December 8, 2011

Jodoh itu Milik Kita - Bab 2


BAB 2

AARIZ berdiri betul-betul di hadapan pintu bilik tidur yang dikhaskan untuk dia dan isterinya. Tidak! Bilik itu sebetulnya untuk Syafiq dan Dahlia. Memikirkan hakikat itu, perasaan serba salah mula menerpa masuk ke dalam dirinya. Dia tidak pernah menyangka majlis perkahwinan adiknya tiba-tiba bertukar menjadi perkahwinannya sendiri.

“Fiq kat mana sekarang? Apa abang patut buat?” soalnya. Lebih kepada bermonolog, menyoal diri sendiri.

Tangannya diangkat dengan perasaan ragu-ragu dan kemudiannya memegang tombol pintu. Aariz mengeluh perlahan. Hatinya berdebar-debar. Tidak dapat dibayangkan apa perasaan Dahlia apabila dia masuk nanti. Tombol pintu dipulasnya penuh hati-hati.

Jelas di matanya Dahlia yang sedang duduk di birai katil. Isterinya hanya tunduk sambil menggenggam tangannya. Aariz sedar Dahlia sedang cuba untuk menahan perasaannya. Perasaan apa? Marah mungkin, sedih mungkin.

Dahlia dapat melihat dengan jelas susuk tubuh yang menghampirinya dari hujung matanya. Namun dia tetap seperti tadi. Langsung tidak bergerak, langsung tidak mahu mendongakkan kepala. Biarlah, biarlah apa pun yang jadi selepas ini. Dahlia sudah tidak mahu ambil peduli lagi. Hidupnya seperti berakhir saat ditinggalkan oleh Syafiq dan pada saat dia terpaksa bersetuju untuk berkahwin dengan Aariz.

Bagi Dahlia, perbuatan Syafiq memang tidak boleh diterima. Bukan kerana dia mempunyai perasaan pada Syafiq atau terlalu menyintai lelaki itu, kerana dia memang tidak pernah punya perasaan istimewa pada Syafiq. Tetapi Dahlia geram kerana maruah. Perbuatan Syafiq betul-betul telah menjatuhkan maruah dia dan maruah keluarganya.

Ditinggalkan pada hari perkahwinan sendiri? Perempuan jenis apakah dia sehingga diperlakukan begitu oleh bakal suami sendiri? Dahlia tahu ramai orang akan bercakap mengenai hal itu nanti.

Langkah Aariz berhenti betul-betul di hadapan Dahlia. Perlahan dia merendahkan tubuh. Lututnya kini elok terletak di atas permaidani. Wajahnya pula betul-betul bertentangan dengan wajah Dahlia yang sedari tadi hanya tunduk tanpa sebarang reaksi.

“Are you okay?” Suara Aariz kedengaran lembut di telinga Dahlia.

Dahlia mengangkat wajah. Matanya kini bertentangan dengan sepasang mata bundar milik suaminya. Ada ketenangan yang cuba diada-adakan di mata itu. Dahlia sedar Aariz juga seperti dirinya. Cuba untuk bertenang dengan apa yang terjadi, tapi hanya Tuhan yang tahu perasaan mereka.

“Awak fikir? Lepas semua yang terjadi ni, saya boleh okey ke?” Sinis jawapan Dahlia sambil melarikan pandangannya dari wajah Aariz, suaminya yang sah.

Dahlia tidak bermaksud untuk menjawab kasar, tapi…entahlah, dia seperti tidak mampu untuk mengawal perasaan marahnya sedangkan dia tahu Aariz juga adalah mangsa keadaan. Tidak sepatutnya Aariz yang menjadi tempat untuk dia melempiaskan perasaan amarahnya.

“Betul cakap awak tu. Apa punya soalan tu, kan?” ujar Aariz. Dia bangun dan mengambil tempat duduk bersebelahan dengan Dahlia. Sama-sama duduk di birai katil.

Dahlia cepat-cepat menjarakkan dirinya dari Aariz. Tidak selesa duduk rapat dengan lelaki itu. Belum sempat dia bergerak jauh, tangannya tiba-tiba ditarik oleh Aariz. Secara automatik dia berpaling ke arah suaminya itu.

“Tak perlu jauh sangat. Saya bukannya nak buat apa-apa pada awak. Saya cuma nak berbincang dengan awak,” jelas Aariz. Suaranya penuh kelembutan. Dia sedar Dahlia sedang marah, jadi lebih baik dia menggunakan pendekatan lembut.

“Kalau nak bincang, tak perlu rapat pun, kan? Tak perlu pegang tangan saya pun, kan?” Lagi kata-kata yang keluar dari mulut Dahlia berupa sindiran yang tajam. Sesaat kemudian Dahlia mengetap bibir. Dia bercakap kasar lagi.

Aariz tidak menjawab. Dia hanya membiarkan soalan itu tanpa jawapan. Namun, pegangan tangannya dilepaskan perlahan-lahan. Dahlia lantas menarik tangannya kembali.

“You know….you don’t have to act strong.” Aariz tiba-tiba bersuara.

Tersentak Dahlia mendengar kata-kata yang lahir dari mulut Aariz. Dia mendengus, penuh kegeraman.

“Act strong? Siapa yang act strong? Awak ingat saya suka jadi macam ni? In case awak dah lupa, I was dumped on my own wedding day.” Keras jawapan Dahlia.

“Tapi sekarang awak dah kahwin dengan saya. Saya akan…..” Aariz ingin mengatakan bahawa dia akan menjaga Dahlia sebaik mungkin. Namun, kata-katanya tiba-tiba dipotong.

“So, awak fikir kahwin dengan awak will make things better? Sorry, but I don’t think so.”

Dahlia sedar tindakannya itu dikira kurang ajar, lebih-lebih lagi Aariz kini sudah sah sebagai suaminya. Tapi, dia sudah tidak peduli lagi. Dia sudah terlalu penat memegang watak gadis yang baik. Cukuplah sekali dia berkorban. Pengorbanan yang umpama satu perjudian baginya, yang mungkin akan berakhir dengan kebahagiaan atau penderitaan.

Aariz mendengus kasar mendengarkan jawapan Dahlia. Tindakan dan jawapan Dahlia benar-benar mencabar egonya sebagai seorang lelaki. Dari tadi dia cuba untuk berlembut dengan isterinya itu, tetapi nampaknya kelembutannya tidak mampu untuk melembutkan hati seorang Dahlia.

“Can you stop thinking just about you and yourself? Awak ingat awak sorang je ke mangsa kat sini?” Kali ini Aariz juga mula bercakap kasar. Hilang sudah kelembutannya tadi.

Dahlia tersentak. Hatinya terluka. Dia mengenggam tangannya lagi. Cuba untuk menahan perasaannya. Cuba untuk menahan air matanya yang hanya menunggu masa untuk gugur. Dahlia sedar bila-bila masa saja dia akan mula menangis. Sejak dari dulu lagi, Dahlia memang akan menangis bila terlalu marah dan terlalu beremosi.

“Memang saya sedar bukan saya seorang saja mangsa kat sini. Awak pun sama, tapi awak dengan saya lain!” Tanpa sedar, Dahlia mula meninggikan suara.

“Apa yang lainnya? Awak kahwin dengan orang yang awak tak kenal, saya pun kahwin dengan orang yang saya langsung tak kenal!” Aariz turut mula meninggikan suara.

“Awak lelaki, saya perempuan….”

“Well, that’s obvious!”

Dahlia tidak mengendahkan jawapan Aariz yang lebih berupa suatu sindiran buatnya, sebaliknya dia merenung suaminya dengan tajam dan bersuara perlahan.

“Bagi seorang perempuan, maruah hanya datang sekali je seumur hidup dia. Tapi bagi lelaki, korang buatlah apa pun, orang takkan cakap apa pun. Tapi, saya….maruah saya dah pun dipijak-pijak oleh Syafiq.”

Dahlia menelan air liur sebelum manyambung kembali kata-katanya.

“Believe me, orang kat luar sana tu takkan salahkan Syafiq sebab tinggalkan saya. Diorang akan cakap..ada something wrong dengan saya. Akhirnya, semuanya akan jadi salah saya,” jelas Dahlia lagi penuh emosi.

“Sebab tulah kita kahwin. Sebab nak selamatkan maruah awak dan maruah keluarga kita,” jawab Aariz pula. Kali ini suaranya lebih lembut dari tadi. Mungkin kerana Dahlia juga mula mengedurkan suara. Tidak lagi keras dan kasar.

“Lepas tu, apa? Apa akan jadi dengan perkahwinan ni? Kalau tak berjaya, kita akan bercerai, kan? Saya akan jadi janda, kan?” Ada getaran dalam suara Dahlia. Air matanya pula mula bertakung pada tubir mata.

Aariz terkedu. Langsung tidak pernah dia fikirkan pengakhiran bagi perkahwinan dia dan Dahlia. Sejak dia bersetuju untuk berkahwin, apa yang difikirkannya hanyalah maruah keluarga Tuan Haikal. Ya, dia berkahwin dengan Dahlia demi menyelamatkan maruah keluarga itu.

“Awak tahu, title janda bagi seorang perempuan terlalu berat untuk dipikul. Masyarakat akan kecam dia macam-macam. Mengata dia, menghina dia. Lelaki tak apalah. Bila jadi duda, saham lagi tinggi kot!” Kata-kata Dahlia disusuli dengan senyuman sinis.

Namun, setitis air matanya menitik jua. Dahlia lantas menyeka air mata itu. Dia tidak mahu menangis di hadapan Aariz.

“And in my case, lebih teruk lagi! Saya ditinggalkan masa hari perkahwinan saya sendiri, lepas tu saya kahwin dengan ABANG kepada bakal suami saya, lepas tu….lepas tu….saya mungkin kena cerai.”

Air mata Dahlia mula mengalir laju. Berkali-kali dia menyapu air mata itu.

“Perempuan jenis apa saya ni? Saya rasa macam…..macam saya ni murah sangat. Boleh diambil, boleh dibuang macam tu je!!!” Dahlia makin beremosi. Air mata yang turun tidak lagi dipedulikan. Biarlah, biarlah air mata itu turun.

Tergamam Aariz melihat Dahlia yang mula menangis. Dia tidak menyangka isterinya yang sedari tadi sangat dingin dan penuh dengan perasaan amarah boleh pula tiba-tiba menangis. Benarlah kata orang, emosi perempuan memang tidak menentu!

“Dahlia…..” Lembut suara Aariz, cuba untuk memujuk.

“Inilah maruah saya, Aariz. Maruah yang kononnya dah diselamatkan waktu kita setuju untuk nikah tadi. Maruah yang……yang…se…sebenarnya…dah hilang waktu…waktu…Syafiq buat keputusan untuk tinggalkan saya. Inilah maruah saya, Aariz,” sambung Dahlia lagi. Kata-katanya diselangi esak tangisan yang semakin menjadi-jadi.

Aariz berasa serba-salah. Dia benar-benar kasihankan wanita di sebelahnya. Wajah tidak berperasaan yang dipamerkan Dahlia sejak petang tadi hilang entah ke mana. Yang tinggal kini, hanyalah seorang wanita yang terluka.

Hati Aariz benar-benar tersentuh melihat keadaan Dahlia yang mula teresak-esak. Perlahan dia menarik bahu Dahlia. Memeluk isterinya lembut.

Dahlia sedikit tergamam. Namun dibiarkan sahaja tindakan suaminya itu. Perlahan dia menyembamkan wajah ke dada bidang itu dan menangis semahunya. Dia dapat merasakan tangan Aariz yang mula mengusap kepalanya yang masih lagi dilitupi tudung.

“Menangislah. Tak salah untuk awak menangis, Lia. Awak mesti letih, kan? Letih menjadi kuat,” pujuk Aariz. Tangannya semakin kuat memeluk bahu Dahlia, seperti cuba untuk menyalurkan kekuatan dan ketenangan ke dalam tubuh kecil milik isterinya. Agak lama mereka berkeadaan begitu.

Esakan Dahlia semakin lama semakin perlahan. Bahunya tidak lagi terhinjut-hinjut seperti tadi.

Aariz mengambil kesempatan itu untuk memandang wajah Dahlia yang sejak tadi terletak elok pada dadanya. Dilihatnya mata isterinya itu terpejam rapat. Hanya nafasnya yang perlahan dan beralun yang kedengaran jelas di telinga Aariz. Tidurkah dia?

“Lia…Dahlia…” panggil Aariz lembut. Dahlia tidak memberikan apa-apa reaksi.

“La, dah tidur? Letih menangislah tu,” omel Aariz sambil mengangkat tubuh Dahlia dan diletakkan ke atas katil.

Setelah selesai membaringkan tubuh itu, Aariz kembali duduk di birai katil. Dia memandang wajah isterinya yang sedang lena tidur. Sisa-sisa air mata jelas kelihatan pada wajah itu. Hatinya yang sejak tadi tersentuh semakin tersentuh. Perlahan dia mengangkat tangan dan menyentuh pipi Dahlia. Mahu menyapu sisa-sisa air mata yang tinggal.

Melihat wajah tenang Dahlia yang terbaring di atas katil tiba-tiba tercuit perasaan nakal ke dalam diri Aariz. Disentuhnya mata Dahlia, kemudian hidung dan kemudian hujung jarinya melekat pada bibir merah Dahlia.
Tanpa sedar Aariz mula mendekatkan wajahnya pada wajah Dahlia. Semakin dekat, dan semakin dekat. Namun, tindakannya terhenti betul-betul di hadapan wajah Dahlia. Aariz seperti tiba-tiba tersedar akan perbuatannya lantas cepat-cepat mengangkat wajah, menjauhi wajah Dahlia.

“Astaghfirullahalazim, apa aku buat ni?” tempelak Aariz pada dirinya sendiri.

Aariz memandang sekilas ke arah Dahlia. Dia meraup wajah dan beristighfar beberapa kali. Apa yang telah merasuk dia tadi? Kalaulah dia melakukan sesuatu pada Dahlia, dia yakin bahawa dia tidak mungkin akan memaafkan dirinya sendiri. Dan Dahlia….Dahlia tentu akan membenci dia. Mungkin lebih teruk daripada rasa benci Dahlia pada Syafiq.

Lambat-lambat Aariz bangun dari katil lalu menapak ke arah bilik air. Mahu membersihkan diri dan mengambil wuduk. Dia berkira-kira mahu solat sunat, untuk menenangkan hatinya. Dia juga mahu memohon agar diberikan kekuatan untuk menghadapi segala yang telah terjadi.

“Ya Allah Ya Tuhanku, aku sedar ini semua takdir yang telah Engkau tulis untukku. Takdir yang tak pernah aku terfikir. Aku memohon pada-Mu, berikanlah aku kekuatan untuk menghadapi semua ini,” doa Aariz setelah dia selesai menunaikan solat.

“Berikanlah juga kekuatan kepada isteriku, Dahlia. Semua ini terlalu berat untuknya, dan dia cuma wanita biasa. Aku memohon pada-Mu, Ya Allah…berikankanlah ketabahan dan kesabaran padanya untuk menghadapi perkahwinan ini, dan juga untuk menghadapi aku dan siapa aku yang sebenarnya. Lindungilah dia daripada terluka, dan yang paling penting lindungilah dia daripada diri aku sendiri,” sambung Aariz lagi.

Terusik hati Aariz tatkala berdoa begitu. Setitis air matanya menitik. Sejujurnya, Aariz benar-benar takut dengan apa yang telah terjadi. Ya, memang benar dia kelihatan tenang sepertimana tenangnya dia apabila bersetuju untuk menikahi Dahlia siang tadi.

Namun, hanya Tuhan yang tahu apa yang dia rasakan waktu itu. Dia juga tidak ingin berkahwin dengan Dahlia, tetapi baginya maruah keluarga Tuan Haikal wajib diselamatkan. Walaupun itu bererti pengorbanan untuknya. Walaupun itu bererti kehidupannya akan berubah untuk selama-lamanya.

Sungguh! Dia tidak pernah menyangka kehidupannya akan berubah sebegitu sekali. Hanya dengan satu lafaz. Baginya, semua ini tidak patut berlaku dalam kehidupannya. Kerana lelaki bernama Aariz Danial tidak pernah menginginkan sebuah perkahwinan, sebuah perhubungan antara dia dan seorang wanita bergelar isteri. Tetapi kini, wanita asing itu, wanita yang bernama Dahlia telah pun menjadi sebahagian daripada kehidupan dia. Tanpa dijemput, tanpa diundang Dahlia kini adalah isterinya yang sah, dan dia adalah suami Dahlia yang sah.

1 comment:

  1. " Tapi, dia sudah tidak peduli lagi. Dia sudah terlalu penat memegang watak gadis yang baik." Sara, i like that ayat. wow! so impressed. saya makin suke ngan cite nie.

    ReplyDelete