March 1, 2012

Jodoh itu Milik Kita - Bab 22


BAB 22

JOSHUA menatap wajah Aariz yang keruh. Sejak kemunculan lelaki itu di pejabat pagi tadi, wajah keruh itulah yang setia menemaninya.
“Kau kenapa? Aku tengok dari tadi monyok aje? Dah macam ayam berak kapur,” soal Joshua penuh rasa ingin tahu.
Aariz mengerling sedikit ke arah Joshua yang duduk elok di hadapannya. Dia tidak terus memberikan jawapan, hanya tangannya yang bermain-main dengan nasi yang masih berbaki di atas pinggan.
“Syafiq is back.” Perlahan Aariz menjawab.
Joshua terkebil-kebil, cuba mencerna apa yang baru sahaja diucapkan oleh sahabat baiknya, Aariz.
“Syafiq is back? Seriously?” soalnya kembali, masih cuba memastikan informasi yang baru sahaja diketahuinya.
Aariz memandang wajah Joshua yang masih mempamerkan riak tidak percaya dan mengangguk perlahan.
“So, kau dah berjaya cari dialah?”
“Tak jugak, it’s more like a coincidence. Aku cari dia punyalah susah, last… last aku terserempak dengan dia.”
Aariz lantas menceritakan saat-saat pertemuannya dengan Syafiq sewaktu menghantar Dahlia di KLIA. Kisah kepulangan Syafiq ke rumah juga diceritakan kepada Joshua. Sahabat baiknya hanya mendengar tanpa kata. Sesekali lelaki itu mengangguk seakan memahami apa yang telah terjadi.
“So… erm… your wife, Dahlia dah jumpa dia?” Lambat-lambat Joshua menyoal.
Mendengarkan soalan Joshua, spontan sahaja Aariz melepaskan keluahan berat. Soal itulah yang kini menghantui pemikirannya. Dia buntu, bingung, juga keliru. Sehingga pada saat ini dia masih lagi tidak mampu menceritakan tentang kepulangan Syafiq kepada Dahlia. Bukan dia tidak pernah mencuba. Sudah acap kali dia cuba membuka mulut, namun setiap kali dia melihat wajah tulus Dahlia, dia seakan-akan tidak tegar. Mulutnya automatik sahaja akan terkatup sendiri!
Nampaknya rancangan Aariz untuk menjelaskan segalanya kepada Dahlia sudah hilang entah ke mana. Ya, rancangannya yang nampak sempurna sebelum ini tiba-tiba sahaja penuh dengan kepincangan. Jangankan mahu memberitahu Dahlia tentang kepulangan Syafiq, nama Syafiq pun tidak mampu dia sebut.
“Nope, not yet. In fact, dia tak tahu pun Syafiq dah balik. Aku tak bagitahu dia lagi,” jawab Aariz akhirnya.
Membuntang mata Joshua. Terkejut dengan kenyataan selamba Aariz.
“Wei, kau ni biar betul! Kalau dibuatnya Syafiq tu tiba-tiba muncul depan dia, mahunya terkejut beruk wife kau tu!” tempelak Joshua.
Aariz menjeling tajam pada Joshua. Tidak berkenan dengan kata-kata yang baru sahaja dituturkan oleh lelaki itu.
“Well, apa yang aku cakap ni betul, kan? Kalau aku jadi Dahlia pun, mesti mahu tercabut jantung aku ni kalau tunang yang tinggalkan aku on my own wedding day tiba-tiba muncul depan mata. And to make things more interesting, aku dah kahwin dengan abang dia pula tu,” terang Joshua tatkala melihat jelingan tajam Aariz tadi.
Aariz terdiam. Apa yang dikatakan oleh Joshua semuanya benar belaka, kerana perkara itulah yang dia fikirkan sejak kemunculan Syafiq. Reaksi Dahlia, perasaan Dahlia, penerimaan Dahlia… semua itulah yang ada di fikirannya sehinggakan dia tidak mampu untuk berkata apa-apa tentang adiknya itu di hadapan Dahlia.
“Sebab aku fikir pasal tulah, sampai sekarang aku tak dapat bagitahu dia pasal Syafiq,” tegas Aariz.
Joshua mengerutkan dahi, tanda tidak mengerti.
“You don’t see her, Josh. Dahlia… she’s too innocent. Setiap kali aku tengok muka dia dengan mata dia yang selalu je macam… macam bercahaya tu, aku… aku….”
Aariz menelan air liur sebelum menyambung kembali.
“Seriously! Aku jadi tak sampai hati.”
Joshua terdiam, tidak mampu untuk bersuara. Suara hati Aariz membuatkan dia berasa sedikit kasihan pada sahabat baiknya itu.
“Macam mana aku nak bagitahu dia that Syafiq, her fiancé who dumped her on her very own wedding day dah kembali? And on top of that, aku sebagai suami dia yang beriya-iya sangat cari Syafiq! Aku yang minta Syafiq kembali!” Penuh emosi Aariz bersuara.
“You know what, Josh…. I really feel like I’ve failed to protect her. I’ve failed to protect my own wife,” sambung Aariz lagi. Perlahan dan bernada lirih.
*****
“LIA tahu tak Kak Emma tingkat bawah dah bersalin?” soal Priya, seorang lagi eksekutif standard di tempat kerja Dahlia menyoal. Waktu itu Dahlia sedang mengagihkan pesanan daripada sahabat-sahabat sepejabatnya. Pesanan yang berupa makanan dan barang-barang yang cuma boleh didapati di Sabah.
“Iya? Tak tahu pun. Bila?” balas Dahlia kembali sambil tangannya menghulurkan sepaket amplang, makanan tradisional masyarakat Sabah kepada Priya.
“Two days after you left for Tawau,” sampuk Kak Nora pula.
“Great! Baby boy or girl?” soal Dahlia keriangan. Teringat dia pada Kak Emma yang sarat mengandung waktu kali terakhir dia menemuinya.
“Girl. Petang nanti lepas kerja, kitorang nak pergi lawat dia. Lia nak ikut?” balas Kak Nora kembali.
Dahlia terdiam sejenak. Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia terus bersetuju. Namun apabila difikirkan statusnya sebagai isteri sekarang, tidak elok jika dia bersetuju tanpa meminta keizinan daripada Aariz, suaminya terlebih dahulu. Sejak mengahwini Aariz, itulah kebiasaan baru yang tercipta dalam hidup Dahlia. Dia sentiasa meminta keizinan suaminya sebelum melakukan apa-apa walaupun Aariz pernah mengatakan bahawa dia tidak kisah jika Dahlia tidak meminta keizinannya asalkan Dahlia tidak melakukan apa-apa yang boleh menjatuhkan maruahnya sebagai suami Dahlia.
“Hmmm… kena tanya husband saya dululah,” jawab Dahlia sambil tersengih.
Kak  Nora dan Priya tersenyum nakal.
“Yalah, orang tu kan pengantin baru. Semuanya nak report kat hubby tersayang, kan?” usik Priya.
“Takut-takut nanti hubby kerinduan, kan?” sambung Kak Nora pula.
 “Akak! Priya!!” Dahlia terjerit. Wajahnya sudah terasa panas. Sahabat-sahabatnya itu hanya tergelak.
Dahlia turut tertawa akhirnya.
“Rumah Kak Emma kat mana?” soal Dahlia setelah tawanya mati.
“Bukit Jelutong,” jawab Priya dan Kak Nora, hampir serentak.
Dahlia sedikit tersentak. Bukit Jelutong! Itu bermakna rumah Kak Emma berdekatan dengan rumah umi. Perlahan fikiran Dahlia menerawang pada ibu mertuanya yang masih belum ditemui sekembalinya dari Tawau tempoh hari.
‘Lepas tengok Kak Emma, maybe boleh lawat umi pula,’ bisik hati Dahlia.
Tiba-tiba makin membuak pula perasaan Dahlia untuk melawat Kak Emma. Apa tidaknya, selepas melawat sahabatnya itu, Dahlia berkira-kira mahu menjenguk umi dan abah.
“Lia, kata tadi nak tanya hubby? Bila nak tanya?” soal Kak Nora, mematikan lamunan Dahlia tentang ibu dan bapa mertuanya.
Dahlia menggaru kepala yang tidak gatal seraya tersengih.
“Kejap ya. Saya call dia sekejap.”
Dahlia mengambil telefon bimbitnya dan segera mendail nombor telefon Aariz. Namun panggilannya tidak disambut.
“Mana dia ni?” omel Dahlia perlahan.
Sekali lagi dia mencuba namun hampa. Hanya suara yang memintanya meninggalkan voicemail yang kedengaran di hujung telinganya.
‘Mesej ajelah,’ getus hati Dahlia setelah beberapa percubaannya untuk menghubungi Aariz tidak berjaya.
*****
AARIZ meletakkan beberapa buah fail ke atas meja. Matanya menjeling ke arah jam dinding yang sudah menunjukkan pukul 5.30 petang. Lama juga perbincangannya dengan klien tadi. Hampir tiga jam lamanya.
            Klien yang mewakili sebuah syarikat yang terlibat dalam pengurusan sisa pepejal dan sisa kimia itu agak sukar untuk dipuaskan hatinya. Mereka mahukan sebuah disposal site dengan sistem yang serba canggih namun agak kedekut dalam menyalurkan wang bagi operasinya.
Namun Aariz akhirnya berjaya menyakinkan mereka tentang pilot plant yang telah direkanya itu. Lebih-lebih lagi apabila Aariz mengatakan bahawa maintenance cost untuk disposal site seumpama itu yang biasanya menelan kos yang tinggi akan dapat dikurangkan.
Aariz melabuhkan punggung ke atas kerusi seraya mengeluarkan telefon bimbit dari kocek. Niat di hati mahu menghidupkan kembali telefon itu yang telah dimatikan sepanjang perbincangannya dengan klien tadi.
“5 missed calls? Siapa?” soal Aariz pada diri sendiri tatkala melihat skrin pada telefon bimbitnya. “Dahlia?”
Seketika kemudian Aariz membuka mesej yang diterima daripada Dahlia. Dan automatik matanya terbeliak.
-Saya nak pergi melawat kawan saya yang baru bersalin. Rumah dia dekat dengan rumah umi. So saya ingat nak singgah rumah umi sekejap. Boleh, ya?-
“Ya Allah! Lia nak ke rumah umi?” Tercetus soalan yang berbaur nada kelam kabut dari mulut Aariz.
Kata-kata Joshua tengah hari tadi tiba-tiba sahaja terngiang-ngiang di telinganya.
“Kalau dibuatnya Syafiq tu tiba-tiba muncul depan dia, mahunya terkejut beruk wife kau tu!”
Dengan pantas Aariz mengambil kunci kereta yang terletak elok di atas meja dan mengambil briefcase miliknya.
“Sally, I balik dulu!” Aariz sedikit menjerit ke arah setiausahanya yang sedang berkemas untuk pulang.
Salina, setiausahanya memandang dengan penuh kehairanan.
“Angin apa bos aku ni? Tak pernah pun balik awal macam ni.”
Dari kejauhan Aariz dapat mendengar dengan jelas komen setiausahanya itu. Namun dia tidak peduli. Kakinya laju melangkah keluar dari pejabat. Dia mahu cepat-cepat tiba di BMW X6 kepunyaannya dan memecut menuju ke rumah umi.
*****
DAHLIA mengeluarkan beberapa plastik yang mengandungi amplang, kuih cincin dan ikan kering yang dibeli untuk umi dan abah ketika di Sabah daripada but kereta.
“Hmmm, banyak jugak aku beli rupanya,” komen Dahlia sendiri.
“Tapi, tak apalah. Umi suka kuih cincin ni. Abah pula suka amplang,” sambung Dahlia lagi sambil menutup but kereta. Kedua tangannya penuh dengan barangan yang dibeli khas dari Sabah itu.
“Assalamualaikum….” Dahlia memberi salam sambil matanya melilau melihat ke dalam rumah. Pintu rumah yang tidak bertutup membolehkan dia berbuat demikian.
‘Aik, tak ada orang ke?’ getus hati Dahlia seraya melangkah masuk.
“Assalamualaikum, umi… abah… Mak Jah!” Sekali lagi Dahlia memberi salam sambil diselitkan jeritan memanggil umi, abah dan juga Mak Jah. Barang-barang yang dipegangnya diletakkan di atas meja di ruang tamu.
“Waalaikumussalam.…” Tiba-tiba ada suara yang menjawab dari belakang.
Tubuh Dahlia terkaku. Suara itu! Suara yang sangat dikenalinya, suara yang sudah lama tidak didengari. Tiba-tiba sahaja jantung Dahlia dirasakan berhenti berdegup. Sungguh! Saat itu juga jantung Dahlia seakan gugur.
“Awak siapa? Berani aje masuk rumah orang macam ni!” Suara itu tiba-tiba sahaja menempelaknya.
Awak siapa? Perlahan rasa sakit hinggap di hati Dahlia. Sudah lupakah pemilik suara itu tentang siapa dirinya? Atau lelaki itu benar-benar sudah melupakan perempuan yang pernah dia tinggalkan di hari pernikahan sendiri? Perempuan yang sudah dia malukan, yang sudah dipijak-pijak maruah diri dan maruah keluarganya?
Peristiwa di mana dia ditinggalkan pada hari keramat itu bermain-main di matanya, tidak ubah seperti filem yang diulang tayang. Wajah sedih ibu yang menangis hiba, wajah papa yang kesedihan, wajah umi yang merintih dan merayunya serta wajah abah yang terluka silih berganti. Semuanya pantas menghadirkan rasa amarah yang membara dalam diri Dahlia.
Perlahan Dahlia mengetap bibirnya yang mula terketar-ketar. Tangannya digenggam kemas sebelum akhirnya dia berpaling, menghadap lelaki itu. Lelaki yang pernah menjadi tunangannya.
Membuntang mata Syafiq. Tidak pernah dia menyangka wajah itu yang akan muncul di hadapan matanya. Wajah yang pernah menjadi temannya selama tiga bulan sepanjang tempoh pertunangan mereka.
“Dahlia….”
Sebelum sempat Dahlia menjawab, tiba-tiba tangannya ditarik seseorang. Spontan tubuhnya terdorong ke belakang. Sedar-sedar sahaja tubuh tegap Aariz sudah pun terpacak di hadapannya, melindungi pandangan mata Dahlia daripada terus menatap wajah Syafiq.
Mulut Dahlia sedikit terlopong. Dia agak terkejut dengan kemunculan Aariz yang tiba-tiba itu. Sejak bila suaminya tiba di rumah umi, dia sendiri tidak sedar. Tangannya dipegang kemas oleh Aariz, seakan-akan tidak akan dilepaskan pergi.
Dan sesaat kemudian hujung telinga Dahlia menangkap kata-kata yang lahir daripada mulut Aariz. Kata-kata yang penuh dengan ketegasan yang jitu.
“She’s my wife….”

3 comments:

  1. kakak nexs n3 pleece, pingin tau kelanjutan kisahnya . Tp saya tak bisa membeli novelnya di karenakan berada di hong kong, bisa beli kah jika di sini.

    ReplyDelete