July 24, 2013

Encik Sayang dan Miss Sweetheart - Bab 11 & 12


BAB 11

“MISS SWEETHEART yang manis…”
            Sepasang mata mummy mula membulat besar.
            “Yang comel…”
            Daddy mula menunjukkan muka teruja.
            “Yang manja….”
            Fiya mula mencebik sambil menunjukkan gaya nak muntah hijau.
            “Yang…”
            Along dan Kak Long tersenyum-senyum sendiri. Motif?
            “Angah tak tahu pun apa nama dia!”
            Nah, ambil sebiji! Ingat dia nak teruskan permainan gila ciptaan Safiya? Yalah, sejak bila pula Miss Sweetheart itu jadi calon isteri Syamil Imran? Oh, well…kalau difikirkan, dia macam lebih elok daripada Misha. Tetapi…eh, sekejap! Apa pula aku melalut ni?
            “Apa maksud Angah?” Tanpa menunggu lama, Puan Rozana menyoal.
            Syamil tersenyum lebar dan menjeling pada Syafiya. “Maksudnya….si Fiya ni, bagi harapan palsu pada mummy.”
            “Mana ada! Hari tu Fiya sendiri dengar…”
            “Dengar apa? Hah? Dengar apa? Dengar angah sebut-sebut Miss Sweetheart?” cantas Syamil cepat-cepat. Tidak mahu Safiya terus-terusan memecahkan tembelangnya.
            “Yalah…” Syafiya sudah mula memuncungkan mulut. Budget comel sangatlah tu.
            “Safiya Humaira, kalau tak tahu apa-apa…jangan serkap jarang, tau. Tak elok. Apa yang keluar dari mulut tu boleh dikira fitnah kalau ianya tak benar.” Syamil berceramah sambil cuba menahan rasa geli hati. Tiba-tiba sahaja muncul sisi imam muda dia. Imam Muda Syamil. Hmm, bunyinya agak sesuai.
            “Oh, Angah nak cakap Fiya tipulah, kan?”
            “Mana ada Angah cakap Fiya tipu. Angah cakap…kalau tak tahu apa-apa, jangan cakap apa-apa.”
            “Eleh, Angah sebenarnya nak lari, kan?”
            “Nak lari pergi mana? Lari dari rumah?” Syamil memberikan jawapan loyar buruk.
            “Isy, Angah ni kan!” Safiya makin kegeraman. Kedua-dua belah pipi membahang merah.
            Syamil membuat muka selamba. Dibiarkan sahaja keluarganya yang  lain sekejap-sekejap membuang pandang padanya dan kemudian pada Safiya. Masing-masing menayangkan fiil kebingungan.
            “Mummy, tengok Angah ni!”
            “Dah, sudah! Kau orang dua beradik ni sama aje. Depan rezeki pun nak bergaduh. Tak berkat, tahu.” Akhirnya Prof. Suhaimi bersuara. Naik pening kepalanya dengan perangai dua anaknya ini. Pantang bertemu mata, ada sahaja yang jadi bahan pertengkaran. Nak dikata bermusuh atau hubungan tidak elok, tidak juga. Syamil dan Safiya memang rapat antara satu sama lain. Tetapi…itulah, saling suka mengusik dan menyakat.
            “Tapi…mummy tetap nak tahu. Siapa Miss Sweetheart tu?” Sekonyong-konyong soalan Puan Rozana berkumandang. Segala bebelan suaminya ditolak ke tepi. Apa yang paling penting baginya sekarang adalah siapa gerangannya gadis yang tiba-tiba dikaitkan dengan Syamil. Apatah lagi, dengan gelaran yang cukup unik itu.
            Syamil mengeluh panjang. Alahai, mummy ni. Nak juga tahu. Memang gagal ke tahap negatif percubaan dia mahu lari daripada persoalan itu tadi. Ekor mata Syamil mengerling pada Safiya yang sudah pun menjongket kening. Ceh, mengada-ngada!
            “She’s…just someone. Yang penting, memang bukan calon isteri Angah.”
            “Dah panggil anak dara orang dengan panggilan macam tu, bukan calon isteri lagi?” perli Puan Rozana.
            “Well, itu…” Berkerut dahi Syamil. Okey, cepat fikir. Nak cakap apa ni? Sebab dia panggil Angah ‘Encik Sayang’, jadi Angah panggil dia ‘Miss Sweetheart’. Saja nak bagi sedondon. Perfect matching gitu.
            ‘Wei, gila kau Syamil! Kalau cakap macam tu, tak pasal-pasal pula esok kau kena pergi masuk meminang dia.’ Cepat-cepat Syamil menempelak diri sendiri.
            “Angah, I’m waiting…”
            Aduh, mummy ni. Tak sabar-sabar pula.
            “Angah panggil dia macam tu sebab…Angah tak tahu nama sebenar dia.”
            “Jadi…dalam banyak-banyak gelaran yang ada dalam dunia ni, Angah pilih Miss Sweetheart?” sampuk Syahril pula. “Hmmm….”
            Erk! Apa maksud ‘Hmmm…’ itu? Along nak cakap apa pula ni?
            “Yalah, daddy pun rasa macam…ada something ni.” Prof. Suhaimi turut menyertai anak isterinya dalam ‘menyerang’ anak teruna bongsu yang sudah macam cacing kepanasan.
            “Ya Allah! Mana ada apa-apa. Dia dan Angah tak ada apa-apa. Takkan jumpa dah pun,” jelas Syamil, mula kegeraman dengan perangai keluarga yang tidak habis-habis mahu mencucuk. Namun entah kenapa, kata-kata di hujung bicaranya bagaikan menyentap perasaannya sendiri.
            “Iya ke takkan jumpa?” sinis Syahril, masih dengan wajah nakalnya.
            “Betullah. Dia sendiri yang cakap macam tu.”
            “Hah, apa yang Angah dah buat pada dia sampaikan dia cakap macam tu?” sergah Puan Rozana tiba-tiba.
            “Angah dah kena dump, ek?” Suara mengejek Safiya pula menyapa telinga.
            Lagi terlepas keluhan dari mulut Syamil. Aduh, makin lama dia di sini, makin gila dia jadinya. Kena lari cepat-cepat ni!
            “Okeylah, teruskanlah dengan spekulasi anda semua. Mengalahkan Melodi!” Pinggan diambil, punggung diangkat dan kerusi ditolak ke belakang.
            “Nak lari, nampak?”
            Syamil menayangkan sengih palsu pada abangnya yang baru menyindir. “Bukan lari, jalan aje.”
            Kemudian…zup!! Mencicit Syamil membawa diri ke dapur. Mahu membasuh tangan dan selepas itu melenyapkan diri daripada mereka-mereka yang tidak habis-habis dengan isu dia dan Miss Sweetheart. Sungguh, apalah yang tak kena dengan semua orang? Mahu juga menyebut-nyebut si gadis yang pantang diusik itu. Tetapi…
            ‘Hisy, bibir ni senyum pula,’ gerutu Syamil pada diri sendiri kala tersedar diri sedang tersenyum lebar. Apakah motif anda senyum macam ni bila teringatkan dia, Encik Syamil Imran oi?           
*****
“MIN, lepas ni kita buat mesyuarat tergempar. Agenda utama…calon suami untuk kakak.”
            Suara ayah terngiang-ngiang di hujung telinga bagaikan kaset yang rosak. Berulang-ulang kali dan cukup menghantui.
            “Haish, memeningkan kepala orang saja!” Pantas Orked bangkit dari pembaringan. Kepalanya digaru-garu lagak orang gila.
            ‘Don’t tell me…emak dengan ayah memang nak cari calon untuk aku? Wei, tak mahulah! Dahsyat tu!’ Terherot-herot mulut Orked mengomel dalam hati. Keluhan demi keluhan dilontarkan. Aduh, naik sesak dia fikirkan tentang ini.
            Tidak semena-mena, segala drama Thailand dan Melayu berkisarkan kahwin paksa yang pernah ditonton berlegar dalam fikiran. Orked menelan air liur yang terasa kelat. Oh, tidak! Tidak! Tidak mungkin ibu bapanya sanggup berbuat demikian padanya. Ini bukan zaman ortodoks. Ini dah zaman semua benda touch screen, wifi segala…takkanlah emak dan ayah nak buat macam tu, kan? 
            “Err, tak...tak. Dia orang takkan buat macam tu. Ya, takkan.” Berkali-kali Orked cuba memujuk diri sendiri sambil menganggukkan kepala. Tetapi entah kenapa, hatinya berbicara yang lain. Dan yang lain itu mungkin adalah sesuatu yang bakal merubah hidupnya pada skala tiga ratus enam puluh darjah.


BAB 12

DARI SEBALIK titisan-titisan air jernih yang melitupi sebahagian cermin kafe, Orked membuang pandang ke arah luar. Hujan masih lagi seperti tadi. Lebat dan mencurah-curah. Sesekali Orked menggigit bibir tanda kebimbangan. Bagaimana dengan dia nanti? Punya payungkah? Akan basahkah?
            Buat sekian kalinya, Orked memeriksa telefon bimbit. Manalah tahu ada mesej yang masuk atau ada panggilan yang tidak didengari. Kosong. Tidak ada. Terselit rasa geram di ulu hati. Sudah banyak kali dia menelefon, sudah bermacam-macam cara dia tinggalkan pesanan. SMS, Whatsapp, Wechat...namun tidak ada satu pun yang berbalas.
            Bunyi loceng kala pintu kafe dibuka dari luar menangkap perhatian, lalu Orked menoleh ke hadapan. Mulutnya mencetuskan nafas lega. Orang yang dinanti-nanti akhirnya tiba dan kini melambai-lambai padanya.
            “I’m so sorry. Abang ada hal tadi,” ucapnya sebaik sahaja duduk betul-betul di hadapan Orked.
            “Abang basah...” Orked betutur, memberikan reaksi yang tiada kena-mengena dengan apa yang baru sahaja dilafazkan sang jejaka.
            Amril tersenyum kecil. Kepalanya dipusing-pusing sedikit, mahu membuang air yang masih melekat di rambut. Rambut itu kemudiannya dikirai dengan tangan, sebelum sebahagiannya jatuh menutupi dahi. Jaket yang dipakai ditanggalkan dan disangkut ke kerusi, lantas meninggalkan dia dalam sehelai kemeja berwarna putih yang melekat elok pada tubuh tegapnya.
            Segala gerak laku Amril diperhati oleh Orked. Perlahan-lahan dia meneguk air liur. Pipinya terasa membahang. Alamak, rasa macam tengok adegan tak sepatutnya pula. Kenapa Abang Am nampak seksi dan hot sangat ni?
            “Orked...”
            Pegun. Diam. Kaku.
            “Orked!”
            “Hah? Ya, saya!” Orked tersentak.
            Lagi Amril mengulum senyum. “Orked ni kenapa? Pandang abang macam pandang hantu aje.”
            Menyerbu rasa segan yang berlipat kali ganda dalam diri Orked. Malu akibat tertangkap dengan perbuatannya tadi.
            ‘Orked...Orked, tolong behave boleh tak? Reti malu sikit!’
            “Err...abang...abang tak bawa payung, ya?” Tergugup-gagap Orked cuba membuka mulut. Entah apa yang dia cakapkan, dia sendiri pun tidak pasti.
            “Abang dah basah kuyup macam ni, mestilah sebab tak bawa payung.”
            Okey, dia rasa macam nak jadi kura-kura dan sorok kepala dalam cangkerang. Sesi memalukan diri sekali lagi. Bagus, Orked. Bagus!
            “Lama ke Orked tunggu abang tadi?” tanya Amril sambil mengeluarkan telefon bimbit dan memeriksanya.
            “Tak lama sangat. Dalam sepuluh minit aje.”
            Amril memanggung muka ke arah Orked. “Orked ada call and mesej abang tadi? Sorry, abang silencekan phone.”
            “Oh, no problem. Orked cuma risaukan abang. Dengan hujan lebat macam ni, takut apa-apa jadi. But since you’re already here, jadi Orked dah tak payah risau apa-apa lagi.” Agak panjang lebar Orked menjawab namun tidak mendapat sebarang reaksi daripada Amril. Sebaliknya lelaki itu hanya tegak merenung Orked tanpa berkelip. Pandangan matanya tunak dan sayu.
            “Abang...”
“Orked....risaukan abang?”
Suara Amril kedengaran tenggelam timbul sahaja menjamah telinga Orked lalu membuatkan dia kenehan.
            “Ha’ah. Kenapa? Tak boleh ke?”
            “Eh, mana ada abang cakap macam tu.” Cepat-cepat Amril menggelengkan kepala sambil tersenyum. Namun senyuman itu sekadar hiasan bibir semata-mata, sekadar melindungi hati yang dirundung hiba.
            “So, what do you want? Orked belanja. To welcome you back to Malaysia.”
*****
TANGANNYA bergerak dengan laju, melakar rekaan pada kertas putih. Sesekali dia menggigit bibir dan mengerutkan dahi, memikirkan langkah-langkah seterusnya.
            “Mil...” Suara Hazri muncul dari sebalik muka pintu studio.
            “Hmm...” Tanpa menoleh, Syamil menjawab.
            “It’s confirmed.”
            Tutur kata Hazri kali ini mula menarik perhatian Syamil. Tangannya terkaku sendiri manakala kepalanya laju terngadah pada sahabat yang kini terpacak di hadapan, dengan dipisahkan oleh meja kerjanya.
            “Seriously?” Bulat mata Syamil dengan rasa teruja.
            “Jangan excited lagi. Buat masa sekarang kita cuma setakat secure an appointment with Ivory. We still have to see what comes after.”
            “Well, at least we’re on the right track. So, bila tarikhnya? Pukul berapa?”
            “Lagi dua hari, 3 petang. Kat Ivory’s HQ.”
            “Okay, then. Harap-harap semuanya akan baik-baik saja. Kalaulah kita dapat letakkan design kita di Ivory, it would bring our fashion house to a whole lot new level. Orang akan lebih kenal House of Syamil Imran,” luah Syamil dengan wajah yang penuh pengharapan. Itulah salah satu impiannya. Melihat hasil rekaannya tergantung dan terpampang di Ivory, salah sebuah rangkaian gedung pakaian terbesar di Malaysia, yang terkenal dengan rekaan dan fesyen yang eksklusif.
Pasukan pereka untuk Ivory pula bukan datang dari calang-calang. Kebanyakannya adalah pereka-pereka yang telah menempa nama di dalam industri fesyen tanah air. Namun sayangnya, Ivory lebih menumpukan kepada fesyen wanita. Tetapi baru-baru ini, dia telah mendapat maklumat bahawa Ivory ingin mencipta koleksi kapsul untuk pakaian lelaki. Bagi Syamil, berita tersebut tidak ubah seperti rezeki dari langit. Inilah saat yang dinanti-nantikan selama ini.
*****
STEAK di hadapan mata dipotong lambat-lambat. Sesekali Orked mencuri pandang pada lelaki yang bungkam di hadapannya. Bibirnya diketap sesaat. Suasana yang terasa hening antara mereka benar-benar membuatkan dia kebuntuan. Tadi setelah dia dan Amril memesan makanan, masing-masing tiba-tiba sahaja menyengap. Sungguh, setelah dua belas tahun tidak bertemu, dia jadi tidak tahu apa yang patut dikatakan. Otaknya mula ligat berfikir.
            ‘Abang sihat?’
            Abang Am tampak sifat walafiat sahaja di matanya.
            ‘Abang dah makan?’
            Baru order makan kut. Sah-sah dia belum makan.
            ‘Abang buat apa sekarang? Abang dah kahwin? Abang dah ada anak?’
            Isy, banyak pula soalan peribadi yang kau nak tanya, Cik Orked? Tak patut betullah!
            Tanpa sedar, Orked mengeluh. Keadaan senyap ini betul-betul membuatkan dia tidak senang duduk. Abang Am ni pun satu, cakaplah something!
            “Orked tak nak tanya ke?”
Tanpa semena-mena suara garau Amril bergema. Bagaikan mengerti apa yang sedang bermain dalam fikiran Orked.
            “Tanya pasal apa?”
            “Pasal apa dah jadi lepas abang ke New York.”
            Tangan Orked yang sedang memotong steak terkaku sendiri. Kepalanya masih menekur ke bawah, langsung tidak memandang Amril.
            “Kenapa abang dah tak balas e-emel dan surat Orked. Orked tak nak tahu ke semua itu?”
            “Semuanya dah lepas, kan? Tak perlu ungkit-ungkit lagi.” Tenang Orked menjawab. Kemudian dia menyumbat potongan daging ke dalam mulut.
            “Tapi...”
            “Abang, Orked rasa tak ada gunanya kita bercakap pasal benda yang dah lama lepas. Orked percaya abang dah ada hidup abang sendiri, dan Orked pun dah ada hidup Orked sendiri. Apa yang pernah ada antara kita tu, anggap saja macam satu pengalaman, satu kenangan.” Penuh ketegasan Orked mencantas. Sungguh dia tidak mahu lagi memikirkan hal-hal yang sudah lepas. Dia tidak mahu lagi terkesan dengan apa yang telah berlaku. Dia tidak mahu lagi mengingati dirinya sebagai Orked Amani yang menangis kerana seorang lelaki. Tidak!
            Amril membungkam. Renungan matanya tajam memanah, cuba membaca gadis yang sedang menikmati makanan di hadapannya. Sedetik hatinya terasa hiba. Ya, melihat ketenangan dan perlakuan bersahaja Orked membuatkan dia berasa sakit. Pedih. Perit. Ini bukan reaksi yang dia harapkan daripada Orked. Dia mahu Orked marah padanya, geram, mengamuk pun tidak apa! Kerana dia tahu jika Orked bertindak sedemikian, itu bermakna dirinya masih punya tempat di hati gadis itu.
            Tetapi sayangnya, yang bertebaran di hadapan matanya saat ini cuma wajah tenang dan manis Orked. Gadis itu kelihatan sangat bersahaja, sangat selamba. Malahan, masih boleh tersenyum dan tertawa padanya. Tidak adakah rasa geram, marah dan benci yang tersisa buat Amril Syahran? Kenapa harus tenang begitu? Sesungguhnya, ketenangan itu cuma menunjukkan bahawa Orked Imani sudah lama melepaskan Amril Syahran pergi menjauh dari hati dan jiwanya.
            “You know what…” ucap Amril akhirnya. Antara dengar tak dengar.
            Orked menengadah muka dengan pandangan mata yang menyoal.
            “Bila Orked cakap macam tu, Orked kedengaran matang. Bukan macam Orked yang dulu.”
            Automatik terlepas tawa dari mulut Orked. “Mestilah, bang. Takkanlah Orked nak tunjuk perangai budak tujuh belas tahun macam dulu kut. Itu namanya tak sedar diri dah tua.”
            Sekejapan Amril tergelak kecil. Namun kedengaran sangat janggal di telinga Orked. Bagaikan menyimpul seribu satu rahsia hati.
            “Orked mana ada tua,” lafaz Amril, sekadar melayan karenah wanita di hadapan mata.
            “Well, kalau dibandingkan dengan abang, memang Orked tak tua.” Selamba Orked membalas.
            “Eh, itu nak cakap abang ke yang dah tua?”
            “Ops, terasa ke cik abang oi?” Lagi Orked mengusik. Keningnya diangkat turun bawah. Nakal.
           Amril tidak terus menjawab, sebaliknya dia memerhati setiap perlakuan Orked. Tanpa sedar bibirnya mula membentuk senyum. Kali ini bukan lagi hiasan bibir semata-mata, tetapi benar-benar datang dari hati. Hati yang kembali meraung-raung nama Orked Imani, sepertimana dua belas tahun yang lalu.
            
~Bersambung...~


14 comments:

  1. mmg dah agak encik sayang dgn miss sweetheart mmg dah ada ikatan lama dah... ;) ngeeee best!!!!

    ReplyDelete
  2. Ohhh....both parents pernah buat akujanji nak satukan Miss Sweetheart dengan Encik Sayang ya? Hah! Mahu terkejut badak depa dua orang ni kalau betul kan? Fun....

    ReplyDelete
    Replies
    1. mmg! mmg akan terkejut, terkejung segala...haha

      Delete
  3. woahhhh..bru b'kesmpatan bca n cik SA den xsabo da ni nk tnggu next entry..hehe

    ReplyDelete
  4. Lamanya tngu en sayang dgn miss sweetheart,akhrnya tlpas jga rndu.He

    ReplyDelete
    Replies
    1. itulah, cik penulis dia ni mmg siput snagat...huhu

      Delete
  5. erkkkkkkk ada yg pengsan bila dpt tau ni heheheh

    ReplyDelete
  6. macam mana la reaksi orked ngn syamil nti kalo derang tau yg derang da btunang eh...
    xsabar nk tnggu

    ReplyDelete
  7. cik sa...sgt best...n sgt tak sbr nk baca..cepat2 la update..n bt novel ke...

    ReplyDelete