April 24, 2018

I'M NOT A MONSTER - BAB 15


BAB 15

LELAKI yang sedang duduk di meja itu, diperhati tanpa kelip. Sedang membelek-belek beberapa dokumen. Langsung tidak peduli tentang dia yang sedari tadi berdiri. Sudah macam orang tolol. Terpacak tegak, tangan di belakang badan, menunggu tetapi tidak diendah. Kalau tidak kerana lelaki ini ialah cho kun, sudah lama Ryu berambus.
“Jadi…” Zachary Ho memecah keheningan. Pen di tangan, diletak atas meja. Kepala dipanggung kepada Ryu. Berwajah serius, bermata kosong.
“Kau tahu apa yang sedang berlaku dengan aku sekarang?”
“Dua minggu lagi, majlis perasmian untuk Dynasty.” Pendek dan yakin jawapan Ryu. Dynasty, merujuk kepada kasino terbaru yang bakal muncul di kalangan kasino-kasino yang sedia ada. Sepenuhnya dimiliki oleh Zachary Ho dan bakal beroperasi tidak lama lagi.
“Hmm, menarik. Kau tahu. Bagus!”
Muka Ryu kekal tanpa riak. Tidak terkesan dengan pujian yang baru diperoleh.
“Dalam masa ini, aku tak mahu ada apa-apa berlaku. Semuanya mesti berjalan lancar.”
“Apa yang cho kun mahu aku buat?” Mendatar soalan Ryu. Kepala otak mula membayangkan pelbagai nama yang perlu dihapuskan.
Huh, dia kan sudah jadi anjing pembunuh untuk tuan yang ini!
“Kau jangan bimbang. Aku bukan mahu suruh kau bunuh sesiapa.”
Bagaikan mengerti apa yang bermain dalam benak Ryu, Zachary Ho bersuara lagi. Sinis dalam tenang. Riak mukanya jelas menyindir. Ryu buat-buat tidak nampak.
“Maksud aku, belum lagi.” Zachary Ho menyambung dengan pembetulan dalam kata. Wajah masih jelas menyindir.
Ryu sekadar kelip mata. Serius.
“Aku nak…”
Zachary Ho membuka laci meja dan mengeluarkan sesuatu dari situ.
“Kau cari perempuan ni sampai dapat.”
Ryu bergerak ke hadapan setapak, dan menyambut objek yang dihulur oleh Zachary Ho. Satu sampul surat.
“Sebelum ini, aku serahkan hal ini pada Hector. Tapi, jantan keparat tu...”
Dengusan keras keluar dari hidung kembang kempis Zachary Ho. Renungan matanya bertukar tajam. Bagaikan membayang diri melahap-lahap Hector, padahal orang itu sudah lama jadi abu.
“Dahlah gagal buat kerja, ada hati mahu rampas kuasa aku pula. Dasar jahanam!”
Ryu diam sahaja. Malas ambil tahu apa-apa pun sejarah silam antara Zachary Ho dan Hector. Antara mereka bertiga, tidak perlu ada apa-apa perkaitan lagi. Semuanya tamat malam itu. Dan walaupun mustahil, dia mahu padam sejarah hitam itu buat selama-lamanya!
“Jadi…”
Suara Zachary Ho kendur semula. Ketegangan di muka hilang seperti tidak pernah muncul. Hanya ketenangan dan senyum simpul yang menghiasi wajah.
“Aku mestilah guna orang aku yang paling boleh diharap ini, kan?” Dia menyoal dengan kelembutan serupa yang dia guna saat mahu Ryu membunuh Hector.
Ryu cuba bertahan, tetapi dia dapat merasai raut mukanya yang berderau. Telapak tangan yang setia memegang sampul surat, juga terasa berpeluh.
Kau gagal. Dan kau tahu akibatnya!
Ryu sedar, itu yang sebenarnya cuba disampaikan oleh Zachary Ho. Serupa malam bersejarah itu. Siapa pun perempuan ini, dia perlu dapatkannya. Kalau tidak, kepala dia yang jadi galang ganti!
“Aku bagi masa hingga sebelum majlis perasmian Dynasty. Kalau gagal…” Kening Zachary Ho naik sebelah.
“Aku tak fikir kau bodoh untuk tahu akibatnya, kan?”
Kalau dia bodoh, dia takkan berada di sini. Dia sudah pun mampus pada malam Zachary Ho mahukan nyawa Hector. Ryu membidas dalam hati. Tetapi mulut…
“Cho kun jangan bimbang. Aku akan uruskannya.”
Menerima macam anjing paling setia.
Bibir Zachary Ho herot sebelah. Entah sedang menyinis dia, atau berpuas hati dengan jawapan yang diterima, Ryu tidak tahu. Dan tidak peduli.
“Aku nak kau bawa dia pada aku, hidup-hidup. Kalau ada sedikit pun calar pada dia…”
Renungan Zachary Ho sekali lagi berubah rentak. Tajam berdesis.
“Aku akan potong jari kau.”
Ryu dengar sahaja. Masih berwajah kosong. Tetapi dalam hati, timbul sedikit persoalan. Siapa pula perempuan ini hinggakan begini sekali perlakuan Zachary Ho?
“Baiklah. Itu sahaja. Sekarang kau boleh pergi.”
Zachary Ho kembali menyandar belakang ke kerusi di meja kerja. Kepala sedikit terdongak. Lagak angkuh.
Ryu mengundur diri ke belakang, menunduk kepala tanda hormat dan memusing tubuh. Beberapa minit kemudian, dia sudah pun berada di luar, atas motosikalnya. Sampul surat yang sedari tadi dipegang, dibuka penutup. Tangan kanan diseluk masuk ke dalam. Isinya dikeluarkan. Beberapa keping gambar dalam kedudukan terbalik. Ryu pusing tanpa syak. Saat itu juga, matanya terbeliak. Jantung seperti dipanah halilintar!
*****
KRANG!!
Maya yang sedang mencuci pinggan di sinki mengeraskan badan. Telinga dibuka luas-luas. Ingin memastikan bunyi yang baru didengar. Seperti sesuatu yang pecah.
“Dah balik ke? Awalnya,” getus Maya seraya mengelap tangan di tuala. Kaki menapak ke arah pintu dapur. Baru sahaja Maya mahu membuka pintu tersebut, dia menutupnya semula. Mata membuntang luas. Tubuh tersandar ke belakang pintu. Jari-jemari pula melekap di bibir. Menahan nafas.
“Cari dia.”
Mata buntang Maya bertambah bulat. Cari dia? Hati mula berbisik rasa tidak enak. Adakah…
Maya menggeleng kepala. Tidak mungkin!
Lalu, Maya membuka sedikit pintu dapur. Perlahan dan teragak-agak. Dari celahannya, dia dapat melihat seorang lelaki bersut hitam menendang pintu biliknya hingga terbuka. Seorang lagi pula menyepak bilik air. Beberapa orang lagi membaling, melempar dan membanting barang-barang di ruang tamu. Berdentam-dentum bunyinya. Habis segala-galanya pecah. Hancur berderai!
Maya tutup kembali pintu. Tombolnya ditekan kemas. Tubuh diundur setapak demi setapak ke belakang. Setitis demi setitis peluh membasahi dahi. Jantung yang sedia berdebar-debar, jadi bertambah laju degupannya. Dadanya turun naik, dihambat rasa takut dan seriau yang membuak-buak. Maya sedar bahawa dia hanya menanti saat sahaja untuk mereka menemuinya di sini.
Tuk…tuk…tuk…
Bahu Maya terangkat. Bulat mata mendengar bunyi ketukan di pintu.
“Kau ada kat dalam ke tu?”
Suara di luar berbunyi sinis, disusuli gelak halus. Tombol pintu digoncang-goncang dari luar. Jantung Maya seperti mahu pecah!
Dia bergerak lebih ke belakang. Mengundur lebih jauh. Kepala juga berlingas ke kiri kanan. Mahu melihat kalau-kalau ada jalan bolos. Semestinya tidak ada. Ini bukan dapur yang punya pintu kedua. Ini bukan dapur yang menyediakan laluan bolos!
Maya merapatkan lagi tubuh ke kabinet. Seolah-olah dengan cara itu, dia boleh tembus keluar. Jari-jemarinya setia menekup mulut. Nafas terasa semakin pendek. Tetapi dia sudah tidak peduli. Ditekup lebih kuat, bersama mata yang mula berbalam-balam. Otak pula sebu dengan memori yang tiba-tiba berderu masuk.
Sama!
Ini sama seperti malam jahanam itu. Malam di mana segala-galanya bermula. Malam kotor yang dicemari darah.
Tubuh Maya menggeletar lebih kuat.
“Kenapa main sorok-sorok ni? Abang-abang bukan nak apa-apakan kau....”
Suara garau diselangi tawa jengkel di luar sana kedengaran semakin kuat. Semakin dekat. Semakin menakutkan. Maya geleng kepala. Tangan semakin kuat melekat di mulut. Air mata sudah pun meleleh di pipi.
Takut. Dia benar-benar takut!
“Pecahkan pintu.”
Maya bertambah panik. Jantungnya terasa pecah dengan setiap satu tendangan yang menghempap pintu dari luar. Sekali, dua kali, tiga kali…
Maya menjatuhkan tangan dan melihat ke sekeliling. Pandangannya tertancap pada pisau sebelah sinki. Dia bergegas ke situ, mencapainya dan…
Bum!
Pintu dapur terbuka luas. Maya pusing menghadap. Pisau terpegang kemas di tangan. Ditala ke hadapan. Terketar-ketar.
Tidak jauh daripadanya, berbaris tiga orang lelaki dengan pelbagai rupa. Masing-masing menayang muka sinis lagi menggerunkan.
Maya menghala pisau lebih ke hadapan.
Tiga lelaki itu tiba-tiba mengalihkan badan ke tepi dan membuka laluan. Keluar seorang lelaki dari tengah. Lelaki bersut hitam tadi.
“Di sini pun kau…” Dia menegur seraya bergerak menghampiri.
Sekali lagi, Maya hunus pisau kepadanya. Tidak terggugat langsung. Lelaki itu malahan senyum dan mengangkat kaki lebih ke hadapan. Setapak, dan setapak lagi, dan setapak lagi….
Maya pandang ke kiri kanan, masih melihat kalau-kalau ada laluan bolos. Pisau di tangan digenggam lebih ketat. Tubuh cuba diundur menjauhi. Tidak boleh! Dia sudah pun melekat di kabinet dapur. Terperangkap di situ. Menanti lelaki bersut hitam.
Semakin lelaki itu dekat, semakin Maya geleng kepala. Berkali-kali dia hunus pisau. Tindakan yang sekadar menerima tawa mengejek daripada semua jantan yang ada. Maya rasa semakin lemah. Tangan semakin menggeletar, semakin sukar untuk menggenggam pisau tersebut. Dia cuba bertahan tetapi…
“Budak-budak tak elok main pisau.”
Lelaki bersut hitam sudah selamat ada di depan. Selamba memegang bilah pisau. Ada darah yang menitis di situ. Maya terpanar. Pegangannya serta-merta terlepas. Pisau melantun jatuh ke bawah.
Lelaki itu belek tangan depan muka. Memerhati darah yang meleleh-leleh di telapaknya. Maya mungkin silap melihat, tetapi dia seperti nampak keterujaan dalam sepasang mata itu.
“Kau tahu…” Dia bertutur tanpa melihat Maya.
“Kalau tak kerana Ryu, aku masih ada dua jari ni…”
Spontan, Maya alih pandangan kepada jari kelinking dan manisnya. Lebih pendek daripada yang lain. Maya telan liur. Dia tidak bodoh untuk mengerti apa yang sudah berlaku.
Dua jari itu telah dipotong!
Muka Maya terasa semakin pucat. Tubuh longlai menanti saat untuk rebah. Mata masih setia menggugurkan isi.
“Kalau tak kerana dia selamatkan Luo Ming malam itu, aku takkan dipaksa serahkan kawasan dan jari aku.”
Lelaki itu mengerling kepada Maya.
“Kau tahu tak? Berapa lama aku terpaksa tunggu untuk balas balik akibatnya? Setahun. Dan sekarang…”
Dia mengulum senyum.
“Aku akan pastikan dia terima akibat tu, baik-baik. Terima kasih pada kau.”
Usai bersuara, lelaki itu menyentuh pipi Maya. Pantas ditepis.
“Woooo, woooo....berani nampak.” Pedas dia menyindir, disambut tawa-tawa mengjengkelkan. Dan kemudian....
“Erghh...”
Dia merengkuh rambut Maya. Kepala Maya terdongak. Muka berkerunyut menahan perit. Kulit tengkoraknya rasa seperti mahu tercabut. Bibir Maya diketap kuat, mengekang bibir daripada mengerang kuat atau mengeluarkan apa-apa perkataan.
Dia bisu. Dia harus kekal bisu!
Masih dengan rambut yang dicengkam kuat, Maya diseret keluar. Kedua-dua tangannya menampar-nampar tangan di kepala, berharap agar lelaki itu melepaskannya. Sememangnya itu yang dia buat. Maya dibanting ke tengah-tengah ruang tamu. Tubuhnya terhempap atas lantai. Maya mengaduh dalam diam. Segala tulang-temulangnya rasa hampir patah.
“Tsk...tsk...tsk...tak sangka betul, kan? Rupa-rupanya Ryu simpan perempuan dalam rumah dia. Patutlah aku tak pernah nampak dia dengan mana-mana perempuan. Jadi, bagitahu aku. Dah berapa lama kau jadi perempuan dia?”
Maya tidak menjawab. Mata basahnya tidak lepas daripada menatap wajah lelaki yang mencerlung kepadanya. Dalam hati, dia mula meraung-raung nama Ryu. Tolong, Ryu! Tolong pulang!!!
“Aku tanya ni. Kau pekak ke apa?!!”
Kepala Maya ditujah kasar.
“Angkat dia.”
Kedua-dua belah lengan Maya ditarik, dan dicengkam ke belakang. Tubuh genit Maya dipaksa bangun.
“Tengok sini.”
Bawah dagu Maya dicengkam hingga mukanya terangkat. Bertentang mata dengan lelaki yang tidak habis-habis melakukan macam-macam padanya. Dalam peritnya menahan segala keganasan, Maya membayangkan dirinya meludah ke muka itu. Teringin mencarut-mencarut dan menyumpah seranah ke muka hodoh ini. Berani lelaki ini berkasar dengan wanita! Berani memperlakukan dia macam tak ada nyawa!
“Aku tanya, berapa lama kau jadi perempuan dia?”
Diam. Maya tetap mendiam. Satu, kerana lakonannya sebagai perempuan bisu. Kedua, kerana dia tidak mahu membazir air liur menjawab soalan bodoh itu. Untuk apa dia beri kepuasan pada lelaki hina ini kerana mendapat jawapan? Tidak! Dia tidak setolol itu!
“Aku paling pantang kalau orang tak jawab soalan aku.”
Maya mengetap bibir rapat-rapat. Lelaki di hadapannya merengus-rengus ganas. Jelas menahan amarah yang membuak-buak.
“Perempuan jahanam!!!”
Pang!
Terpusing muka Maya. Pipinya rasa terkehel. Kepalanya berpinar-pinar. Bibir terasa pecah dan basah.
Pang!
Terpusing sekali lagi.
Pang!
Dan sekali lagi.
Tanpa semena-mena, kedengaran bunyi hingar-bingar. Tidak lama kemudian, pintu depan rumah terbuka luas. Baru sahaja ditendang dari luar. Ryu terpacak bersama wajah yang berdarah, bercampur dengan hanyirnya peluh. Sepasang mata memerah garang. Sebelah tangan mencengkam leher seorang lelaki. Konco kepada manusia-manusia yang enak menghancurkan rumah mereka, mungkin. Merah padam muka lelaki itu menahan sakit dan cuba menghirup nafas yang semakin pendek.
“Pilih. Kau nak lepaskan dia. Atau kau nak mati di tangan aku.” Suara Ryu yang sangat mendatar mula berkumandang.
“Akhirnya! Kau sampai juga. Ryu...Ryu, sejak kau jadi hung kwan, kau jadi makin sombong, kan? Tak tegur aku semalam.”
Maya tersentak. Semalam? Jadi lelaki ini tahu tentang kewujudan dia kerana dia keluar bersama Ryu semalam?
“Aku ini Rex. Ketua Bloody Tiger, mana boleh kau tunjuk lagak dengan aku.” Lelaki yang sama menyambung bicara dengan gaya yang cukup angkuh. Ryu pula masih mendiam dengan wajah tanpa perasaannya.
“Jadi, aku ingat nak bagi kau ajaran sikit. Dan ajarannya mestilah....”
Pipi Maya diusap-usap. Hampir muntah Maya dengan sentuhan itu.
“Perempuan kau ni. Kenapa kau makan dia seorang-seorang?”
Raut wajah Ryu berubah sedikit. Anak matanya jelas terkesan dengan kata-kata dan tindakan Rex. Namun riak muka itu kembali dikeraskan.
“Kau tahu tak, kau datang tepat pada masanya?” soal Ryu dengan bibir yang menyenget sinis.
Rex mengerutkan dahi. “Apa maksud kau?”
“Aku sekarang tak ada mood. Jadi aku perlukan orang untuk aku lepaskan perasaan aku.”
Selesai menyudahkan kata, Ryu menghentak muka lelaki di tangannya ke dinding. Bersembur darah merah. Tubuh lelaki itu longlai jatuh ke lantai dengan muka yang separuh hancur. Ryu melihat sahaja tanpa perasaan. Bibirnya setia mengulum senyum sinis lagi menakutkan. Langkahnya diangkat ke hadapan dan kemudian dia menyerbu ke arah konco-konco yang lain. Semuanya diterajang, ditumbuk dan dibelasah.
Tidak cukup dengan itu, dia mengambil serpihan kaca atas lantai dan mengelar kaki tangan lawan-lawannya. Laju dan tangkas sekali segala pergerakan. Sudah seperti angin yang bertiup. Tidak sempat dihalang oleh konco-konco Rex.
Rex menjerit-jerit mengarahkan orang-orangnya menyerbu lagi. Maya sudah pun terlepas daripada pegangan dan kini terjelepuk menyaksikan semua adegan di hadapan mata. Ini bukanlah kali pertama dia lihat Ryu berlawan, tetapi kali ini ada lainnya. Ryu seperti tidak teragak-agak untuk membunuh!
Seketika berlalu, Ryu kembali berdiri tegak. Baju putih bertukar merah. Dada tercungap-cungap. Sebelah tangan mencengkam kaca. Darah menitis-nitis ke lantai. Di sekelilingnya pula, bergelimpangan tubuh-tubuh manusia. Masing-masing mengerang sambil memegang kaki dan tangan. Darah pekat memancut-mancut di mana-mana. Ruang tamu sudah tidak serupa ruang tamu, sebaliknya bertukar jadi kolam darah.
Ryu tetap terpacak. Kepala tegak. Muka tidak beremosi. Kemudian, dia membuka mulut. Sangat mendatar.
“Aku tak kerat arteri kau cukup dalam. Jadi kau masih ada masa untuk selamatkan diri. Pergi sebelum kau berdarah sampai mati.”
Konco-konco Rex berpandangan antara satu sama lain. Masing-masing dengan rupa tidak keruan. Antara tinggal demi sang ketua, atau bergegas ke hospital menyelamat diri.
Ryu menanti keputusan. Rex masih serupa tadi. Menjerit dengan suara bisingnya. Seorang anak buah Rex tiba-tiba bangun.
“Arghh, aku tak peduli. Kau memang tak guna!”
Dia menyerbu ke arah Ryu. Berdarah-darah dan tersenget-senget mengimbang badan. Tangan naik tinggi, bersama sebilah pisau tajam. Ryu kelip mata sekali, mengelak dan…
“Errrkkk…”
Konco tadi memegang leher. Mata terbeliak besar, beserta darah yang memancut keluar di celah-celah jari. Tubuhnya terhuyung-hayang ke belakang, sebelum terbalik menghempap lantai. Dan…
Keras.
Maya menekup mulut. Nafas rasa tersekat di celah jantung. Kedua-dua matanya terbelalak besar. Setiap inci badan menggeletar kuat.
Ryu…Ryu baru sahaja membunuh orang!
Teragak-agak, Maya angkat pandangan. Tepat kepada Ryu. Lelaki itu sekadar melihat mayat depan mata. Dingin tanpa perasaan.
“Yang lain…” Dia bersuara.
“Mahu pergi atau jadi macam dia?”
Sekelip mata sahaja, konco-konco yang masih tinggal bangkit. Tersendeng-sendeng bawa diri hingga lenyap di sebalik pintu.
Ryu pusing badan menghadap Rex.
“Kau silap hari, Rex. Sangat tersilap,” desis Ryu. Renungan membunuhnya jelas kelihatan di celah-celah darah atas muka Ryu.
“Kau...” Rex tidak mampu bersuara. Peluh merenik-renik ke atas dahi. Sungguh dia tidak menduga begini sekali reaksi Ryu atas kemunculannya kali ini. Ryu yang selama ini dia kenal, lebih tenang orangnya. Bukan seganas ini!
“Kau tak sepatutnya datang waktu aku tak ada mood.”
Saat berbicara dengan suara senadanya, Maya perasan bahawa Ryu menjeling ke arahnya. Maya telan liur. Lelaki itu bagaikan menghantar isyarat bahawa apa yang dituturkan sebenarnya ditujukan kepada Maya.
“Dan sekarang kau yang akan menyesal.”
Ryu meluru deras ke hadapan, melekat pada Rex yang tidak sempat berbuat apa-apa. Beberapa saat berlalu, Rex akhirnya terkulai jatuh ke kaki Ryu. Matanya terbeliak, mulutnya tersembur dengan cecair merah manakala perutnya terburai. Ryu pula hanya terpacak kaku bersama kaca yang meleleh-leleh dengan darah mangsanya.
Maya melarikan pandangan. Tidak sanggup melihat. Pelbagai emosi berkecamuk dalam diri. Bohonglah jika dia mengatakan bahawa dia tidak gerun dengan Ryu yang ini. Ryu yang seratus kali ganda berbeza dengan Ryu yang selama ini dia lihat, yang selama ini dia kenal. Ryu yang satu ini...kejamnya terlampau!
Selesai menyudahkan urusan dengan Rex, Ryu menapak ke arah sinki. Langsung tidak menoleh pada Maya. Langsung tidak menegur. Tangannya dicuci. Mukanya dibasuh. Sesudah itu, dia menarik keluar telefon bimbit dari kocek seluar.
“Kosuke, bawa budak-budak datang rumah aku. Kena cuci sikit.”
Telefon bimbit dimatikan. Kemudian dengan gerak yang cukup perlahan, Ryu mengalihkan muka pada Maya. Sepasang matanya kosong tanpa biasan emosi. Mati daripada kemanusiaan. Tiada langsung pandangan lembut yang biasa dia hadiahkan buat Maya. Yang ada cuma renungan maut sang pemangsa.
Jantung Maya terhentak. Secara refleks dan di luar sedar, dia mengengsotkan tubuh ke belakang. Bagaikan cuba melindungi diri.
Perasan akan tindakan itu, Ryu menjuih bibir.
“Sekarang kau dah takut pada aku?”
Setapak Ryu mendekat. Kepalanya ditunduk agar mukanya benar-benar setentang dengan muka Maya. Ditenung lama. Senyap.
Maya jadi semakin tidak keruan. Ryu terang-terangan sedang membaca dirinya. Seketika kemudian, Ryu menyambung kata. Pendek tetapi cukup untuk membuat dia terkejut bukan kepalang.
“May.”
**** BAB-BAB AWAL BERAKHIR DI SINI. DAPATKAN DI PASARAN! ****
Jahat tak Cik SA sebab stop bab-bab awal INAM kat bab ini? Haha! Tapi dalam banyak-banyak bab, bab 15 ini memang bab paling penting. Sebab itu kena berhenti kat sini. Hahahahaha!!! *evil laugh*
Okey, nak cakap yang Ryu sangat-sangat menakutkan dalam bab ini. Korang boleh bayangkan tak jadi Maya dan tengok semua adegan ganas ni depan mata? SCARRRRY!!!! 
Tapi itulah, dah namanya ini novel action thriller, kan? Kenalah ada scene thriller.
So, sampai sahaja bab-bab awal I'M NOT A MONSTER yang Cik SA share di wattpad (dan blog). Novel ini adalah keluaran penerbit Penulisan2 (adik Karyaseni), untuk bulan JULAI 2018. Meaning, INAM cuma akan berada di kedai-kedai buku tanah air pada bulan Julai nanti. 
Kalau mahu dapatkan INAM cepat, jom ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang bakal berlangsung pada 27 April - 6 Mei 2018, di PWTC. KS/P2U print INAM awal ekslusif untuk PBAKL. 
Booth Karyaseni & Penulisan2u terletak di BILIK KEDAH, JOHOR & KELANTAN. Kalau ada yang nak datang jumpa Cik SA, slot Cik SA ialah:
TARIKH: 6 MEI (AHAD)
MASA: 10 PAGI - 12 TENGAH HARI
TEMPAT: BOOTH KARYASENI & PENULISAN2 U
See you there! Jangan lupa like dan komen kat bawah. Thank you!

2 comments:

  1. Assalamualaikom. Miss sara kat mana saya boleh dapatkan novel salju kyoto sebab semua tempat saya pergi even dionline sudah habis stok?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumussalam. Maaf sangat lewat reply. Boleh tahu, dah dapat ke novel SK? Thank you! :)

      Delete