January 6, 2012

Jodoh itu Milik Kita - Bab 13


BAB 13

SYAFIQ menggosok tapak tangannya beberapa kali dan menghembuskan nafas ke tangannya. Angin sejuk bumi Wellington membuatkan tubuhnya sedikit menggeletar. Sudah hampir dua bulan dia berada di sini, sejak dia meninggalkan rumah pada malam sebelum hari pernikahannya.

“Hari pernikahan…”

Syafiq tersenyum sinis mengingatkan hal itu. Terbayang wajah umi dan abah yang beriya-iya mahukan dia berkahwin dengan perempuan itu. Siapa namanya? Syafiq mengerutkan dahi, cuba mengingati nama perempuan yang sepatutnya dia nikahi.

‘Lia…Dahlia. Yes, Dahlia,’ getus hatinya, menjawab sendiri persoalan yang bermain-main di matanya.

Wajah gadis itu menjelma pada pandangannya. Dari mata seorang lelaki, Syafiq akui gadis itu memang manis. Walaupun tidak tergolong dalam golongan wanita-wanita yang terlalu cantik, Dahlia punya keistimewaannya sendiri. Sayangnya keistimewaan itu tetap tidak mampu menarik hati Syafiq.

“Seriously!! Umi ingat sekarang ni zaman apa? Nak tentukan dengan siapa Fiq kena kahwin!!”

Itulah jawapan keras yang diberikan kepada umi tatkala pertama kali umi menyuarakan cadangannya untuk menjodohkan Syafiq dengan Dahlia, seorang gadis yang langsung tidak dikenalinya. Namun dia akhirnya bersetuju selepas umi merayu-rayu. Juga setelah umi mula mengungkit tentang hubungannya dengan Alya, wanita yang paling dicintainya. Kata umi, untuk apa diingat lagi tentang hubungan yang tidak ke mana-mana itu, hubungan yang terputus di tengah jalan apatah lagi hubungan itu putus gara-gara dirinya sendiri.

Tanpa sedar, Syafiq mula mengetap bibir. Menahan rasa geram dalam diri. Umi selalu sahaja begitu. Suka mengungkit tentang hal itu. Dan kerana tidak mahu lagi mendengar bebalan umi tentang hubungannya dengan Alya, dia bersetuju untuk mengahwini Dahlia. Namun kata setuju itu hanya pada bibirnya sahaja.

Bagi Syafiq, tidak mungkin untuk dia menerima Dahlia atau sesiapa pun. Hanya Alya seorang yang paling layak untuk bersamanya. Untuk itu, Syafiq telah membuat rancangan yang dirasakan paling sempurna. Dia akan mencari Alya dan membuatkan gadis itu menerimanya kembali. Pada masa yang sama dia akan meneruskan lakonannya sebagai anak yang baik, yang sanggup berkorban demi ibu sendiri. Juga sebagai tunang yang benar-benar menerima jodoh pilihan keluarga.

“Bagi saya, pilihan umi mungkin yang terbaik untuk saya. Jadi saya terima semua ni dengan rela.”

“Mungkin juga takdir dah tentukan awak adalah suri dalam hidup saya.”

Syafiq tergelak sendiri bila teringatkan kata-kata yang pernah lahir dari mulutnya itu. Jawapan itu diucapkannya ketika Dahlia menyoal kenapa dia bersetuju dengan rancangan umi untuk menjodohkan mereka. Dan seperti jangkaannya, Dahlia benar-benar percaya akan jawapannya.

Ternyata rancangan Syafiq berjalan dengan benar-benar lancar. Tiada siapa yang tahu bahawa di sebalik gemilang persiapan pernikahannya, Syafiq sedang membuat persiapan untuk berlepas ke New Zealand. Dia mahu mendapatkan Alya setelah menerima berita tentang gadis itu yang kini sedang melanjutkankan pelajaran di Wellington.Tidak langsung dia berfikir tentang Dahlia. Malah nota terakhir yang ditinggalkan untuk Dahlia juga hanyalah nota yang penuh kepura-puraan.

“I’m so sorry. Saya ingat saya boleh teruskan perkahwinan ini, for the sake of umi. Tapi saya gagal!! Please forgive me…”

Bagi sesiapa yang membaca nota itu, pasti mereka beranggapan bahawa dia telah berusaha untuk menerima perkahwinan itu demi ibunya yang sakit, namun usaha itu tetap tidak berjaya. Dan akhirnya dia terpaksa melarikan diri. Nota itu sengaja ditinggalkan Syafiq dengan tujuan supaya mereka semua berfikir bahawa dia tidak pernah merancang untuk meninggalkan Dahlia.

Syafiq akui, hampir-hampir sahaja dia melupakan niatnya untuk mencari Alya setelah umi tiba-tiba terpaksa dibedah seminggu sebelum hari pernikahannya. Namun apabila doktor mengesahkan tentang kejayaan pembedahan itu, Syafiq kembali bertekad untuk meneruskan rancangan asalnya itu.

Rasa bersalah? Ya, dia akui mungkin ada sedikit rasa bersalah pada umi dan Dahlia, tapi dia tidak peduli. Sebab yang paling penting baginya adalah Alya, gadis yang sentiasa dicintainya, gadis yang sentiasa menjadi pujaan hatinya.

Syafiq memandang sekeliling sebelum melangkah. Di sepanjang perjalanan, mindanya penuh dengan agendanya untuk hari ini. Dia mahu melihat wajah yang amat dirinduinya, mahu melihat gerak-gerinya. Sejak Syafiq berjaya menemui alamat rumah Alya, dia sering sahaja berulang-alik dari tempat dia menginap ke rumah itu. Untuk apa? Hanya untuk memandang wajah itu, memastikan gadis kesayangannya sihat dan gembira, juga untuk memastikan tiada lelaki yang cuba menghampiri Alya.

Dari kejauhan Syafiq dapat melihat tubuh Alya yang membelakanginya. Gadis itu sedang menutup pintu pagar rumahnya. Di tangan sebelah kirinya terselit sebuah fail dan dua buah buku. Syafiq tersenyum riang lantas merapati Alya yang sedang membelakanginya.

“Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.” Terus sahaja Alya menjawab.

Wajah Alya terus sahaja berubah saat melihat siapakah gerangannya yang memberi salam tadi. Rasa geram mula menyelinap masuk dalam hatinya. Sudah acap kali dia memberitahu lelaki itu agar tidak mencari dan mengganggunya lagi, namun apa sahaja yang diucapkannya tidak ubah seperti mencurah air ke daun keladi. Masuk telinga kanan keluar telinga kiri.

Alya menjeling tajam ke arah Syafiq dan terus sahaja menapak pergi tanpa langsung mempedulikan lelaki itu.
Spontan Syafiq mengetap bibir. Terasa marah apabila tidak dipedulikan oleh wanita pujaan hatinya. Dia menggenggam tangan, cuba menahan rasa amarah itu.

“Awak nak pergi mana ni?” soal Syafiq sambil kakinya mengejar langkah Alya.

Alya tetap seperti tadi. Tidak mempedulikan Syafiq. Pandangannya dihalakan ke hadapan seolah-olah lelaki itu tidak ada di sisinya.

Syafiq menarik nafas panjang. Tindakan Alya memang betul-betul mencabar egonya.

“Awak nak pergi fakulti ke? Banyak kelas hari ni?” Sekali lagi Syafiq menyoal Alya, dan sekali lagi gadis itu tidak mengendahkannya.

Syafiq cuba menyabarkan hatinya yang sudah semakin membara. Dia menguntum senyum, berharap senyumannya itu mempu membuatkan Alya melayaninya.

“Lepas kelas, awak pergi mana? Saya belanja makan, nak?” Lagi Syafiq menyoal Alya, masih mahu berbual-bual dan bermesra dengan wanita pujaannya.

Dengusan kasar terbit dari mulut Alya. Perasaan geram dan marah bercampur-baur dalam dirinya. Langkahnya dilajukan, seakan-akan berharap dia akan dapat lari daripada Syafiq.

Melihatkan perilaku Alya yang terus-terusan tidak mempedulikannya, perasaan marah dalam diri Syafiq tidak dapat dibendung lagi. Lantas dia berjalan laju dan memintas Alya sebelum tiba-tiba berhenti dan berpaling menghadap Alya. Tindakannya membuatkan Alya hampir-hampir sahaja bertembung dengannya.

“Hei, awak ni kenapa?” jerit Alya dengan geram.

Senyuman sinis pantas terukir pada bibir Syafiq.

“Oh, sedar saya ada kat sini rupanya. Ingatkan tak nampak saya,” jawab Syafiq. Jawapan yang berupa sindiran yang tajam. Wajah Alya direnung.

Alya mendongakkan kepala, membalas renungan itu dengan penuh perasaan benci. Lelaki yang pernah disayanginya suatu masa dulu kini berubah menjadi manusia pertama yang dia benci seumur hidupnya.

“Berapa kali saya nak cakap, jangan ganggu saya lagi. Stop bothering me! What part of it that you don’t understand?” teriak Alya. Suaranya kuat dan sedikit menengking. Beberapa orang pejalan kaki yang berada di sekeliling mereka mula memandang mereka. Namun langsung tidak dipedulikan oleh Alya.

Syafiq tidak terus menjawab, sebaliknya dia berjalan merapati Alya yang masih merenungnya tajam. Bibirnya mengukir senyuman yang kelihatan sangat jelik di mata Alya.

Automatik Alya berundur beberapa tapak ke belakang. Perilaku Syafiq agak menakutkannya. Lelaki di hadapannya seperti seorang lelaki yang tidak pernah dikenalinya, walhal hubungan cinta mereka bertahan agak lama. Hampir tiga tahun lamanya.

“What part of it that I don’t understand? Rasanya saya yang patut tanya itu pada awak. Kan saya dah cakap, saya tak boleh biarkan awak sendiri.” Lembut sahaja suara yang lahir dari mulut Syafiq, namun kelembutan itulah yang sangat menakutkan Alya. Kelembutan yang hanya pada luaran sahaja, apa yang tersirat di sebalik kelembutan itu tiada siapa yang tahu.

“I’m not bothering you, sayang. I’m just…I cannot leave you,” sambungnya lagi masih dengan senyuman di bibir, tetapi sesaat kemudian senyuman itu mati.

“I’ve told you that for so many times. So many, many times. Kenapa awak tak nak faham?” Kali ini keras pula kata-kata yang dituturkan oleh Syafiq.

Tersentak Alya. Namun dia tetap cuba untuk memberanikan diri berhadapan dengan lelaki itu. Dia berusaha sedaya upaya agar rasa gentarnya pada Syafiq tidak jelas kelihatan.

“Cannot leave me? Yes, that is soooo true!! Sampaikan awak tentukan dengan siapa saya boleh bercakap, apa yang saya patut buat, mana saya boleh pergi, semuanya awak tentukan!!” balas Alya kembali. Suaranya meninggi.

Teringat Alya pada saat-saat dia hidup dalam penjara yang dibina oleh Syafiq. Pada awal perhubungan mereka, Alya tidak kisah dengan semua itu kerana baginya Syafiq mungkin terlalu menyayangi dia. Namun bila usia perhubungan mereka masuk ke tahun kedua, perangai Syafiq semakin menjadi-jadi. Setiap hari lelaki itu akan memeriksa telefonnya dan akan marah-marah apabila terdapat mesej atau panggilan telefon daripada sahabat lelakinya. Syafiq juga akan menelefonnya hampir setiap jam dan akan memarahinya jika dia tidak mengangkat panggilan telefon itu.

Kesabaran Alya sampai ke puncaknya apabila Syafiq hampir-hampir memukulnya kerana perasaan cemburu Syafiq terhadap sepupu lelakinya. Waktu itu sepupunya, Akhif menghantarnya pulang ke rumah setelah kereta Alya tiba-tiba rosak di kampung. Akhif kemudiannya menawarkan diri untuk menghantar Alya pulang. Malang bagi Alya kerana sewaktu tiba di rumah, rupa-rupanya Syafiq sedang menunggunya di luar pintu rumah. Pertemuan empat mata antara Syafiq dan Akhif membawa kepada pergaduhan besar antara mereka. Semuanya gara-gara Syafiq yang berfikir bahawa Alya mempunyai hubungan dengan Akhif.

“Awak cuba pukul saya pada malam sepupu saya hantar saya pulang, remember?” sambung Alya lagi, sedikit menyindir.

Soalan Alya hanya dibalas dengan wajah Syafiq yang kelat. Perkara itu juga yang diungkitkan Alya. Dia memang mengakui bahawa sepanjang perhubungan mereka, dia agak mengongkong Alya. Tetapi baginya itu kerana dia terlalu mencintai Alya. Dia tidak mahu Alya jatuh ke tangan lelaki lain. Dan Alya cuma miliknya seorang. Sejujurnya bagi Syafiq, Alya terlalu istimewa.

Alya memberikan rasa kasih yang dalam kepadanya. Apabila dia bersama Alya, Syafiq terasa seperti dihargai. Alya menerimanya dengan seadanya. Alya bukan seperti orang lain yang selalu sahaja membandingkan dia dengan orang itu. Orang yang tiba-tiba muncul dalam hidupnya dan merampas segala-galanya daripada Syafiq. Orang itu yang bernama Aariz Danial, yang dianggap oleh semua orang di sekeliling mereka sebagai abangnya.

Syafiq mendengus kasar. Setiap kali terbayangkan wajah Aariz, pasti rasa marah akan bertamu dalam hatinya.

“Awak tahu tak? Dalam hati awak tu cuma ada perasaan cemburu buta!” Alya menyambung lagi.

“Okey, okey! Saya mengaku saya silap. Saya bersalah. Saya tak patut buat awak macam tu. Tapi, saya buat semua tu sebab saya sayangkan awak.” Syafiq akhirnya membuka mulut. Dia bersuara lembut, cuba memujuk Alya yang jelas sedang marah.

Alya membatu. Hanya matanya yang tetap merenung wajah Syafiq. Wajah itu yang pernah menjadi kegilaannya suatu ketika dulu seperti sudah hilang serinya di mata Alya. Langsung tidak mampu menarik hatinya.

“Awak kan tahu, saya nak kahwin dengan awak. Sebab saya…saya cintakan awak. Terlalu cintakan awak,” sambung Syafiq lagi.

Alya tetap diam tanpa sebarang kata.

“I love you, sayang. I love you so much. Bagi saya peluang lagi, ya. Sekali je. Saya janji, saya takkan marah-marah, saya takkan kawal awak lagi. Awak…awak boleh buat apa sahaja yang awak nak. Please, sayang…” Kali ini Syafiq mula merayu.

Tanpa disangka-sangka, Alya tiba-tiba sahaja ketawa. Entah apa yang mencuit hatinya, Syafiq juga tidak pasti.

Berkerut dahi Syafiq, tanda tidak senang dengan ketawa Alya. Ketawa itu seolah-olah mentertawakan dirinya.

“Sayang? Cinta?” soal Alya diselangi tawanya yang masih bersisa.

“Awak jangan nak buat lawak kat sinilah, Syafiq. Selama tiga tahun saya bodoh percayakan kata-kata awak tu. Cukuplah! Cukuplah tiga tahun saya memperbodohkan diri saya kerana awak. Saya biarkan awak control saya semahunya sebab saya ingat itu caranya awak mencintai saya.” Alya membentak.

“Huh! Saya memang bodoh!” Alya menyambung lagi. Kali ini mengutuk dirinya sendiri pula.

Syafiq mendiamkan diri, sengaja tidak mahu membalas kata-kata Alya sudah semakin mencabarnya. Hanya matanya yang masih membalas renungan berani Alya. Syafiq dapat melihat rasa benci yang dalam pada sepasang mata Alya. Dan Syafiq sedar rasa benci itu ditujukan padanya.

“Let me tell you something, Syafiq. Selama tiga tahun kita bersama, awak sebenarnya tak pernah sayangkan saya. Jauh sekali cintakan saya. Apa yang ada dalam hati awak tu……”

Alya menghentikan kata-katanya dan menarik nafas panjang. Dia tahu apa yang bakal dia katakan ini pasti akan membuatkan Syafiq mengamuk. Namun Alya sudah tidak peduli lagi. Biarlah apa akan jadi lepas ini, yang pasti dia mahu meluahkan apa yang dirasakannya selama ini.

“Apa yang ada dalam hati awak tu cuma rasa benci dan cemburu awak pada abang awak.” Dengan berani Alya menyambung katanya.

Tersirap darah ke wajah Syafiq. Wajahnya berubah mejadi tegang. Langsung dia tidak menyangka ucapan itu akan keluar dari mulut Alya, satu-satunya manusia yang tidak pernah membandingkan dia dengan Aariz. Perlahan dia menggenggam tangannya.

“A….apa..maksud awak?” Perlahan Syafiq menyoal Alya.

Alya sedikit tergamam mendengar nada suara Syafiq yang mendatar, tanpa sebarang perasaan. Dalam hati, Alya berasa takut. Namun dia tetap cuba memberanikan diri. Kali ini dia sudah tidak mahu melarikan diri lagi, biarlah dia berdepan dengan Syafiq.

“Bagi awak, abang awak dah rampas semuanya yang sepatutnya jadi milik awak. Sebab tulah awak anggap saya ni macam barang yang awak miliki. Satu-satunya milik awak yang abang awak tak boleh rampas.”

Alya menarik nafas sebelum menyambung lagi.

“Perasaan awak pada saya bukan sayang atau cinta, Syafiq. It’s just obsession. Obses bukan sebab rasa cinta awak pada saya pula tu. Awak obses sebab rasa cemburu dan benci awak pada abang awak.”

Syafiq hanya mendiamkan diri. Akan tetapi jelas di mata Alya, dadanya yang berombak. Nampak sangat lelaki itu sedang menahan marah.

“I’m just your possession. Your property. You wanted to show off pada semua yang awak juga ada something yang awak miliki. Something yang abang awak tak ada. Sebab tulah awak control saya macam tu sekali.” Alya menyambung lagi dengan penuh emosi. Rasa terluka mula menjengah masuk dalam hatinya. Air matanya juga mula bertakung di tubir mata.

“Awak jangan nak provoke saya.” Syafiq mula menjawab. Suaranya keras.

Alya tersenyum pahit. Matanya dikelipkan beberapa kali bagi menghalang air matanya yang seakan-akan menunggu masa untuk gugur.

“Provoke? Hei, saya tak perlulah nak provoke awak. Apa…”

“Shut up.” Syafiq memotong kata-kata Alya, cuba menghentikan gadis itu daripada meneruskan kata-katanya. Namun tidak dipedulikan oleh Alya.

“Apa yang saya cakap semuanya betul. Memang itu yang awak buat pada saya. Awak memang tak….”

“I said, shut up!!! Kenapa susah sangat kau nak faham, hah?” Tanpa sedar, Syafiq menengking Alya. Tangannya laju sahaja bergerak dan mencengkam kedua bahu Alya.

Alya tergamam. Wajahnya menyeringai kesakitan. Cengkaman Syafiq pada bahunya terlalu kuat. Terasa seperti tulangnya mahu patah. Perlahan air matanya menitis. Rasa terluka yang sedia ada dalam dirinya bercampur pula dengan rasa sakit pada kedua bahunya menyebabkan Alya tidak dapat lagi menahan matanya daripada mengalirkan manik-manik jernih itu.

“Aku cukup benci kalau ada orang sebut-sebut pasal lelaki tu. Kau jangan fikir kau ni pernah jadi girlfriend aku, kau boleh cakap apa saja yang kau nak.” Keras kata-kata Syafiq sambil matanya tidak lepas daripada merenung Alya dengan tajam. Hilang sudah ‘saya, awak’ yang digunakan tadi, dan kini digantikan dengan ‘aku, kau’ yang kasar.

Pandangan Syafiq cukup tajam sehinggakan membuatkan tubuh Alya menggeletar. Namun tetap juga dia cuba untuk membalas renungan itu di sebalik matanya yang semakin kabur dek kerana air mata yang laju sahaja mengalir.

“Alya?” Tiba-tiba telinga Alya menangkap suatu suara.

Pantas Alya berpaling ke arah suara itu. Dia seperti dapat meneka siapa pemilik suara garau itu. Syafiq turut menoleh.

‘Jarrad…’ Hati Alya berbisik.

“Hey, what’s going on here? Who are you? Let her go!!”

Jelas di mata Alya kelibat lelaki yang sangat dikenalinya itu. Lelaki itu semakin menghampiri mereka berdua. Alya dapat mendengar dengusan kasar Syafiq sebelum dia lambat-lambat melepaskan cengkamannya.

“Alya, are you alright?” soal Jarrad yang kini sudah berdiri di samping Alya. Nada suaranya penuh dengan rasa bimbang.

Alya tidak menjawab. Hanya matanya yang memandang Jarrad. Suaranya seperti tersekat di kerongkong. Tidak mampu langsung bersuara. Air matanya juga laju sahaja mengalir.

Jarrad yang melihat mula menggelabah. Selama dia mengenali Alya, gadis itu tidak pernah menangis begitu. Walaupun dia selalu sahaja melihat Alya bermuram dan kelihatan sedih, namun tidak pernah sekali pun Alya menangis dengan teruk begitu.

Perlahan Jarrad berpaling ke arah lelaki yang berdiri tidak jauh dari mereka. Lelaki yang dilihat berkasar dengan Alya tadi.

“What have you done to her?” Keras suara Jarrad menuturkan kata-kata.

Syafiq tidak menjawab. Hanya matanya yang memandang Alya dan juga lelaki yang semakin menghampirinya. Timbul sedikit rasa bersalah pada Alya kerana mengasari gadis itu tadi. Dia langsung tidak berniat untuk bertindak begitu. Apa yang dituturkan Alya benar-benar membuatkan darahnya mendidih. Sedar-sedar sahaja, dia sudah pun mencengkam bahu Alya dengan cukup kasar.

“I said, what have you done to her???” tengking Jarrad sambil berjalan mendekati Syafiq.

Tangan Jarrad dikepal, membentuk penumbuk. Jika diikutkan hatinya, sudah lama wajah lelaki yang mengasari Alya itu menerima habuan penumbuknya.

Syafiq sedikit tersentak. Namun dia tetap seperti tadi. Langsung tidak menjawab. Juga langsung tidak berganjak dari tempatnya berdiri. Hanya matanya yang merenung lelaki di hadapannya dengan berani, seakan-akan mencabarnya.

“Jarrad…..” Tiba-tiba Alya bersuara.

Automatik sahaja Jarrad berpaling dan merapati Alya. Matanya sempat menjeling tajam ke arah Syafiq.
Alya menarik nafas dalam-dalam. Jarinya menyeka titis air mata yang masih berbaki.

“Leave him alone.”

“What? You want me to let him go? He…” Jarrad cuba membantah. Wajahnya jelas mempamerkan rasa tidak puas hati.

“He’s not worth it. Don’t waste your time on him.” Alya memotong kata-kata Jarrad. Sekali sindiran tajam ditujukan kepada Syafiq.

Syafiq mengetap bibir. Alya memang tidak habis-habis menyindirnya. Gadis itu memang sengaja membakar hatinya.

“Kau….” Syafiq membuka mulut, mahu membalas kata-kata Alya tadi namun mulutnya terkatup sendiri saat Jarrad tiba-tiba merapatinya.

“You better leave this girl alone.” Keras amaran yang diberikan Jarrad. Jari telunjuknya ditujukan ke muka Syafiq yang hanya memandang tanpa perasaan. Hatinya mengutuk lelaki itu yang cuba masuk campur dalam hal dia dan Alya.

“Let’s go, Alya.” Jarrad mengarahkan Alya mengikutnya. Fail dan buku yang terselit pada tangan Alya diambilnya dan dipegang kemas. Tangannya kemudiannya memegang pergelangan tangan Alya dan menarik Alya pergi. Langsung tidak mempedulikan Syafiq yang masih tercegat memerhatikan perilaku mereka.
Syafiq menggenggam tangannya erat sambil matanya tidak lepas daripada memandang Alya dan lelaki asing itu yang semakin menghilang daripada pandangan matanya. Dadanya berombak, bibirnya terketar-ketar menggambarkan rasa amarah dalam dirinya.
*****
TUBUHNYA dihempas kasar ke atas katil. Perlahan dia memejamkan mata. Terbayang di matanya wajah Alya bersilih ganti dengan wajah lelaki yang dipanggil Jarrad oleh Alya. Syafiq membuka matanya kembali dan terus sahaja bangun daripada pembaringan. Tangannya digenggam erat. Perasaan geram dan amarah bertamu lagi dalam dirinya. Hatinya mendidih tatkala teringatkan perlakuan lelaki itu yang selamba sahaja memegang tangan Alya di hadapannya.

Seketika kemudian terngiang-ngiang pula kata-kata Alya yang mengungkit tentang dia dan abangnya, Aariz Danial. Hatinya tambah mendidih. Sungguh! Langsung Syafiq tidak menyangka bahawa Alya boleh berkata demikian. Sepanjang dia mengenali Alya, tidak pernah sekali pun Alya menyebut tentang abangnya. Lagipun, mereka tidak pernah berjumpa. Sekali pun tidak pernah! Apa sahaja pengetahuan Alya tentang abangnya datang dari Syafiq sendiri. Jadi bagaimana pula Alya boleh membuat konklusi sebegitu tentang hubungannya dengan Aariz?

Aariz…Aariz Danial, abangnya. Tidak! Lelaki itu bukan abangnya. Lelaki itu cuma penumpang dalam keluarganya. Lelaki yang telah merampas segala-galanyanya milik Syafiq. Sayang umi pada dia, kasih abah pada dia, perhatian mereka dan semuanya dirampas kejam oleh Aariz.

Sejak kecil, Syafiq selalu sahaja mendengar umi dan abah memuji-muji Aariz.

Aariz yang comel.

Aariz yang bijak.

Aariz yang mendengar kata.

Dia pula adalah segala-galanya yang bertentangan dengan Aariz. Walaupun umi dan abah tidak pernah secara lisan membandingkan dia dengan Aariz, namun Syafiq bukan bodoh untuk tidak mengerti makna di sebalik pandangan mata umi dan abah padanya setiap kali mereka memuji Aariz. Pandangan yang seakan-akan bermakna ‘kenapa Syafiq tak boleh jadi macam Aariz?’

Syafiq masih ingat betapa gembiranya dia apabila Aariz menyambung pelajaran di US dan kemudiannya bekerja di Australia. Dia berasa akhirnya dia bebas daripada Aariz. Tidak perlu lagi dia memandang wajah lelaki itu. Tidak perlu lagi dia mendengar suara garau lelaki itu. Juga, tidak perlu lagi dia mendengar segala puji-pujian umi dan abah pada Aariz yang cuma menjelikkan dia dan menyakitkan telinganya.

Kemudian teringat pula Syafiq pada saat-saat kepulangan Aariz ke Malaysia sebulan sebelum majlis perkahwinannya. Masih terbayang di matanya wajah terlalu gembira yang dipamerkan umi dan abah, seolah-olah menerima kepulangan orang yang paling penting di dunia ini. Atau mungkin juga Aariz Danial adalah orang paling penting dalam hidup dan dunia mereka. Syafiq pula tidak lebih seperti tetamu yang tidak diundang, yang muncul tanpa jemputan. Mengingatkan itu, hati Syafiq benar-benar sakit.

“Arggghhhhhh!!!” jerit Syafiq.

“Kenapa kau harus ungkit pasal dia, Alya? Kenapa?”

No comments:

Post a Comment