February 29, 2012

Jodoh itu Milik Kita - Bab 16



BAB 16

SYAFIQ duduk di atas sofa dengan kedua tanggannya digenggam kemas. Sikunya diletakkan di atas lutut. Dagunya pula diletakkan elok atas genggaman tangannya itu. Sepasang matanya merenung tajam permaidani. Tubuhnya terketar-ketar menahan rasa dalam hati.
Terbayang-bayang di matanya kemesraan Alya dan lelaki itu. Mereka yang berpelukan, lelaki itu yang memegang pergelangan tangan Alya. Bayangan itu berulang-ulang di matanya dan semakin membakar perasaan Syafiq.
“Dia milik aku. Hak aku. Tak ada siapa pun yang boleh sentuh dia.” Dingin suara yang akhirnya lahir dari mulut Syafiq.
Lambat-lambat Syafiq bangun dan mengambil telefon bimbitnya.
“Aku nak jumpa kau. Sekarang.”
Alya yang baru menerima panggilan daripada Syafiq menggeletar. Kakinya terasa lemah dan dia akhirnya terjelepuk ke atas kerusi.
Dengan tangan yang terketar-ketar, Alya mendail nombor telefon Jarrad. Hanya itu sahaja yang difikirkannya waktu itu. Memohon bantuan Jarrad!
“Jar…Jarrad, he…he’s coming. He’s coming to see me.” Tergagap-gagap suara yang keluar dari kerongkong Alya.
*****
ALYA berjalan ulang-alik di ruang tamu rumahnya. Sekejap-sekejap dia duduk dia atas sofa. Sekejap-sekejap dia berdiri sambil mulutnya terkumat-kamit.
“Ya Allah! Bantulah aku, selamatkan aku.”
Tiba-tiba terdengar bunyi loceng rumah.
Alya terperanjat. Terus sahaja dia menoleh ke arah pintu. Dia teragak-agak mahu membuka pintu. Bunyi loceng kedengaran lagi, menggambarkan ketidaksabaran orang yang menekannya.
Perlahan Alya menapak ke arah pintu. Dia mengjungkitkan kaki, melihat ke luar melalui lubang kecil pada pintu.
Dan wajah menyinga Syafiq kelihatan jelas di matanya.
Automatik Alya berundur ke belakang menjauhkan diri dari pintu. Saat itu pintu rumahnya tiba-tiba kelihatan menakutkan. Terlalu menakutkan.
Bunyi loceng kedengaran lagi. Berkali-kali.
Lambat-lambat Alya duduk dan mencangkung atas lantai. Kedua tangannya menekup telinga, seolah-olah berharap tindakan itu boleh melenyapkan bunyi loceng yang masih lagi kedengaran tanpa henti. Tubuhnya menggigil. Air matanya sudah mula mengalir laju.
Sesaat kemudian pintunya diketuk dengan kuat disertai dengan jeritan kuat Syafiq yang seakan mampu mencabut jantung Alya.
“Alya!!!! Buka pintu ni!!! Alya!!!”
Alya memejamkan matanya. Kedua tangannya makin kuat menutup telinganya.
“Alya, aku cakap buka pintu ni!! Alya!!!!” Jeritan kuat Syafiq kedengaran lagi.
“Tak nak!!! Apa awak nak daripada saya, Syafiq???” Kali ini Alya menjawab dari dalam rumah.
Senyap seketika. Dan kemudian…
“Apa saya nak? Awak kan tahu, saya nak awak.” Lembut suara Syafiq.
Alya tersentak. Syafiq mula lagi. Menunjukkan kelembutannya yang menakutkan.
“Kenapa? Sebab….sebab..saya  ni milik awak? Your possession? Macam tu?” soal Alya di sebalik esakannya yang semakin menjadi-jadi.
Alya tidak mendengar jawapan Syafiq. Sebaliknya telinganya dapat mendengar dengan jelas bunyi bising di luar rumahnya.
Perlahan Alya bangun dan berjalan ke arah pintu. Dengan tangan yang menggigil dia membuka tombol pintu.
Membuntang mata Alya.
Kelihatan di matanya Syafiq yang ditolak kasar oleh Jarrad ke dinding. Lengan Jarrad berada di atas leher Syafiq, menekan leher itu sehingga Alya dapat melihat dengan jelas urat-urat darah pada leher lelaki itu. Mata Syafiq pula merenung Jarrad dengan tajam seakan mencabar lelaki itu.
“Jarrad!!! Syafiq!!!” Alya menjerit.
Pantas kakinya berlari ke arah kedua lelaki itu dan menarik tubuh tegap Jarrad. Namun sekuat mana Alya menarik, tubuh Jarrad tetap tidak berganjak. Malah lagi kuat pula lelaki itu mengeraskan tubuh.
Alya melirik ke arah Syafiq yang melekat pada dinding. Wajah lelaki itu sudah kemerah-merahan, urat-urat biru jelas timbul pada wajahnya. Alya sedar Syafiq sukar bernafas.
“Jarrad, let go of him!!!” teriak Alya sambil menarik lengan Jarrad yang masih lagi menekan leher Syafiq. Usahanya sia-sia sahaja kerana jelas kekuatannya yang sedikit itu tidak mampu  untuk merenggangkan lengan itu, walau sedikit pun.
Jarrad tidak mengendahkan Alya. Matanya tajam merenung Syafiq yang juga membalas renungannya. Dalam keadaan sakit begitu, masih lagi Syafiq mencabarnya!
“Jarrad!! He’s going to die!!!” jerit Alya lagi dengan suara terdesak. Tangannya kini memukul-mukul lengan Jarrad. Sahabatnya itu masih lagi tidak mempedulikannya.
“Jarrad!!!” Kali ini Alya menjerit sekuat hatinya.
Jarrad kelihatan tersentak, lantas menjeling ke arah Alya. Wajah terdesak Alya kelihatan jelas pada matanya.
Dengan air mata yang bercucuran di pipi, bibir pucat yang terketar-ketar, Alya memandang Jarrad dengan mata yang merayu agar lelaki itu melepaskan Syafiq.
“P...p…pl..please….”
Jarrad mendengus kasar sebelum melepaskan Syafiq yang kemudiannya terjelepuk ke atas lantai. Beberapa kali Syafiq mengurut lehernya dan menarik nafas kuat. Dadanya turun naik dengan laju.
Alya bergegas ke arah Syafiq.
“Awak, awak tak apa-apa ke?” soal Alya cepat-cepat. Alya sedar walaupun dia membenci Syafiq, dia tetap tidak mahu apa-apa terjadi padanya. Lebih-lebih lagi jika kemungkinan buruk yang terjadi pada Syafiq adalah disebabkan oleh Jarrad, sahabat baiknya sendiri.
Syafiq menepis tubuh Alya menyebabkan gadis itu jatuh terduduk. Dia tersenyum sinis.
“Apa kau peduli? Kau lagi suka kalau aku mati, kan?” ucap Syafiq, kasar.
Jarrad yang melihat sudah mula membuka langkah, mahu bertindak ke atas Syafiq yang masih lagi bersikap kasar terhadap Alya. Namun, sebelum sempat dia mendekati….
“Pang!!!”
Sekali.
“Pang!!!!”
Dua kali.
Syafiq terbeliak.
Jarrad membulatkan mata.
Alya pula mengetap bibirnya yang terketar-ketar. Tangannya yang sebentar tadi menampar kedua-dua belah pipi Syafiq dikepal kemas. Dadanya berombak. Matanya merah.
“Memang!! Memang saya akan gembira kalau awak mati!!” tempelak Alya pada Syafiq.
“Tapi, saya bukan macam awak. Saya takkan boleh hidup tenang dengan tahu yang ada orang dah mati sebab saya. Kalau awak, bolehlah!!! Sebab dalam hati awak tu cuma ada rasa benci. Awak hidup dengan rasa benci tu dan awak akan lagi gembira kalau orang yang awak benci tu mati, kan??” sambung Alya. Suaranya kasar dan membentak.
Alya bangun dari duduknya dan menjatuhkan pandangan pada Syafiq yang masih ladi terduduk di atas lantai.
“Tolong jangan samakan saya dengan awak.” Lagi keras tutur kata yang lahir dari mulut Alya. Air matanya sudah pun berhenti mengalir dan kini kedua matanya merenung Syafiq dengan penuh kebencian. Lelaki itu benar-benar menguji kesabarannya.
Syafiq bingkas bangun dan kemudian membalas renungan Alya dengan tajam. Hatinya terasa mendidih dengan keberanian Alya melawannya. Rasa pedih pada kedua pipinya kesan tamparan tadi menambahkan lagi perasaan cuak dan marah dalam hatinya.
“Kau..berani kau ungkit pasal tu.” Keras juga jawapan yang dituturkan oleh Syafiq.
Alya tersenyum sinis.
“Kenapa pula tak berani? Saya dah letih takutkan awak. Saya dah letih jadi lemah sebab awak. Sekarang saya dah tak peduli lagi. Awak buatlah apa yang awak nak buat. But I’m telling you, I will fight.”
Syafiq mendengus kasar. Kata-kata Alya benar-benar mencabarnya. Ego lelakinya terasa dipijak-pijak, lebih-lebih lagi Alya melawannya di hadapan Jarrad.
“Sebab lelaki ni, kan? Kau jadi macam ni sebab dia, kan?” soal Syafiq sambil jari telunjuknya dituding pada Jarrad yang berdiri tidak jauh daripada mereka.
Jarrad yang melihat berasa tidak sedap hati. Dia tahu mereka sedang berbicara tentangnya. Namun langsung tidak difahaminya.
“Hei, awak tak payahlah nak salahkan orang lain! Awak tengok diri awak tu dulu. Apa yang awak dah buat pada saya? Apa yang awak rasa tentang saya? Awak tak henti-henti anggap saya ni macam barang milik awak dan awak ingat saya akan terus bertahan? Biarkan awak layan saya macam tu? Hah???” balas Alya dengan berani.
Entah dari mana datangnya kekuatan itu, Alya terus-terusan membentak, melawan cakap Syafiq. Mungkin kehadiran Jarrad di situ membawa bersama kekuatan hati dan jiwa yang kini disalurkan ke setiap sudut hati Alya.
Dari hujung mata, Alya dapat melihat senyuman pada wajah Jarrad. Mungkin berpuas hati dengan keberaniannya menghadapi Syafiq.
Syafiq bergerak mendekati Alya sambil matanya masih lagi merenung wajah gadis itu. Wajah yang sentiasa manis itu kini bertukar garang. Seketika kemudian Syafiq menarik Alya dan mencengkam bahu kanannya.
Jarrad yang melihat mula bergerak, mahu meleraikan pegangan Syafiq. Namun langkahnya terhenti tatkala Alya memandangnya dan memberi isyarat agar tidak masuk campur.
“Kau ingat aku akan biarkan kau lepas kau cakap macam tu? Lagi kau lari daripada aku, lagi aku akan kejar kau. Aku takkan berhenti sebab kau milik aku.” Keras dan dingin suara yang dibisikkan Syafiq ke telinga Alya.
Alya mengangkat tangan kirinya dan menolak kasar tangan Syafiq yang mencengkam bahu kanannya. Kemudian dia mendongakkan kepala, melawan pandangan tajam Syafiq.
“Awak jangan bimbang, saya takkan lari lagi. Saya dah letih larikan diri daripada awak. Dari Malaysia sampai Wellington awak kejar saya. Huh, rasanya kalau saya pergi hujung dunia pun awak akan ikut, kan?” sindir Alya dengan selamba.
“Kau memang sengaja nak sakitkan hati aku, kan? Kau ingat kau boleh cakap sesuka hati kau sebab kau dah ada dia sekarang? Hei, dengar sini! Kau milik aku dan aku takkan biarkan orang lain rampas apa yang sememangnya hak mutlak aku.” Kasar jawapan yang diberikan Syafiq.
Alya terdiam. Dia mengerutkan dahi seakan memikirkan sesuatu. Perlahan Alya mengukir suatu senyuman sinis.
“Awak memang hidup dalam bayangan dia, kan? Bayangan abang awak…”
Sengaja Alya menyentuh isu abang Syafiq sekali lagi walaupun itu adalah perkara yang paling dibenci oleh Syafiq. Entah dari mana datangnya idea itu, tapi Alya merasakan bahawa apa yang paling dibenci itu adalah satu-satunya kelemahan Syafiq. Satu-satunya perkara yang boleh menggugat keyakinan Syafiq yang terlalu tinggi itu adalah abangnya, Aariz Danial.  Alya akui mungkin Syafiq akan menjadi agresif bila soal abangnya disentuh, tetapi Alya harus mengambil risiko itu demi membebaskan dirinya daripada cengkaman Syafiq.
Wajah Syafiq bertambah tegang. Tubuhnya menggigil menahan marah. Dadanya berombak laju.
“Kan aku dah cakap, aku paling benci kalau orang sebut-sebut pasal dia. Yang kau tak reti-reti nak faham tu kenapa??” Tinggi suara Syafiq.
“Awak benci sebab awak tahu awak tak boleh menang dengan dia! Dia lebih segala-galanya daripada awak!!” balas Alya kembali dengan berani.
“Kau….”
“Satu-satunya perkara yang dia tak ada adalah seorang wanita dalam hidup dia. Sebab tulah awak fikir bila awak ada saya, awak dah lebih daripada dia, kan? Saya jadi satu-satunya milik awak yang dia tak ada. Huh, awak tak sedar ke yang awak tu hidup dalam bayangan dia? Apa yang awak buat, apa yang awak nak dapatkan…semuanya kerana abang awak tu!!” sambung Alya lagi sebelum sempat Syafiq berkata-kata.
Perasaan amarah dalam diri Syafiq membuak-buak. Dengan laju dan kasar dia mencengkam kedua-dua bahu Alya.
“Kenapa kau nak sangat buat aku marah? Aku suruh kau jangan cakap pasal Aariz, kau cakap!! Aku nak kau berhenti jumpa si Jarrad ni, kau tetap jumpa dia!! Kenapa susah sangat kau nak ikut cakap aku, hah??” tengking Syafiq.
Alya sedikit tergamam, namun sesaat kemudian dia bertindak menolak tubuh Syafiq. Alya sendiri tidak pasti dari mana hadirnya kekuatan fizikal itu, mudah sahaja dia menolak tubuh tegap Syafiq sehingga membuatkan lelaki itu sedikit terdorong ke belakang.
Jarrad yang melihat membeliakkan mata. Agak terkejut dengan tindakan Alya itu. Niatnya untuk membantu Alya saat Syafiq mula berkasar tadi terus sahaja terpadam.  Nampaknya Alya boleh menghadapi Syafiq sendiri. Perlahan Jarrad tersenyum. Hatinya lega kerana kini Alya sudah berani berhadapan dengan Syafiq. Gadis itu tidak lagi kelihatan lemah dengan air mata yang sentiasa menemaninya, sebaliknya Alya nampak garang dan kelihatan bersedia untuk melakukan apa sahaja demi kebebasan yang diimpikan.
‘You go, girl…’ getus hati Jarrad.
Syafiq terkedu. Tindakan Alya menolaknya tadi agak memeranjatkannya. Dipandangnya wajah menyinga Alya.
“Awak betul-betul nak tahu kenapa? Sebab awak tak ada hak atas saya. Saya bukan milik awak dan saya bukan milik sesiapa pun!!” balas Alya dengan lantang.
“No, you’re mine…” Dingin suara Syafiq.
Alya menggelengkan kepala.
“And why is that? Awak tak sayangkan saya, awak tak cintakan saya. Tapi awak tetap anggap saya hak milik awak. Kenapa?”
Syafiq terdiam.
“Macam yang saya cakap tadi, sebab awak rasa awak lebih daripada abang awak kalau awak ada saya.” Alya menjawab sendiri soalan yang diajukan pada Syafiq.
“Sampai bila awak nak jadi macam ni? Sampai bila awak nak hidup dalam bayangan abang awak? Awak tak sedar ke yang selama ni you’re living in his shadow??” sambung Alya lagi.
Syafiq terkesima. Living in his shadow? Selama ini dia hidup dalam bayangan Aariz Danial? Tidak! Syafiq adalah Syafiq. Dia hidup demi dirinya sendiri.
Alya memandang wajah Syafiq yang hanya mendiamkan diri. Dia dapat merasakan kemenangan yang semakin menghampirinya.
“Kalau awak terus-terusan ganggu saya macam ni, saya akan laporkan pada polis. Saya akan dakwa awak and I will get restriction order from the court.”
Alya menyambung kata-katanya, diselitkan dengan amaran. Sejujurnya dia sendiri tidak tahu sama ada dia dapat melakukan pendakwaan ke atas Syafiq kerana ternyata apa yang Syafiq lakukan bukan senang untuk dibuktikan.
Syafiq tersenyum sinis.
“Kau nak dakwa aku atas kesalahan apa? Aku tak buat apa-apa pada kau. Aku tak pernah pukul kau. Sebab aku ganggu kau? Kau ingat kau boleh buktikan ke yang aku ni ganggu kau??” Akhirnya Syafiq bersuara. Matanya merenung Alya dengan tajam.
Maybe it’s hard to get the evidence. If I can get one, I’ve reported you to the police long ago, back when we were in Malaysia. But now, it’s different, Syafiq.”
Alya menelan air liur sebelum menyambung lagi.
“Now, I have a witness. He’s my witness,” jawab Alya, sengaja berbahasa Inggeris agar Jarrad yang berdiri berdekatan dapat memahami percakapannya. Tangannya diangkat dan ditunjuk pada Jarrad.
“And you know what, whether I can win the case or not, it’s you who’s going to lose.”
Syafiq  mengerutkan dahi.
“What do you mean?”
“Your record. You think you can go on living like this if you have a bad record? Your career, your life…everything will be over, Syafiq. Dan sudah semestinya awak akan kalah dengan abang awak. Dia akan sentiasa menang, sentiasa menjadi pujaan parents awak…dan awak cuma akan jadi anak yang terbuang.” Tegas suara Alya menuturkan kata-kata.
Sengaja Alya menyentuh soal abang Syafiq sekali lagi. Sengaja dia mempergunakan satu-satunya kelemahan Syafiq itu untuk melepaskan dirinya daripada genggaman Syafiq.
“Kalau pun saya tak menang kes terhadap awak, saya tetap takkan rugi apa-apa. Yang paling teruk boleh jadi adalah saya kena berhadapan dengan awak lagi. Tapi sekarang saya dah ada Jarrad. Dia akan sentiasa ada di sisi saya. So saya tak takut pada awak lagi. Awak pula…awak rasa apa yang parents awak akan cakap?”
“Dari dulu Syafiq memang tak boleh diharap.”
“Syafiq memang suka memalukan keluarga.”
“Kenapalah Syafiq tak boleh jadi macam Aariz?”
“Aariz jauh lebih baik daripada Syafiq.”
Alya menjawab sendiri sambil mengangkat kening, sengaja membakar perasaan Syafiq yang ternyata nampak menyinga.
“Itu yang diorang akan cakap, kan?” sindir Alya lagi. Tajam.
Syafiq menggenggam tangannya kemas. Kata-katanya Alya menusuk masuk dalam hatinya. Di suatu sudut hatinya, Syafiq sedar apa yang dikatakan oleh Alya benar belaka. Kalau betul Alya mendakwanya, tidak kira dia disabitkan atau pun tidak, dia tetap akan punya rekod buruk.
Teringat pula Syafiq pada kerjayanya sebagai arkitek di sebuah syarikat terkemuka di ibu kota. Kerjayanya adalah satu-satunya yang boleh dia banggakan kerana dia merasakan bahawa dia juga mempunyai kerjaya yang memberangsangkan seperti abangnya, Aariz. Dari segi kerjaya, mungkin dia juga setanding dengan abangnya itu. Dan kini kerana Alya, dia mengambil cuti tanpa gaji. Dibiarkan sahaja kerjayanya begitu sahaja.
Ah! Bodohnya dia kerana sanggup memperjudikan kerjaya kebanggaannya hanya kerana seorang wanita yang disangkakan pujaan hatinya, walhal wanita itu sebenarnya langsung tidak dia cintai. Kenapa dia terlalu bodoh mengejar Alya sedangkan dia boleh sahaja mendapatkan mana-mana wanita yang dia ingini? Kalau niatnya hanya untuk membuktikan dia punya sesuatu yang tidak dimiliki Aariz, sesuatu yang memang hak milik dia, mana-mana wanita juga boleh menjadi miliknya.
Malahan….
Dahlia juga boleh menjadi wanita itu!
Ya! Jika difikirkan dalam-dalam, Dahlia tunangannya itu juga boleh menjadi wanita yang berada di sisinya. Menjadi wanita miliknya yang tidak akan pernah menjadi milik Aariz.
Bodoh! Bodoh! Bodoh! Syafiq merasakan dirinya benar-benar bodoh! Bagaimana dia boleh meninggalkan seorang wanita yang sudah terang-terangan akan jadi miliknya dan mengejar wanita lain yang sudah jelas lagi bersuluh tidak mahukannya?
‘Ah, aku memang bodoh!’
*****
-This time I’ll let you go.-
ALYA membaca mesej yang tertera pada skrin telefon bimbitnya berulang kali. Terlalu sukar untuk dia mempercayai bahawa mesej yang baru sahaja diterimanya itu datangnya daripada Syafiq.
Mesej itu dibaca sekali. Ya! Ternyata itulah yang tertulis dan tertera di hadapan matanya.
Perlahan Alya menghela nafas panjang. Sukar baginya untuk memahami perasaannya sekarang.
Lega.
Gembira.
Teruja.
Semuanya bercampur baur, memberikan Alya rasa yang terlalu asing dalam dirinya. Mungkin kerana dia sudah terlalu lama dibelenggu oleh perasaan gentar terhadap Syafiq, perasaan gembira itu menjadi seperti luar biasa buat diri Alya.
Lambat-lambat Alya memejam mata, seolah-olah dengan perbuatan itu dia dapat mencerna perasaan asing itu.
“Ya Allah! Aku bersyukur pada-Mu. Alhamdulillah…” Alya akhirnya mengucap syukur. Air matanya mula mengalir, tetapi air mata itu bukan lagi air mata kegusaran, kesedihan atau ketakutan. Sebaliknya titisan-titisan itu adalah air mata gembira.
Terbayang di mata Alya saat-saat Syafiq tiba-tiba sahaja berlalu pergi tanpa sepatah kata ketika mereka sedang bergaduh tempoh hari. Seperti angin lalu Syafiq tiba, seperti itu juga dia berlalu pergi.
Perlahan Alya membuka matanya kembali dan menyeka air mata di pipi. Dalam hati, Alya berdoa agar kali ini Syafiq benar-benar melepaskannya pergi. Dia sudah terlalu letih menghadapi karenah gila lelaki itu. Jika Syafiq muncul sekali lagi dalam hidupnya, Alya yakin dia mungkin akan menjadi gila.
Seketika kemudian, Alya menggelengkan kepalanya.
“Apa yang aku fikir ni? Yang penting adalah sekarang, bukan akan datang. Sekarang aku dah bebas.”
Akhirnya, senyuman senang mula terukir pada bibir Alya.
“Finally! I’m free!!”

No comments:

Post a Comment