July 4, 2017

AKU LELAKIMU - BAB 7


BAB 7

SEGALA jenis maklumat yang terpampang di papan putih, ditatap satu-satu. Semuanya dihubungkan dengan anak panah, dalam percubaan untuk mengaitkan setiap maklumat yang ada.
“Dapatkan keadilan untuk budak-budak ni.”
Suara Dr. Laili terngiang-ngiang di gegendang telinga, tidak ubah seperti mantera yang membuatkan tahap tekanannya jadi berjuta kali ganda lebih teruk. ASP Edric meraup wajah yang semakin lama, jadi semakin serabai. Termasuk hari ini, sudah lima hari dia tidak pulang ke rumah. Tidurnya di celah-celah timbunan fail siasatan di balai. Makannya kalau dia teringat. Mandinya ala kadar, sudah serupa kerbau. Selagi kes ini tidak selesai, selagi itulah dia jadi serupa zombi. Itu belum lagi termasuk tahap tekanan dan rasa sebal dalam hati. Lebih-lebih lagi, bila diserang atas bawah, kiri kanan oleh orang-orang atasan, keluarga mangsa, pihak media dan orang awam yang mahukan maklumat.
Masalahnya sekarang, macam mana dia mahu beri maklumat kalau apa pun tidak ada? Setiap tindakan dalam penyiasatan mereka tidak membuahkan apa-apa hasil. Rakaman CCTV di hadapan sekolah, tempat mangsa diculik tidak menunjukkan apa-apa. Tiada saksi yang melihat. Tiada bukti di tempat mayat dibuang. Tiada kesan pada mayat.
Sungguh, apa lagi yang mereka boleh buat?!
Beberapa kali, ASP Edric menghela dan menghembus nafas. Dia tidak boleh kalah dengan segala tekanan. Walaupun ini kes yang paling rumit pernah dihadapi, seorang Edric Chong bukanlah manusia yang sesenang itu menyerah. Setiap penjenayah akan dia tangkap dan sumbat dalam penjara.
Itu sumpahnya!
“Kau tak boleh hilang arah, Edric. Tengok betul-betul apa yang ada depan mata kau. Cari jawapannya.” ASP Edric mengarah diri sendiri sambil cuba bertenang. Beberapa saat berlalu, dia kembali mengangkat renungan. Tepat kepada papan putih dengan peta minda yang menghubung kaitkan semua informasi. 
“Tiga orang mangsa…” desis bibirnya perlahan. Dahi berkerut, bersama anak mata yang digerakkan kepada maklumat mangsa pertama.

Dyana Akir
Bangsa: Melayu (Campuran Serani)
Ketinggian: 5 kaki 4 inci
Berat: 49 kg
Umur: 17 belas tahun
Lokasi penemuan mayat: Kerinchi
Tarikh kematian: 22 September 2016

Kemudian, dia mengalihkan pandangan kepada maklumat mangsa kedua.

Tiffany Lau
Bangsa: Cina
Ketinggian: 5 kaki 7 inci
Berat: 53 kg
Umur: 17 belas tahun
Lokasi penemuan mayat: Bangsar
Tarikh kematian: 6 Oktober 2016

Selesai meneliti maklumat mangsa kedua, dia melihat maklumat mangsa terbaru.

Nadia Zulkifli
Bangsa: Melayu
Ketinggian: 5 kaki 5 inci
Berat: 58 kg
Umur: 17 belas tahun
Lokasi penemuan mayat: Brickfields
Tarikh kematian: 20 Oktober 2016

Kerutan yang sedia terbentang atas dahi, jadi semakin tebal. Lengannya dibawa bersilang ke dada. Kaki pula diundur setapak, mahu melihat semua maklumat dalam ruang yang lebih luas. Matanya juga meliar kepada gambar-gambar yang bertebaran.
“Berbeza bangsa. Berbeza rupa fizikal. Tetapi sama umur. Kenapa umur tujuh belas tahun? Kenapa dia bersusah-payah untuk potong rambut mereka? Kenapa pakaikan dres putih? Some kind of ritual?” ASP Edric cuba menjawab di akhir bicara. Tetapi secepat itu juga, dia menggeleng.
“I don’t think so. Ini bukan ritual. Jadi apa? Dan yang lebih penting…”
ASP Edric menetapkan pandangan kepada foto yang menunjukkan rupa mayat tanpa mata yang diberi oleh Dr. Laili.
“Kenapa dia korek biji mata mereka? Untuk apa? Sebagai trofi? Atau dia percaya yang imej dia ada melekat di mata orang yang dia bunuh? Atau lagi teruk, dia nak makan mata tu?”
Hampir termuntah ASP Edric dengan soalan terakhir. Memang sudah banyak yang dia dengar tentang pembunuh-pembunuh bersiri di negara barat yang mengerat-ngerat mangsa dan memakannya. Tetapi benar-benar berlaku di Malaysia? Harapannya, tidak!
ASP Edric tidak tahu bagaimana mahu berdepan dengan pembunuh ini kalau dia benar-benar mengambil mata mangsanya untuk dibuat sup. Mungkin sahaja dia akan ‘meletup’ kerana tidak boleh menerima perbuatan tersebut.
Beberapa minit berlalu, ASP Edric masih lagi berdiri depan papan putih dan berkali-kali menitip pelbagai soalan. Pada masa yang sama, dia cuba meletakkan diri sebagai pembunuh ini. Cuba melihat dari kaca matanya. Tetapi sayang, semua usaha itu gagal.
Lalu, ASP Edric mengalih bebola mata kepada satu lagi gambar yang tertampal di situ. Gadis yang sudah sembilan tahun dia kenal.
“Apa pula kaitan kau dengan kes ini, Tia? Apa yang dia nak daripada kau?”
Senyap. Sepi.
Seperti biasa, tiada jawapan yang dia peroleh.
“I dapat rasakan yang setiap kali dia membunuh, dia sebenarnya cuba menyempurnakan lagi perbuatan dia. It’s like he’s waiting for a perfect target. Or rather, he’s waiting for the most perfect cut for the most perfect target.”
Tutur kata itu terngiang lagi. ASP Edric melepas nafas. Seolah-olah dengan cara itu, dia boleh menghambat isi pertuturan Dr. Laili. Entahlah, dia sendiri tidak faham. Kenapa Tihani Rose yang muncul dalam fikirannya saat Dr. Laili menyuarakan pendapat itu?
Ah, susah juga bila punya gerak hati yang kuat!
ASP Edric melihat pula kepada tulisan yang berupa ‘Suspek’. Di bawahnya, tertera sedikit gambaran yang diperoleh daripada Tihani dan Alexander Aryan.

Ketinggian: 6 kaki
Struktur tubuh: Tegap dengan bahu lebar
Berat: Dianggarkan 74 kg
Suara: Garau dan dalam, dengan sebutan ‘R’ yang pelat

“Siapa kau? Apa yang kau nak? Apa yang kau cuba sampaikan? Apa yang kau cuba buktikan?” tanya ASP Edric, seolah-olah sang pembunuh ada di hadapan mata dan bersedia untuk melontarkan jawapan bagi setiap satu soalannya. 
“Tuan…”
ASP Edric mengerling kepada Sarjan Razlan yang tiba-tiba muncul. Di tangannya terhulur secawan kopi panas. Cawan tersebut disambut, tetapi tidak pula dibawa ke mulut.
“Thanks. So, macam mana? Dapat apa-apa info pasal call tu?”
Kepala Sarjan Razlan tergeleng.
“Tak ada, tuan. Menurut pemeriksaan, panggilan yang Cik Tihani Rose terima datangnya daripada burner phone. Mereka tak dapat detect apa-apa.”
Wajah ASP Edric kekal tanpa riak. Langsung dia tidak terkejut dengan apa yang baru didengar. Pembunuh ini licik orangnya. Mustahil dia menggunakan telefon sendiri, atau apa-apa cara yang mudah dikesan.
“Cuba kau tengok info yang ada ni. Apa yang kau nampak?” ASP Edric menukar topik dan memberi isyarat agar Sarjan Razlan memandang ke papan putih. Mungkin dengan mata lain, mereka dapat mengesan apa-apa yang dia terlepas pandang.
Anak buah yang berusia tiga puluh tahun itu memusing tubuh dan meneliti maklumat yang tertera. Agak lama.
ASP Edric menanti dengan harapan. Tolonglah! Tolonglah nampak apa yang dia tidak nampak. Namun, harapannya hancur bila kepala Sarjan Razlan tergeleng perlahan.
“Saya tak boleh agak, Tuan. Semuanya nampak tak berkaitan. Tidak ada hubungan antara setiap mangsa. Mereka tidak pernah berjumpa antara satu sama lain. Semuanya kosong, Tuan.”
Buat kesekian kali, ASP Edric merengus. Tangannya terangkat sendiri dan menghentak meja berdekatan. Kesakitan menjalar masuk, tetapi dia tidak peduli. Pedih di tangan tidak secalit pun menyamai rasa geramnya sekarang.
“Tuan!”
Sedang ASP Edric beremosi, satu seruan menarik perhatian. Serentak, ASP Edric dan Sarjan Razlan menoleh. Terpampang muka Koperal Amin. Berpeluh dan termengah-mengah, seolah-olah baru lepas berlari.  
“Kau dapat apa-apa?” Pantas ASP Edric menyoal.
“Nadia Zulkifli…dia…” Koperal Amin menarik dan menghela nafas yang agak semput.
“Dia ada stalker. Ketiga-tiganya ada stalker!”
ASP Edric dan Sarjan Razlan berpandangan sesama sendiri. Muka masing-masing berderau. Dahi menayang kerutan.
“Apa maksud kau? Kita dah periksa dengan keluarga, sekolah dan kawan…”
“Tak, kita bukan cakap pasal stalk biasa.”
Anak mata ASP Edric membulat. Otak mula menangkap apa yang cuba disampaikan oleh Koperal Amin.
“Cyberstalking,” putus bibirnya. Perlahan, tetapi cukup memberi kesan kepada diri sendiri. Bodoh. Dia memang betul-betul bodoh! Macam mana dia boleh terlepas pandang tentang ini? Zaman sekarang bukan seperti zaman dahulu. Bahaya sebenar kadangkala bukan datang secara fizikal, tetapi menyelinap masuk tanpa bunyi dan sangat perlahan.
Melalui teknologi masa kini.
*****
“ISY, akak tak fahamlah. Kenapa sampai seminggu doktor tahan akak di hospital? Dia ingat best kut terperuk dalam tu. Tak best langsung!” Sejak dari hospital hingga sampai ke perkarangan kompleks apartmen, mulut Tihani tidak habis-habis membebel.
“Dia nak buat pemantauan, kan? Lagipun, dia bukan tahan akak semata-mata sebab fizikal. Tapi sebab mental juga. Mestilah nak check sama ada akak kena jumpa kaunselor atau therapist lepas apa yang dah berlaku.” Talha setia melayan karenah si kakak. Lagi beberapa tapak, mereka akan tiba di hadapan apartmen.
“Alah, akak okeylah. Bukan tak pernah jumpa mayat.”
“Bukan itu masalahnya. Akak hampir kena bunuh, ingat tak? Tengok rupa tu. Lebam, luka sana-sini.”
“Lebam aje. Dah tak sakit.” Tihani masih dengan reaksi selambanya.
Rengusan Talha terlepas keluar.
“Akak ni kan! Bila orang cakap, bukan dia nak ambil serius.”
Tihani menghambur tawa. 
“Ha tahu tak?”
“Apa dia?” Talha bertanya semula. Pandangannya masih ke hadapan, berjaga-jaga kalau-kalau ada apa-apa yang boleh menganggu perjalanan si kakak.
“Kadang-kadang, akak tertanya. Ha ni adik akak, atau abang akak? Dia punya protective tu bukan main lagi.”
“Adik ke abang ke, tak kisahlah. Yang Ha tahu cuma satu. Di KL, akak cuma ada Ha, dan Ha ada akak. So, jadi tanggungjawab Ha untuk jaga akak baik-baik.”
Intonasi suara Talha keras menunjukkan ketegasan. Mereka kini selamat tiba di hadapan pintu rumah. Dia menarik keluar kunci dari kocek seluar dan membuka pintu.
“Tak rasa diri tu terlebih bertanggungjawab? Overprotective?” soal Tihani sambil menunduk untuk menanggalkan kasut.
“Akak tahu, kan? Mummy dah serahkan tanggungjawab jaga akak kepada Ha. Kalau ada apa-apa jadi pada akak, apa Ha nak jawab pada mummy?”
Tangan Tihani automatik kaku. Dada sesak tiba-tiba. Dengan kepala yang masih menunduk, dia mengetap bawah bibir kuat-kuat. Cuba melawan emosi berat yang sedikit-sedikit membelenggu diri. Usai menanggalkan sepatu, Tihani mengangkat muka.
Tenang dengan senyuman manis yang tidak sampai ke mata.
“Akak selamat, kan?” balas Tihani seraya melangkah masuk ke dalam rumah. Talha mengekori dari belakang.
“Sebab abang Alex datang. Kalau tak?”
Tihani menghentikan gerak kaki dan berpaling kepada adiknya. Dalam-dalam, dia menatap muka Talha. Wajah itu kelihatan keruh sekali.
“Apa yang dah jadi ni pun, akak belum bagitahu mummy, kan?” Talha menyambung kata.
Riak muka Tihani berderau. Tekaan Talha tepat sekali.
“Pihak polis minta akak rahsiakan identiti mangsa yang terselamat,” dalih Tihani, dengan jawapan yang dia sendiri rasa tersangatlah bodoh.
Talha senyum sinis.
“Mereka tak nak Berita Semasa laporkan pasal akak, bukannya tak benarkan akak inform keluarga akak sendiri.”
Kenyataan Talha mengingatkan Tihani kepada pertemuannya dengan Zahin di hospital tempoh hari. Masih terbayang-bayang lagi muka terkejut rakan sekerjanya itu. Apa tidaknya? Tidak sampai dua jam mereka bercakap di telefon, tup-tup…dia hampir mati. Lagi pula, tidak pernah ada wartawan jenayah yang hampir dibunuh dan akhirnya menjadi saksi. Seperti tidak logik!
Tetapi, kalau itu yang sudah ditulis oleh Allah, apa yang dirasakan tidak logik tetap boleh berlaku. Siapa mereka untuk menidakkan kuasa-Nya?
“Akak tahu.” Tihani menjawab selepas beberapa saat mengelamun.
“Habis tu?”
“Ha kenal mummy, kan? Dia akan terlebih bimbang. Entah-entah, akan terus ambil flight turun KL.”
“Of course she is. Akak anak mummy. Ha yang cuma adik tiri pun, bimbangkan akak setengah mati, inikan pula ibu kandung akak sendiri.”
Semakin lama, Talha kelihatan semakin beremosi. Bahkan, Tihani seperti dapat melihat takungan air di birai matanya. Rasa bersalah serta-merta menyelinap masuk. Nafasnya dilepas sekali, sebelum Tihani berjalan ke arah sofa dan duduk di situ.
“Ha…” serunya pendek. Isyarat mata diberi, menggamit adiknya agar duduk di sebelah.
Talha menjeling tajam. Namun, tetap juga dia mendengar kata. Punggung dilabuhkan elok-elok di sisi kakaknya. Muka terngadah menghadap pandangan lunak Tihani.
“Talha, dengar sini.” Lembut dan berhemah, Tihani memula bicara.
“Akak hargai sangat-sangat rasa tanggungjawab Ha tu. Thank you so much. Tapi kalau mummy tahu apa yang dah jadi…”
“Dia akan terus minta akak berhenti.”
“Ya. Dan Ha pun tahu, kan? Yang akak tak boleh buat macam tu?”
“Can’t you? Demi mummy?”
Soalan Talha mengelukan lidah Tihani. Wajah ibunya tiba-tiba melintas dalam ingatan. Rasa bersalah naik satu anak tangga. Tihani tahu sejak dari dahulu lagi, mummy tidak pernah bersetuju dengan kerjayanya. Bagi mummy, kerjaya itu cuma akan terus-terusan mengurung Tihani dalam masa lampau. Tetapi mummy tidak mengerti. Talha juga tidak mengerti. Hanya itu sahaja cara Tihani untuk kekal waras. Untuk kekal berharap kepada kemanusiaan.
“Akak, please…”
“No.” Pendek dan tegas jawapan Tihani.
Wajah Talha berbias kecewa.
Tihani buat-buat tidak nampak dan menyambung lagi. “Please, Talha. Akak tahu yang akak pentingkan diri sendiri. But I need to do this. This is the only way for me to survive.”
“Ha tahu.”
“Habis tu, kenapa...”
“Sebab Ha takut cara akak cuma akan memakan diri. Akak mungkin rasa akak sedang menyelamatkan diri sendiri. Tapi apa yang Ha nampak cuma...” Bicara Talha terhenti sekejap. Lidahnya berat untuk menyambung kata, seberat hatinya yang rawan.
“Cuma apa, Ha?” gesa Tihani.
“Cuma seorang perempuan yang sedang melempar diri ke dalam perangkap maut.”
Tihani terkedu. Bulu tengkuk meremang tiba-tiba. Ingatan pula menerawang kepada beberapa malam lepas. Betapa dia hampir mati di tangan pembunuh kejam. Betapa dia hampir menyakiti ibunya dengan sebuah lagi kehilangan. 
“Okeylah, Ha tak nak cakap pasal ini lagi. Bukannya akak nak dengar cakap pun, kan?”
Suara Talha menyentak Tihani. Lamunan malam itu lenyap terus. Matanya terkelip-kelip memandang adik yang entah sejak bila bangkit dan bergerak ke bahagian dapur. Peti ais dibuka. Sebotol air mineral sejuk dibawa keluar dan dituang ke dalam gelas. Usai membasahkan tekak, Talha kembali bersuara. 
“Feline?”
“Ha’ah. Feline Vet & Pet Care.”
Dahi Tihani berlapis.
“Akak lupa? Di bangunan depan tu kan, ada sebuah cat hotel baru buka. Akak sendiri pesan, kalau akak tak ada di rumah lebih dari tiga hari, Ha kena hantar Koko dan Momo ke situ,” jelas Talha dengan riak muka berupa ‘kakak aku ni dah lupa ingatan ke apa?’
Tihani menyeringai.
“Oh, yalah. Lupa pula. Macam mana tempat tu? Okey tak? Bersih?”
Mata Talha membulat.
“Akak belum pernah pergi ke sana? Serius? Tak check dulu sebelum minta Ha hantar Koko dan Momo ke sana?”
“Tak sempat,” balas Tihani. Masih dengan sengih segan. Dia tahu, sebelum mengambil khidmat kucing hotel, dia sepatutnya memeriksa tempat itu terlebih dahulu. Dia perlu pastikan kebersihan, keselesaan dan keselamatan kucing kesayangan. Tetapi itulah, sejak kebelakangan ini dia sangat sibuk dengan kes pembunuhan Dyana Akir dan Tiffany Lau. Langsung tidak sempat melihat-lihat dahulu.
Kepala Talha tergeleng sekali. Kakak yang seorang ini, memang selalu begini. Bila sudah terlampau tekun dengan kerjanya, satu dunia boleh dia lupakan.
“Hmm, tempat tu okey. Elok. Bersih. Akak mesti suka.”
“Great!”
“Okeylah. Ha pergi dulu.”
Mendengar bicara adiknya, Tihani segera bangkit dan menghantar Talha ke muka pintu. Baru separuh keluar rumah, Talha berpaling semula.
“Jangan lupa kunci pintu elok-elok. Pastikan bateri phone selalu fully charged…”
Bibir Tihani terjuih. Aduh, dia mula lagi. Tak habis-habis dengan pesanan panjang lebar dia tu.
“Kalau ada apa-apa jadi, cepat-cepat call polis, atau Ha. Jangan rasa macam nak test black belt lagi sekali.”
“Eh, sempat pula dia kutuk aku,” rungut Tihani.
“Helo! Ingat Ha tak dengar?”
Dan-dan, Tihani disergah. Dia menghambur gelak dan menepuk bahu adiknya.
“Ha janganlah bimbang. Lepas apa yang dah jadi, akak akan lebih jaga diri. Pasal mummy…” Tihani menggigit bibir di sekerat jalan. Dada kembali diselubungi emosi.
“Tiba masanya, akak akan bagitahu. Tapi bukan sekarang. Dia takkan boleh terima.”
Sejenak, Talha membungkam. Ada rasa tidak puas hati yang terselit. Baginya, apa yang sudah berlaku terlalu besar untuk dirahsiakan. Ini soal nyawa. Tetapi siapalah dia untuk membuat keputusan bagi pihak Tihani? Cuma seorang adik tiri yang menumpang kasih seorang ibu.
“Okay, then. Ha takkan paksa akak,” putus Talha akhirnya.
“But please, do take care of yourself.”
“Ya…ya…” tekan Tihani. Bahu adiknya ditolak pergi.
“Now, off you go. Balik rumah, rehat dan jangan risaukan akak.”
“Bukan main lagi dia halau kita,” cebik Talha seraya mengangkat kaki.
Tawa Tihani meledak lagi. Dia memandang belakang adiknya hingga lenyap daripada pandangan mata. Sesudah itu, dia memusing semula badan untuk masuk ke rumah. Ekor matanya sempat menangkap pintu rumah depan yang separuh terbuka. Kelihatan kotak-kotak bersusun dalam ruang tamu yang kosong.
“Aik, tak ada pula aku dengar Kak Aina nak pindah rumah,” sela Tihani. Dahi berkerut.
“Ah, apa-apa ajelah. Menyibuk aje kau ni, Tihani,” tempelaknya kepada diri sendiri. Daun pintu ditarik dan dikatup rapat-rapat.
Pada masa yang sama…
Sepasang kaki panjang muncul di tengah-tengah ruang tamu yang kosong itu. Pemiliknya merenung tepat ke pintu rumah Tihani Rose.
*****
PAKAIAN yang sudah siap bercuci, disangkut satu persatu ke dalam almari. Seminggu tiada di rumah, membuatkan timbunan pakaiannya lama tidak berbasuh. Tidaklah banyak, tetapi cukup untuk menjengkelkan hati. Bagi Tihani, bakul meletak pakaian kotor yang penuh sangat menyakitkan mata.
            Sampai di baju terakhir, pandangan Tihani tertancap kepada satu kot hitam yang elok tersangkut di hujung almari. Tangannya bergerak sendiri ke situ. Jari-jemari mengusap lembut. Sedikit demi sedikit, satu bayangan menerpa dalam kotak memori. Imej belakang seorang lelaki. Sedang berjalan di bawah titisan salji yang berputar turun.
Sesaat kemudian, imej tersebut tiba-tiba bertukar jadi belakang Alexander Aryan. Tihani tersentak. Bayangan serta-merta lenyap.
“Gila! Itu tak mungkin dia,” nafinya laju.
Langsung, Tihani menarik pintu gelangsar almari. Kot hitam kembali lenyap di sebalik pintu yang terkatup.
Sesudah itu, dia menghampiri meja solek dan melabuhkan punggung di kerusi. Wajah yang terpantul dalam cermin, ditenung lama-lama. Sebelah mata masih biru. Pipi dan bawah bibir masih bengkak. Pandangan diliarkan pula kepada leher yang jelas merah. Bulu roma semerta menegak. Seakan-akan terasa lagi tangan kasar yang pernah melekat di situ. Mencengkam dan mengganas!
“Apa yang Ha nampak cuma seorang perempuan yang sedang melempar diri ke dalam perangkap maut.”
Kata-kata Talha tiba-tiba berdengung di telinga. Tihani senyum kelat. Mungkin benar apa yang dikata oleh adiknya. Jika tidak, masakan dia di sini, sedang menatap muka sendiri yang sudah tidak serupa muka.
Sedikit demi sedikit, Tihani mengepal tangan. Mata dipejam ketat-ketat. Cuba menghambat ketakutan. Cuba menyedut kekuatan. Namun lain pula jadinya.
“Tia!”
Muncul suara lain menggantikan suara Talha.
“Wait for me.”
Dada semakin lama, semakin sebu. Emosi berat berderu-deru masuk, berselirat dengan memori yang tidak mungkin dapat dihapuskan. Masih dengan mata terkatup, Tihani membiarkan setitik tangisan menitis di birai mata. Sebelah tangan terangkat mencengkam dada. Bibir diketap kuat-kuat, bersama mutiara jernih yang semakin lama semakin laju.
“Wait for me,” desis bibirnya. Mengulang ayat yang sudah berjuta kali terngiang di telinga, bahkan menjadi racun dalam hati.
“I have been waiting for twelve years...”
Tihani menguatkan cengkaman di dada dan menyambung perlahan.
“Eireen.”

********
NOTA CIK SA:

Rasanya tak terlambat untuk wish Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin. How's your raya? Mine menyeronokkan, tapi Cik SA ended up dengan selesema + batuk + sakit tekak yang agak teruk. Mujur tak demam. Alhamdulillah, sekarang dah makin okey. =)

Sorry ya sebab lambat update. Kat IG dah janji, hari Isnin akan update. Tapi now dah masuk Selasa. Cik SA sebenarnya ada hal sikit, itu yang terlewat. Malam-malam buta baru masuk ofis. Haha!

Enjoy, and do comment. Cik SA akan cuba untuk reply semuanya. Thank you!!

Love, 
SA





12 comments:

  1. Best sangat..slalu bkk blog akak smata-mata nak baca aku lelakimu..and finally bab 7 dh keluar!!..hehe..thanks akak..terubat rindu ni..

    ReplyDelete
  2. Sis, saya dah lama tunggu entry ni and... BEST sangat!!!!!! Tak sabar nak tunggu novel ni huhu.

    Sis saya nak tnya, bukan ke smk victoria for boys only? or saya yang tersilap?

    Btw, Selamat Hari Raya Cik SA. love u and #peacenowar hehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. thank you!!!

      haha, tq inform. kak sara pun tak sure. since tak sure, kak sara delete nama sekolah. takut jugak tulis nama sekolah betul dlm citer gini. takut dikatakan merosak nama sekolah pulak. huhu

      selamat hari raya jugak! =)

      Delete
  3. Selamat Hari Raya my FAV author!!! Maaf zahir dan batin.

    This entry tak mengecewakan langsung! Best gila!!! Kali ni saya terbayangkan drama Signal pulak hahaha. Saya rasa Eireen tu maybe kakak@adik Tihani. (hihi saje nak acah jadi detective xD)

    I'll wait for ur next entry Cik SA :)

    -ns-

    ReplyDelete
  4. Selamat hari raye jugak cik sa...
    Happy reading bab ni...

    ReplyDelete
  5. Selamat hari raye jugak cik sa...
    Happy reading bab ni...

    ReplyDelete
  6. Selamat hari raye jugak cik sa...
    Happy reading bab ni...

    ReplyDelete
  7. Suspen la...tetibe ade org plak dpn umah tia tuuu...😓

    ReplyDelete
  8. best citer awak ni. rasa macam nampak aje scene demi scene... aura macam salju kyoto dan mungkin lebih beraura... saya suka part si psycopath. moga cik Sara dapat cepat-cepat habiskan citer ni...

    by the way, hero ada masalah sociopath ke? Tenang tapi kenapa saya rasa hero lebih menakutkan dari pembunuh sebenar... hahhahah...

    ReplyDelete