December 9, 2011

Jodoh itu Milik Kita - Bab 9


BAB 9

AARIZ mengacau kopinya dengan penuh leka. Namun hujung matanya dapat melihat dengan jelas tindak-tanduk Dahlia yang sekejap-kejap memandangnya. Dia tahu Dahlia tentu sedang berfikir tentang kejadian semalam. Kejadian yang Aariz kira terjadi dengan sendirinya.

Sungguh! Semalam sewaktu dia tiba-tiba memeluk dan mengucup gadis itu, walaupun secara tidak melampau, Aariz seperti tidak berfikir langsung. Dia seakan mengikut kata hatinya, dan tubuhnya laju sahaja mengikut kata hati itu.

Timbul sedikit rasa bersalah dalam dirinya. Dia sepatutnya tidak terlalu mengikut perasaan. Tapi, entahlah. Bila Aariz bersama Dahlia, dia selalu sahaja tidak dapat mengawal diri. Dia selalu sahaja punya keinginan untuk mengusik dan menyakat gadis itu. Hatinya gembira tatkala memandang wajah Dahlia yang ternyata memang mudah merona kemerahan, tanda isterinya itu tersipu-sipu malu. Dan semakin Dahlia malu-malu, semakin galak pula dia mengusik.

Aariz mengangkat cawan dan menghirup kopinya dengan asyik. Kemudian dia meletakkan kembali cawan itu ke dalam piring. Tubuhnya disandarkan ke kerusi. Lambat-lambat dia mengangkat pandangan dan merenung Dahlia yang duduk di hadapannya.

Perlahan Aariz menarik nafas panjang.

“I’m sorry.” Akhirnya Aariz bersuara, memecahkan kesunyian pada pagi itu.

Dahlia mengerutkan dahi.

“For?” tanya Dahlia pendek.

Aariz kehairanan. Tertanya-tanya kenapa Dahlia boleh menyoal begitu. Dia menganggap Dahlia marah padanya atas kejadian semalam. Direnung lagi wajah Dahlia yang hanya membalas renungannya dengan tenang. Tiada langsung riak marah pada wajah itu.

“Semalam.” Pendek juga jawapan yang diberi Aariz.

Dahlia terkedu. Dapat dia rasakan wajahnya sudah mula hangat. Mengingatkan kejadian semalam, Dahlia termalu sendiri. Setelah Aariz meninggalkannya terkaku di dapur semalam, dia mengambil masa hampir lima minit untuk menganalisa apa yang telah terjadi. Perbuatan Aariz yang terlalu intim itu benar-benar mengejutkannya. Sungguh dia tidak menduga lelaki itu akan bertindak begitu.

Namun yang peliknya, Dahlia langsung tidak marah atas perbuatan berani suaminya itu. Dia hanya menerimanya dengan tenang. Ya, dia akui dia ada berasa canggung dengan keadaan itu. Tidak dapat dia nafikan bahawa dia langsung tidak dapat memandang wajah Aariz selepas itu. Terlalu malu. Kerana itulah makan malam mereka semalam hanya berlangsung dalam keadaan yang senyap sahaja tanpa perbualan antara dia dan Aariz yang seperti selalu mereka lakukan. Aariz juga kelihatan serba salah waktu itu.

“Tak ada apa yang perlu saya maafkan.” Tenang jawapan Dahlia. Wajahnya ditundukkan, mahu menyembunyikan wajah.

Aariz tersenyum sendiri. Jawapan Dahlia menyimpang jauh daripada sangkaannya. Dahlia memberikan kejutan buatnya lagi.

“Saya ingat awak akan marah,” balas Aariz lagi.

Dahlia mendongakkan kepala.

“Marah? Kenapa? Saya tak kisah pun.” Tatkala mendengar ucapan yang lahir dari mulutnya sendiri, automatik Dahlia menekup mulut.

‘Tak kisah? Apa yang aku cakap ni?’ Dahlia mengutuk diri sendiri lantas menggigit bibir, seolah-olah dengan perbuatan itu kata-katanya tadi dapat ditarik kembali.

Aariz mengangkat kening dan tersenyum nakal. Wajah isterinya ditenung dengan pandangan lunak. Lagi timbul rasa mahu mengusik wanita di hadapannya itu.

“Tak kisah? Are you really sure? Then bolehlah saya buat lagi,” usik Aariz pada Dahlia yang sudah menjegilkan mata.

“Awak! Saya…saya tak maksudkan macam tu. Saya….” Tergagap-gagap suara yang keluar dari mulut mungil Dahlia. Suara yang akhirnya terdiam begitu sahaja apabila Aariz sudah mula bangun dan mendekatkan wajahnya ke wajah Dahlia.

Dahlia menggerakkan kerusinya ke belakang sedikit. Matanya membulat, terkebil-kebil memandang wajah Aariz yang cuma beberapa inci jauh dari wajahnya. Apa pula yang suaminya cuba buat kali ini?

Tidak semena-mena ketawa Aariz meledak. Dia kembali menjauhkan wajah dan duduk bersandar pada kerusi. Dahlia memerhati dengan kerut di dahi.

“You know what, Dahlia?” Perutnya ditekan sambil menarik nafas panjang menghabiskan sisa saki-baki tawanya tadi.

“Kalau orang nak kiss awak, secara normalnya awak kena pejamkan mata. Bukannya lagi besar awak buka mata,” sambung Aariz lagi.

Darah panas menyerbu ke wajah Dahlia yang memang sedari tadi merah, membuatkan wajahnya bertambah merah. Dahlia memuncungkan bibir, mempamerkan riak tidak puas hati dengan kenyataan nakal suaminya.
Aariz tergelak kecil.

“Okeylah, okeylah. Saya tak cakap macam tu lagi.” Aariz cuba memujuk.

Dahlia tidak mempedulikan suaminya itu. Dia membetulkan duduknya dan menghirup kopi dengan lambat-lambat. Sengaja mahu menghukum suaminya dengan rajuknya yang sebenarnya bila-bila masa sahaja akan terhenti begitu sahaja. Dahlia memang begitu. Tidak pernah dapat merajuk lama-lama.

“Ala, Dahlia. Jangan merajuk lagi ya. Nanti saya…..” Kata-katanya terhenti.

Dahlia memandang dengan mata yang menyoal.

“Nanti saya cium awak lagi,” usik Aariz lagi. Sekali lagi dia tertawa.

Mulut Dahlia terlopong, membentuk huruf ‘O’. Matanya dicerlung ke arah wajah Aariz yang masih tergelak-gelak.

“Huh, malas saya nak layan awak lagi. Lambat pula nak pergi office nanti,” balas Dahlia seraya bangun, mahu membawa cawan dan pinggan yang diguna tadi ke dapur.

Belum sempat jauh dia berlalu pergi, tangan Aariz tiba-tiba melekap pada pergelangan tangannya. Dahlia menjatuhkan pandangan pada Aariz yang masih lagi duduk di meja makan.

Lelaki itu tersenyum. Senyuman itu kelihatan ikhlas di mata Dahlia.

“Thanks.” Lembut suara Aariz menuturkan kata-kata.

“Huh?” Dahlia menyoal, tidak mengerti untuk apa ucapan terima kasih itu.

“Thanks sebab tak marah pasal semalam.” Ikhlas benar suara Aariz, menggambarkan betapa rasa itu benar-benar hadir dari lubuk hatinya yang dalam.

Dahlia tersenyum sambil membalas pandangan mata suaminya. Dengan lembut dia menyentuh tangan Aariz yang masih lagi di pergelangan tangannya.

“Nasib baik awak ni suami saya. Kalau tak, dah lama saya buat aduan sexual harassment.” Selamba jawapan Dahlia.

Aariz tertawa lagi. Entah pagi itu sahaja, sudah berapa kali dia ketawa kerana Dahlia.

“Sebab awak isteri sayalah, saya berani buat macam tu,” sambut Aariz dengan senyuman yang lebar di wajahnya.

Dahlia menjawab dengan senyuman manis di wajahnya.

Aariz terkesima. Wajah Dahlia yang tersenyum dengan bayangan cahaya matahari yang semakin meninggi di belakang gadis itu membuatkan Dahlia seperti bercahaya. Jantungnya mula berdegup. Degupan yang seumpama gempa yang maha hebat.
*****
DAHLIA mengemaskan barang-barangnya. Sekejap lagi dia akan bertolak ke Putrajaya, menghadiri mesyuarat di Kementerian Kesihatan. Planner miliknya dimasukkan ke dalam beg tangan. Fail-fail yang berkaitan disemak sekali lagi, takut-takut ada mana-mana dokumen penting yang tertinggal.

“Lia dah siap? Transport dah ada kat bawah.” Kak Nora menyoalnya sambil membetulkan tas tangan yang tergantung di bahunya.

Dahlia mengangguk sambil tangannya mengangkat fail yang perlu dibawanya ke mesyuarat tersebut. Fail itu dikepit ke dadanya.

Setelah 45 minit, akhirnya Dahlia dan Kak Nora tiba di Wisma Tani, bangunan berwarna hijau yang terletak di tengah-tengah kawasan Putrajaya.

“Lia pergi register dulu, ya. Akak nak pergi ladies kejap.” Kak Nora bersuara meminta Dahlia mendaftarkan diri di bahagian receptionist.

“Okey. Saya tunggu akak kat bawah, tau. Kita naik sama-sama,” balas Dahlia sambil mengeluarkan lesen memandunya. Lesen itu akan diperlukan bila dia mahu mendapatkan pas masuk.

“Lia takut akak lari tinggalkan Lia sorang-sorang meeting dengan diorang semua ke?” ujar Kak Nora separuh bergurau.

Dahlia tergelak.

“Mana ada, kak.”

Kak Nora tersenyum sekilas sebelum melangkah ke arah tandas yang terletak tidak jauh dari kaunter receptionist.

Dahlia memandang gerak langkah Kak Nora sebelum dia akhirnya melangkah ke arah penyambut tetamu yang tersenyum manis.

“Excuse me, I have a meeting at Acasia.” Dahlia memaklumkan gadis itu nama bilik mesyuarat. Gadis itu menganggukkan kepala dan menghulurkan sebuah log book kepadanya.

“Tulis nama kat sini. Boleh saya dapatkan lesen memandu Cik?” Penuh sopan-santun gadis itu bersuara.

Dahlia tersenyum dan menyerahkan lesen memandu yang sedari tadi dipegangnya. Dahlia agak menyenangi sifat sopan santun yang ada pada gadis di hadapannya. Kebiasaannya dia selalu sahaja menemui gadis penyambut tetamu yang sombong mengalahkan tuan punya syarikat tempat bekerja, bak kata Teja ‘Lebih sudu dari kuah.’

Mengingatkan Teja, hati Dahlia diserbu rasa rindu pada sahabat baiknya itu. Sudah lama mereka tidak bertemu. Sudah hampir sebulan, sejak Teja dan Redza pergi berbulan madu di Thailand. Kerana itulah, mereka tidak menghadiri majlis perkahwinannya.

Teringat Dahlia pada saat-saat dia merajuk dengan mereka berdua yang merancang untuk berbulan madu pada waktu dia akan menamatkan zaman bujangnya.

“Korang ni memang saja, kan? Tak nak datang majlis saya!” Dahlia membentak.

Sungguh! Dahlia berasa ralat kerana sahabat baiknya itu sanggup berbuat demikian terhadapnya, sedangkan dia amat berharap mereka berdua boleh bersamanya pada hari yang paling penting dalam hidupnya.

“Ala, Lia. Kitorang tak plan pun semua ni. Redza…bos dia hantar dia outstation kat Thailand. Honeymoon ni kira cam kebetulan je,” pujuk Teja berulang kali.

Dahlia tetap seperti tadi. Membungkam tanpa kata sambil memeluk tubuh. Wajahnya sengaja dimasamkan.

“Ala, Lia sayang..please, jangan marah. Please...” Suara Teja sudah mula tersekat-sekat. Seakan menahan sebak.

“Lia pun tahu kan, Redza ni bukan senang nak dapat cuti. Kalau bukan sekarang, tak tahu bila lagi kitorang dapat pergi…”

Dahlia mengerling ke arah wajah Teja. Jelas kelihatan mata sahabatnya yang sudah berkaca-kaca. Dahlia mula kaget. Rasa bersalah mula bersarang. Terasa seperti dia terlalu mementingkan diri.

Dahlia menarik nafas dan menghampiri Teja.

“Eh, nape nak nangis pula ni, Teja? Bukan ke awak ni brutal orangnya?” tanya Dahlia, sempat pula mengusik gadis itu di akhir kata.

Teja menampar lembut bahu Dahlia.

“Awak ni….saya dah emo macam ni, sempat pula buat lawak,” tempelak Teja pada sahabatnya.

Dahlia tergelak kecil. Sesaat kemudian, dia menarik Teja ke dalam pelukannya.

“Enjoy your honeymoon, dear.” Dahlia berbisik lembut di telinga Teja sambil matanya memandang Redza yang sejak tadi hanya memerhatikan perilaku mereka.

Lelaki itu tersenyum dan menggerakkan mulutnya, namun tiada suara yang keluar.

“Terima kasih, Lia.”

Dahlia tersenyum sendiri mengingatkan kejadian dua bulan lepas. Dia memang tidak boleh terlalu lama marah, terutama sekali pada Redza dan Teja, sahabat yang telah sekian lama menghiasi hidupnya.

“Lia, Dahlia…” Tiba-tiba satu suara mengejutkan Dahlia dari lamunannya.

Dahlia tersentak.

“Eh, budak ni. Termenung pula dia. Ingatkan husband ke?” usik Kak Nora sambil tersengih.

Dahlia termalu sendiri.

“Isy, akak ni. Mana ada!” Cepat-cepat Dahlia menafikan tekaan Kak Nora itu.

Kak Nora hanya melemparkan senyuman, seperti tidak mempercayai kata-katanya tadi. Dahlia membiarkan sahaja. Biarlah apa pun yang difikirkan seniornya itu. Yang penting sekarang, Dahlia mahu bertemu dengan Teja.

‘Housewarming party…’ bisik Dahlia dalam hati, teringat kata-kata Aariz yang memintanya mengajak Redza dan Teja ke rumah mereka beberapa hari yang lepas.

6 comments:

  1. best la cerita ni..... sweet sangat2, xbnyak konflik, so xla stress bila bace, thanxs cik writer..... jangan buat berat2 taw criter ni.....thanxs agan....
    -wanie-

    ReplyDelete
  2. wanie, thx sbb suke citer ni. x byk konflik ek?? hehe, sbb ni br awl citer...=)

    ReplyDelete
  3. Citer ni mmg smpai bab 10 je ke dkt blog?x sabar dh nk bce ni..best!!!

    ReplyDelete
  4. @alida: sy plan utk letak smpi bab 25, sy upload sikit2...hehe...

    JIMK semuanya ada 63 bab..=)

    ReplyDelete
  5. simple bab nie but still menarik. saya suke...

    ReplyDelete