April 21, 2018

I'M NOT A MONSTER - BAB 2


BAB 2

“MANA dia?”
“Aku tak tahu.”
“Aku yakin dia masuk sini tadi.”
Suara yang bersahut-sahutan itu, kedengaran sipi-sipi sahaja di telinga Ryu. Dia masih pegun dengan seorang gadis yang dihimpit rapat. Saling bertatapan. Saling terpanar. Atau mungkin dia seorang yang tergamam, kerana mata di hadapannya kelihatan kosong benar.
Mati daripada secalit emosi.
“Jahanam!”
Carutan bergema. Berbunyi agak dekat. Menyedari seteru yang semakin menghampiri, Ryu meletak jari telunjuk ke mulut dan berbisik.
“Aku akan lepaskan kau. Tapi jangan menjerit.”
Hanya kerlipan mata yang jadi jawapan. Lambat-lambat, Ryu menjatuhkan tangan. Dia menjangkakan bakal menerima jeritan. Namun yang keluar dari mulut mungil itu cuma desah nafas yang berat. Tiada jeritan. Tiada laungan. Bahkan, tiada rontaan.
“Jangan keluar.” Ryu menjatuhkan arahan seraya mengundur diri. Kemudian, dia memusing badan dan berjalan ke hujung lorong. Langkah yang tadi pincang, cuba dibetulkan. Tubuh yang masih mencucuk-cucuk sakit, cuba diabaikan. Sampai di situ, dia berhenti sekejap dan mengerling ke belakang.
Kepada gadis yang masih tersandar kaku di dinding.
“Ishikawa Ryu.”
Ryu melarikan semula anak mata ke hadapan. Kelihatan salah seorang konco Bloody Tiger tidak jauh daripadanya. Berdarah-darah, serupa dengannya. Di belakangnya pula, berbaris empat orang lelaki.
Lima lawan satu. Huh, bagus!
Sedikit-sedikit, Ryu membawa kaki dan tangan kanannya ke hadapan. Membentuk posisi bersedia menerima apa-apa yang bakal mendatang. Kepala tegak penuh keangkuhan. Mata tajam mencabar. Jari-jemarinya digerak-gerak, memanggil mereka masuk.
Lelaki di hadapan menjeling ke belakang. Lelaki di belakang saling berpandangan. Berwajah gementar.
Ryu senyum sekejap. Sinis. Kemudian…
“Arghhh!!!”
Mereka masuk menyerang. Segala keheningan di lorong kecil itu lenyap terus. Pekikan dan carutan berbunyi dalam kekalutan. Berselit dengan bunyi erangan manusia. Semuanya menerima ‘hadiah’ daripada Ishikawa Ryu.
Walau dengan kecederaan di tubuh, gerak laku Ryu tetap tangkas, padu, dan tepat mengenai sasaran. Tangannya bergilir-gilir menumbuk dan menghentak konco Bloody Tiger yang serentak menyerang. Kakinya sekejap menendang, sekejap melompat. Sesekali, melibas pergelangan kaki sang lawan hingga tersungkur atas jalan. Ryu menyudahkan serangan dengan menghentak dada lawannya dengan siku. Raungan bergema kuat. Telinganya jelas mendengar bunyi patah tulang rusuk.
Selang beberapa ketika, Ryu berhenti. Dia tercungap-cungap menarik dan menghembus nafas. Tegak berdiri di tengah-tengah lima manusia yang sudah bergelimpangan di sekeliling. Masing-masing mengerekot menahan sakit.
Ryu membawa sebelah tangan ke dada. Perit! Dahinya berkerunyut menahan rasa. Mulut yang terasa penuh, diludah isinya. Melekat liur atas jalan. Bercampur darah.
Sesudah itu, dia menyeret kaki. Terumbang-ambing menuju celah lorong tadi. Semakin dia mendekat, semakin dahinya berlapis. Anak mata mula melingas ke kiri kanan. Cuba mencari kelibat gadis yang sudah hilang dari tempat dia ditinggalkan. Dari celah-celah samar cahaya bulan, pandangan Ryu akhirnya melekat kepada belakang tubuh seseorang. Sedang berjalan sambil menampung dinding. Perlahan dan agak terhuyung-hayang. Seperti menanti saat untuk jatuh menyembah bumi.
Tanpa berlengah, Ryu bergerak kepadanya. Sesampainya di sisi, terus dia memegang lengan si gadis dan…
Direntap kuat!
Ryu terpempan. Langsung tidak menduga reaksi sebegitu sekali. Bukan daripada perempuan yang sebentar tadi, sedikit pun tidak meronta. Padahal, diri dihimpit ke dinding oleh lelaki asing.
Sedikit-sedikit, gadis memanggung muka. Ryu menanti seperti orang bodoh. Dan akhirnya mereka kembali bertatapan.
Malam itu, Ryu terkesima lagi.
Bukan kerana Bloody Tiger yang mahu mencabut nyawa, sebaliknya kerana seorang gadis yang kini merenungnya. Bukan lagi dengan kekosongan. Malahan, cukup jelas emosi yang membuak-buak dalam sepasang matanya.
Kebencian.
Itu yang Ryu nampak. Hanya kebencian.
Entah berapa lama mereka berkeadaan begitu, Ryu tidak pasti. Sedar-sedar sahaja, dia sudah pun ditolak jauh. Gadis menyambung langkah. Masih menampung dinding. Masih terhuyung-hayang.
Ryu memerhati dari belakang. Kepada langkah pincangnya. Kepada tubuhnya yang cuma dilapisi…
Pajama?
Kening Ryu bertaut. Bebola mata spontan ditala kepada kaki si gadis. Berkaki ayam. Walau dengan cahaya malam yang sedikit, Ryu dapat melihat telapak kakinya yang berdarah-darah.
Tubuh gadis tiba-tiba sendeng ke kanan. Secepat kilat, Ryu meluru dan menyambutnya. Dia tidak tahu kenapa dia bertindak demikian. Tetapi satu yang dia tahu. Gadis sedang elok berada dalam dakapannya. Kemas dipeluk bahu.
Tangan gadis bergerak. Sedar apa yang ingin dibuatnya, Ryu terus mencengkam pergelangan tangan itu. Pegangan juga diketatkan lagi.
“Aku tahu kau tak suka aku sentuh kau. Tapi kalau kau tak nak mati kesejukan di sini, jangan cuba meronta.”
Keras dia memberi amaran. Gadis menengadah kepadanya. Bibir tertutup rapi. Hanya mata yang terkelip-kelip memandang. Tanpa fokus. Sekali, dua kali, tiga kali hingga akhirnya…
Mata itu terkatup terus.
“Kau…”
Kepala gadis jatuh ke dada Ryu. Tangannya terkulai ke sisi. Ryu terkaku. Masih setia mendakap gadis tidak dikenali.
Beberapa ketika berlalu, Ryu menegakkan badan. Kaki diayun ke hadapan. Keluar dari lorong gelap, sambil mencempung tubuh seorang gadis yang muncul entah dari mana.
*****
AIR yang berderu-deru jatuh, dibiarkan menghempap belakang. Dahinya berkerunyut. Mata dipejam rapat-rapat. Bawah bibir diketap kuat. Jari-jemari dikepal pada dinding.
Pedih. Sangat pedih.
Namun, ditahan-tahan segala kepedihan yang seakan-akan menghiris segenap inci tubuh itu. Ryu kembali membuka mata. Memandang air yang sudah bertukar merah. Mengalir dari tubuhnya dan masuk ke lubang di lantai bilik air. Tangannya mengatup pili air pancuran. Kepala diangkat semula. Wajah basah dan rambut yang menutupi dahi, diraup. Kemudian, dia menghampiri cermin. Kabus yang mengaburi disapu sekali, lantas menampakkan pantulan dirinya. Berdahi luka, muka pecah sana-sini, bahu dan lengan masih bersisa darah. Tidak henti-henti keluar.
Dan di sebalik semua itu, kelihatan lingkaran naga dari pinggang, naik ke belakang, hinggap ke bahu, berakhir dengan kepala atas dada kiri Ryu. Bermata tajam. Bergigi runcing.
Ryu menarik tuala yang tergantung di sisi dan melilitnya di pinggang. Tuala putih itu serta-merta terpalit merah. Ryu biarkan sahaja dan terus meloloskan diri ke luar bilik air. Dan-dan, kakinya terpasung. Elok berhenti depan pintu.
Dia.
Si gadis.
Terbaring atas katil.
Lama Ryu memandang. Ada rasa tidak percaya yang menyusup dalam diri. Sungguh, apa yang sudah dia buat? Apa yang dia fikirkan tadi? Macam mana dia boleh tiba-tiba bawa balik perempuan ke rumahnya, dalam keadaan kelam-kabut seperti itu?
Ah, dia sudah gila. Dia benar-benar sudah gila!
Selesai mengutuk diri sendiri, Ryu mengambil langkah semula. Cukup perlahan, hinggakan derap tapak kaki pun tidak berbunyi. Usai tiba di sebelah katil, dia berhenti di situ. Tercegat merenung gadis yang tidak sedarkan diri. Berada atas katilnya. Berlapik bantalnya.
Wajah gadis separa terkatup dek rambut. Lantas, Ryu mengangkat tangan. Saat jari-jemarinya hampir menyentuh, tangannya terkaku di udara. Dikekang oleh memori yang tiba-tiba menujah otak.
Sepasang mata yang mencerlung penuh kebencian.
Ryu menggeleng kepala dan menghalau rupa itu jauh-jauh. Jari telunjuknya kembali dibawa ke hadapan, dan akhirnya menyentuh rambut gadis. Diselak hingga menampakkan wajah penuh.
Comot dengan kesan darah.
Ryu mengherotkan bibir. Menyinis apa yang sudah berlaku. Dia tahu itu kesan darah dari tangannya yang luka, saat dia menekup mulut gadis. Dalam erti kata lain, dia sudah menodai perempuan tidak berdosa dengan darah kotornya!
Anak mata dilarikan pula kepada bahagian badan gadis. Sekadar berpakaian pajama. Warna biru dengan bunga-bunga kecil. Comel. Tetapi terserlah tipisnya. Tidak sesuai untuk dibawa keluar rumah, apatah lagi di malam hari pada musim dingin.
Di bahagian siku pajama, Ryu dapat melihat dengan jelas warna merah yang berbekas. Terus, Ryu membelek-belek tangan gadis. Luka di bahagian siku. Tidak teruk. Tetapi cukup untuk menitiskan darah.
Sedikit demi sedikit, dahi Ryu berkerut.
Perhatiannya dibawa ke bahagian kaki. Ada koyakan di lutut seluar. Seperti siku, ada luka di situ. Kali ini, agak dalam dan besar. Boleh ternampak isi putih.
Kerutan di dahi Ryu semakin tebal. Pelbagai persoalan bertubi-tubi masuk. Siapa perempuan ini? Apa yang sudah berlaku? Kenapa dia boleh keluar malam-malam buta, cuma dengan pajama? Dan yang lebih penting, macam mana dia boleh dapat kecederaan seperti ini?
Tidak mungkin dia juga seorang ahli kongsi gelap, yang sibuk berlawan sana-sini!
Sekilas, anak mata Ryu tertancap pada telapak kaki gadis. Darah sudah mengering. Ryu kembali memerhati keadaan gadis. Dari atas ke bawah. Dari bawah ke atas. Otak ligat menganalisa.
Siku dan lutut luka. Berkaki ayam. Telapak kaki berdarah.
Ryu mengelip mata sekali, bersama jawapan yang sudah dia peroleh. Gadis ini melarikan diri daripada sesuatu. Cedera menandakan jatuh.
Jadi persoalannya sekarang, dia melarikan diri daripada apa? Atau siapa?
Beberapa saat memikir, Ryu melepas gelak. Sinis. Kepala juga digeleng. Apa pula yang sudah jadi pada kau, Ryu? Apa-apa pun yang berlaku kepada perempuan ini, pedulikanlah! Apa kaitannya dengan kau?
Tidak ada. Secebis pun tidak ada.
Malas memikir lagi, Ryu bergerak meninggalkan gadis. Almari pakaian dihampiri. Seluar diambil dan dipakai. Tanpa mengenakan baju, dia mendekati pintu bilik. Baru separuh keluar…
“Abang!”
Satu wajah tiba-tiba tersembul di pintu depan. Spontan, Ryu menjeling kepada gadis di pembaringan. Dia cepat-cepat bolos dari bilik dan mengatup pintu. Melindungi gadis dari dunia luar.
“Sampai pun kau,” tegur Ryu dengan gaya acuh tak acuh. Bukan dia tidak kenal Kosuke. Lelaki itu pasti akan muncul di rumahnya, kalau ada apa-apa terjadi. Tanggungjawab seorang adik, katanya.
Adik spesis suka menyibuk!
“Abang tak apa-apa?”
“Macam mana dengan dai lo?” Ryu melontar pertanyaan sendiri.
“Dah hantar ke hospital.”
“Okey.” Pendek balasan Ryu. Tetapi ada rasa lega yang menyelit. Nampaknya, Luo Ming juga seperti dia. Berjaya lepas daripada segala serangan tadi. Huh, dia sepatutnya tidak hairan! Lelaki tersebut bukan calang-calang orangnya. Dia pasti mampu melawan. Dia pasti selamat.
Mahu bunuh hung kwan bagi Red Dragon? Bloody Tiger memang berangan!
“Abang pun cedera teruk. Kenapa tak ke hospital?” Suara Kosuke kedengaran terlebih tinggi. Berbaur risau.
Ryu berjalan menuju kabinet di penjuru ruang tamu. Satu kotak kecemasan dikeluarkan.
“Teruk apanya? Calar saja.”
“Ini bukan calar. Ini kelar.”
Ryu mengerling ke sisi. Kepada Kosuke yang entah sejak bila berdiri di sebelah. Sedang ralit membelek-belek lukanya.
“Apa bezanya?” soal Ryu. Selamba bagai tiada apa-apa.
Mulut Kosuke melopong.
“Apa bezanya? Abang tahu ini semua….” Kosuke menunjuk jari ke luka di bahu dan lengannya.
“Kena jahit, kan?”
Jari telunjuk itu ditepis.
“Alah, kau ni. Benda sikit aje. Nak jahit apanya?” gerutu Ryu sambil berjalan ke dapur pula. Dibiarkan sahaja Kosuke yang membuntuti macam anak ayam.
“Sikit apanya kalau masih berdarah-darah macam ni?” Bebelannya kedengaran dari belakang.
Ryu memusing badan. Secara refleks, Kosuke menghentikan kaki. Biji mata separa terbeliak. Mujur sahaja mereka tidak bertembung antara satu sama lain, sebentar tadi.
Ryu mengecilkan mata kepada Kosuke. Lelaki itu mengerutkan dahi dengan muka pelik.
“Apa? Kenapa tengok aku macam tu?”
“Kau tahu tak, kau ni dah berbunyi macam isteri aku? Membebel tak habis-habis!”
“Sebab aku seorang aje yang ada untuk bebelkan abang. Jadi, tolong berterima kasih sikit.”
Terlepas gelak Ryu. Ada-ada sahaja jawapan yang keluar dari mulut budak ini. Tubuh dipusing semula ke arah dapur. Kosuke masih mengikut.
“Betul ke abang tak nak ke hospital?”
“Pandailah aku balut luka sendiri. Bukan tak biasa.”
Rengusan Kosuke kedengaran kuat. Jelas tidak berpuas hati, tetapi Ryu buat-buat tidak dengar. Dia kekal dengan muka kosong, selamba mengambil besen kecil yang terletak atas meja.
“Kau tak perlu fikirkan aku sangat. Aku cuma perlukan rehat. Itu saja. Yang lebih penting sekarang ialah dai lo,” sambung Ryu seraya memasukkan air separa panas ke dalam besen.
“Aku tak boleh ada dengan dia. Jadi aku nak kau jaga dia elok-elok. Jangan bagi Bloody Tiger apa-apakan dia. Kalau perlukan lebih ramai orang, bagitahu aku. Tahulah aku uruskan.”
Senyap.
Bait bicara Ryu berlalu tanpa balasan. Lantas, dia menengadah. Tepat kepada Kosuke yang cuma memandang. Masih dengan kerisauan.
Ryu mengeluh dalam diam. Pili sinki ditutup. Besen diletak ke tepi. Tubuh ditegakkan.
“Kosuke.” Suara Ryu bernada lebih tegas. Renungan bertukar lebih tajam.
Riak muka Kosuke terus berubah. Tidak cukup dengan itu, dia membetulkan tegak berdirinya. Lebih kepada posisi bersedia mendengar arahan.
“Kau dengar tak apa yang aku cakap ni?”
Bawah bibir diketap sesaat, sebelum Kosuke mengangguk.
“Dengar.”
“Habis tu?” Intonasi Ryu masih tegas.
Dalam-dalam, Kosuke menghela nafas. Muka berbias serba salah, tetapi bibir…
“Baiklah. Aku dan budak-budak lain akan melindungi dai lo.”
Menerima arahan yang baru menjadi halwa telinga.
“Bagus.” Pendek Ryu memuji.
“Tapi pasal esok…”
 “Kena tunggu cho-kun bagi arahan,” sambung Ryu, tahu apa yang bermain dalam fikiran lelaki itu. Teka Ryu, pertempuran malam esok pasti dibatalkan. Kini yang perlu turun padang, bukan lagi hung kwan kepada kedua-dua geng. Sebaliknya, juga cho kun kepada kedua-dua kumpulan.
Soaring Dragon dan The Claws.
Zachary Ho dan Wong Liu.
*****
GADIS lena itu ditenung tepat-tepat. Mata tertutup rapat. Jelas sembab. Hidung separa mancung. Elok terletak. Bibir sedikit terbuka. Merah mungil walau tanpa calitan gincu.
Manis.
Itu yang boleh dia simpulkan tentang gadis ini. Mungkin tidak secantik atau seseksi perempuan-perempuan yang pernah mendampinginya, tetapi ada kemanisan di wajahnya. Padahal, dia sekadar lena tidak sedarkan diri.
Sudah serupa Sleeping Beauty menanti sang putera.  
Ah, dia mula merapu! Mana datang putera itu? Dia? Jauh panggang dari api. Seorang Ishikawa Ryu lebih layak jadi raksasa daripada putera. Lebih layak jadi pemusnah daripada penyelamat.
Tidak mahu lebih merapu, Ryu menoleh ke sebelah. Kain yang sudah tersedia, diambil dan dimasuk ke dalam besen atas meja sisi. Diperah hingga separa kering, sebelum dia mula mengelap wajah gadis.
Sangat perlahan, seperti sedang menyentuh manikin kaca yang boleh berderai hanya dengan satu sentuhan.
Kemudian, dia mengalihkan kain ke bawah siku. Dicuci lebih berhati-hati. Akhir sekali, kain yang sama itu dibawa ke lutut dan telapak kaki. Usai memastikan segala luka sudah dibersih, Ryu mengambil kotak kecemasan. Beberapa bahan dibawa keluar. Siku, lutut dan telapak kaki gadis diletak ubat dan dibalut elok-elok. Selesai semuanya, Ryu menyelimutkan gadis hingga ke bahu. Sekadar menampakkan muka. Buat kesekian kali, dia menatap gadis. Lama dan dalam.
Aneh sekali malam ini.
Dia yang selama ini tidak pernah pedulikan orang lain, boleh pula sibuk mencuci dan merawat orang. Padahal diri sendiri…
Ryu melarikan bebola mata ke tubuh. Masih tidak berbaju. Masih bernoda darah yang mula mengering.
Lalu, dia bangkit dari duduk dan menghampiri kerusi di meja cermin. Pantulan yang kelihatan, diteliti. Ada dua kesan luka di lengan kiri. Kelar yang boleh tahan dalamnya. Ryu seyum sinis. Patutlah terasa mencucuk-cucuk  itu. Satu lagi calar terletak di bahu. Tidak teruk mana. Tidak perlu dipeduli.
Kotak kecemasan ditarik lebih dekat. Bahan yang tidak banyak itu, dikeluarkan. Seperti yang dibuat untuk gadis, Ryu melilit lengan dengan kain. Tangan kanan dan gigi diguna untuk mengemaskan ikatan.
Sesuatu yang sudah biasa dia buat.
Berpuas hati, Ryu mengemas kotak kecemasan. Segala luka dan calar lain, tidak diendahkan. Dia malas! Esok hari, mungkin sahaja dia berdarah-darah lagi. Jadi untuk apa bersusah-payah merawat?
Sesudah itu, dia mengangkat kepala. Dan-dan, jantungnya terhentak. Mujur tidak berhenti terus!
Elok terpampang di cermin ialah pantulan gadis di belakangnya. Sudah bangun dari pembaringan. Tegak duduk atas katil. Rambut lurus panjang hampir menutupi muka. Sekadar sipi-sipi menampakkan mata. Tetapi, yang sipi itulah yang hampir membuatkan Ryu berhenti bernafas.
Gadis sedang merenungnya tajam. Sangat tajam. 

******** BERSAMBUNG ********
Sexy Ryu!!! That shower scene...Kdrama style sangat, kan? Hahaha!!! Oh, don't you think he's sweet? Dalam ganasnya dia, lembut je merawat segala luka kat badan Maya. Awww....



No comments:

Post a Comment