May 9, 2012

Chan Rak Ter...Aku Cinta Kamu [Bab 11 dan 12]


BAB 11

“KARN…KARN…”
Perlahan-lahan Dian mengengsot ke arah tubuh kaku Karn. Kali ini tangannya sudah tidak berikat namun tubuhnya terasa lemah sekali. Kedua-dua kakinya terasa lembik dan dia tidak mampu langsung untuk berdiri. Tadi sewaktu lelaki-lelaki bertopeng itu mengheret mereka kembali ke bilik kurungan asal mereka, Dian hanya mampu membiarkan sahaja. Langsung dia tiada kudrat untuk melawan. Meronta seperti sebelum ini juga tidak mampu. Lebih-lebih lagi apa yang terpamer di hadapan matanya waktu itu adalah tubuh Karn yang terkulai layu.
Bagaimana mungkin dia cuba melawan kalau akhirnya dia dan Karn yang akan menerima akibatnya?
“Karn…” panggil Dian lagi. Kini dia sudah pun terduduk di sebelah Karn. Dengan tangan yang terketar-ketar, Dian menggoyangkan tubuh kaku lelaki itu. Namun tiada langsung reaksi atau balasan. Bibirnya diketap kuat-kuat. Air mata yang berlinangan turun tidak dihiraukan langsung.
Kemudian lambat-lambat Dian menghalakan jari telunjuknya ke bawah hidung Karn. Dadanya berkocak hebat dengan rasa takut akan kemungkinan yang satu itu. Kemungkinan yang benar-benar menyesakkan jantungnya!
‘Tolong…tolong jangan mati, Karn. Ya Allah…selamatkan dia..’ doa Dian dalam hati.
Terbeliak mata Dian saat merasakan tiada desah nafas Karn yang menyapa jarinya. Pantas Dian mengalihkan telapak tangannya ke dada Karn, merasa degupan jantung lelaki itu. Juga…tiada!
“Tak…tak…dia belum mati..” Sambil menggelengkan kepalanya, Dian berbicara sendiri. Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu dan segera melekapkan telinganya pada dada Karn. Dia mahu mendengar degupan jantung Karn. Sedikit pun jadilah!
“Tolong Karn…tolong…awak tak boleh mati. Awak tak boleh tinggalkan saya dengan dia orang semua. Saya takut…” bisik Dian di sebalik tangisannya yang semakin menjadi-jadi.
“Dian….” Tiba-tiba ada suatu suara yang hinggap di gegendang telinga Dian. Dekat sekali!
Automatik Dian mengangkat kepala. Matanya tertancap pada bebola mata Karn yang sedang memandangnya di sebalik darah pekat yang menutupi sebahagian wajah lelaki itu.
“Karn! Awak…awak tak apa-apa ke? Awak hidup lagi, kan? Ni bukan hantu awak, kan?” Bertalu-talu soalan yang terpacul dari mulut Dian di sebalik esak tangisannya. Tanpa sedar, kedua-dua telapak tangannya kini sudah pun mendarat pada pipi Karn, membelek-belek keadaan sahabatnya itu.
“Dian…awak…awak okey ke? Dia orang…dia orang tak ada buat…apa-apa…pada awak, kan?” Tersekat-sekat dan lemah sekali suara Karn.
Menitis setitik air mata Dian saat mendengarkan soalan Karn. Betapa baiknya lelaki ini, betapa tulusnya hati dia. Dalam keadaan yang sudah umpama nyawa-nyawa ikan itu, Karn masih lagi memikirkan soal dirinya.  Sungguh! Dia sangat terharu. Tanpa sedar, tangisannya semakin menjadi-jadi. Terhinjut-hinjut bahunya.
Melihat Dian yang menangis hiba, hati Karn mula dijengah rasa perit dan risau. Apakah…apakah Manop dan konco-konconya memungkiri janji? Adakah mereka telah melampiaskan nafsu serakah mereka pada Dian sewaktu dia tidak  sedarkan diri?
“Dian…dia orang…dia orang sentuh awak ke?”
Cepat-cepat Dian menggeleng. “Tak..tak…dia orang tak buat apa-apa. Kenapa…kenapa awak…”
Karn tersenyum lemah. Sedaya upaya dia cuba bertahan daripada kesakitan yang seakan-akan mencucuk segenap tubuhnya.
“Kan saya…saya dah janji? Saya akan lindungi awak…”
Lagi bercucuran air mata di pipi Dian. Sanggupnya Karn menjadikan diri sendiri sebagai galang ganti demi melindungi dirinya!
“Tapi…tapi tengoklah keadaan awak sekarang. Darah ni….luka ni…” Dian mengangkat dan membelek kedua-dua tangannya yang kini dilumuri dengan darah pekat Karn. Kemudian dia mengalihkan kembali pandangannya pada lelaki itu. “Awak parah, Karn. Awak kena ke hospital…”
Karn hanya diam. Ya, dia juga berharap akan dapat ke hospital…akan dapat menghilangkan segala keperitan dan kesakitan ini, tetapi dalam keadaan mereka begini, itu adalah sesuatu yang paling mustahil. Kini satu-satunya perkara yang dia boleh buat adalah bertahan dan terus bertahan, bukan lagi demi dirinya sendiri tetapi demi gadis yang sedang ketakutan di hadapannya ini. Dia perlu menguatkan dirinya kerana dia sedar jika tiada dia, siapa lagi yang boleh melindungi Dian?
“Karn…” gesa Dian bersama nada suara yang mula kaget. Panik dengan reaksi Karn yang membatu tanpa suara. Hanya mata lelaki itu yang terkebil-kebil lemah.
Terbit senyuman kelat di bibir Karn. Tersentuh hatinya dengan rasa ambil berat yang dipamerkan Dian. Dan dengan bibir yang terketar-ketar, dia akhirnya membalas. “Saya…saya...okey, Dian. Don’t worry.”
Dian mendiamkan diri buat seketika. Dia tahu Karn berbohong. Apa yang okeynya dengan keadaan yang begitu sekali? Bernafas pun sudah seperti suatu kesukaran dan kepayahan buat lelaki itu.
Tetapi dia juga tahu bahawa mereka tidak boleh berbuat apa-apa. Mereka tidak mampu! Apa yang boleh dia lakukan kini hanyalah berserah pada Allah yang Maha Esa, Maha Pelindung. Dan dia yakin Allah pasti akan melindungi mereka.
Perlahan Dian menarik nafas dalam-dalam sebelum menghembusnya.
“Awak…awak rehatlah. Saya…saya akan jaga awak,” ucap Dian perlahan. Tangannya mula menanggalkan jaket yang sedari tadi membaluti tubuhnya. Sebelum bertindak menyelimutkan Karn, sempat dia mengeluarkan sapu tangan daripada kocek jaketnya. Penuh hati-hati dan kelembutan Dian mengelap darah pada wajah sahabatnya itu.
Terkulat-kulat Karn memerhatikan segala perilaku Dian terhadap dirinya. Perasaan tersentuh yang sedari tadi bertamu dalam hatinya bertambah menggebu. Wajah Dian yang jelas comot, pucat dan tidak bermaya bersama rambut yang kusut masai ditatap dalam-dalam. Dari mata gadis itu yang kelihatan sembab, dia seakan-akan dapat melihat ketenangan. Ah, tidak mungkin! Mana mungkin Dian dapat bertenang dalam keadaan genting begitu.
“Ya Allah, Engkau lindungilah dia….” Telinga Karn seakan dapat mendengar bisikan halus Dian sebelum matanya akhirnya tertutup sendiri. Perlahan-lahan kesakitan yang menyelubungi tubuhnya semakin menjauh.
*****
DALAM-DALAM Dian merenung wajah lena Karn. Kemudian matanya jatuh pula pada jaket yang membaluti tubuh lelaki itu. Segera dia mengetap bibir dan mengalihkan pandangan pada tubuhnya yang hanya dibaluti t-shirt berlengan tiga suku. Seketika kemudian dia mengangkat tangan dan menyentuh kepalanya yang kini sudah tidak bertutup.
            Ya Allah! Terasa dirinya sungguh berdosa kerana membiarkan auratnya terdedah. Tetapi, apakan daya…dia tidak mampu untuk mempertahankan diri. Tadi sewaktu lelaki-lelaki itu bertindak menarik tudungnya, dia hanya mampu menjerit. Dan waktu dia bertindak menanggalkan jaketnya pula, dia merasakan itu yang sepatutnya kerana tubuh Karn jelas mula menggigigil. Lelaki itu kedinginan!
            “Ya Allah, Ya Tuhanku…ampunkan aku. Aku…aku tidak kuat untuk mempertahankan auratku,” doa Dian perlahan. “Dan aku memohon pada-Mu, lindungilah aku dan dia. Hanya pada Engkau tempatku mengadu, hanya pada-Mu aku merayu….”
Tidak semena-mena segala perlakuan jelik tiga lelaki tadi bermain-main di matanya. Tubuh Dian mula menggigil. Betapa takutnya dia tadi hanya Allah yang tahu. Sungguh dia tidak menduga perkara sebegitu akan berlaku pada dirinya. Tidak pernah langsung terlintas dalam fikiran warasnya bahawa dia akan berhadapan keadaan segenting itu. Walau dalam novelnya sekali pun, tidak pernah ada jalan cerita sebegitu!
_____________________________________________
BAB 12

TERPAKU matanya pada skrin komputer. Segala adegan di hadapan matanya umpama filem yang dirasakan sangat menarik. Bibirnya pula sedari tadi tersungging dengan senyuman sinis. Huh, hatinya puas! Puas kerana dapat menyaksikan penderitaan seorang manusia bernama Klaharn Thanasukolwit.
Sungguh dia tidak menyangka apa yang diperolehnya adalah jauh lebih baik daripada apa yang dirancangnya. Rancangan asalnya hanyalah menculik lelaki itu, meminta wang tebusan sebanyak seratus juta Baht dan akhirnya membunuh Karn. Dia mahu membuatkan seolah-olah Karn menjadi mangsa kepada sebuah penculikan yang bertukar menjadi pembunuhan yang tidak disengajakan sedangkan apa yang tersirat adalah lebih daripada itu.
Tetapi kini kerana kemunculan perempuan itu, dia bukan sahaja dapat menggandakan jumlah wang tebusan malah dia dapat membuatkan musuhnya itu merayu dan bersujud! Ah, kalaulah dia boleh berada di sana, menyaksikan segalanya dengan mata kepalanya sendiri, pasti lebih berkali ganda kepuasan dalam hatinya. Namun dia sedar, dia perlu mengambil langkah berjaga-jaga. Dia….Sakda, tidak boleh memunculkan diri kerana nanti segala perancangannya akan hancur.
Mengingati perempuan itu, Sakda memainkan kembali video dan kemudian menekan punat pause tepat pada adegan yang memaparkan gadis itu meronta-ronta apabila disentuh Manop. Wajahnya yang berlinangan air mata Sakda tenung lama-lama. Kedua-dua bebola mata gadis itu membulat dan kelihatan berada dalam keadaan penuh ketakutan.
Zup! Hati Sakda terasa ditebak dengan perasaan bersalah. Dia tiba-tiba merasakan gadis itu tidak sepatutnya diperlakukan sedemikian rupa. Tambahan pula, permusuhannya adalah dengan Karn Klaharn, bukanlah dengan perempuan yang tidak diketahui nama itu.
Seketika kemudian Sakda menggelengkan kepala beberapa kali. Tidak! Dia tidak boleh rasa bersalah.
“Kadang-kadang pengorbanan ni perlu untuk kejayaan. So girl, I guess…I have to sacrifice you,” bisik Sakda perlahan. Dingin dan tanpa perasaan.
*****
“UNCLE SUKRIT!”
Spontan Sukrit menoleh. Pandangannya tertancap pada Krissada yang semakin mendekati. Riak penuh kerisauan jelas terpampang pada wajahnya.
“Betul ke apa yang Mak Teh bagitahu? Karn kena culik? Macam-mana?” Bertalu-talu soalan yang dilontarkan lelaki itu. Tangannya kini sudah pun melekat pada bahu Uncle Sukrit, menggoncang dengan kuat.
“Kris…”
“Uncle…apa semua ni? Macam mana…” Tanpa mempedulikan panggilan Uncle Sukrit, Krissada terus-terusan menyoal.
“Krissada! Calm down, okay?” tempelak Sukrit dengan nada yang sedikit kuat. Geram juga hatinya dengan reaksi Krissada yang tidak tahu untuk bertenang, sedangkan apa yang paling penting buat mereka sekarang adalah ketenangan. Ya, ketenangan untuk mereka menghadapi dan cuba memikirkan usaha untuk menyelamatkan Tuan Muda Klaharn.
Krissada mengetap bibirnya. Kemudian dia menjatuhkan tangannya daripada terus melekat pada lelaki tua separuh umur di hadapannya yang jelas kelihatan tegang.
Sukrit menarik nafas dalam-dalam sebelum menghembusnya.
“Uncle dah cakap dengan polis. Menurut kata dia orang, Tuan Klaharn diculik sewaktu balik dari Gua Khao Kop. They were attacked."
“Attacked?” Pantas Krissada menyoal. Dahinya berkerut.
Soalan Krissada dijawab dengan anggukan kecil Sukrit. “Yup, and the driver was killed.”
Terlopong mulut Krissada. Kalau pemandu yang tidak bersalah langsung itu dibunuh kejam, jadi bagaimana pula dengan nasib sepupunya?
“Habis tu, Karn…macam mana dengan dia?”
They asked for 200 million Baht.”
Lagi melopong mulut Krissada. Dua ratus juta Baht? Gila! Penculik-penculik itu memang melampau!!! Memang dia akui tidak ada masalah bagi mereka untuk menyediakan wang sebanyak itu, tetapi…jumlah itu tetap terlalu tinggi! Namun, bila difikirkan balik…nyawa Karn lebih penting.
“So, uncle dah uruskan wang tu?” soal Krissada setelah agak lama mendiamkan diri.
Sukrit menganggukkan kepala. “Ya, dan sekarang kita tunggu arahan seterusnya daripada mereka. Cuma uncle harap….mereka akan betul-betul lepaskan Tuan Klaharn lepas dapat duit tu.”
Tersirap darah ke wajah Krissada. Betul-betul lepaskan? Maksudnya, ada kemungkinan Karn akan diapa-apakan selepas wang tebusan diperoleh?
“Polis tak cakap apa-apa ke? Takkan dia orang nak biarkan aje!” Keras suara Krissada. Melenting!
“They’ll do something. Buat masa sekarang, kita tunggu dulu.”
Krissada mendengus. Tunggu? Berapa lama lagi harus ditunggu? Sudah lebih 12 jam Karn diculik, tetapi tiada apa-apa berita pun yang mereka terima. Apa yang pihak polis buat ni? Eh, sekejap…kenapa pula polis boleh terlibat? Bukankah selalunya penculik akan mengarahkan keluarga mangsa untuk tidak menghubungi polis?
“Wait, uncle…macam mana polis boleh dapat tahu? Uncle bagitahu dia orang ke? Macam mana kalau penculik tu dapat tahu dan tak mahu lepaskan Karn?”
Sedikit berdesing telinga Sukrit mendengarkan soalan Krissada yang berbaur tuduhan. Jika tidak difikirkan lelaki itu adalah sepupu Tuan Klaharn dan juga ada kaitan dengan keluarga Thanasukolwit, mahu sahaja dia menghamburkan kata-kata amarah.
Sukrit menarik nafas sebelum akhirnya menjawab. “They were attacked tengah-tengah jalan. Siang pula tu. Jadi, tak pelik kan kalau pihak polis Krabi yang tahu dulu tentang hal ni daripada kita yang stay kat Pak Chong?”
“Oh.” Hanya itu yang mampu terbit dari mulut Krissada. Timbul secalit rasa kesal kerana enak-enak sahaja menuduh Uncle Sukrit yang bukan-bukan. Ah, dia pun satu…kenapa terlalu mengikut perasaan?
“Kaw tot krap. (Maafkan saya.)” Penuh tertib Krissada memohon maaf.
Sukrit menggelengkan kepala. “Mai pen rai (Tak apa). Sekarang Kris baliklah rumah dulu. Ada apa-apa nanti, Uncle akan contact kamu.”
“Tapi…” Krissada cuba membantah.
“Kris, buat masa sekarang ni…kita kena bertenang. Tak boleh tunjukkan kekecohan atau biarkan semua pekerja tahu pasal penculikan Tuan Klaharn mereka. Jadi, kamu baliklah dulu. Jangan biarkan sesiapa pun rasa curiga. Kalau tak, kelam kabut jadinya nanti,” sampuk Sukrit dengan penjelasan yang panjang lebar.
Krissada mengeluh perlahan dan akhirnya menganggukkan kepalanya. “Baiklah. But please do contact me.”
Sukrit hanya mengangguk dan menggamit seorang pembantu rumah untuk menghantar Krissada keluar. Setelah lelaki itu hilang dari pandangan matanya, Sukrit segera mengeluarkan telefon bimbitnya dan mendail nombor seseorang.
 “Helo, Kawee…”
*****
“DIAN DAMIA...” getus bibir Sukrit. Tangannya membelek-belek beberapa helai kertas yang berada di tangannya.
“So, inilah perempuan yang diculik dengan Tuan Klaharn? Yang bersama dia masa tu?” Terpacul soalan dari mulut Sukrit. Kawee, penyiasat persendirian yang selalu berurusan dengannya hanya menjawab dengan anggukan.
 “Betul ke dia bukan salah seorang daripada mereka?” tanya Sukrit lagi.
Kawee membetulkan duduknya sebelum menjawab dengan yakin sekali. “Betul, Tuan. Saya dah siasat. Dia cuma menginap di hotel yang sama dan dia adalah pelancong dari Malaysia.”
Mata Sukrit terpaku pada gambar Dian yang tersenyum lebar. “Keluarga dia atau sesiapa kat Malaysia ada terima apa-apa tuntutan daripada penculik?’
“Tak, Tuan. Menurut pihak polis Malaysia, tiada apa-apa tuntutan yang telah dibuat. Saya percaya penculik tu memang takkan contact keluarga dia, sebab sasaran mereka adalah Tuan Klaharn.”
Terdiam sejenak Sukrit mendengarkan penjelasan Kawee. Timbul sedikit perasaan kasihan pada gadis dalam gambar yang dipegangnya. Kerana Tuan Klaharn, tidak pasal-pasal pula dia terlibat sama dalam penculikan itu. Tuan Klaharn pun satu…sudah dibilang agar lebih berhati-hati, sudah dipesan agar tinggal di country house mereka…tetapi masih mahu berdegil. Sekarang, apa sudah jadi?
“So, don’t you have anything…any clue pasal tempat mereka sembunyikan Tuan Klaharn?” soal Sukrit akhirnya.
“I’m working on it. Once saya dapat maklumat, saya akan segera inform polis dan kita akan ambil tindakan.”
“Okay, make sure you do.”

4 comments:

  1. cian nyer mereka.... cepat lah selamat kan dian ngan karn...

    ReplyDelete
  2. Sian betul dengan Karn & Dian...

    ReplyDelete
  3. Cpt la bebas diaorg...msti dh bebas diaorg jadi mkin rapat kn...bila nk start feel ni diaorg sara...hehehehe
    roza mamat

    ReplyDelete