November 2, 2015

SALJU KYOTO - TEASER 2


TEASER 2
"Kau memang nak mati!" Penyerang kedua menjerkah. Aku mengundur setapak ke belakang, sambil menanti dia datang menyerang. Namun, satu tendangan lebih dahulu hinggap di dadanya. Serta-merta, lelaki tersebut melayang dan terhumban ke atas tanah.
"Tak ada sesiapa boleh sentuh isteri aku," desis Arjuna dengan mata membunuhnya. Nafas berdengus-dengus kasar. Mukanya basah dengan peluh dan darah yang bercampur. Sesudah itu, dia bergegas menghampiri dan mencapai pergelangan tanganku.
Masih dalam suasana kacau bilau, dia menarikku pergi. Seperti sebelum ini, kami berlari tidak tentu hala. Tempikan demi tempikan daripada konco Ma Zhengwen bergema dari belakang. Tidak cukup dengan itu, berdas-das tembakan berdesing di kiri dan kanan. Namun, tidak satu pun mengenai. Gerak Arjuna yang pantas, seperti memungkinkan kami mengelak. Atau mungkin juga, kami sekadar bernasib baik.
Kami berlari dan berlari dan berlari hingga akhirnya tiba di sebuah jeti. Automatik aku dan Arjuna mematikan langkah. Di hadapan kami kini, terbentang luas Sungai Chao Phraya. Kami berpandangan. Dada masing-masing berombak laju, cuba menyedut udara ke dalam jantung.
"Mana kau mahu lari lagi?" Suara sinis Ma Zhengwen mencelah dari belakang.
Lambat-lambat, kami memusing badan. Pegangan tangan Arjuna semakin ketat dan mencengkam, seolah-olah mengatakan bahawa dia tidak akan pernah melepaskan aku pergi. Dia akan bersamaku hingga ke akhirnya. Kami sama-sama memerhati Ma Zhengwen yang berdiri di samping konco-konconya. Seperti kami berdua, dia juga tercungap-cungap. Mukanya berdarah.
"Kau memang betul-betul menjengkelkan aku." Dia menyinis lagi. Sepucuk pistol yang dipegang oleh anak buahnya, dirembat dan dihala kepada kami. Namun tidak semena-mena, muncul satu susuk tubuh yang melompat tinggi dan menendang pistol tersebut dari tangan Ma Zhengwen. Tubuh itu kemudiannya mendarat di hadapan aku dan Arjuna. Ryohei!
Sekelipan, kami dilindungi oleh tubuh tegap Ryohei dan Sato. Mereka di hadapan, kami di belakang. Pada masa yang sama, telingaku menangkap bunyi deruan sebuah bot laju.
"Arjuna Kaede!"
Automatik, aku dan Arjuna menoleh ke belakang.
"Karn Klaharn," getus bibir Arjuna. Seperti aku, dia juga terkejut dengan kemunculan tiba-tiba lelaki tersebut.
Karn memberi isyarat kepada dua pengawal peribadinya untuk melompat keluar dari bot. Sekelip mata, mereka sudah pun berdiri di sebelah Ryohei dan Sato.
"Cepat!!!" Tempikan Karn bergema lagi. Dia memberi isyarat agar aku dan Arjuna melompat masuk ke dalam bot.
"Pergi, tuan." Arahan Ryohei menujah telinga.
Sesaat, Arjuna kelihatan serba salah. Namun selepas itu, dia memusing badan kepadaku. "Go!"
Aku tidak menunggu lama. Terus sahaja aku melompat ke dalam bot yang dikemudi oleh Karn Klaharn.
"Bangsat! Kau ingat kau boleh lari?!" tengking Ma Zhengwen sambil meluru ke hadapan. Akan tetapi, langkahnya dihalang oleh Sato yang lebih dahulu memintas dan menendangnya ke belakang.
Saat yang sama, Arjuna meloncat masuk ke dalam bot. Karn pantas menekan minyak. Bot yang dinaiki laju membelah Sungai Chao Phraya. Tempikan dan carutan Ma Zhengwen, bergaung menghantar pemergian kami.
Beberapa minit berlalu, aku menarik nafas panjang. Debaran di hati, semakin lama semakin perlahan. Aku melirik kepada Arjuna. Dia memandangku penuh kerisauan.
"Are you okay?" Di sebalik desah nafas yang termengah-mengah, dia menyoal.
"Saya..."
"Tak guna!"
Baru sahaja aku mahu menjawab, suara keras Karn mencantas. Telingaku mendengar bunyi bot dari arah belakang. Aku menoleh. Tidak jauh dari kedudukan kami, kelihatan dua buah bot laju sedang mengejar. Entah dari mana mereka muncul, aku juga tidak pasti. Debaran kembali memuncak!
Berdas-das tembakan mula menghujani. Berbelit-belit tangan Karn memutar stereng, untuk mengelak. Aku menjerit sambil cuba mengimbangkan badan. Silap perkiraan, aku mungkin tecampak keluar dari bot dan terus menjunam ke dalam sungai. Mungkin menyedari keadaanku, Arjuna pantas menarik tubuhku rapat kepadanya.
"Kau tahu guna pistol?!" jeritan Karn bergema di sebalik bunyi tembakan yang tidak henti-henti.
"Tahu!"
Dan-dan, Karn melempar sepucuk pistol kepada Arjuna. Suamiku pantas menyambut. Masih dengan sebelah tangan memeluk bahuku, Arjuna memusing separuh badan dan melepaskan berdas-das tembakan. Aku mencengkam bajunya, tidak mahu terlepas. Telinga berdengung mendengar setiap bunyi tembakan yang dekat benar. Mata pula berlingas memandang kedua-dua bot yang mengejar, serta sungai yang terhampar luas. Di ufuk timur, mentari senja mulai terbenam. Maka, dengan berlatar belakangkan bayang-bayang kuil di persisiran Sungai Chao Phraya, kami saling berkejar-kejaran. Sebelah pihak mahu menyelamatkan nyawa. Sebelah lagi mahu menamatkan nyawa.
"Watch out!"
Serentak dengan jeritan Karn, bot yang kami naiki membelok laju. Aku dan Arjuna terlempar ke kiri. Hampir-hampir tercampak keluar, tetapi kami pantas mengimbangkan badan.
Sesaat kemudian, aku melihat bot pertama yang mengejar kami melencong secara drastik, gara-gara cuba mengelak sebuah bot panjang yang tiba-tiba muncul dari hadapan. Bot tersebut meluncur laju dan...
Bammmm!
Melanggar benteng sungai.
Bot kedua memintas bot pertama dan terus mengejar. Mereka memang tidak reti berputus asa!
Karn menekan minyak dengan kuat. Bot kami berdesup laju, lantas meninggalkan bot yang mengejar jauh ke belakang. Sesudah itu, Karn mengemudi bot keluar dari sungai besar Chao Phraya dan masuk ke bahagian terusan yang jauh lebih kecil. Kami menyelusuri celah-celah rumah penduduk hingga akhirnya tersembunyi di sebalik sebuah rumah. Enjin bot yang berbunyi kuat, dimatikan.
"What are you doing?" Terus Arjuna menyoal.
"Hiding."
Dari tempat persembunyian, aku melihat bot tadi melepasi kami. Lelaki-lelaki di dalamnya sedang menjerit dan mencarut-carut seperti orang gila. Masing-masing menyinga! Aku, Arjuna dan Karn menyengap tanpa bunyi. Segenap tubuh keras di atas bot yang terumbang-ambing di atas air.
Beberapa ketika berlalu, bot tersebut akhirnya bergerak meninggalkan kawasan. Semerta, aku melepaskan nafas yang sedari tadi tersekat di celah kerongkong. Lega!
"Kita masih belum selamat. We need to leave this place," ucap Karn, mematikan keheningan.
"Kau mahu bawa kami ke mana?"
Soalan Arjuna tidak berbalas, sebaliknya Karn menghidupkam enjin dan memandu bot keluar dari tempat persembunyian. Setelah beberapa minit, kami akhirnya tiba di benteng terusan. Kelihatan beberapa anak tangga menuju ke sebuah gazebo yang diperbuat daripada kayu dan buluh. Sangat tradisional.
"Dah sampai," tutur Karn seraya mematikan bot.
Seketika, aku dan Arjuna berpandangan. Masing-masing menunjuk muka serba salah.
"Jangan bimbang. Tempat ni selamat.Ini tempat aku." Suara Karn Klaharn bergema lagi, mahu memberi kepastian kepada kami berdua.
Arjuna melirik kepadaku sekilas, dan melompat ke arah tangga. Sebelah tangannya kemudian dihulur kepadaku, mahu aku mengambil tindakan yang sama. Aku menyambut tangan Arjuna. Usai mendarat ke atas tanah, tapak kakiku tiba-tiba terasa seperti dicucuk-cucuk sembilu. Sakit dan ngilu.
**************
NOTA CIK SA:
Yuhuuuu!!! Karn is back. Kalau dah AK dan NF ke Bangkok, mestilah kena ada jejak kasih dengan Karn Klaharn. Tak gitu? Hehe

11 comments:

  1. Wuuuu ! Ada karn klaharn ! Besttt !

    ReplyDelete
  2. Ok...ini mmg menarik..Karn Klaharn dh muncul..

    ReplyDelete
  3. Ok...ini mmg menarik..Karn Klaharn dh muncul..

    ReplyDelete
  4. wah bestnya...Karn in the house...caya lah...dian ada juga ke....hehehe
    banyak persoalan yang ada dikepala...tapi nanti2 lah nak tanya si SA...hehehe

    ReplyDelete
  5. Ala...Karn ni mai dari mana pulak?? Chan Rak Ter ke SA?

    ReplyDelete
  6. ala mak karn ada juga ka
    dian ada juga tak?
    terbaik la cik SA..
    karn dan arjuna jejaka asia...
    bila nk terbit novel ni..xsbar nk jmpa jejaka asia ni..

    ReplyDelete
  7. Bagaimana nasib rhoyei dan sato???
    Siapa Karm Klaharn????

    ReplyDelete
  8. Saya suka cerita ni... lari drp kebiasaan....

    ReplyDelete
  9. Homaigoddd!!!ada karn klaharan sekali!!!pesta buku nanti agak2 dh ada ke salju kyoto ni?

    ReplyDelete