December 8, 2011

Jodoh itu Milik Kita - Bab 6


BAB 6

AARIZ menolak troli dengan penuh hati-hati, takut-takut terlanggar sesiapa yang mungkin tiba-tiba muncul di hadapannya. Matanya memandang bahagian sisi Dahlia yang sedang asyik membelek shopping list yang sempat disediakan oleh isterinya tadi semasa sedang bersiap untuk keluar.

Dahlia jelas sedang mengerutkan dahi sambil memusing-musing pen yang dipegangnya. Mulutnya terkumat-kamit. Mungkin sedang mengira barang yang telah dibeli atau mengomel tentang barang yang belum ditemuinya atau mungkin juga tidak berpuas hati dengan harga yang ditawarkan.

‘Apalah yang dia buat tu? Cakap sorang-sorang,’ komen Aariz dalam hati. Dahlia kelihatan kelakar di matanya.

“Aariz! Kejap, sini!! ” Dahlia tiba-tiba berpaling ke arahnya. Tangannya diangkat, melambai-lambai.

Aariz menolak troli dan menghampiri Dahlia yang kembali membelek shopping list yang dipegangnya. Dahi isterinya itu berkerut.

“Dah naik hargalah. Lapan puluh sen pula tu. Last time saya datang sini tak mahal macam ni pun.” Dahlia menyuarakan rasa tidak puas hatinya tanpa memandang Aariz yang sudah berdiri di sampingnya.

Aariz mengerling ke arah longgokan bawang di hadapannya. Hatinya ingin ketawa. Rupa-rupanya Dahlia bermuram durja dan berwajah serius begitu kerana selonggok bawang.

“Saya tahulah bawang dah naik harga, tapi tak sangka bezanya macam ni sekali. Isy, tak sukalah.” Dahlia masih terus-terusan memberi komen dengan serius. Aariz yang sedang berdiri di sebelah langsung tidak dipedulikan.

“Tapi kena beli jugak. Kalau tak ada bawang, macam mana nak masak, kan?” sambung Dahlia lagi, masih bercakap sendiri.

“Setengah kilo rasanya cukup, kan?” Dahlia akhirnya memalingkan wajah pada Aariz dan menyoal lelaki itu.

Ketawa Aariz yang ditahan-tahan sejak tadi akhirnya meletus. Dia memegang perut, cuba mengawal ketawa yang seperti tidak habis-habis meledak. Dahlia hanya memandang dengan wajah yang penuh kehairanan.

“Awak ni…awak ni…kelakar, awak tahu tak?” Aariz cuba bersuara diselangi dengan ketawa yang tidak berjaya ditahan-tahan.

Dahlia mengerutkan dahi, tanda tidak berpuas hati dengan kata-kata suaminya. Apa yang kelakar tentangnya?

“Awak, janganlah gelak lagi. Orang dah tengok tu. Malulah.” Dahlia seolah-olah memarahi Aariz. Dipandangnya sekeliling, melihat kalau-kalau ada pengunjung lain yang memerhatikan mereka berdua.

Ternyata mereka memang menarik perhatian orang apabila Dahlia seperti mendengar satu suara memanggil namanya.

“Hei, Lia!! Dahlia!!”

Dahlia menoleh ke arah tuan empunya suara. Ketawa galak Aariz serta-merta mati, lantas matanya tertumpu pada seorang lelaki yang berjalan ke arahnya dan Dahlia.

“Redza! Awak buat apa kat sini?” Riang suara Dahlia menyapa lelaki asing yang kelihatan kemas dan bergaya itu.

“Adalah, beli barang sikit.” Lelaki itu menjawab sambil memandang sekilas ke arah Aariz yang hanya berdiri di sebelah Dahlia tanpa kata. Wajah lelaki asing itu kelihatan sedikit kehairanan.

“Tak nak kenalkan, ke?” Lelaki bernama Redza itu menyoal Dahlia sambil mengangkat kening.

Wajah Dahlia serta-merta berubah. Jelas kelihatan tidak selesa bila diminta memperkenalkan Aariz. Tadi sewaktu Dahlia ceria bertegur-sapa dengan Redza, langsung dia terlupa akan suaminya itu. Perlahan Dahlia melepaskan nafas.

“Redza, ini Aariz. Erm…my husband.”

Membuntang mata Redza sesudah Dahlia memperkenalkan Aariz kepadanya. Mulutnya sedikit terlopong, seakan ingin bertanyakan sesuatu. Namun niatnya dihentikan apabila melihat wajah Dahlia yang seperti berpesan agar tidak menyoal apa-apa.

“Aariz, ini Redza. My friend.”

Aariz menjatuhkan pandangan pada lelaki yang kini berdiri di hadapannya. Perasaan tidak senang menerpa masuk dalam dirinya. Lebih-lebih lagi tatkala dia perasan riak wajah Dahlia yang seperti bermain isyarat dengan lelaki itu. Aariz berasa cuak namun cuba ditahannya agar tidak terlalu jelas terpamer pada wajahnya.
Kedua-dua lelaki masing-masing menghulurkan tangan dan berjabat tangan. Redza seperti berusaha untuk tersenyum ikhlas, manakala Aariz pula seakan tidak rela dalam melemparkan senyuman.

“Nice to meet you.” Hampir serentak mereka bersuara.

Dahlia hanya memandang. Dalam hati, Dahlia berasa berdebar-debar. Agak takut kalau-kalau Redza bertanya lebih-lebih berkenaan perkahwinannya di hadapan Aariz. Dahlia teringat dia pernah menunjukkan gambar Syafiq pada Redza. Dan dia masih belum memberitahu Redza tentang apa yang telah terjadi di hari perkahwinannya. Memikirkan perangai Redza yang agak protective terhadapnya, Dahlia yakin Redza akan marah padanya.

“So….you’re the lucky guy….Aariz. Lelaki yang akhirnya dapat memiliki Dahlia,” komen Redza setelah menjatuhkan tangan. Suaranya kedengaran mendatar. Saat itu juga Dahlia sedar Redza memang marah padanya.

“Yes, that’s me.” Nada suara Aariz terselit rasa bangga. Mungkin kerana dia dikatakan sebagai bertuah kerana dapat memiliki Dahlia.

Redza sedikit tersenyum mendengarkan jawapan Aariz yang penuh keyakinan. Senyuman memaksa.

“You both….” Redza seperti mahu menyoal sesuatu apabila perbualan mereka disampuk oleh Dahlia.

“Aariz, boleh tak awak ambil bawang ni setengah kilo? Saya nak cakap dengan Redza kejap. Boleh ya?” Dahlia cepat-cepat meminta Aariz mengambilkan bawang dan kemudian meminta keizinan untuk bercakap dengan Redza. Wajah Aariz dipandang dengan penuh harapan agar suaminya itu akan memberikan keizinan. Namun belum sempat beberapa saat bertentang mata, Dahlia mula mengalihkan pandangan. Tidak mampu melawan pandangan Aariz yang merenungnya dengan penuh syak wasangka.

Aariz mengeluh perlahan. Kalau diikutkan hati, memang dia tidak mahu membenarkan Dahlia bercakap sendirian dengan lelaki lain. Tambahan lagi, bila melihatkan reaksi Dahlia yang jelas mencurigakan. Tetapi mereka kini berada di hadapan orang dan Aariz sedar dia tidak boleh terlalu mengikut perasaan. Lagipun, air muka Dahlia harus dijaga. Lambat-lambat Aariz mengangguk.

“Then, I borrow your wife kejap, ya,” ujar Redza bersahaja.

“Okey, tapi pulangkan cepat.” Bersahaja jawapan yang keluar dari mulut Aariz, tetapi jawapan itu penuh dengan ketegasan.

Redza tergelak kecil, beranggapan Aariz cuma bergurau. Langsung dia tidak menyedari bahawa apa yang diucapkan Aariz benar-benar dimaksudkan lelaki itu.

Dahlia menatap Aariz dengan pandangan memohon maaf sebelum berlalu pergi dengan Redza. Aariz hanya memandang belakang Dahlia yang semakin mengecil. Tanpa disangka-sangka hati Aariz terasa pedih, umpama ditikam-tikam oleh belati yang tajam. Aariz merasakan seperti ditinggalkan isterinya itu. Dan sesungguhnya itulah rasa yang amat ditakutinya sejak dia menikahi Dahlia.

Perlahan Aariz menggenggam tangan, cuba menenangkan dirinya. Berkali-kali dia mengingatkan diri bahawa Dahlia cuma pergi bercakap dengan sahabat lama.

“Awak nak cakap apa tadi, Redza?” Dahlia cepat-cepat menyoal Redza selepas agak jauh mereke berdua dari kedudukan Aariz. Mata Dahlia sesekali menjeling ke arah Aariz yang sedang memilih bawang.

Redza berdiri tegak dan memeluk tubuh. Matanya dicerlung ke arah Dahlia yang jelas tidak selesa. Dahlia menunduk, tidak ubah seperti pesalah yang sedang dibicarakan.

“Saya nak tanya korang dah dinner ke belum…” Lambat-lambat Redza menjawab sambil matanya masih seperti tadi. Memerhati Dahlia yang seperti cacing kepanasan.

Dahlia mendongakkan kepala, memandang Redza.

“Oh, ya ke?”

Pantas dia menggigit bibir, agak segan dengan tindakannya yang tergesa-gesa membawa Redza jauh dari Aariz. Nampak sangat ada sesuatu yang tidak kena dengan dia.

“Habis tu, awak ingat saya nak tanya kenapa awak kahwin dengan dia, dan bukan dengan…erm, sape nama dia? Syafiq?”

Terus-terang sahaja Redza menyoal, sedikit menyindir Dahlia. Wajahnya serius seolah-olah marah pada Dahlia.

Dahlia mengeluh.

“Apa dah jadi ni, Lia? Macam mana….”

“Syafiq tak datang.” Perlahan suara Dahlia menyampuk kata-kata Redza.

Redza terpinga-pinga. Matanya dikelip-kelip beberapa kali seolah-olah perbuatannya itu dapat menganalisa apa yang baru sahaja didengarinya.

“What?” Akhirnya hanya itu yang mampu keluar dari mulutnya.

“Syafiq tak datang masa majlis kitorang.” Kali ini suara Dahlia sedikit kuat berbanding tadi.

Mulut Redza terlopong menggambarkan rasa terkejutnya. Apa yang baru diucapkan oleh Dahlia benar-benar memeranjatkan. Jadi, ini bermakna Dahlia ditinggalkan pada hari perkahwinannya? Serta-merta rasa amarah menyusup masuk ke dalam hatinya.

“So he left you…How dare he??” Keras suara Redza.

Dahlia tersenyum pahit melihat reaksi Redza. Dia sudah mengagak itu yang akan terjadi kalau Redza mendapat tahu tentang segalanya.

“Jadi, that guy…”

“Abang Syafiq,” jawab Dahlia pendek.

Sekali lagi Redza terkejut. Apa dah jadi sebenarnya ni?

“What the…” Redza menarik nafas dalam-dalam, cuba mengawal perasaan.

“Apa yang dah jadi ni, Dahlia? Kenapa awak tak bagitahu saya apa-apa?” Tegas suara Redza.

Dahlia melepaskan keluhan sekali lagi.

“Macam mana saya nak bagitahu? Tak naklah kacau korang. Lagipun, kalau awak tahu pun, bukannya boleh buat apa pun, kan?” jawab Dahlia.

“Memanglah, tapi…..”

“Redza…” Dahlia menyampuk sebelum sempat Redza berkata-kata lebih lanjut. Matanya yang memandang seolah-olah meminta lelaki itu agar tidak bertanya apa-apa lagi.

“Lia, saya tak bermaksud nak memaksa ke apa tapi…” Lembut suara Redza, mungkin mula menyedari bahawa reaksi dan tindakannya agak memaksa Dahlia.

“Redza, macam nilah. Kita jumpa lain kali. I’ll tell you everything.”Akhirnya Dahlia menyuarakan jawapan yang dirasakan patut. Dahlia sedar tidak elok jika dia menceritakan semuanya di tempat yang tidak sesuai seperti itu. Tambahan pula, Dahlia dapat merasakan pandangan Aariz yang sedang merenungnya dari jauh, membuatkan Dahlia rasa bersalah. Bersalah kerana apa, dia sendiri tidak tahu.

“Dahlia…” Redza tidak berpuas hati dengan jawapan Dahlia.

“Please. Tempat ni tak sesuai untuk saya ceritakan semuanya. Lagipun, Aariz tengah tengok tu,” jawab Dahlia cuba memujuk lelaki di hadapannya.

Redza menjeling ke arah Aariz yang jelas sedang memerhatikan mereka. Perasaan curiga jelas kelihatan di wajah itu.

“Apa pun yang saya nak ceritakan pada awak, dia pun harus ada sama. Semua ni melibatkan dia jugak,” sambung Dahlia lagi.

“Then, kita boleh dinner sama-sama.”

Dahlia tersenyum kelat. Redza tidak habis-habis dengan percubaannya untuk mengetahui segalanya.

“No, not today. Before kitorang datang menghadap awak, saya kena bagitahu dia pasal awak dulu. Who knows, maybe dia tak suka kalau saya bercerita apa-apa pada awak.” Jawapan tegas dituturkan Dahlia sambil matanya tidak lepas daripada mengerling ke arah Aariz yang masih memandangnya. Langsung tidak mempedulikan Redza yang asyik merenungnya.

“You do care for him, right?” Redza tiba-tiba menyoal.

Soalan cepu emas daripada Redza itu membuatkan Dahlia tersentak.

“Huh?”

Redza tersenyum melihat reaksi Dahlia.

“You do care for him. I can see that.”

Dahlia dapat merasakan darah panas menyerbu ke wajahnya. Kata-kata Redza membuatkan dia sedikit malu.
“Well, he’s my husband after all.” Dahlia akhirnya menjawab.

“He’s lucky to have you as his wife. And that Syafiq guy is one stupid man,” komen Redza, serius. Dahlia dapat merasakan nada amarah dalam suaranya.

Dahlia tidak menjawab komen terakhir Redza, dibiarkan sahaja ia berlalu pergi.

“Okeylah. Aariz dah lama tunggu tu. Saya kena pergi dulu,” ujar Dahlia berkira-kira mahu melangkah pergi.
Redza mengangguk.

“Then, kita jumpa lagi nanti. You owe me an explanation.” Sempat juga Redza berpesan.

“Okay. See you,” jawab Dahlia pendek sebelum berlalu.

Aariz memerhatikan Dahlia berjalan ke arahnya. Wajah Dahlia kelihatan menyimpan rasa yang berat. Perasaan tidak senang yang dirasakan sejak tadi semakin bertambah. Tadi sewaktu Dahlia sedang berbicara dengan lelaki itu, dia perasan mereka seperti berbincang sesuatu yang serius dengan sesekali menjeling ke arahnya. Seolah-olah membicarakan soal dirinya.

“Sorry, lama awak kena tunggu,” ucap Dahlia setelah tiba di hadapan Aariz.

Aariz tidak menjawab. Hanya matanya yang merenung Dahlia tajam. Mencerlung laksana helang yang kelaparan.

“Awak kenapa?” Laju sahaja Dahlia menyoal.

Sesaat kemudian Dahlia mengetap bibir. Soalan itu dirasakan seperti bodoh. Sudah tentu Aariz sedang marah dan dia pula dengan selamba sahaja menyoal lelaki itu seperti tiada apa yang berlaku.

Wajah serba-salah Dahlia dipandang dalam-dalam oleh Aariz. Dahlia hanya menunduk, tidak sanggup bertentang mata dengannya seperti selalu.

“Jom pergi bayar.” Akhirnya Aariz bersuara.

Tersentak Dahlia saat mendengarkan suara Aariz yang kedengaran sangat mendatar, tanpa sebarang perasaan. Tidak ceria dan riang seperti selalu. Wajah tegang lelaki itu dipandang. Tiba-tiba muncul perasaan takut dalam diri Dahlia terhadap suaminya itu.

Dahlia mengikut langkah Aariz yang menolak troli dari belakang. Dia cuba berfikir apa yang patut dilakukan. Aariz tidak pernah marah begitu sejak dia mengenali lelaki itu. Jadi Dahlia benar-benar tidak tahu apa yang patut dibuatnya untuk menghilangkan rasa marah itu. Lebih-lebih lagi dia sendiri yang menjadi punca amarah itu.

Aariz tidak bersuara sepanjang perjalanan pulang mereka dari Carrefour yang dikunjungi tadi. Dahlia turut membatukan diri. Bukan kerana turut marah pada suaminya itu, sebaliknya kerana rasa bersalah yang bersarang dalam dirinya.

“So, anything awak nak cakap?” Akhirnya Aariz bersuara setelah mereka tiba di rumah. Ketika itu dia dan Dahlia sudah pun melabuhkan punggung ke atas sofa di ruang tamu.

Dahlia tidak menjawab dan hanya bermain-main dengan jari-jemarinya. Tabiat itu memang tercipta sejak dia masih kanak-kanak. Tabiat yang menunjukkan dia tidak tahu apa yang patut dijawab atau dibuat.

“Dahlia…” Sekali lagi Aariz bersuara. Tangannya menyentuh jari-jemari Dahlia, seakan mahu menghentikan perbuatan isterinya itu.

Lambat-lambat Dahlia mendongakkan kepala, merenung wajah Aariz dan berusaha mencari tanda-tanda amarah di wajah itu. Aariz kelihatan sedikit tenang berbanding ketika di Carrefour tadi. Dalam hati, Dahlia menarik nafas lega.

“I’m sorry sebab buat awak macam tu tadi. Saya biarkan awak tercongok kat sana, saya pula cakap dengan lelaki lain.” Suara Dahlia akhirnya meluncur keluar dari kerongkong.

Terserlah rasa bersalah dalam nada suara Dahlia. Baginya, walaupun hubungan dia dan Aariz tidak seperti pasangan suami isteri lain, Dahlia tetap punya rasa hormat yang tinggi terhadap lelaki itu. Tambahan pula, Aariz baginya seorang lelaki yang baik dalam menjaga dan melindunginya.

“Kalau awak akan rasa menyesal macam ni, sepatutnya jangan buat dari awal.” Penuh ketegasan suara Aariz, menampakkan rasa tidak sukanya terhadap perbuatan Dahlia.

“Tapi, saya....saya tak ada niat jahat apa pun,” jawab Dahlia pula.

Aariz menggelengkan kepala.

“Lia, saya tak cakap pun awak ada niat jahat ke, buat jahat ke, cuma…..saya tak suka bila isteri saya pergi bercakap dengan lelaki lain depan mata saya sendiri. Saya pula ditinggalkan macam tu je,” jelas Aariz panjang lebar.

“Saya tahu, saya nak awak anggap saya macam kawan je and kawan biasa takkan rasa macam ni. Tapi, saya tetap suami awak. Dan sebagai seorang suami, saya rasa saya ada hak untuk tahu apa yang dah jadi pada isteri saya sendiri,” sambung Aariz lagi dengan lembut, namun penuh ketegasan. Ketegasan itu pula seperti mampu menusuk masuk ke dalam hati Dahlia dan membuatkan dia rasa terharu.

“Tak ada apa-apa jadi sebenarnya.” Cepat-cepat Dahlia membalas, cuba menerangkan keadaan sebenar.
Aariz menarik nafas panjang.

“Kalau macam tu, tell me….siapa lelaki tadi?” Aariz akhirnya menyoal, menyuarakan rasa ingin tahu yang sejak tadi bertamu dalam dirinya. Sejak mula-mula Dahlia menegur lelaki itu dengan penuh kemesraan.

Dahlia mengerutkan dahi. Tidak memahamai maksud sebenar Aariz.

“You mean?”

“Awak nampak macam mesra je dengan dia.” Jauh nada suara Aariz. Kedengaran aneh di telinga Dahlia.

“Well, he’s my best friend. Saya kenal dia dah lama. Kitorang memang kawan rapat. Saya, dia dan Teja,” terang Dahlia kepada suaminya.

“Teja?” Aariz menyoal.

Dahlia sedikit tersenyum mendengarkan soalan Aariz yang mengingatkannya pada Teja, sahabat baiknya yang kelakar dan terlampau peramah.

“A’ah. Teja or nama sebenar dia Khatijah. Redza’s wife. Diorang pun baru kahwin jugak. Macam kita. Tapi awal sikit. Three months ago.” Laju sahaja Dahlia bercerita. Perasaan bersalah dalam dirinya hilang begitu sahaja. Yang hadir adalah rasa teruja untuk menceritakan tentang sahabat baiknya.

Mendengarkan berita bahawa Redza sudah berkahwin seperti mendatangkan perasaan lega ke dalam hati Aariz. Dia sendiri pun tidak tahu kenapa dia berperasaan demikian.

“Diorang sebenarnya nak datang masa wedding kita…” Kata-kata Dahlia tiba-tiba terhenti seolah-olah teringatkan sesuatu.

“Sorry. Wedding saya dengan….” Dahlia cuba membetulkan kenyataan yang baru sahaja diucapkannya.

“Wedding kita. Wedding kita, Dahlia.” Tanpa Dahlia sangka Aariz membetulkan balik kata-katanya, lantas membuahkan senyuman pada wajah Dahlia.

“Diorang sebenarnya nak datang masa wedding….wedding kita. Tapi diorang ada hal. Actually pergi honeymoon. Last minute punya plan.”

“Tapi, tadi tak nampak pun wife dia?” soal Aariz, mula memberikan perhatian pada cerita Dahlia. Tubuhnya dipusing ke kanan agar betul-betul bertentangan dengan Dahlia.

Dahlia menepuk dahi.

“Oh, yalah! Saya lupa nak tanya tadi.”

“Macam manalah nak ingat. Asyik mengumpat pasal saya je tadi.” Aariz menjawab, sedikit mengusik Dahlia.

“Mana ada mengumpat awak!” Dahlia sedikit menjerit. Ditamparnya bahu Aariz.

Aariz tergelak kecil. Dahlia memang cepat melatah bila disakat begitu.

“Habis tu apa? Dia bercakap sambil jeling-jeling kat kita. Gaya mengumpat yang sangat profesional,” sambung Aariz, masih mengusik Dahlia.

Tertawa Dahlia mendengar komen Aariz yang kelakar.

“Dia tanya apa dah jadi. Kenapa…”

Dahlia mengetap bibir sebelum manyambung lagi.

“Kenapa suami saya orang lain, bukan Syafiq.”

Tersentap hati Aariz tatkala mendengar jawapan Dahlia. Perasaan terluka kelihatan di dalam mata Dahlia.

“Dia kenal Syafiq?” Lembut suara Aariz menyoal kembali.

“Not personally. Tapi dia pernah nampak gambar Syafiq. Saya pernah tunjuk pada dia.”

Dahlia kemudiannya mula memberikan penjelasan atas tindakannya bercakap sendirian dengan Redza. Dia tidak mahu Redza bertanya lebih-lebih pada Aariz atau mungkin menuduh Aariz yang bukan-bukan. Bagi Dahlia, dia yang sepatutnya menerangkan duduk perkara sebenarnya kepada Redza tanpa menyusahkan Aariz. Tetapi dia juga sedar bahawa dia tidak boleh menceritakan hal perkahwinan mereka sewenang-wenangnya kerana mungkin Aariz tidak akan merasa selesa.

Senyuman Aariz melebar bila mendengar penjelasan Dahlia. Tidak pernah dia sangka begitu sekali Dahlia berfikir tentangnya. Dia dapat merasakan betapa isterinya itu menghormati dia sebagai suami. Walaupun Dahlia kadang-kadang seperti keanak-anakan, begitu mudah melatah bila diusik dan suka memuncungkan mulut, Aariz sedar Dahlia adalah seorang yang cukup tegas dalam mempertahankan pendiriannya. Dan ternyata Dahlia juga sangat menghargai suatu ikatan perkahwinan, walaupun perkahwinan yang baru dibina bukanlah perkahwinan yang diingini.

“So bila awak nak jumpa dia lagi?” soal Aariz pada Dahlia setelah isterinya itu menamatkan penjelasannya.

“Tak tahu lagi.” Dahlia menjawab pendek. Dalam hati, Dahlia sedikit kehairanan dengan soalan Aariz.

Aariz membetulkan duduknya dan bersandar pada sofa. Tangannya diangkat ke belakang Dahlia, tapi tidak pula tangan itu memeluk bahu isterinya.

“Ajak dia datang rumah. With his wife.” Jawapan Aariz seakan-akan memberikan arahan pada Dahlia.

Dahlia berpaling ke kiri menghadap Aariz.

“Ajak datang rumah?”

Aariz mengangguk.

“Kita buat majlis sikit. Something like housewarming party. Ajak diorang. Nanti awak boleh kenalkan diorang pada saya. And of course properly introduce me to them.”

Agak terkejut Dahlia mendengar jawapan Aariz. Dia tidak menyangka Aariz mahu berkenalan dengan kawan-kawannya. Sangkanya Aariz lebih suka tidak bercampur dengan kehidupan peribadinya memandangkan lelaki itu pada asalnya hanyalah suami bidan terjun. Lelaki yang terpaksa mengahwininya atas sebab keadaan yang memaksa.

“Okey? Nanti awak contact diorang,” sambung Aariz lagi seraya bangun dari duduknya dan menuju ke dapur.

Aariz menjeling sedikit ke arah Dahlia yang kelihatan agak terpinga-pinga. Mungkin terkejut dengan permintaannya. Sejujurnya, dia sendiri agak terkejut dengan permintaan yang diutarakan dirinya sendiri. Pada awalnya, Aariz tidak mahu terlalu terlibat dalam kehidupan peribadi Dahlia. Dia mahu membiarkan sahaja isterinya itu dengan kehidupan lama tanpa melibatkan dia asalkan Dahlia tahu menjaga diri dan batas-batasnya sebagai seorang isteri.

Namun, bila mendengarkan cerita Dahlia mengenai kawan-kawannya, terbit pula rasa ingin mengenali mereka. Mungkin juga kerana dengan cara itu, Aariz juga dapat lebih mengenali Dahlia, isteri yang tiba-tiba sahaja muncul dalam hidupnya.

“Okey.” Akhirnya Dahlia menjawab, walaupun suaminya telah lama hilang di sebalik pintu dapur.

Suatu senyuman terbit di bibir Dahlia. Hatinya kegirangan.

2 comments:

  1. suke2...plot dah ok. teratur sahaja. adess...

    ReplyDelete
  2. uhuu subahnallah bagusnya ada seorg suami seperti aariz.. masyaAllah ... lelaki baik utk pompuan baik dan begitu juga sabaliknya.. AllahuAkhbar ..

    ReplyDelete