BAB
15
“JAHANAM!!!”
pekik Sakda dengan kuat sambil membaling gelas yang dipegangnya tadi ke arah
televisyen di hadapan mata. Berderai gelas itu. Tapi, dia tidak peduli. Apa
yang lebih penting sekarang, perasaan geramnya. Ya, perasaan membara yang
sedang menyala-nyala dalam dirinya.
Tadi
sewaktu dia menonton berita tentang kejayaan pihak polis menjejaki penculik kepada
jutawan muda Thailand yang dirahsiakan identitinya, Sakda serta-merta tahu
siapa yang dimaksudkan. Telahannya jadi benar-benar tepat saat kedua-dua
matanya tertancap kepada wajah dua orang suspek dalam kes tersebut. Pong dan
Chen!
“Macam mana dia orang tu buat kerja, hah?
Kerja senang pun tak boleh buat. Tak boleh harap langsung!!!”
Sungguh!
Hatinya benar-benar panas. Belum pun sampai lapan belas jam Karn diculik, pihak
polis sudah pun dapat menjejaki mereka. Hancur! Habis hancur segala
rancangannya. Satu Baht pun tidak diperoleh. Dan yang paling penting, nyawa
Karn Klaharn masih lagi melekat pada jasadnya!
Ah!!!
Dia benar-benar geram. Kalaulah dia tahu orang suruhannya bodoh begitu, lebih
baik dia arahkan saja mereka hapuskan Karn awal-awal lagi. Tidak perlu bersusah
payah untuk membuat adegan seolah-olah mereka menculik demi wang, sedangkan
hakikatnya apa yang dia dambakan adalah nyawa lelaki itu.
Seketika
kemudian Sakda menggelengkan kepala. Tidak! Dia tidak boleh menyalahkan
rancangan awalnya kerana itu adalah rancangan paling sempurna. Dia tidak boleh
terus sahaja membunuh Karn Klaharn kerana dia harus melindungi motif dan niat
sebenarnya. Kalau motif itu terlampau jelas di mata pihak polis, identiti
sebenarnya akan mudah terbongkar!
Mengingati
identitinya, Sakda sedikit lega kerana dalam berita yang ditontonnya tadi telah
disebut tentang suspek yang dipercayai dikenali dengan nama Manop telah
terbunuh. Mujur sekali lelaki itu sudah mampus. Jadi tiada siapa lagi yang
boleh membuka mulut tentang dirinya. Tetapi sekarang tidak pasal-pasal pula dia
terpaksa mendiamkan diri, menangguhkan dulu rancangannya ke atas Karn demi
menyembunyikan identitinya itu. Argh, geramnya dia!!!
“Tapi, macam mana polis
boleh senang-senang saja track Manop
dan anjing-anjing dia?” Setelah beberapa minit bermonolog sendiri, Sakda
akhinya menyoal. “Ini mesti kerja orang tua tak sedar diri tu.”
*****
“GOOD JOB, KAWEE.”
Kawee
tersenyum lebar sambil menganggukkan kepala.
Sekali lagi tugasan yang telah diserahkan padanya dapat disempurnakan
dengan jayanya. Dan sekali lagi juga, namanya sebagai penyiasat persendirian
terhebat di Thailand dapat dipertahankan.
“Sebenarnya
saya tertanya-tanya, macam mana kamu dapat menjejaki tempat tu even before pihak polis? Siap inform polis pula tu,” tanya Sukrit
dengan lagak ingin tahu. Kedua-dua matanya merenung tepat lelaki di hadapannya.
“Well, saya kan bekas komando. I have my own source. I have my own
connection. Dan yang paling penting, saya tidak terikat dengan karenah
birokrasi dan surat kebenaran itu…surat kebenaran ini untuk ambil tindakan. The decision is mine and the action is mine.
Orang lain tak boleh masuk campur.” Penuh ketegasan Kawee menjawab. Wajahnya
terpamer dengan rasa bangga dan puas hati.
Tersungging
senyuman di bibir Sukrit mendengarkan jawapan Kawee. Memang tidak sia-sia dia
mendapatkan khidmat lelaki itu.
“Apa-apa
pun, saya memang berterima kasih pada kamu atas apa yang kamu dah buat. Bayaran
dah pun saya transfer ke akaun bank,”
balas Sukrit.
Kawee
menghulurkan tangannya kepada Sukrit. “Terima kasih. Kalau ada apa-apa urusan
lagi, bolehlah hubungi…”
“Oh, no! Jangan! Kalau saya terpaksa panggil
kamu lagi, that’s mean ada sesuatu
yang buruk berlaku pada Tuan Klaharn. And
I so don’t want that to ever happen again.” Separuh bergurau, Sukrit
memintas kata-kata Kawee. Salam lelaki itu disambutnya.
Kawee
tergelak kecil sebelum dia akhirnya berlalu pergi. Sukrit yang melihat turut
sama berpaling. Dia mahu ke bilik Tuan Klaharn, melihat majikannya yang masih
belum sedarkan diri.
*****
“TUAN!”
Spontan
Karn menoleh ke arah suara yang baru sahaja memanggilnya.
“Tuan
sudah sedar? Baguslah.” Sukrit bersuara seraya bergegas ke arah majikannya.
Karn
membetulkan sedikit duduknya sebelum memegang kepalanya yang sakit. “Apa…apa
dah jadi?”
“Pihak
polis berjaya jejaki tempat penculik-penculik tu tahan Tuan dan perempuan tu.”
Karn
tersentak. Perempuan tu! Dian Damia!
“Macam
mana dengan dia? Apa dah jadi pada dia?!” Tanpa sedar, Karn mula memekik kuat.
Tercengang
Sukrit melihat reaksi luar jangkaan Tuan Klaharan yang selama ini berwatakan
tenang. Wajah bosnya itu ditenung dalam. Riak kerisauan, kegusaran dan ketakutan
jelas terpampang pada wajah itu.
“Uncle, answer me!
Macam mana dengan Dian?!” Sekali lagi Karn menjerit.
“Dia...dia
okey. Doktor dah check dia. And now dia ada di bilik sebelah.” Cepat-cepat
Sukrit menjawab.
Karn
cuba bangun dari sandarannya. Tapi baru sahaja dia mahu menggerakkan tubuh,
kesakitan serta-merta menusuk-nusuk ke dalam tubuhnya. “Ouch!!”
“Tuan!”
Bingkas Sukrit merapati bosnya dan memegang lengan lelaki itu. “Tuan jangan
bergerak.”
“Macam
mana saya nak pergi jumpa dia kalau saya tak bergerak?” bidas Karn dengan kasar
di sebalik riak wajahnya yang berkerut kesakitan,
“Tuan
tolong jangan degil. You’re not well
enough to move around,” bangkang Sukrit lagi.
Terbit
renungan tajam di mata Karn. Berapi!
“I’m
going and nobody can stop me.”
Tuk!
Tuk! Tuk! Baru sahaja Karn mahu turun dari katil, bunyi ketukan di pintu segera
mematikan pergerakannya. Ah, apa lagi ni? Dia mahu menemui Dianlah!
“Sawaddi krap, Khun Klaharn (Selamat
petang, Tuan Klaharn).” Muncul seorang lelaki yang lengkap berpakaian polis
dari sebalik pintu. “Saya dimaklumkan Tuan sudah sedar. Saya ke sini untuk
dapatkan keterangan Tuan.”
Dalam
hati Karn merengus. Sedikit sebanyak hatinya diulit rasa geram kerana banyak
pula halangannya untuk mendapatkan Dian padahal gadis itu bukanlah jauh daripadanya.
Hanya di bilik sebelah!
“Tuan…”
panggil pegawai polis itu lagi.
Karn
menarik nafas dalam-dalam, menghembusnya dan membetulkan duduknya. “Baiklah. Just ask me.”
_________________________________
BAB 16
WAJAH
pucat Dian ditatap dalam-dalam. Jelas kesan lebam di pipi dan bawah bibirnya.
Spontan Karn mengetap bibir. Dia geram pada dirinya sendiri. Dia gagal dalam
menjaga dan melindungi Dian hinggakan gadis itu menjadi mangsa pukulan Manop.
Kalaulah dia lebih cepat tiba, pasti lelaki jahanam itu takkan sempat menyentuh
Dian.
Teringat Karn pada segala kejadian
itu. Dia berlawan dengan Chen dan Pong sehingga akhirnya dapat menjatuhkan
mereka berdua. Kemudian ingatannya hinggap pula pada keadaan di mana dia
melihat Manop cuba membunuh Dian dengan besi di tangannya. Waktu itu Karn sudah
tidak dapat berfikir dengan lebih rasional. Tangannya refleks sahaja mengambil
pistol yang terdampar di atas lantai sebelum melepaskan tembakan. Bukan sekali,
tetapi empat das!
Sungguh, tidak pernah dia menduga
akan menggunakan kemahirannya menembak ke atas seorang manusia. Tidak pernah
langsung dia menyangka akan melumurkan tangannya dengan darah, akan merampas
nyawa orang lain.
Ya,
memang kalau diikutkan hatinya, selayaknya Manop memperoleh balasan sebegitu,
tetapi…tetapi dia bukan seorang pembunuh! Dia bukan seorang manusia yang boleh
sahaja mengambil nyawa orang lain tanpa langsung terkesan dengan secalit pun
rasa bersalah. Walaupun pihak polis telah pun mengklasifikasikan tindakannya
sebagai mempertahankan diri, tetap juga Karn terasa dirinya kotor. Sama kotor
dengan Manop yang telah dia bunuh!
“Tuan…” Tiba-tiba ada suara lain
yang hinggap di telinganya, melenyapkan segala ingatan Karn terhadap peristiwa
hitam itu. Lambat-lambat Karn menoleh pada tuan empunya suara yang sangat
dikenalinya.
“Apa doktor cakap pasal dia?” tanya
Karn pada Uncle Sukrit.
Sukrit mengerling sedikit pada gadis
yang kini terbaring lemah di atas katil sebelum kemudiannya mengalihkan kembali
pandangannya kepada Tuan Klaharn.
“She’s
fine. Cuma keletihan dan ketakutan. Tak ada kecedaraan fizikal yang
terlampau.”
Terangguk-angguk kepala Karn saat
mendengar penjelasan Uncle Sukrit.
“Tapi…”
Terangkat
kening Karn. Pandangan mata tanda menyoal dihalakan pada pembantunya itu.
“Tapi,
Tuan yang dalam keadaan teruk sekarang ni. Jadi, tolong ke bilik dan berehat.”
Sukrit menyambung tutur katanya.
Karn
mengeluh dan melihat keadaan dirinya sendiri. Dengan tangan kiri yang bersimen
serta kepala dan dada yang berbalut, kecederaannya memang dikira teruk. Apa
tidaknya, di kepalanya sahaja doktor terpaksa melakukan sebanyak dua belas
jahitan. Itu belum lagi termasuk tangan kirinya yang patah dan tulang rusuknya
yang retak.
Tetapi
entah kenapa, dia langsung tidak mempedulikan kecederaan itu. Baginya, saat ini
keadaan Dian yang lebih penting berbanding dirinya sendiri. Ya, Dian jauh lebih
penting!
“I’ll stay here,”
jawab Karn akhirnya.
“Tapi,
Tuan…”
“Saya
akan stay sini, Uncle. Tunggu Dian sampai dia sedar,” pintas Karn dengan lagak
tegas. “Now you go see the police.
Banyak lagi yang perlu diuruskan dengan mereka. Begitu juga dengan pihak media.
Pastikan media terus tidak tahu identiti mangsa culik. Saya tak mahu pelanggan
Siripon tahu akan hal ni. Kalau tak, mereka akan ketakutan and eventually it will affect our business. Also, don’t forget to ask Kris
for help.”
Terdiam
Sukrit mendengarkan arahan bosnya. Dengusan kecil dilepaskan. Geram juga
hatinya dengan kedegilan Tuan Klaharn. Dengan keadaan yang begitu sekali, masih
lagi mahu melebihkan gadis yang tidak dikenalinya itu. Ah, apa agaknya hubungan
mereka berdua?
“Uncle…”
tegas Karn dengan wajah serius.
“Baik,
Tuan. Tapi kalau Tuan perlukan apa-apa, bagitahu Uncle. Dan lagi satu, kakak angkat Dian dah ada kat sini.”
Karn
tersentak. “Kakak angkat?”
*****
PANG!
Tepat
tamparan Liza mengenai pipi Karn. Kini mereka sama-sama berada di luar bilik
yang menempatkan Dian. Tadi sewaktu dia melihat keadaan Dian, hatinya terasa
seperti disiat-siat dengan kejam. Hancur lebur!
Dian tidak pernah berkeadaan demikian
sepanjang di bawah jagaannya. Tetapi kini, hanya setelah empat hari tiba di
Thailand, Dian terlantar di hospital dengan kesan pukulan pada wajah dan
tubuhnya. Dan kerana apa? Kerana lelaki yang bernama Karn Klaharn ini!
“Liza, apa ni? Dia tu cedera!” tegur
Azmi seraya menarik dan memegang bahu isterinya. Sungguh, terperanjat dia
tindakan Liza yang laju sahaja menampar lelaki di hadapan mereka. Lelaki yang
turut sama terlibat dalam kes penculikan Dian.
“Apa saya peduli, abang? Kalau bukan
sebab dia, Dian takkan kena culik…takkan terlantar macam tu kat atas katil!”
Penuh emosi Liza menjawab. Mengingati keadaan Dian, hatinya benar-benar sakit.
Perit sekali.
“Maafkan saya, Puan.” Dengan kepala
yang tertunduk, Karn memohon maaf. Ya, benar kata-kata wanita di hadapannya
ini. Kalau bukan kerana dia…Dian tidak akan pernah melalui apa yang telah
dilaluinya.
Liza tersenyum sinis sambil
melepaskan dirinya daripada pegangan Azmi. Wajah Karn ditenung tajam. Lelaki
yang jauh lebih tinggi daripadanya itu kelihatan kerdil benar pada pandangan
matanya.
“Maaf? Eh, kamu ingat dengan maaf
kamu tu…semua ni akan terhapus macam tu aje? Hakikatnya sekarang, Dian dah kena
culik, kena belasah dan…entah apa lagi yang dia orang dah buat pada dia!”
Karn hanya diam tidak berkutik.
Tidak berani langsung dia mengangkat wajah. Apa yang termampu dia buat hanyalah
mendengar dan menerima segala kemarahan wanita yang dikenali sebagai kakak
angkat Dian. Ah, apa lagi yang boleh dia buat? Kerana segala apa yang terpacul
keluar dari mulut Liza adalah kebenaran. Dan dia memang patut dipersalahkan!
“Kenapa, hah? Kenapa Dian perlu
terbabit sama dengan semua ni? Apa salah dia pada kamu? Kenapa dia mesti
diculik…diperlakukan macam tu sekali??” sambung Liza lagi. Keras dan penuh
kemarahan.
Karn tetap membatu. Bibirnya diketap
kuat-kuat. Ingin sahaja dia menjawab, Dian tidak pernah ada secalit pun salah
padanya. Dian tidak ada dosa padanya.
“Apa yang kamu merepek ni, Liza?
Mana dia tahu semua ni akan jadi. Dia pun mangsa dalam hal ni.” Azmi pula yang
membalas. Kasihan sungguh dia melihat lelaki yang terus-terusan menjadi mangsa
kemarahan isterinya. Liza pun satu, tidak boleh langsung mengawal emosinya,
sehinggakan orang yang tidak bersalah pula yang terkena tempias emosinya itu.
Terlepas dengusan kasar Liza. Tidak
berpuas hati. Ya, memang! Jika diikutkan akal fikiran rasionalnya dan apa yang
diketahuinya daripada pihak polis, lelaki ini tidak ada kena mengena langsung
dengan penculik mereka. Lelaki ini hanyalah mangsa. Tetapi…lelaki inilah yang
telah mengheret Dian ke dalam permasalahannya. Sasaran penculik adalah dia,
bukan Dian Damia!
“Liza, kita anggaplah ini semua jadi
kerana takdir. Dian tidak bernasib baik sebab dia bersama lelaki ni waktu
kejadian penculikan tu,” pujuk Azmi lagi.
Liza menjeling tajam pada suaminya.
Geram sungguh dia dengan tindakan Azmi yang mahu membela Karn.
“Yang abang nak menangkan dia ni,
kenapa? Abang sedar tak, sebab dia nilah…Dian kena macam tu sekali! Kena
culik…kena belasah!”
“Ya, abang tahu. Tapi abang juga
tahu, yang dia tak pernah menginginkan semua ni jadi pada Dian. Dia juga
mangsa. Liza sedar tak ni?” balas Azmi penuh ketegasan.
Liza tidak menjawab. Hanya bibirnya
yang diketap kuat. Geram!
Azmi membiarkan sahaja isterinya
sebelum kemudiannya berpaling pada Karn yang sedari tadi hanya diam tanpa
suara. Lelaki itu masih lagi menundukkan kepalanya dengan lagak penuh rasa
bersalah.
“Maafkan isteri saya. Dia cuma
terlebih emosi. Dian tu dah macam adik kandung kami. Apa yang dah jadi pada dia
benar-benar menyakitkan hati kami.”
Lambat-lambat Karn mengangkat
kepala. Wajah penuh ketenangan abang angkat Dian dipandang dalam-dalam. Namun
matanya tidak dapat menipu. Di sebalik ketenangan lelaki itu, Karn seperti
dapat melihat kegusaran dan kerisauan yang menggunung. Lagi perasaan bersalah
menyelubungi hatinya.
“Saya…saya betul-betul minta maaf.
Saya tak pernah sangka semua ni akan jadi. Kalau saya tahu, saya takkan ajak
Dian keluar dengan saya. In fact,
saya takkan berkawan dengan dia. Saya takkan…”
“Sudahlah. Benda nak jadi, kita tak
boleh halang. Kalau Allah dah cakap, perkara macam ni akan jadi pada Dian,
walau macam mana sekali pun kita cuba mengelak, ia tetap akan jadi,” sampuk
Azmi perlahan. Dia tidak mahu lagi Karn terus-terusan berasa bersalah.
Karn mendiamkan diri.
“Buat masa sekarang, yang penting
Dian dan kamu sama-sama selamat. Siapa yang salah, siapa yang benar…sudah tak
ada ada makna lagi. Tak ada gunanya pun menuding jari pada sesiapa atas apa
yang terjadi,” sambung Azmi lagi.
Liza mendengus kasar. Terasa seperti
kata-kata akhir suaminya ditujukan padanya. Namun dia tidak menjawab. Ah, untuk
apa bersuara kerana akhirnya suaminya itu tetap akan mempertahankan Karn?
“Sekarang kamu pergilah berehat.
Saya tengok keadaan kamu ni teruk sangat,” ujar Azmi mengakhiri pertemuan
mereka.
Karn termangu seketika. Kalau
diikutkan hatinya, dia masih mahu menunggu Dian di samping gadis itu, tetapi
dia sedar buat masa sekarang, itu bukanlah pilihan terbaik. Daripada pandangan
mata kakak angkat Dian, dia dapat melihat suatu pandangan berupa amaran agar
tidak mendekati Dian.
“Terima
kasih dan…maafkan saya sekali lagi.” Karn akhirnya menjawab sambil menundukkan
kepalanya dan membuat gaya ‘wai’
sebagai tanda hormat. Kemudian dia berpaling, mahu kembali ke biliknya sendiri.
Namun belum pun jauh dia menapak, suatu suara lain automatik sahaja mematikan
langkahnya.
“Tuan!
Dia dah sedar!”
yey..dian da sedar..traumakah dia?
ReplyDeletejeng...jeng...jeng...hehe
Deletebesttttt...tpi pendek nyer kak...nk lgi...cepat2 ckit ek...tq...hehehe
ReplyDeletethanks, dear...akn diusahakan..=)
Deletebgus la Dian dh sedar,,
ReplyDeletehrap2 trauma dia xtruk sgt,,,
harap2lah...hehe
Deletebest, pndk tapi padat.saspen sekejap nak tau apa jadi
ReplyDeletepada dian trauma? benci, tapi rindu, hahaha nmpak gaya
ada knflk lebih berat akan kluar? hmmm lunch nanti nak browse
bookstore for jimk
yezza, konflik berat tgh tunggu nk kuar...hehe
Deletethanks, selamat browse thru for JIMK dan selamat membaca...=)
bilanya kran dan dian nk b'cinta.hahaa
ReplyDeletek.sara bile CRT akn jd sebuah buku x sabr sy nk beli..huhu
nk jd kn slah stu koleksi sy.
xsbr nk tgu smbungn nye.
kak sara pn x sbr nk tulis saat2 diorg bercinta. tulis part saspen dn berat ni mencabar skit...haha
Deleteerr, bila nk jd buku? insyaAllah, kalau ada rezeki thn dpn kut. manuskrip pn blm siap lg ni...hehe
thanks, sokong kak sara tau!
wah best... tahniah....
ReplyDeleteKesian dekat Karn x pasal-pasal kena makan penampar dengan Liza.....
ReplyDeleteBaguslah akhirnya Dian dah sedar....
itulah, asik karn je yg kena...huhu
Delete