December 30, 2011

Jodoh itu Milik Kita - Bab 12


BAB 12

AARIZ membawa masuk beg pakaiannya dan Dahlia ke dalam biliknya. Beg itu diletakkan di atas sofa. Dahlia hanya membuntuti dari belakang. Mereka baru sahaja kembali dari hospital. Umi sudah pun dibawa pulang setelah beberapa hari berada di dalam wad.

“Awak tak kisah ke kalau kita stay kat sini sementara menunggu keadaan umi elok sikit?” soal Aariz pada Dahlia yang telah pun duduk di atas birai katil. Tudung di kepalanya sudah pun ditanggalkan.

Sekilas Dahlia mengerling ke arah Aariz sebelum mengangkat kedua kakinya dan duduk bersandar pada katil. Tubuhnya terasa lenguh.

“Tak. Lagipun rumah umi ni lagi dekat dengan office. Tapi, awaklah….office awak jadi makin jauh.”

Tempat kerja Dahlia yang terletak di Seksyen 2, Shah Alam memang dekat sahaja dengan Bukit Jelutong. Namun tempat kerja Aariz terletak di Subang, agak jauh dari rumah umi.

“Tak adalah jauh sangat. Kalau awak boleh berulang alik everyday from Subang Avenue pergi office, takkanlah saya tak boleh berulang alik dari Bukit Jelutong ke Subang. Tak jauh pun,” balas Aariz pula sambil tangannya mengeluarkan beberapa keperluannya dan meletakkannya di atas meja solek yang turut menempatkan barang-barang milik Dahlia.

Dahlia tidak menjawab. Matanya terasa berat dan perlahan-lahan terkatup.

Aariz berpaling ke arah Dahlia apabila menyedari bahawa isterinya itu tidak memberikan reaksi terhadap kata-katanya. Bibirnya mengutum senyuman. Jelas di matanya Dahlia yang telah pun tertidur dengan bersandar pada katil. Kepalanya senget ke sebelah kiri dengan sebahagian rambut menutupi sebelah kanan wajahnya.

Perlahan dia merapati Dahlia dan menjatuhkan isterinya ke pembaringan yang kemudiannya memusingkan tubuh ke sebelah kiri dan memeluk bantal.

“Thanks….”

Aariz seperti dapat mendengar isterinya menuturkan ucapan terima kasih. Dipandangnya wajah Dahlia yang seakan-akan tersenyum. Dengan lembut dia mengusap kepala dan mengalihkan helaian rambut yang menutupi sebahagian wajah gadis itu. Senyuman manis jelas kelihatan pada wajahnya.

Selesai membaringkan Dahlia, Aariz berdiri dan berjalan keluar dari bilik. Pintu bilik ditutup dengan perlahan agar bunyinya tidak mengejutkan Dahlia yang lena tidur.
*****
“DAHLIA mana?” tegur Tuan Haikal pada Aariz apabila melihat anak lelakinya itu turun seorang diri.

“Oh, dia tidur. Letih jaga umi agaknya. Umi pula mana, bah?” jawab Aariz sambil diseliitkan soalan mengenai ibunya. Dia mengambil tempat duduk di sebelah bapanya.

“Kat dalam bilik. Entah apa yang dia buat, abah pun tak pasti.” Tuan Haikal menjawab sambil tangannya mengambil surat khabar. Niat di hati mahu membaca berita-berita yang disiarkan dalam surat khabar itu.

Aariz menilik ke arah pintu bilik umi. Bilik itu asalnya bilik tetamu, tetapi diubah kepada bilik umi bagi memudahkan pergerakan umi. Bilik asal yang terletak di tingkat atas cuma akan lebih menyusahkan umi untuk bergerak. Lagipun agak berbahaya untuk umi menaiki tangga dalam keadaannya yang agak lemah.

“Abah, Aariz pergi tengok umi kejap, ya.” Aariz meminta keizinan bapanya untuk menjenguk umi.

Tuan Haikal memandang sekilas pada anaknya sebelum mengangguk.

Aariz bangun dan menapak pergi.

“Umi, boleh Aariz masuk?” Aariz menolak pintu bilik sambil meminta izin untuk memasuki bilik itu.

Puan Marina menoleh ke arah pintu dan hanya menggerakkan tangannya, memberikan isyarat untuk anaknya masuk. Senyuman terukir pada wajahnya.

“So, how’s my mum?” soal Aariz sebaik sahaja melabuhkan punggung di sebelah umi.

“Still strong as ever,” jawab Puan Marina pula.

Jawapan ibunya membuatkan Aariz tergelak kecil. Umi selalu sahaja menjawab begitu apabila jatuh sakit.

“Then, lega Aariz dengar tu,” balas Aariz pula.

“Umi tahu kan? Aariz tak nak apa-apa jadi pada umi,” sambungnya lagi.

Puan Marina memandang anaknya itu. Dia tahu Aariz amat menyayanginya. Aariz terlalu berbeza jika dibandingkan dengan Syafiq. Dari kecil lagi, Aariz selalu mendengar kata, berlainan sekali dengan Syafiq yang suka melawan kata. Juga suka bergaduh dengan abangnya. Setiap kali mereka bergaduh, selalu sahaja Aariz yang akan mengalah.

“Tapi, Aariz kena terima kalau ditakdirkan apa-apa jadi pada umi suatu hari nanti.” Akhirnya Puan Marina bersuara.

Jelas kerutan pada dahi Aariz, menunjukkan perasaan tidak senang hati terhadap kenyataan yang baru sahaja keluar dari mulut ibunya.

“Aariz sekarang bukan macam Aariz dulu lagi. Aariz dah kahwin. Aariz kena jadi kuat sebab Aariz ada tanggungjawab untuk jaga Dahlia dan melindungi perkahwinan kamu berdua.” Puan Marina menyambung lagi kata-katanya.

Aariz mengetap bibir. Dia sedar akan hakikat itu. Tapi dia juga sedar bahawa pada asalnya Dahlia bukan untuk dia. Selama perkahwinan mereka, Aariz sering sahaja merasakan bahawa dia telah merampas hak Syafiq. Kerana itulah dia sering mengingatkan dirinya bahawa Dahlia bukan untuknya dan dia bukan untuk Dahlia. Selain itu, Aariz tahu seandainya Dahlia sedar siapa dia sebenarnya, mungkin sahaja isterinya itu akan berasa jijik terhadapnya.

“Tapi kan, umi…perkahwinan ni sebenarnya untuk Syafiq, kan? Dahlia untuk Syafiq, bukan untuk Aariz.” Lemah jawapan yang terbit dari mulut Aariz.

Tersentak Puan Marina. Agak terkejut dengan jawapan Aariz itu.

“Apa maksud Aariz? Sekarang Lia dah jadi isteri Aariz. Yang dah lepas tu, biarkan lepas. Memang umi merancang Dahlia untuk Syafiq, tapi Allah dah pun tetapkan Dahlia itu untuk Aariz Danial.” Tegas suara Puan Marina.

Aariz tersenyum pahit.

“Tapi, kalaulah dia tahu siapa Aariz yang sebenarnya…..” Aariz menghentikan kata-katanya tiba-tiba dan memandang wajah umi.

Puan Marina terpempan. Siapa Aariz sebenarnya? Sungguh dia tidak pernah terfikir tentang itu kerana soal itu tidak pernah ditimbulkan sejak Aariz hadir ke dalam keluarganya. Lagipun bagi Puan Marina, Aariz Danial adalah anaknya. Soal siapa dia yang sebenarnya sudah tidak dipedulikan lagi.

“Kalau macam tu, Aariz kena bagitahu dia. Biarlah Dahlia yang decide sendiri.” Perlahan Puan Marina bersuara, memberikan cadangan yang difikirkan paling sesuai.

Saat itu juga Aariz tersentak. Memberitahu Dahlia tentang siapa dirinya tidak ubah seperti membuka rahsia hitam dalam dirinya, juga seakan membawanya kembali ke saat-saat itu. Saat-saat kegelapan yang sentiasa menghantui dirinya.

Perlahan dia meggelengkan kepala.

“Tidak, umi. I won’t tell her. Just…not now.” Aariz menjawab dengan tegas.

Puan Marina cuba membuka mulut untuk membantah. Namun dia menghentikan niatnya tatkala terpandang wajah Aariz yang kelihatan tenang menatapnya. Ketenangan itu penuh dengan kepura-puraan kerana Puan Marina dapat melihat dengan jelas perasaan sedih dan terluka yang dalam pada sepasang mata bundar milik Aariz.

“Umi pun janji dengan Aariz, ya. Jangan sekali-kali bagitahu Dahlia. Kalau suatu hari nanti, tiba masa untuk dia tahu, biarlah ia datang dari mulut Aariz sendiri,” sambung Aariz lagi. Ibunya hanya memandang tanpa kata. Dengan wajah yang jelas keberatan, Puan Marina mengangguk perlahan.
******
WAJAH Dahlia yang masih lena di atas katil direnung lama-lama. Perlahan Aariz mengeluh. Mengingatkan permintaan umi tadi, hatinya berbelah bahagi.

“Umi tahu umi tak patut minta ini daripada Aariz. Tapi, umi tak tahu pada siapa lagi umi boleh minta tolong. Boleh tak….boleh tak Aariz cari Syafiq? Umi teringin nak jumpa dia…..”

Aariz menundukkan kepala dan memegang kepalanya dengan kedua tangan. Sungguh dia buntu. Sebahagian dirinya mahu mengikut kata umi dan mencari Syafiq, namun jauh di sudut hatinya, dia berasa berat hati. Kepulangan Syafiq mungkin akan mengubah perhubungan antara dia dan Dahlia.

Walaupun dia tidak mahu mengakui hakikat itu, Aariz sedar antara dia dan Dahlia, sentiasa ada Syafiq, adik lelakinya. Lelaki yang pernah menjadi tunangan Dahlia. Juga lelaki yang sepatutnya berada di tempatnya, sebagai suami kepada Dahlia Darius.

“Dahlia bukan untuk aku. Dia bukan untuk aku….” Aariz berbisik perlahan, mengingatkan dirinya buat sekalian kalinya.

Perlahan Aariz memejamkan matanya, menarik nafas dalam-dalam dan membuka matanya kembali.

“Aku…aku harus cari Syafiq.” Aariz berbisik lagi.

“Syafiq……”

No comments:

Post a Comment