August 26, 2015

SALJU KYOTO - BAB 4


BAB 4

“STAY AWAY FROM HIM.”
Bicara tersebut terngiang-ngiang di gegendang telinga. Sekejap suara A.K, sekejap suara Badri. Kedua-duanya bersilih ganti, memomokkan amaran yang sama tentang diri masing-masing. A.K. tidak mahu aku dekat dengan Badri. Badri pula tidak mahu aku kenal A.K.
Pelik! Ini memang sangat pelik.
Sekonyong-konyong, perbualan terakhirku dengan Badri menerawang dalam kotak memori.
*****
“ARJUNA KAEDE.”
“Huh?”
“Aku cakap, jauhkan diri daripada Arjuna Kaede.”
“Arjuna...who?” soalku, masih menghadap belakang sasa Badri.
Hujung telingaku mendengar rengusan kecil Badri, sebelum dia memusing kembali tubuh. Dalam kegelapan malam, anak matanya memanah tepat ke muka.
“Aku nampak siang tadi. Kau bercakap dengan seorang lelaki.”
Spontan, ingatanku menerawang kepada pertemuan dengan A.K. dan Ryohei. Jadi, A.K. merupakan singkatan kepada Arjuna Kaede? Itu nama lelaki tersebut? Aneh sekali namanya.
“Dia...lelaki yang kau tak sepatutnya kenal.”
Aku mengelip-ngelipkan mata kebingungan.
“Kenapa?”
Badri diam. Dia seperti sedang memikirkan sama ada mahu menjawab atau pun tidak.
“Bad, aku tanya ni. Kenapa?”
“Trust me, Nailah. You don’t want to get involved with him.”
Tersirat sungguh jawapan yang diluahkan oleh Badri. Rasa pelik dalam hati menggunung jadinya. Sementelah pula, Arjuna turut memberikan balasan yang seumpama itu siang tadi. Jawapan yang sangat rahsia, yang jelas mahu menyembunyikan sesuatu.
“Aku pergi dulu. Jangan cari aku.”
*****
ITULAH yang terjadi sebelum Badri menghilangkan diri di sebalik lorong-lorong gelap. Lantas, meninggalkan aku terpacak dengan rasa pelik. Dan sehingga pagi ini, aku masih dengan rasa pelik tersebut.
“Nailah...Nailah!”
Aku tersentak. Mataku bulat memandang muka Chinta.
“Kamu kenapa sih?”
“Enggak...enggak apa-apa,” balasku dengan kepala yang digeleng-geleng.
“Kok termenung.”
“Kamu kangen sama pacar, ya?” usik Surya di sebelah.
Aku tergelak halus. “Kalau mahu kangen sama dia, saya harus punya pacar. Tapi, sayangnya...”
Biji mata Surya terbeliak besar. Belum pun sempat aku menyudahkan kata, dia terlebih dahulu memintas, “Kamu enggak punya pacar?”
“Kok lu excited?” terjah Chinta. Bibirnya dijuih ke atas. Muka nampak menyampah.
Lagi, aku tertawa. Comel pula mereka ini bertekak. Isy, ada juga yang kahwin sesama sendiri selepas ini. Mereka berdua cocok benar.
Surya menyeringai sambil menggaru belakang leher yang aku pasti tidak gatal.
“Enggak sih. Gue enggak excited.”
“Yeah, right,” cebik Chinta.
Tanpa semena-mena, Surya mendekatkan muka kepada Chinta. “Lu jealous?”
Sekelip mata, Chinta menonyoh dahi sahabat baiknya. “Gila lu!”
Surya menghambur tawa seraya menggosok-gosok dahi. Aku masih senyum menyaksikan gelagat mereka berdua yang sering kali mencuit hati. Seronok juga mereka ini ada di Hitsuji-an. Tidaklah terlalu bosan. Tidaklah terlampau sepi.
“Nailah...”
“Hmm...”
“Kamu sebenarnya okey enggak?” Lembut Chinta menyoal. Serius mukanya.
“Kenapa kamu tanya?”
“Iya. Dari tadi, kamu termenung, kamu mengeluh,” terang Chinta lagi. Surya pula sudah umpam burung belatuk. Mengangguk-angguk.
Menyerbu darah panas ke pipi. Segan pula bila tertangkap termenung dan mengeluh sendiri. Isy, aku pun satu? Macam mana boleh tidak perasan?
“Oh, satu lagi!” Surya menepuk tangan tiba-tiba. “Kamu bilang Arjuna. Yup, Arjuna Kaede.”
Mulutku melopong. Aku bukan sekadar termenung dan mengeluh, bahkan bercakap sendiri? Ini sangat memalukan.
“Arjuna Kaede?” Sekonyong-konyong, ada suara lain yang menyampuk.
Serentak aku, Chinta dan Surya mengangkat muka kepada Norihito yang tidak semena-mena muncul di ruang tamu merangkap ruang dapur.
“Did I hear...Arjuna Kaede?” ulang Norihito. Riak mukanya tampak berlainan.
Chinta dan Surya sama-sama menoleh kepadaku. Mata masing-masing memohon jawapan.
Lambat-lambat, aku mengangguk. “Yes, Arjuna Kaede.”
“How do you know him?” Nada suara Norihito kedengaran agak keras.
Dahiku berlapis tebal. Keanehan dengan reaksi Norihito yang lain macam. Seolah-olah nama tersebut adalah sesuatu yang tidak boleh disebut. Iya, mungkin seperti ‘He-Who-Must-Not-Be-Named’ dalam novel Harry Potter.
“Err...I don’t really know him,” balasku. Bohong? Tidaklah. Kalau setakat bertemu dua kali, bukan kenal namanya.
Norihito melepaskan nafas lega. Wajah tegang yang terpampang sebentar tadi berubah lembut.
“You better not know him.”
Tutur kata tersebut menimbulkan rasa ingin tahuku. Lantas, aku menyoal, “Why?”
“He’s someone that you should never get yourself involved with.”
“Why?” Baru aku mahu membuka mulut, hampir serentak Chinta dan Surya menyoal. Aku memandang mereka. Eh, mereka ini tahu atau pun tidak, apa yang sedang berlaku? Menyibuknya bukan main.
Norihito menjatuhkan duduk di hadapan kami bertiga.
“Arjuna Kaede, he is...”
Aku mendekatkan muka kepada Norihito. Mata tidak berkelip dengan perhatian penuh. Jantung pula berdebar mahu mendengar bicara seterusnya. Dub...dab...dub...dab...
“Sumimasen!”
“Hait!” Sepantas kilat, Norihito bangkit dari duduk dan bergegas ke meja resepsi. Aku melepaskan rengusan. Haish, masa inilah ada pelanggan mahu tersembul. Tak ada masa lain ke?
“Aduh, nyaris kok,” bebel Surya.
“Iya. Tamunya tiba-tiba muncul.”
Aku senyum kecil. “Kamu berdua emangnya penyibuk, ya?”
Surya dan Chinta saling berpandangan sebelum menyengih lebar. Dah, sudah. Pelik pula aku tengok sengihan mereka.
“Jadi...” Tidak semena-mena, Chinta merapatiku. “Kamu benar-benar engggak kenal?”
“Siapa?” tanyaku.
“Itu. Yang namanya Arjuna Kaede,” sampuk Surya.
Aku ketawa dalam hati. Sudah dibilang, mereka ini memang penyibuk sangat orangnya. Lalu, aku bangkit dari duduk dan mencekak pinggang. Pandangan mata diturunkan mencerlung ke arah dua muka yang terkebil-kebil.
“Kamu berdua patut kahwin, tahu enggak. Cocok banget. Sama-sama penyibuk!”
Dengan itu, aku memalingkan tubuh dan meninggalkan mereka menjerit-jerit di belakang.
“Kamu gila, Nailah! Enggak mahu sih!”
Aku menekup mulut, menahan tawa yang mahu meletus. Itulah, kaki kepochi sangat. Padan muka!
*****
SETAPAK demi setapak aku mengambil langkah. Tanpa arah. Tanpa hala tuju. Sesekali ekor mataku melekat kepada pelancong-pelancong asing yang ketawa riang, yang sibuk bergambar. Secebis rasa cemburu menyelinap masuk. Alangkah indahnya kalau aku ke sini untuk melancong semata-mata. Apatah lagi, Kyoto ini cantik benar tempatnya. Di sebalik bangunan tingginya, unsur-unsur tradisional ada di mana-mana. Kuil-kuilnya cantik, penduduknya indah berkimono, makanannya enak sekali. Aku gemar tempat ini. Penuh ketenangan. Tetapi sayang, ketenangan tersebut tetap gagal untuk memadamkan kegusaran dalam jiwa.
Ya, kegusaran yang bernama Badri. Senang sekali dia menyuruhku pulang dan berbohong kepada Mak Cik Kasmah. Dia ingat aku sanggup menghancurkan hati kecil ibu tua itu? Dia fikir aku begitu tidak berperikemanusiaan?
‘Maaf, Badri. Tapi, aku bukan begitu. Jadi, aku tidak akan sesekali mengikut cakap kau.’
Bagaimana harus aku mencari dia? Aku tiada jawapan. Namun aku yakin akan satu perkara. Selagi aku berada di sini, selagi itu aku berpeluang mendapat jalan. Atau mungkin juga, Badri akan muncul tiba-tiba seperti dua hari lepas. Kalau aku tidak pergi, pasti dia akan tersembul depan mata untuk memaksaku balik. Saat itu, aku akan memohonnya pulang. Benar, itu yang akan aku lakukan.
Sedang aku berjalan sambil berfikir dan bermonolog, perhatianku melekat ke arah susuk tubuh yang sedang berjalan setentang denganku. Sekelipan, aku meluahkan keluhan. Rasanya Kyoto bukanlah kecil tempatnya, jadi kenapa muka yang sama itu seringkali terpancul di hadapanku?
Dia...Arjuna Kaede. Masih sama dengan pertemuan kami yang lepas. Rambut stail pomade yang kemas. Wajah kacak yang tenang, serius dan kosong. Bersut hitam tetapi kali ini kotnya bertukar warna coklat. Kaki panjang dengan langkah teratur. Tidak ubah seperti berjalan catwalk di atas pentas peragaan. Aura keyakinan meluap-luap keluar, membuatkan dia terserlah di sebalik ramainya manusia lain di sekeliling.
Aku perasan ada mata-mata yang memandang dan menjeling-jeling ke arahnya. Mengagumi? Gentar? Entah, aku sendiri tidak mampu untuk mentafsir maksudnya. Sekonyong-konyong, pandanganku tertancap kepada seorang lelaki yang sedang berjalan di belakang Arjuna. Lelaki tersebut tampak aneh. Matanya meliar kiri kanan, seperti sedang berjaga-jaga. Sebelah tangannya diseluk ke dalam saku kot. Dan kemudian....
“Watch out!!!” Aku menjerit kuat.
Serentak itu, Arjuna memusing tubuh, mengelak dan melepaskan tumbukan ke muka lelaki di belakangnya. Lelaki tersebut tersungkur ke atas jalan. Pisau rambo terlepas dari tangannya. Namun sekejap cuma. Dia pantas mengambilnya semula. Langsung, dia bangun dan mengacukannya kepada Arjuna. Orang-orang di sekeliling mula bertempiaran lari. Aku pula masih terpacak di tempat yang sama, dengan mata terbeliak menyaksikan semuanya.
Arjuna tetap dengan muka tenang. Bagaikan tidak secalit pun terkesan dengan serangan yang sedang dilancarkan kepadanya. Ryohei dan seorang lagi pembantunya sudah selamat berdiri di sebelah kiri dan kanannya. Mereka berdua kelihatan bersedia untuk melindungi dan menyerang.
“Arghhh!!!” Lelaki berpisau rambo mula menyerang.
Sepantas kilat, Ryohei menendang perutnya hingga tersorong ke belakang. Si pembantu yang tidak diketahui nama kemudiannya masuk menyerang. Ditumbuk bawah dagu si penyerang hingga kepalanya terdongak ke atas. Tersembur darah dari hidung. Lelaki itu terhuyung-hayang cuba mengimbangi badan. Namun, dia tidak mengalah. Ryohei yang mendekat disepak kuat. Kemudian dia melompat dan menghentak kepala pembantu kedua Arjuna. Saat kedua-duanya terleka dalam sakit sendiri, dia menyerang Arjuna. Akan tetapi, Arjuna tangkas mengelak. Tubuhnya diposisikan ke kiri dan kanan, kaki pula diundur ke belakang, mengelak setiap serangan. Tidak sekalipun dia menyerang kembali. Malahan, riak mukanya tetap tenang tidak berperasaan.
Mungkin geram dengan reaksi bersahaja Arjuna, lawannya menempik-nempik sambil menyerang bertalu-talu. Tetapi sayang, tiada satu pun serangannya mengena. Satu ketika, Ryohei dan si pembantu kembali masuk campur. Mereka saling bertumbuk, menendang dan menghentak satu sama lain. Beberapa ketika berlaku, penyerang Arjuna mula lemah. Setiap serangannya mudah ditangkis. Mungkin menyedari diri semakin kalah, lelaki tersebut tiba-tiba meninggalkan lawannya dan berlari...terus ke arahku berdiri.
Betul-betul ke arahku!
Mataku membulat dengan setiap langkahnya. Aku ingin mengelak, tetapi kedua-dua kakiku terpasung kemas ke atas jalan. Langsung tidak boleh dikalih. Oh, Tuhan!!!
Jeda.
Masa terasa berhenti berputar. Segala bunyi hanya sayup-sayup kedengaran. Setiap inci tubuhku keras. Kejung dengan bahu yang dicengkam dari belakang. Tidak cukup dengan itu, hujung pisau rambo elok tertala di sebelah kanan leherku. Jantungku berkocak hebat. Peluh merecik di dahi.
“Jangan rapat. Kalau tak, aku bunuh dia,” desis lelaki di belakangku dalam Bahasa Jepun. Aku terkejut. Tiada angin, tiada ribut, kenapa pula aku yang dijadikan mangsa?
 “Move.” Arahan Arjuna berkumandang. Automatik, Ryohei dan si pembantu membuka laluan. Arjuna berjalan melepasi mereka dengan cukup bersahaja. Malahan, dia sempat meraup rambut. Hujung bibir menyenget sinis.
Semakin Arjuna mendekat, semakin tepat renungannya ke mukaku. Tidaklah tajam, tetapi seperti ada maksud tersirat. Sekali, dia menggerakkan bebola mata ke kanan. Aku melihat sambil cuba memahami. Selang beberapa depa jaraknya antara kami, dia tiba-tiba duduk mencangkung. Lagak mahu mengikat tali kasut.
Dari belakang telinga, aku mendengar rengusan kuat lelaki yang sedang menahanku. Marah!
Tanpa semena-mena...
“Kepala! Kanan!!!”
Mataku terbeliak sebelum dengan spontan, aku menggerakkan kepala ke kanan. Serentak dengan itu, telingaku berdesing, bagaikan ada sesuatu yang baru melepasinya. Beberapa saat berlalu, lengan yang mencengkam leherku mula longlai ke bawah. Tubuh yang sebelum ini tercegat di belakangku tiba-tiba melayang dan jatuh menghempap jalan.
Aku keras. Ryohei dan pembantu kedua sudah pun menyerbu ke arahku serta mendapatkan si penyerang. Tetapi aku tidak mempedulikan mereka. Sebaliknya, aku hanya terkulat-kulat memandang Arjuna yang sudah berdiri tegak di hadapan, sambil mengibas-ngibas telapak tangannya.
“Kau okey tak?”
Suara garau itu bergema, dan sipi-sipi menyentuh telinga. Aku masih terpegun.
“Hei, aku tanya kau ni.”
Kali ini, suara itu kedengaran lebih dekat. Lambat-lambat, aku mengangkat anak mata. Entah bila dia terpacak rapat, aku sendiri tidak pasti.
“Kenapa nampak takut sangat? Bukan kau tak biasa dengan semua ni. Malam tu...”
“Awak gila ke?! Yang awak pergi tembak dia macam tu, kenapa?!” semburku lantang. Sungguh aku kegentaran tadi. Kalau aku tidak menggerakkan kepala tadi, sudah bersepai otak.
“Tembak? Siapa tembak siapa?”
“Itu...” Aku menoleh ke belakang. Lidahku kelu saat terpandang kedua-dua pembantu Arjuna sedang mencengkam tangan si penyerang. Seorang di sebelah kanan, seorang di sebelah kiri. Penyerang itu pula sedang mengerang sakit. Dan...hidup.
“I’ve told you, right?”
Arjuna muncul di sisiku, sambil turut melihat pemandangan yang sedang aku lihat.
“I don’t kill.”
“Tapi, tadi...”
“Nah.”
Jari-jemari Arjuna muncul di hadapan mata, sedang memegang sebiji batu.
“Batu?” soalku sambil menengadah muka, memandangnya.
Ekor mata Arjuna melirik padaku. “Jangan pandang rendah kepada batu yang kecil. Even tentera bergajah Abrahah boleh hancur, kan?”
Mulutku jatuh ke bawah. Terlopong besar. Dia tahu tentang tentera Abrahah?
“By the way, kita abaikan dia tu. Orang-orang aku akan uruskan dia.”
Uruskan? Agak-agak uruskan macam mana? Hapuskan dia? Isy, kau ni dah kenapa, Nailah? Kan dia dah cakap, dia tak bunuh orang.
“Yang penting sekarang...” Arjuna memusing tubuh dan berdiri menghadapku. “Apa kau nak?”
Aku mengerunyutkan dahi. “Apa maksud awak?”
“Kau dah selamatkan aku tadi. Jadi aku akan balas balik. Bagitahu saja, apa yang kau nak. Anything.”
Aku selamatkan dia? Rasanya dia yang selamatkan aku. Bukan sekali, berkali-kali pula tu.
“Aku tak suka berhutang. Tapi sekarang aku dah terhutang nyawa dengan kau. Kalau tak kerana kau menjerit tadi, mungkin aku dah tak ada.”
“Err, hal kecil saja tu. Kebetulan.”
“Aku tak percaya kepada kebetulan. Semua yang jadi dalam dunia ni, ada sebabnya. Mungkin kau ada di sini tadi untuk bagi aku amaran. And now I owe you. So, I have to pay you back.”
Aku melepaskan nafas.
“Kalau diikutkan macam tu, saya yang dah banyak kali berhutang pada awak. Malam tu dan sekejap tadi, awak selamatkan saya.”
“Kalau kau rasa terhutang pada aku, then terpulang. Aku tak perlu kau bayar balik. After all, I don’t need anything from you.”
Bibirku dijuih. Bicaranya kedengaran angkuh sekali. Menyampah pula aku.
“Tapi aku tak suka rasa terhutang. Apa-apa pun yang aku dapat, aku akan balas balik. Jadi, bagitahu saja apa yang kau nak,” sambungnya lagi.
Aku menatap mukanya lama. Terselah keteguhan di muka itu. Jelas menampakkan betapa dia tidak akan berganjak selagi aku tidak mendengar cakap. Apa yang aku mahu? Sekejapan, satu idea terlintas dalam fikiran.
“Ada satu benda yang saya mahu daripada awak.”
Arjuna menarik nafas lega. Bahkan, dia menarik senyum.
“Great! Apa dia?”
“Badri.”
           Senyuman Arjuna mati. Riak mukanya bertukar rentak. Pandangan mata yang baru menjadi lembut sebentar tadi, berubah tiba-tiba. Dia mencerlung tajam kepadaku. Bagaikan menanti masa untuk menerkam dan membahamku hidup-hidup.


~Bersambung...~

OMG!! What happened? Jeng3....
Jom follow Cik SA di wattpad (ID: sara_aisha)

17 comments:

  1. Ala... Tak puas baca... Nk lagi huhu

    ReplyDelete
  2. sambung please...

    #salam dari Indonesia

    ReplyDelete
    Replies
    1. InsyaAllah, esok ya. Tq.

      #Salam perkenalan dari Malaysia. =)

      Delete
  3. Seteru depa nie yer? Makin berselirat rasanya

    ReplyDelete
  4. Sambung lagi pleaseeee. Best laaaa cik sara 👍

    ReplyDelete
    Replies
    1. InsyaAllah, esok saya masukkan bab baru ya. =)

      Delete
  5. Bila buku bercetak nak keluar? Tak sabar rasanya! :D

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hopefully, by the end of this year. Or maybe awal tahun depan. Manuskrip belum siap lagi...huhu

      Delete