April 25, 2012

Chan Rak Ter...Aku Cinta Kamu [Bab 9]


BAB 9

“BEG FOR YOUR LIFE!!!!”
            Muka Karn yang terikat di kerusi ditumbuk beberapa kali. Ke kiri ke kanan kepala lelaki itu menerima habuan.
            “Aku takkan merayu.” Dingin Karn menjawab kembali. Darah yang menitis di hujung bibirnya dibiarkan sahaja. Kepalanya ditegakkan. Penuh keyakinan. Matanya merenung tajam ke hadapan.
            Tidak semena-mena bunyi ketawa berkumandang dan muncul seorang lagi lelaki bertopeng. Lelaki itu mendekati Karn dan merengkuh rambutnya dengan kasar.
          “Kau memang angkuh, Klaharn Thanasukolwit. Kita tengok berapa lama lagi kau boleh terus angkuh,” kata lelaki bertopeng itu di hujung telinga Karn.
Di sebalik wajahnya yang berkerut kesakitan, Karn menjeling tajam. Benci sungguh dia pada manusia-manusia jahanam ini yang berani melayannya begitu. Dia…Klaharn Thanasukolwit, selama ini walau nyamuk sekali pun tidak berani menyentuhnya. Tetapi kini, lelaki-lelaki kotor ini berani memegang dan memperlakukannya umpama binatang!
“Kau…kau Sakda ke?” soal Karn akhirnya.
Entah apa yang kelakarnya dengan soalan Karn, lelaki itu tiba-tiba sahaja meledakkan tawa.  “Tuan Sakda takkan ada kat tempat macam ni. Dia….”
“Dia takkan kotorkan tangannya buat benda-benda macam ni. Kau orang yang kena buat untuk dia. Padanlah dengan muka kotor, tangan kotor, darah kotor kau orang…”
            Buk! Belum pun sempat Karn menghabiskan ayat, wajahnya sekali lagi menjadi mangsa.
            “Sekurang-kurangnya dia bagi aku duit. Dan sekarang…kau pun akan bagi kita orang duit,” sinis lelaki bertopeng itu dengan kening terangkat. Kemudian dia berpaling kepada seorang lagi lelaki bertopeng yang sedari tadi berdiri di dalam gelap. “Pong, dekat sikit dan zoom pada muka dia ni.”
            “Okey, Manop.”
            Pandangan Karn melekat seorang lelaki yang sedang memegang sebuah perakam video. Melalui mulut yang tidak bertutup, jelas kelihatan sengihan di sebalik giginya yang rongak. Panas hati Karn melihat lelaki itu yang nampak sangat seronok dengan apa yang telah dan sedang dirakamkannya.
            “Sini,” arah lelaki bertopeng yang digelar Manop itu. Tangannya merengkuh bawah dagu Karn dengan cukup kasar. “Zoom kat muka the great Klaharn Thanasukolwit.”
            Meledak ketawa jelik daripada lelaki bertopeng yang lain. Mengejek dan mentertawakan Karn yang masih lagi terikat kuat bersama wajah yang lebam-lebam dan dibasahi darah.
            Akur dengan arahan Manop…lelaki yang Karn kira sebagai ketua, Pong mendekatkan perakam video ke muka Karn. Dan sepantas kilat juga Karn meludah ke muka Pong.
            “Berani kau!!” Tangan Pong laju sahaja hinggap ke muka Karn. Tertoleh ke kiri kepala Karn saat menerima habuan padu itu. Namun seketika kemudian dia kembali mengangkat wajah dan merenung tajam lelaki itu. Bibirnya tersenyum sinis. Biar mereka tahu dia bukan lelaki lemah yang akan membiarkan sahaja mereka berbuat apa sahaja padanya.
            Tanpa disangka-sangka bunyi tepukan tangan mula bergema. Segera Karn mengalihkan pandangan pada bunyi tersebut. Manop dilihatnya sedang menepuk tangan dengan wajah yang jelas mengejeknya.
            “Klaharn…Klaharn…kau memang Thanasukolwit, kan? Dalam keadaan macam ni pun kau boleh lagi angkuh, kan?”
            Karn mendengus kasar. Wajah penuh kebencian ditayangkan buat Manop. Membara sungguh hatinya melihat wajah yang dilindungi di sebalik topeng itu. Kalau tidak kerana dia terbelenggu dengan ikatan tali, mahu sahaja dia membelasah lelaki itu.
            “Tapi, tak apa…kita ada banyak masa lagi. Kita akan tengok apa aku nak buat pada kau…” sambung Manop lagi, penuh kedinginan.
            Karn hanya mempamerkan wajah tanpa perasaan. Dia takkan sekali-kali menunjukkan kelemahan atau ketakutan. Dia tidak akan membiarkan manusia-manusia jahanam ini mendapat kepuasaan melalui kekalahannya. Walau apa pun yang terjadi, dia akan tetap teguh dengan penuh keyakinan.
            “Okeylah, Pong. Pusing sini. Inilah masa yang kita nanti-nantikan.” Manop bersuara lagi seraya menggamit Pong agar merakam wajahnya.
            Karn hanya melihat sahaja segala tindak-tanduk mereka. Telinganya dapat mendengar dengan jelas Manop menyebut tentang wang tebusan sebagai tukaran kepada nyawanya. Namun di suatu sudut hatinya, dia dapat merasakan bahawa perkara ini bukanlah semudah itu. Gerak hatinya kuat mengatakan bahawa Sakda bukan sekadar mahukan wang semata-mata.
            Tidak semena-mena wajah Dian menjelma di mata Karn. Kalaulah benar bukan setakat wang yang menjadi pertaruhan dalam penculikan ini, apakah nasib Dian? Apa yang sudah terjadi kepada gadis itu tadi? Mungkinkah mereka sudah….
            ‘Tidak!!!’
*****
“ITULAH yang jadi.” Karn mengakhiri ceritanya. Bebola matanya tepat pada wajah Dian yang terangguk-angguk. Sejujurnya, saat dia melihat Dian di bilik itu tadi, dalam keadaan yang masih selamat, hatinya tidak dapat menafikan rasa lega dan bersyukur. Sungguh! Dia bersyukur kerana apa yang ditakutinya tidak benar-benar terjadi.
            Walaupun nasib mereka masih belum pasti, tetapi sekurang-kurangnya Dian ada di hadapan matanya. Dan dia akan memastikan keselamatan gadis itu dengan kedua-dua tangannya sendiri. Dalam hati, dia bersumpah takkan sekali-kali membiarkan lelaki-lelaki keparat itu menyentuh atau mengapa-apakan Dian.
            “So…berapa yang dia orang minta?” Perlahan Dian menyoal. Secebis hatinya mengharapkan agar jumlah wang itu tidak terlalu tinggi. Jadi kalau mereka juga mahukan wang tebusannya, mungkin dia boleh meminta Kak Liza, kakak angkatnya di Malaysia mengeluarkan duit simpanannya di bank dan menebusnya.
            Terlepas keluhan dari bibir Karn sebelum dia menjawab. “100 million Baht.”
            Membulat mata Dian mendengarkan jumlah wang yang disebut Karn.
“100 million Baht? 10 juta Ringgit???”
            Soalan Dian hanya dijawab dengan anggukan kecil Karn.
            Terasa lemah segala urat sendi Dian. Sepuluh juta Ringgit. Mana dia nak cari wang sebanyak itu? Siapa yang boleh bayar harga setinggi itu?
‘Ya, Allah! Dugaan apa yang Engkau hadiahkan padaku ini?’ desis hati kecil Dian.
            “Awak…awak jangan risau. Saya tak fikir dia orang akan minta wang tebusan untuk lepaskan awak. Dia orang nak saya, bukan awak…”
            Segera Dian menjeling tajam pada Karn.
            “Jangan risau? Apa yang awak merepek ni? Saya bukan macam awak, Karn! Awak ada banyak duit. Keluarga awak boleh bayar 100 million Baht tu…tapi, saya? Saya mana ada duit sebanyak tu!!!” teriak Dian penuh perasaan.
Entahlah, pada saat-saat begini Dian sudah seperti tidak mengenali dirinya sendiri lagi. Pada kebisaannya dia bukan jenis yang suka mengikut perasaan begitu, tetapi….apa lagi yang mampu dia buat dalam keadaan begitu?
            Karn tercengang. Agak terkejut dengan reaksi Dian. Fikirnya, emosi Dian sudah semakin stabil. Namun rupa-rupanya dia tersilap perhitungan. Ah, mulutnya pun satu…kenapa boleh sahaja berkata begitu? Seakan-akan apa yang berlaku adalah perkara kecil sahaja.
            Turun naik dada Dian menahan emosi. Kemudian dia menyambung lagi dengan nada yang bergetar. “Kalau dia orang tak nak duit, itu lagi menakutkan, Karn. Macam mana kalau…kalau dia orang jual saya? Paksa saya jadi pelacur? Jadi pemuas nafsu beratus-ratus lelaki kat luar sana? Saya tak nak!!! Saya tak sanggup!!!”
            Tersirap darah panas ke wajah Karn saat mendengarkan setiap patah kata yang terbit dari mulut Dian. Hanya dengan memikirkan kemungkinan itu, hatinya jadi panas tiba-tiba. Jadi tidak keruan!
            “Saya takkan biarkan dia orang buat macam tu pada awak. Takkan!” Dengan suara yang ditahan-tahan, Karn bersuara. Tegas sekali!
            Dian membatu. Hanya matanya yang merenung ke dalam kedua-dua mata Karn. Melihat keadaan Karn yang kelihatan bersungguh, perlahan-lahan perasaan terharu menyusup masuk ke dalam hatinya. Dia jadi sebak tiba-tiba. Air matanya sedikit demi sedikit bergenang di tubir mata.
            Tergamam Karn dengan reaksi Dian. Sungguh! Dia tidak berniat untuk membuatkan gadis itu menangis. Tidak pernah!
            “Err…Dian…”
            Dian tidak menjawab. Bibirnya yang terketar-ketar diketap kuat-kuat, masih mahu menahan diri daripada meledakkan tangisan.
            Karn mula kaget. Apa yang patut dibuatnya sekarang?
“Dian, awak…awak kenapa?”
Melalui pandangan matanya yang sudah berbalam, Dian cuba menetapkan fokus pada Karn.
“Th…thanks se…sebab cakap macam tu. Tapi…tapi…dalam keadaan macam ni, awak…awak takkan dapat buat apa-apa.”
Pantas Karn menggelengkan kepala. “I’ll do something. Kalau dia orang nak wang tebusan awak, I’ll deal with them. Suruh dia orang minta double daripada orang-orang saya.”
Dian tersentak.
“Awak dah gila ke, Karn? Awak nak suruh dia orang minta 200 million Baht daripada keluarga awak?”
“Panggillah saya gila, tapi saya takkan biarkan dia orang apa-apakan awak!”
Terdiam sejenak Dian saat balasan Karn yang penuh keyakinan itu menujah masuk ke dalam telinganya. Kemudian lambat-lambat dia menyoal. “Macam mana awak boleh yakin yang dia orang…dia orang takkan bunuh kita nanti?”
Karn membungkam. Dia…dia tidak yakin langsung. Malah, hatinya kuat mengatakan yang sebaliknya. Tetapi, mana mungkin dia mengkhabarkan begitu kepada Dian?
“Karn…” panggil Dian, meminta jawapan.
Namun belum pun sempat Karn membuka mulut, suara lain yang terlebih dahulu memecahkan kesunyian malam.
“Jom main satu permainan, Karn Klaharn Thanasukolwit…”

21 comments:

  1. suspen la, apa dorang nak buat kat karn ngn dian..

    ReplyDelete
  2. permainan apa agaknya yer??hurrmmm suspen ni..waiting 4 the next n3

    p/s:smnjak kak sara buat crita ni,sy smakin suka ngan cite2 lakorn..hehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. hehe...apalah agaknya ya? =)

      oh, kak sara dah berjaya jadi virus lakorn yg baik...haha!!! tp, kak sara mmg suka lakorn...haha...=)

      Delete
  3. nak main apa pulak dahhh -.-
    cian Dian :(

    ReplyDelete
    Replies
    1. yup, cian Dian...pasni diorg akan kn teruk...huhu

      Delete
  4. kesian kat Karn & Dian...
    Jahat betul Sakda nie...

    ReplyDelete
  5. mkin best cte nie,,,
    tp hrap2 xde la jd bnda yg dian pk 2,,
    huhuhuu,,

    ReplyDelete
  6. salam..
    sweet la karn nie.. syg karn.. hehehe
    benci la ngn sakda nie.. rsa cm nk ketuk2 jea kepala die..

    ReplyDelete
    Replies
    1. salam, dear...
      ya, sayang Karn...haha!!! Sakda ni kan org jahat, haruslah diketuk-ketuk kepala dia. kak sara sokong...=)

      Delete
  7. main game ape ni sara??xsabar nk tau..huhu

    p/s:jatuh cinta ngan Karn..boleh tak??hahhaa

    ReplyDelete
  8. good story !!

    camna eh boleh dapat idea nak wat cita cmni??
    kagum saya~

    pa2 pun , teruskan berkarya !!
    all d best ^^

    ReplyDelete
  9. wahhh.. makin saspen lah..
    aisehh.. suka dgn perangai karn,...
    dia sangat bersikap melindungi..hehe..
    erk kak, karn ni agama apa? heheh

    ReplyDelete
  10. good job!! akak mmg mendalami lakorn nmpknye...lakorn kn jnis yg berat,tp mcm akak,saya pon mnat lakorn =)

    ReplyDelete
  11. sara,kalau terus jadikan buku xleh ke? penat la nak tunggu satu2..da la suspen..xsabar nak tunggu sambungan dia..;)

    ReplyDelete
  12. adesss,,karn sgt2 sweet...
    akak cepatttttt laaaa sambung...

    ReplyDelete