati. Sembab, buruk,
hodoh. Itulah yang terpampang. Kemudian anak mataku ditalakan pula pada kesan
lebam yang ternampak di leher, bahu dan lengan. Mengingati segala yang sudah
terjadi membuatkan setiap inci tubuhku bergetar kuat. Pelbagai perasaan
membuak-buak dalam diri. Benci! Marah! Hina! Jijik! Keji! Semuanya bergaul
sebati, membuatkan aku jadi menyampah melihat wajah sendiri.
‘Perempuan jenis apa kau ini, Nurul
Jannah? Kenapa kau tak boleh pertahankan diri kau sendiri? Kenapa kau biarkan
dia buat macam tu pada kau? Kenapa?!!!’
“Kerana dia suami kau? Kerana dia
berhak?” Suaraku meletus perlahan, menjawab monolog yang tidak sudah-sudah.
“Tak…tak.” Aku menggelengkan kepala.
“Mungkin benar dia suami kau, Jannah. Tapi dia tak ada hak untuk buat kau macam
tu. Tak ada!”
“Hei!!!”
Bahuku terjongket. Bunyi ketukan
yang bertalu-talu di pintu bilik air menghentak gegendang telinga. Ekor mataku
dilirik ke arah pintu yang tertutup itu.
“Apa yang kau lama sangat dalam tu?
Buka pintu ni!”
Sekali lagi aku membasuh muka.
Rambut yang basah diselit ke belakang telinga. Nafas pula ditarik dalam-dalam.
Aku mahu menayangkan muka yang kuat. Muka yang tidak terkesan dengan apa yang
sudah berlaku, walhal seluruh diri, hati, jiwaku sudah remuk redam. Tiada apa
lagi yang tertinggal!
Langkah diangkat satu persatu,
hingga aku akhirnya terpacak di hadapan muka pintu. Bibirku digigit sesaat
sebelum tombol pintu dipulas. Wajah Amsyar tersembul jelas. Masih dengan lagak
sinis yang serupa.
“Tak perlulah kau cuci diri kau lama
sangat. Hakikatnya kau dah kotor.”
Berderau air mukaku. Terketar-ketar
tanganku menahan diri daripada menampar mulut lancang lelaki ini.
“Ya, kau memang betul. Aku dah jadi
kotor sebab aku disentuh lelaki kotor macam kau. Lelaki jijik. Lelaki keji!” balasku
kasar. Sudah aku buang jauh-jauh perkataan ‘Ana-abang’ atau ‘saya-awak.’ Kau
yang mahu beraku-kau, itu yang kau dapat, Amsyar!
Riak muka Amsyar tampak berubah.
Rahangnya terketap-ketap. Matanya memerah. Menyinga!
“Well,
you’re right. Aku memang lelaki jijik, lelaki kotor. Dan…” Amsyar mendekat
dan memerangkapku ke dinding. Kepalanya diturunkan menyamai aras mukaku. “Tugas
kau adalah layan lelaki keji ini.”
Aku tidak menjawab. Sebaliknya aku menyepetkan
mata, membalas renungannya. Lelaki yang menjadi pujaan hati selama ini,
kupandang dengan rasa marah yang meluap-luap. Aku memang bodoh kerana mencintai
dia. Memang bodoh!
“Hmm, wangi…” Tanpa semena-mena,
Amsyar mengubah laku. Suaranya lembut dan perlahan. Tetapi aku tahu, dia cuma
menyindir. Atau lebih tepat lagi, menghinaku.
“Macam nilah isteri aku,” sela
Amsyar lagi. Mukanya semakin didekatkan. Cepat-cepat aku memusing kepala ke
sebelah kiri. Tidak rela disentuh. Namun secepat itu juga, Amsyar memegang
bawah daguku dan membawa mukaku kembali menghadapnya. Kemudian dengan kasar,
dia memagut bibirku.
Mataku terbeliak sejenak sebelum aku
meronta-ronta. Tanganku terkapai-kapai cuba menolak tubuh kekar Amsyar.
Seketika berlalu, Amsyar akhirnya
menghentikan tindakannya.
“Kau memang…” desisku di sebalik
bibir yang terketap-ketap.
“Kenapa? Mahu tampar aku? Mahu buat
adegan macam dalam drama tu?” sindir Amsyar sambil menayangkan pipi ke
hadapanku.
Aku mengepal kedua-dua belah tangan.
“Huh, kau jangan harap boleh buat
macam tu pada aku. Lagi kau berkasar dengan aku, lagi aku akan kerjakan kau.
Jadi lebih baik kau behave.” Usai
menghamburkan kata berbaur amaran, Amsyar lenyap di sebalik pintu bilik air.
Lalu tinggallah aku terkontang-kanting
dengan rasa pedih dalam hati. Sakit! Perit!
******
“ANAK papa macam mana?”
Suara girang papa bergema di hujung
gagang telefon. Aku menyengap tanpa kata. Apa yang bermain-main dalam fikiranku
cuma kata-katanya.
“Baik kau tanya papa kesayangan kau
tu, apa dia dah buat pada keluarga Adam.”
“Aku nak kau balas balik atas segala
perbuatan Dato’ Johari pada keluarga aku.”
Ingin sekali aku membuka mulut dan
terang-terangan menyoal papa. Namun lidahku kelu, seolah-olah ada gumpalan besar
yang menyekat aku daripada melantunkan pertanyaan. Bagaimana kalau jawapannya
akan meremukkan lagi hati yang sudah remuk ini? Bagaimana kalau papa
benar-benar sudah membuat sesuatu kepada keluarga Amsyar? Bagaimana kalau papa
ada kena-mengena dengan hakikat Amsyar adalah anak yatim piatu? Entahlah, aku
tidak fikir bahawa aku sanggup untuk mendengar hakikat yang sedemikian rupa.
Aku tidak sanggup melihat papa sebagai seorang pemusnah, penghancur keluarga
orang.
Dahulu, saat aku dan Amsyar
bercinta…konon-kononnya, dia sukar sekali membuka mulut tentang keluarganya.
Apa yang aku tahu cuma, Amsyar adalah seorang anak yatim piatu. Dia kehilangan
seluruh ahli keluarganya sewaktu berusia lima tahun. Amsyar berusaha
sendiri untuk menjadi seperti dia sekarang, seorang penganalisa kewangan yang
berjaya, malahan pernah bekerja di Wall Street Journal. Kerana itulah, aku
dengan senang dan bodohnya membuka hati kepada lelaki itu. Kerana aku fikir dia
adalah seorang lelaki yang sangat bertanggungjawab, yang sanggup berusaha dari
bawah, yang tidak memerlukan pengaruh ibu bapa dalam membuat apa-apa pun,
seperti kebanyakan sahabat-sahabatku yang rata-rata dari golongan anak-anak Tan
Sri dan Datuk.
“Ana! Ana!”
Aku tersentak. “Ya, ya, papa.”
“Kenapa senyap aje ni? Rindukan
papa, ya?”
Senyuman kelat terkulum di hujung
bibir. Kepalaku terangguk dengan rasa hati yang mula sebak. Kalaulah papa tahu
apa yang sudah berlaku, pasti papa sanggup terbang kembali pulang ke sini.
“Ana rindukan papa. Sangat-sangat,”
jawabku dengan suara yang ditahan-tahan, tidak mahu papa mengesan apa-apa yang
tidak kena.
“Aduh, anak papa ni manja sangat.
Kan dah ada suami tu, bermanja sajalah dengan dia.”
Bermanja dengan Amsyar? Huh, jauh
panggang dari api. Apa yang lelaki itu tahu cuma menyakitkan aku.
“Papa minta maaf, sayang. Lepas aje
majlis Ana, papa terpaksa fly ke
sini. Bila dah selesai urusan, balik ya. Ana nak apa-apa tak?”
Ya, seusai majlis pernikahan aku dan
Amsyar, papa terpaksa ke Sweeden demi urusan perniagaan. Lalu tinggallah aku
sendiri bersama suami yang membenci diri ini.
“Ana…”
“Ana tak nak apa-apa. Ana just nak papa.”
Papa tergelak di sebelah sana. Ah,
pasti papa fikir aku cuma bercanda sedangkan apa yang baru terluah itu
benar-benar datang dari hati.
“Isy, tak habis-habis manja dia.
Kalau nak papa, Ana kena tunggu lamalah. Papa masih ada banyak urusan di sini.”
“Tapi…”
“Ana sepatutnya berterima kasih pada
papa, tau. Sebab papa bagi privacy
pada Ana dan Amsyar.” Usikan papa diakhiri dengan tawa halus.
Aku menjuih bibir. Gurauan yang
sepatutnya menggeletek hati itu tidak menyentuh hati langsung, bahkan
membuatkan aku kepanasan.
“Okeylah, papa kena pergi dulu. Take care, sayang. Love you. Assalamualaikum.”
Baru sahaja aku mahu menghalang,
papa terlebih dahulu meletakkan telefon. Keluhan aku lepaskan sekali. Dalam
diam, aku menjawab.
‘Waalaikumussalam.’
~Bersambung...~
Jahat kan hero kali ni? Huh, menyampah! Haha...
Mencik haku! Ahahaahaha. Eeii!! Geramnyee!!!
ReplyDeleteHaha..jahat mcm hero cite siam jgk. :)
ReplyDeleteWahhhh serius benci dgn hero nih... Huhuhu sabo je la..
ReplyDeleteWhy sooo kejam? Huhu!
ReplyDeletebest nak lg.
ReplyDeleteRasa nak tembak je Amsyar ni! Urghhhh
ReplyDeleteBunuh Amsyar terus la..
ReplyDeleteMacam mana nak beli buku tu kak?
ReplyDeleteboleh emel di novelissaraaisha@gmail. =)
Delete