BAB 13
KERETA yang kami naiki menyusur masuk ke satu laluan dan berhenti betul-betul di hadapan sebuah bangunan besar. Serentak itu, seorang lelaki berkot hitam terus membukakan pintu dari luar. Arjuna mengangkat tubuh keluar kereta. Aku termangu sendiri, tidak pasti sama ada patut ikut keluar atau pun tidak.
"Err, Cik Nailah tak nak turun ke?" tegur Sato dari tempat duduk pemandu. Aku tersentak dan berpaling melihat Arjuna. Dia sedang menanti bersama sebelah tangan yang diseluk ke dalam kot musim sejuk yang tebal.
Cepat-cepat, aku meloloskan diri daripada kereta dan meliarkan pandangan ke sekeliling. Di luar sedar, kepalaku terangkat memandang bangunan yang besar lagi gah ini. Tingginya sehingga lima tingkat dan terbahagi kepada dua sayap. Di sebelah kiriku, binaannya lebih kepada kontemporari dengan warna kelabu beserta cermin melintang di sekeliling. Di sebelah kananku pula, unsur-unsur tradisional lebih terserlah. Berwarna coklat dengan material kayu yang disusun berselang-seli. Di celah-celahnya kelihatan cermin yang memungkinkan cahaya masuk. Kedua-dua sayap dibahagikan dengan satu laluan luas yang berbumbung. Di hujung laluan tersebut, sayup-sayup aku dapat melihat pepohon buluh yang tersusun selari.
Gah, besar, luas dan cantik. Itulah yang aku dapat simpulkan tentang bangunan ini. Kemudian, aku melirikkan mata ke arah papan tanda berukir yang terpacak tidak jauh dari tempatku berdiri.
The Miyuki Antiques Company.
"Berapa lama kau nak tercegat di situ?"
Suara Arjuna menyentak kuat. Automatik aku memandangnya. Perasaan segan pantas menyusup masuk ke dalam diri. Ya, aku akui. Aku sangat jakun dengan bangunan ini.
"Tunggu apa lagi?"
Lekas, aku mendapatkan Arjuna. Usai berjalan sebelah-menyebelah, aku menyoal, "Ini bangunan apa?"
"The Miyuki Antiques Company," jawab Arjuna senada.
"Itu saya tahu. Saya nampak signboard."
"Company aku."
Mulutku melopong.
"Yakuza ada company?" Pantas aku menyoal dengan muka takjub.
Serta-merta, Arjuna memusing badan dan menghadapku. Keningnya bertaut. "Yakuza?"
"Yeah. Aizukotetsu-kai." Aku membalas. Dia ini biar betul? Takkanlah lupa kumpulan dan identiti sendiri kut?
Riak muka Arjuna berubah.
"Kau fikir aku salah seorang Aizukotetsu-kai?"
"Bukan ke? Datuk awak..."
"Itu datuk aku. Bukan aku," cantas Arjuna. Nada suaranya kedengaran sangat keras. Bahkan, pandangan matanya bertukar garang.
Sekelipan, aku mengerunyutkan dahi. Bawah bibir digigit. Rasa pelik mula menyerbu masuk ke dalam diri. Arjuna ini sebenarnya yakuza atau pun tidak? Musykil aku.
"Kau tak perlu fikir sama ada aku yakuza atau pun tidak," ucap Arjuna bagaikan baru membaca akal fikiranku.
Aku diam menanti dia menyudahkan kata.
"Just listen to me and trust me. I am not Aizukotetsu-kai and will never be."
"Okay, then." Aku menggumam, malas memanjangkan hal. Sementelah, Arjuna tampak beremosi benar. Aku memaling tubuh, mahu meneruskan perjalanan. Namun Arjuna terlebih dahulu merengkuh lenganku. Tidak kasar, tetapi cukup untuk mematikan langkah. Langsung, aku menoleh.
"Kau...percayakan aku, kan?" tanyanya, antara dengar tak dengar.
Aku tidak pantas menjawab. Mataku tajam cuba menilik lelaki yang terlalu kompleks ini. Seperti selalu, dia menayangkan wajah tenang. Namun entah kenapa, aku seolah-olah nampak seorang lelaki yang sedang berlakon dalam drama ciptaannya sendiri. Serta-merta, aku jadi tertanya-tanya. Adakah ketenangan yang selama ini aku lihat, cuma satu lakonan untuk menyembunyikan rasa hati yang sebenar? Kalau benar telahanku, bukankah itu sangat menyakitkan?
"Nailah..."
Dalam-dalam, aku menghela nafas sebelum menolak tangannya yang terlekat di bawah siku. Sesudah itu, aku menguntum senyum. Entah ikhlas, entah tidak, aku juga tidak pasti.
"This is weird. But somehow I do believe in you." Aku menjawab jujur.
Arjuna menatap mukaku, seolah-olah mencari kepastian dalam bicara yang baru aku titipkan. Seketika berlalu, dia membalas senyumanku.
"Jom masuk," ajak Arjuna seraya berjalan ke hadapan. Aku membuntuti.
Kami tiba di hadapan satu bahagian yang dihalang dengan kaca paras pinggang. Kelihatan dua tempat pemeriksaan berpetak yang dipasang dengan mesin pengesan X-ray. Sekali tengok, sudah seperti tempat pemeriksaan di lapangan terbang. Di sebelah setiap satunya, berdiri tegak dua orang lelaki yang kukira sebagai pengawal keselamatan. Sebaik sahaja melihat kelibat Arjuna, mereka menganggukkan sedikit kepala.
Arjuna meneruskan langkah. Aku terkocoh-kocoh mengekori dengan perasaan canggung. Sesudah melepasi kawasan pemeriksaan keselamatan, kami berjalan pula melalui satu ruang luas dengan siling yang sangat tinggi. Melalui ekor mata, aku perasan beberapa pasang mata yang menjeling-jeling kepada kami berdua. Perasaan canggung yang sedia ada bertukar menjadi tidak selesa.
"Err, Arjuna, orang tengok kita."
"Biarlah."
"Tapi..."
"Ini pertama kalinya bos mereka bawa masuk perempuan ke sini. They must be thinking that there's something between us. Oh, well...memang itu pun yang aku nak mereka fikir."
Mataku bulat. "Apa maksud awak?"
Soalanku terbiar sepi. Aku membuka mulut, mahu menyoal lagi. Tetapi, saat melihat wajah serius lelaki di sebelah, bibirku terkatup kembali. Arjuna jelas sengaja tidak mahu menjawab. Malahan, dia menonong sahaja berjalan. Entah ke mana dia mahu aku pergi, aku juga tidak pasti. Kami berjalan, menaiki lif dan berjalan semula hingga akhirnya pandangan mataku tertancap kepada Ryohei yang sedang berdiri di hadapan sebuah pintu besar.
"Selamat pagi, Tuan, Cik Nailah," tegurnya seraya membuka pintu di belakangnya.
"Selamat pagi." Hampir serentak aku dan Arjuna membalas. Pintu yang terbuka luas dilalui hingga aku akhirnya terpacak di dalam.
Dan-dan, mulutku terbuka. Perasaan jakun yang menyelubungi diri sebentar tadi, kembali semula. Bilik pejabat ini bukan sekadar luas, malahan sangat cantik. Siling putihnya tinggi dan terbahagi kepada dua bahagian. Bahagian pertama sedikit masuk ke dalam dan berwarna putih sepenuhnya. Bahagian kedua pula bercorak petak-petak dengan warna hitam sebagai pembahagi. Dinding sebelah kiri berupa rak buku dari material kayu. Kayu jenis apa, aku juga tidak tahu. Yang pasti...mewah. Dinding sebelah kanan pula berwarna hitam dan terlukis indah dengan corak-corak pepohon buluh. Langsir yang terletak antara kedua-dua dinding ini berwarna putih tanpa corak, lalu meninggalkan impresi rigkas tetapi sangat anggun.
Perabot yang tersusun di dalam bilik juga tidak kurang hebatnya. Di sebelah kananku, terletak elok set sofa berwarna putih dan hitam dari material kulit. Meja tepi dan lampu meja juga berwarna hitam. Di sebelah kiriku pula, kelihatan meja kerja dari kayu mahogany yang besar dan berkilat-kilat. Sepertimana set sofa tadi, kerusi yang terletak di sebaliknya juga dari material kulit.
Sungguh, aura maskulin membuak-buak dari setiap sudut. Bilik ini sangat menyerupai pemiliknya, Arjuna Kaede.
"So, what's the agenda for today?"
Pertanyaan Arjuna menyentak kuat. Perhatianku kembali kepadanya. Dia tidak memandang, sebaliknya lelaki itu berlalu ke suatu sudut bilik dan menyangkut kot.
"Tuan ada appointment dengan Kirikawa Ichigo dari Kanarusha berkenaan The Blue Pheony," jawab Ryohei. Arjuna sudah pun duduk di sebalik meja kerjanya.
"Oh, that vase from Ming Dinasty."
Ryohei mengangguk, mengiyakan komen Arjuna. Kemudian, dia bersuara lagi, "Saya akan jumpa wakil dari Kementerian Pelancongan pada pukul dua belas tengah hari."
"Sato akan pergi dengan kau," sambung Arjuna seraya menarik keluar sebuah fail dan membelek-beleknya.
"Ya, Tuan."
"Okay, great."
Seketika, suasana jadi senyap. Arjuna masih dengan failnya. Ryohei tercegat diam. Aku pula menyaksikan semuanya seperti orang bodoh yang tidak sepatutnya berada di sini. Terpacak macam manikin.
"Kau boleh sambung buat kerja kau," tutur Arjuna memecahkan kesunyian.
Ryohei mengerling ke arahku sebelum kembali memandang majikannya.
"Err, macam mana dengan Cik Nailah? Tuan mahu saya panggil orang untuk layan dia?"
Spontan, aku memanggung muka kepada Arjuna. Dia mematikan gerak tangan dan mengangkat anak mata kepadaku. Daripada reaksinya, dia seperti terlupa tentang kewujudan aku. Mulutku dijuih. Sudah bawa aku ke sini, tetapi sesenang hati sahaja lupakan aku.
"Itu kau jangan risau. Aku bawa dia ke sini. Dia tanggungjawab aku." Suara tegas Arjuna terpacul keluar.
Buat kesekian kali, Ryohei mengangguk.
"Baiklah, saya faham. Jadi saya keluar dulu."
Aku memerhati Ryohei yang kini memusingkan tubuh dan berjalan. Saat melepasiku, dia tiba-tiba berbisik, "Cik Nailah buat keputusan yang betul."
Air mukaku berderau. Lantas, aku berpaling kepadanya. Ryohei cuma tersenyum sambil menganggukkan kepala penuh hormat.
*****
SEKEJAP aku melunjurkan kaki ke hadapan sofa. Sekejap aku melihat kiri, kanan, atas dan bawah. Bosan! Sungguh aku bosan. Datang ke sini menghadap orang buat kerja untuk apa? Tadi sudah aku cakap mahu keluar. Mahu melihat-lihat bangunan yang nampak menarik ini. Mahu lihat apa yang ada di sini. Tetapi, Arjuna bertegas benar agar aku tidak keluar sendiri. Katanya, dia akan menemani nanti.
Huh, menemani apanya kalau sejak tadi asyik dengan kerjanya. Selepas meninggalkan aku seorang diri ketika bermesyuarat, dia kembali ke meja untuk menaip di komputer, menyelak-nyelak fail, menelefon orang dan menyambut panggilan telefon. Pendek kata, sibuk benar.
Seketika, ingatanku menerawang ke Malaysia. Kalau waktu ini, aku pasti sedang sibuk membakar pastri dan kek. Kemudian, sibuk menjawab whatsapp dan emel mengenai tempahan daripada pelanggan. Walaupun aku bekerja sendiri, hanya dari rumah, tetapi aku senang dan gembira. Aku tidak perlu menghadap majikan atau mendengar gosip-gosip murahan di pejabat.
Ah, apa akan jadi dengan perniagaanku? Kalau semakin lama aku di sini, semakin terumbang-ambing jadinya nanti. Sementelah, aku sendiri tidak pasti bila keadaan akan lebih selamat dan aku boleh pulang ke Malaysia. Kadang-kala, aku geram dengan Arjuna. Suka benar membuat keputusan sendiri. Dia tidak sedarkah bahawa aku tidak sekaya dia? Aku tidak mampu untuk berlama-lamaan di negara mahal ini. Ya, aku tahu. Dia tidak meminta apa-apa bayaran sepanjang aku tinggal di rumahnya. Tetapi, aku tidak mahu terhutang duit dengan lelaki ini. Cukuplah beberapa kali aku terhutang nyawa.
Selesai berkeluh-kesah, aku bangkit menuju jendela dan menyelak langsir. Rupa-rupanya salji sedang turun. Suasana di luar diperhati satu persatu. Ada dua anak kecil sedang berjalan di bawah payung merah. Ada sepasang kekasih sedang berpelukan dalam sejuknya salju. Di suatu sudut pula, kelihatan seorang lelaki muda sedang menuntun basikal. Rosak, atau mungkin juga dia tidak mahu mengayuhnya kerana jalan licin. Tidak jauh dari kedudukannya, kelihatan seorang wanita berkot merah jambu sedang menekan-nekan mesin air layan diri. Mungkin dia mahu membeli kopi panas bagi menghangatkan badan.
"Jom."
Aku tersentak. Mukaku terpusing kepada Arjuna yang sudah pun bangkit dari kerusi.
"Jom apa?"
"Let's go get something to eat. Lepas tu, kita balik semula ke sini. Aku akan bawa kau melihat-lihat syarikat."
"Okey, tapi boleh saya tanya something tak?" soalku kepada dia yang sedang mengenakan kot tebal musim sejuk.
"Apa dia?"
"Kenapa awak bawa saya ke sini?" Terus aku menerjah.
"Kau lebih selamat di sini. Kalau kat rumah, tak ada orang boleh jaga kau. Inoue-san tak larat. Aku pula perlukan Ryohei dan Sato di sini."
"Kalau pun awak nak saya selamat, takkanlah saya kena ada dengan awak dua puluh empat jam? Saya bukan budak kecil," rungutku.
"Kalau ikutkan hati, memang itu pun yang aku nak. Kalau tak pun, pasang bodyguard untuk kau."
Aku terkejut. Ini sudah melebih-lebih!
"Tapi aku tak ada masa untuk cari dan interview pengawal baru untuk kau. Orang yang aku betul-betul boleh percaya. So for now, new bodyguard is out of picture. Dan lagi satu, aku tak fikir kau gembira kalau aku terlampau kongkong kau, kan?"
'Tahu tak apa!' getusku dalam hati. Aku ingin marah, tetapi sepasang mata Arjuna yang tampak ikhlas membantutkan hasrat. Lalu, aku melepaskan nafas berat.
"Don't you think you're too much? Atau terlebih berfikir? Dah beberapa hari saya tinggal dengan awak, tak ada apa-apa jadi pun, kan?"
Muka serius Arjuna tidak beriak langsung.
"You know nothing about them. They don't strike, right away. They watch and then attack."
Bulu romaku meremang. Seram. Namun, cepat-cepat aku menghela nafas untuk menenangkan hati.
"Awak cakap awak bukan Aizukotetsu-kai. Jadi, siapa musuh awak? Dan berapa ramai musuh yang awak ada sebenarnya?" Sangat berterus-terang soalan aku.
Mata Arjuna sedikit membuntang. Jelas dia tidak menebak pertanyaanku.
"Itu kau tak perlu tahu," jawab Arjuna setelah beberapa saat mendiam.
"Kenapa?"
"Lebih sedikit kau tahu, lebih baik untuk kau."
Rengusan kecil tercetus daripada mulutku. Geram dengan tingkah Arjuna yang memandai buat kesimpulan sendiri.
"Sorry, but I don't think so. Sekarang nyawa saya ada kaitan dengan semua ni. Saya rasa saya ada sepenuhnya hak untuk tahu semuanya." Aku membantah keras.
"Ini cuma untuk sementara. Jadi tak ada sebabnya untuk kau tahu lebih-lebih," bidas Arjuna.
"Sementara atau pun tidak, itu dah belakang kira. Isunya sekarang, saya di sini. Saya yang kena hadap kalau tiba-tiba muncul musuh awak yang nak apa-apakan saya."
"Tak, kau dengar sini. It's better..."
"Don't decide on me. I make my own decision. Biar saya yang tentukan sama ada lebih baik saya tahu atau pun tidak," cantasku laju.
Arjuna meraup rambut dan mengeluh. Aku tahu dia sedang cuba untuk menahan sabar dengan karenahku. Tetapi, aku tidak peduli. Kali ini, aku tidak akan berganjak. Apa-apa pun jadi, aku akan korek semua rahsia.
"Young lady, you're such a difficult girl. Degil!"
Aku tayang senyum. Walaupun Arjuna merungut dengan muka kegeraman, aku tahu dia sudah beralah denganku.
"Let's go." Arjuna tiba-tiba mengajakku pergi.
Aku tercengang. "Pergi mana?"
"Kalau pun kau nak tahu apa-apa, biarlah dengan perut penuh." Pedas Arjuna menyindir. Seperti tadi, mukanya tetap cemberut. Sekali tengok, comel pula.
Ah, aku mula merapu. Sejak bila pula Arjuna yang serius dan dingin, nampak comel di mataku?
*****
"KAU jalan sebelah sini."
Lenganku ditarik lembut, lalu posisiku bertukar ke sebelah kiri Arjuna. Dia pula yang kini berjalan dengan sisi ke arah jalan. Aku jadi terlindung. Sesaat, aku melirikkan mata ke sebelah. Arjuna tegak memandang ke hadapan, dengan muka tidak beremosi yang selalu dia paparkan.
Aku kembali melihat ke arah jalan menuju Nishiki Market. Itulah arah tuju kami sekarang. Sebentar tadi, Arjuna mahu membawaku ke restoran, tetapi aku tidak bersetuju kerana lebih gemarkan kepelbagaian makanan di Nishiki Market.
"Onee-san!"
Sayup-sayup, satu panggilan menjamah anak telinga. Aku tidak mengendahkannya.
"Onee-san!"
Suara itu kedengaran semakin dekat, dan tidak semena-mena bahuku disentuh dari belakang. Semerta, aku memusing badan. Arjuna di sisi mengambil tindakan yang sama.
"Yumiko!" Aku terjerit kecil.
Gadis di hadapanku menyengih lebar. Rambut pendek paras bahu yang sedikit menutupi muka diselit ke belakang telinga.
"Semalam aku terfikir. Umur kita tak sama. Kau lebih tua, jadi aku sepatutnya panggil kakak. Boleh kan, Kak Nailah?"
Aku mengulum senyum. "Boleh. Apa salahnya?"
"Ehem." Teguran Arjuna menyelit sebelum sempat aku menyambung lagi.
Yumiko kelihatan tersentak.
"Nakajima-sama," ucap Yumiko sebelum kelam-kabut menundukkan kepalanya. "Maafkan saya sebab tak perasan tuan tadi."
Aku tergamam melihatkan reaksi Yumiko. Dia bukan sekadar menunduk hormat. Yumiko takutkan Arjuna.
"Hmm." Pendek dan dingin balasan Arjuna.
"Kak Nailah, aku...aku pergi dahulu. Lebih baik aku jangan ganggu akak dan Nakajima-sama."
"Eh, kenapa cepat sangat?"
"Tak...tak apa. Lain kali saja." Yumiko menolak dengan muka yang dibuat-buat manis. Aku perasan ekor matanya yang sesekali melirik ke arah Arjuna.
"Tapi..."
"Badri macam mana?" Sekonyong-konyong Arjuna bertanya.
Yumiko tergamam.
"Aku tanya, Badri macam mana?" ulang Arjuna. Langsung dia tidak terkesan dengan reaksi Yumiko yang jelas kaku sebaik sahaja mendengar suaranya.
"Dia...dia okey. Lagi tiga hari boleh keluar hospital." Tergugup-gagap Yumiko menjawab.
"Macam mana awak tahu pasal Yumiko dan Badri?" sampukku.
"Aku sentiasa tahu apa yang aku perlu tahu," jawabnya sebelum kembali mengalih perhatian kepada Yumiko. "Kau sedar semua perkara yang jadi sekarang, bermula daripada kau, kan?"
Riak muka Yumiko berderau. Dia menikus di hadapan aku dan Arjuna. Segenap wajah dihiasai rasa bersalah. Aku mula kasihan terhadap Yumiko. Dia juga mangsa. Dia tidak meminta semua ini terjadi. Dia tidak bermaksud untuk melibatkan aku, mahupun Arjuna.
"Arjuna..." Mulutku dibuka untuk menegur.
"Jadi, jaga Badri elok-elok. Itu yang kau perlu buat untuk bayar balik atas apa yang berlaku."
Bicara Arjuna membuatkan aku agak keanehan. Rasanya Arjuna dan Badri tidaklah berhubungan baik, jadi kenapa itu yang diminta? Seperti aku, Yumiko juga tampak bingung. Mata kecilnya terkebil-kebil.
"Kau dengar tak ni?" sergah Arjuna dengan suara yang tidak kuat mana, tetapi cukup untuk membuat Yumiko tersentak.
"Ya, ya. Saya dengar. Saya akan jaga dia sebaik mungkin."
"Bagus. Sekarang Cik Nailah dah tak perlu risaukan dia."
"Err, saya?" Aku menyampuk.
Arjuna menghadapku. "Kalau apa-apa jadi pada dia, kau akan risau, sedih dan menangis. I hate that."
Anak mataku sedikit membuntang. Lidah kelu mendengarkan pengakuan Arjuna.
"Jadi betullah apa yang saya dengar." Suara Yumiko mencelah. Serentak, aku dan Arjuna memusing pandang kepadanya.
"Nampaknya, semua orang dah tahu," getus Arjuna mendatar.
"Dah heboh, tuan," sambung Yumiko.
Aku yang berada di tengah-tengah menghantar pandangan sekejap kepada Arjuna, dan sekejap kepada Yumiko.
"Apa yang kamu berdua cakapkan ni?" Aku menyoal, tidak mampu lagi tertanya-tanya sendiri.
"Ini pasal Kak Nailah dan Nakajima-sama."
"Arjuna," cantas Arjuna di tengah-tengah bicara Yumiko.
Yumiko menengadah kepadanya. "Huh?"
"Aku paling benci orang panggil aku, Nakajima-sama."
"Ba...baik, Arjuna-sama," balas Yumiko takut-takut.
Arjuna mengangguk kecil.
Tanpa menunggu lama, aku kembali meyampuk, "Okey, balik kepada topik asal. Apa yang tadi..."
"It's about you and me. Semua kumpulan dah tahu pasal kita." Kalau tadi, Yumiko yang cuba menjawab, kali ini, Arjuna pula yang membuka mulut.
"Kumpulan?"
"The gangs of yakuza in Kyoto." Arjuna menjelaskan. Muka tidak beriak langsung. Sangat selamba.
Aku menelan air liur yang terasa kelat. Fikirku, setelah tahu pasal Arjuna, Aizukotetsu-kai dan musuh-musuhnya, aku akan jadi lebih tenang dan bersedia. Tetapi, rupa-rupanya aku silap. Jantungku tetap berkocak hebat. Seriau.
"Saya dengar ramai kaicho adakan mesyuarat," tutur Yumiko lagi.
Bibir Arjuna senget sebelah. Sinis. "Huh, aku dah agak. Dasar manusia yang..."
Sekonyong-konyong, Arjuna mematikan kata. Aku perasan dia melirikkan mata ke suatu sudut. Riak mukanya turut berubah. Lenganku tiba-tiba dipegang. Kemudian dia kembali menatap Yumiko.
"Rasanya cukup di sini perbualan kita. Aku dan Nailah pergi dulu."
"Err, baik, tuan," ucap Yumiko seraya menundukkan kepala tanda hormat.
Tanpa mengatakan apa-apa, Arjuna terus sahaja memusing badanku.
"Eh, awak ni kenapa?" tanyaku terkebil-kebil. Aku cuba melihat ke belakang. Dari kejauhan, Yumiko kelihatan melambai tangan kepadaku.
"They're here."
Bisikan Arjuna automatik menghentikan tindakanku. Soal Yumiko ditolak ke tepi. Aku kini menengadah kepada Arjuna. Segenap perhatian hanya untuk dia.
"Apa...apa maksud awak?"
"Stay close to me."
Lain yang aku tanya, lain yang dia jawab. Pegangan di lenganku meleret ke bawah. Sedar-sedar sahaja Arjuna sudah pun menarik jari-jemariku ke dalam genggaman. Kemas dan ketat. Langkahnya pula semakin lama semakin laju. Terkocoh-kocoh aku cuba menyaingi.
"Now, run!!!"
Belum sempat aku berfikir apa-apa, Arjuna sudah membawa aku lari.
*****************
TEASER BAB 14:
"Arjuna!" Aku menjerit.
"Jangan datang!" tegahnya lantang tanpa menoleh kepadaku. Terhuyung-hayang dia mengangkat tubuh dan kembali menghadap lawan-lawannya. Mereka juga tampak tercungap-cungap. Muka masing-masing lencun dengan darah.
"Nampaknya kau memang sayangkan dia."
Sekonyong-konyong, muncul satu suara di peluput telingaku. Dekat! Mukaku terpusing ke sebelah kiri. Saat itu juga, mataku membuntang. Betul-betul di hadapanku adalah muka lelaki bertatu yang bercakap tadi. Bibirnya yang berdarah senget menyinis. Pandangan mata jelas jahatnya.
Sedikit-sedikit, aku mengundurkan badan ke belakang. Mahu menjauh. Namun dia terlebih dahulu merengkuh dan mencengkam bahuku. Aku menyeringai sakit.
"Jangan kau berani sentuh dia!!!"
Serentak dengan jeritan itu, tubuhku tiba-tiba rasa tertolak ke tepi. Aku terkejut memerhatikan lelaki di sisiku yang sudah pun terlentang di atas jalan. Arjuna berdiri tidak jauh daripadanya. Sebelah tangan mengacu sebatang kayu berhujung tajam ke leher lelaki tersebut. Darah menitis sedikit demi sedikit.
***************
NOTA CIK SA:
Finally! Satu lagi info pasal AK sudah diketahui. Yup, he got his own business. AK yang selalu pakai kimono, duduk di rumah agam tradisional Jepun...haruslah kerjanya ada kaitan dengan barang-barang antik, tak gitu? Barulah elegant, classy and soooooo AK. Hehe.
Sape2 nak tengok gambar syarikat dan pejabat AK, boleh tengok kat blog. Saya letak gambar visual sekali, so that senang untuk korang bayangkan.
Btw, Selamat Hari Raya Aidiladha!!! Jangan makan daging banyak sangat, tak elok untuk kesihatan. Jom komen. TQ and see u next Monday. =)
Salam Aidiladha Cik SA..kacau lah musuh diqorg ni..baru je bunga nak mekar..hihi..thanks Cik SA
ReplyDeleteSalam Aidiladha. Kannn? memang menyibuk aje! haha
Deleteakak..plissss..! next chapt.plis plis. xsabar akak.. best sgt salju kyoto ni. lain dr yg lain.ade auranya sendri. kipidap & dongibab akak..chaiyok!
ReplyDeletetq soooo much, dear. Alhamdulillah. =)
DeleteHomaiiii AK!!!
ReplyDeletehomaiiii!!! haha
DeleteAk!!!!
ReplyDelete"Ya, aku." AK menjawab.
DeleteHaha!
cerita yang semakin mendebarkan. dup dap dup dap. thumbs up sis..
ReplyDeletetq sooo much, dear. =)
DeleteBest!
ReplyDeletetq!! =)
DeleteCantik opis AK. Yg depan tu mcm milenia vs historical.. hehe
ReplyDeletekan? mmg cantik bangunan tu. sy suka! =)
DeleteMakin tak sabar nak tunggu cerita seterusnya.
ReplyDeletetq! =)
DeleteTks Sara.. :)
ReplyDeleteI macam rasa AK tanggung beban selama ini.. beban perasaan tentang keturunannya maybe.. menafikan perkara yang tdk dpt dinafikan.. mungkin mama AK meninggal juga ada kaitan dgn keturunannya..
Jika benar cian AK.. harap2 Naila dapat ringankan beban AK..
Siapa yang serang AK tu.. Naila jangan susankan Ak tau.. Ikut cakap AK.. Itu adalah yang terbauk.. kan sara.. hihihi
Selamat Hari Aidiladha to Sara & family & kawan2 yang mengikuti kisah AK :)
ur wc, kak.
DeleteYup! Mmg itulah perasaan AK. kasihan dia. Nailah pandai, dia takkan susahkan AK. hehe
Salam Aidiladha jugak. =)
ada sambung as bonus raya tak :) ?
ReplyDeleteops, sorry. Tak ada. cuma bagi teaser je hari tu.
Delete