February 16, 2013

Chan Rak Ter...Aku Cinta Kamu [Bab 4]



BAB 4

KASAR Dian membaling beg sandangnya ke atas katil. Kemudian dia melabuhkan duduk dan menekup muka ke dalam kedua-dua tangan. Haish!! Marahnya dia sekarang. Dan…malunya dia! Macam manalah mamat tu tahu aku nampak dia kat kolam hari tu? Dia ada mata kat belakang kepala ke apa?
            “You…have to be responsible.”
            Sekonyong-konyong suara lelaki itu bergema di hujung telinga. Sekarang mengertilah dia akan maksud kata-kata tersebut. Bertanggungjawab kerana dia telah menghendapnya? Tetapi, sejak bila pula ada istilah seorang wanita perlu bertanggungjawab kalau melihat tubuh seorang lelaki? Lagipun, bukannya dia melihat lelaki itu tanpa seurat benang pun.
            “Eleh, jiwa kecik betul. Benda macam tu pun nak berkira bagai. Entah-entah ramai dah perempuan yang pernah tengok body dia. Tak pun…dia tu playboy. Nampak gaya, macam sesuai sangat jadi lelaki gatal.” Terherot-herot mulut Dian mengata dan mengumpat.
            “Dan yang paling penting sekarang….” Dian memusingkan tubuh ke belakang. Kedua-dua kakinya disilang, elok sahaja dia bersila di atas katil. Mukanya dihadapkan ke arah dinding yang memisahkan biliknya dengan bilik sebelah. “Macam mana pula dia ni boleh duduk kat sebelah bilik aku ni? Huh, mesti dia akan kacau aku lagi.”
*****
SINGLET putih dari bagasi dikeluarkannya dan disarungkan ke tubuh. Rambutnya yang basah dikirai dengan tangan. Kemudian dia merebahkan tubuh ke atas katil dengan lengan yang separuh menutupi dahi. Tidak semena-mena wajah cemberut gadis tadi menyapa kotak memori. Semerta bibirnya menyorot senyum. Gadis itu benar-benar melucukan.
            Sejujurnya, bukanlah niatnya untuk mengusik begitu. Sementelah pula, dia tidak pernah bersikap sedemikian dengan mana-mana wanita sekali pun. Lebih-lebih lagi seorang asing. Tetapi gadis yang seorang ini agak berlainan. Seakan-akan ada sesuatu yang istimewa padanya, walhal wajahnya bukanlah secantik mana pun. Hanya sedap mata memandang. Dan kerana itu, dia bagaikan tertarik-tarik untuk menjadi sang penyakat.
            Dia masih ingat waktu pertama kali melihat gadis tersebut. Dia sedang berehat-rehat di lobi hotel saat sebuah tuk-tuk muncul dan seorang gadis turun. Dengan seluar palazo berwarna jingga, T-shirt biru tua yang agak besar dan tudung berbunga-bunga, gadis tersebut memang kelihatan menyerlah. Dan yang paling menarik perhatiannya adalah raut wajah selamba itu. Entahlah, kelihatan selamba dan berani benar. Kalau tidak, masakan boleh terpacak di bumi asing ini seorang diri tanpa ditemani sesiapa.
            Jiwa nakalnya jadi membuak-buak saat perasan bahawa dirinya diperhatikan waktu di kolam renang semalam. Bukanlah dia mahu mengada-ngada, kerana bagi seorang lelaki, apalah sangat kalau ada mata melihat tubuhnya. Tetapi sengaja dia mahu membuatkan jiwa gadis tersebut tidak keruan. Pasti narak (comel) sekali!
            Ternyata perkiraannya memang tepat. Gadis yang tidak dikenali nama itu benar-benar jadi menggelabah dan mencuit hatinya yang selama ini agak kontang.
            Kring! Kring! Kring!
            Bunyi telefon merenjatkan fikirannya. Setelah melepaskan keluhan, dia mengambil telefon bimbitnya dan menekapkannya ke telinga.
            “Khun Klaharn!! (Tuan Klaharn!!)”
            Automatik telefon bimbitnya dijauhkan dari telinga. Hampir pecah gegendang telinganya mendengar jeritan si pemanggil.
            “Where have you been??”tanya suara itu lagi, masih bernada tinggi.
            “A-rai krap? (Apa?)” tanya Karn dengan cukup bosan.
            “Mint bagitahu Tuan tak ke rumah. Tuan pergi ke mana?”
Karn mendengus, sedikit keras. Tidak gemar sungguh dia dengan nada mendesak dan menggesa yang hinggap di telinganya, walaupun nada itu sebenarnya terpacul keluar dari mulut Uncle Sukrit, pembantu setia keluarga Thanasukolwit yang sudah berpuluh tahun berkhidmat kepadanya.
            “Saya cuma seorang, tak perlu untuk saya ke Kaew Villa.”
            Fikiran Karn mula membayangkan country house milik keluarganya yang tersergam indah di suatu kawasan berdekatan bandar Hat Yai, tidak terlalu jauh dari kedudukan hotel yang didiaminya sekarang. Vila yang digelar Kaew Villa itu jarang-jarang sekali dikunjungi. Kunjungannya ke situ hanya pada waktu dia punya urusan di Hat Yai atau Songkhla. Tetapi kali ini dia tidak mahu ke rumah itu. Tidak betah rasanya tinggal di vila yang besarnya sehingga boleh memuatkan puluhan orang, tetapi yang ada cuma dia dan dua orang pembantu rumahnya, Mint dan Kong.
            “Tuan…”
            “Uncle, saya akan stay kat mana sahaja yang saya suka,” cantas Karn sebelum sempat Uncle Sukrit membantah lagi.
            “Tapi….”
            “Uncle, kat mana pun saya tinggal tak penting, kan? Yang lebih penting adalah urusan saya di sini selesai dengan jayanya. And don’t worry, it won’t take long until everything is resolved.” Sekali lagi Karn menyampuk. Tegas dan agak keras.
Bukan dia bermaksud untuk kurang ajar dengan Uncle Sukrit, lelaki yang sudah dia kira seperti bapanya sendiri, tetapi jika dia tidak bertindak demikian, pasti dia harus mendengar bebelan dan ceramah percuma daripada lelaki itu. Dan itu adalah sesuatu yang paling dia tidak gemar!
            “Okey, tapi Tuan harus berhati-hati. Kita tak tahu apa yang Sakda akan buat.”
            Sedikit terdiam Karn saat nama Sakda ditimbulkan. Nama itulah yang sering menghantuinya sejak kebelakangan ini. Semuanya gara-gara surat itu.

            Klaharn Thanasukolwit, the heir of Thanasukolwit family….kita tengok berapa lama lagi kau akan jadi pewaris dan ketua keluarga ini!

Sakda

Bagi Karn, surat tersebut tiada makna langsung. Ah, itu cuma surat ugutan biasa! Tetapi tidak bagi Uncle Sukrit. Menurut Uncle Sukrit, surat itu harus diambil peduli. Surat itu adalah surat ugutan yang menjurus ke arah satu rancangan untuk menjatuhkannya, untuk menghancurkannya. Dan dia, Klaharn Thanasukolwit tidak boleh sesekali jatuh menyembah bumi. Dia harus terus tegak berdiri penuh keangkuhan, tanpa walau sebesar zarah pun kepincangan.
“Jangan bimbang, uncle. I know how to take care of myself,” tekan Karn setelah beberapa saat mendiamkan diri.
Jelas di telinga Karn, bunyi keluhan Uncle Sukrit sebelum lelaki itu akhirnya menjawab. “Okey, kalau ada apa-apa, terus inform uncle.
“Hmm…” jawab Karn pendek sebelum mematikan telefon bimbitnya. Dia kembali mengangkat tangan kanannya dan meletakkan tangan itu ke atas dahi. Kedua-dua matanya dipejam rapat-rapat bersama keluhan panjang.
Mengingati siapa sebenarnya dia dan identitinya yang boleh dikira gah, Karn jadi lelah sendiri. Ya, lelah menjadi pewaris dan ketua keluarga Thanasukolwit, keluarga bangsawan Thai yang bermastautin di daerah Pak Chong. Kadang-kala dia ingin sekali menjadi orang biasa, yang bisa melakukan apa sahaja tanpa perlu memikirkan sebab-akibat terhadap nama keluarga, perniagaan dan pekerja bawahannya.
*****
ROTI bakar di hadapan matanya disumbat ke dalam mulut. Tubuhnya pula disandarkan di kerusi dengan lagak cukup selesa. Seronok pula rasanya dapat menikmati sarapan pagi di beranda bilik seperti ini. Dikelilingi pula oleh pohon-pohon menghijau dan kebiruan kolam renang yang tenang.
            “Stalking again?”
            Erk! Tersedak Dian saat suara itu mengetuk peluput telinga. Terkial-kial dia cuba mencapai secawan kopi yang terletak di atas meja. Dengan rakus dia menghirup sehingga terasa kerongkongnya yang tersumbat tadi kembali normal. Kemudian dengan wajah kegeraman, dia menjeling tajam pada wajah lelaki yang tersengih-sengih di beranda sebelah.
            “Err, sorry. Are you okay?”
            “Sorry-sorry, naik lorilah. Awak ingat saya ni apa? Sesuka hati saja sergah orang macam tu! Dah tu, selamba badak dia aje tuduh kita macam-macam!” Laju Dian menyembur lelaki itu dalam Bahasa Malaysia. Biar padan muka dia itu. Bukannya dia boleh faham BM pun.
            Terkelip-kelip kedua-dua mata lelaki itu. Riak kebingungan tertera di segenap wajah. Namun hanya untuk sesaat, kerana apa yang keluar dari mulutnya selepas itu benar-benar membuatkan Dian terlopong besar.
            “Ganas juga awak marah orang, ya?”
            Tertelan air liur Dian. Takkanlah…takkanlah dia faham cakap aku? Dia ni bukan orang Thai ke? Orang Melayu ke ni?
            “Awak…faham?”
            Karn menyilangkan tangan ke dada. “Mestilah faham.”
            “Awak orang Melayu ke?”
            “Saya nampak macam orang Melayu ke?” Karn bermain soalan. Sengaja mahu mengusik lagi.
            “Manalah saya tahu. Orang kat sini macam sama aje dengan orang kat Malaysia.”
            Terbentuk senyuman kecil di bibir Karn. “Saya ni…Thai tulen. Saya cuma fasih berbahasa Melayu.”
            “Oooo.” Hanya itu sahaja yang dibalas oleh Dian. Selebihnya dia malas mahu terus berborak-borak dengan lelaki ini.
            “Itu aje?” soal lelaki itu tiba-tiba.
            “Habis tu apa lagi?” jawab Dian sambil kembali mengalihkan fokus pada sarapan paginya.
            “Kan saya dah cakap…”
            Dian mengerling dengan anak mata.
            “Awak kena bertanggungjawab pada saya sebab awak intai saya dua hari lepas.”
            Terketap-ketap bibir Dian. Perlahan-lahan dia meletakkan kembali sudu dan garfunya ke atas pinggan.
            “Okay, fine! Apa awak nak saya buat?” 
            Lelaki tersebut menguntum senyuman lebar. Akan tetapi nampak sangat nakal pada pandangan mata Dian. Dah, sudah! Dia nak suruh aku buat apa pula ni?


5 comments:

  1. done bace novel kedua awak.. seriously satu malam jer dah abis,,bez sangat..menarik..suke novel thriller camtu..sangt suke pade KARN dan DIAN..sweet bngat..

    ReplyDelete
  2. saya pun dah selesai baca novel ni...serius saya sendiri sudah jatuh hati dengan watak Karn...novel thriller the best...

    ReplyDelete
    Replies
    1. awww, thanks, dear. Khop khun maak na ka...=)

      Delete
  3. Reading....i loikeee...hehe..suspen...panas..romantik..mcmcm tgk drama thai plak..n mmbaygkan pelakon lelaki thai yg sy suka..haha...gud job sis sara...gaya penulisan sis sy suka..matang..mcm novelis aisya sofea.n anis ayuni...tahniah--->elin nur

    ReplyDelete